Sabtu, 23 Julai 2011

dipanjangkan tapi tak panjang-panjang

Tags

Dipanjangkan. Tapi kawan saya berkata dia tidak berpuas hati dengan perkataan dipanjangkan itu kerana sampai sekarang, sudah lebih lima tahun ia menerima jawapan yang serupa iaitu `dipanjangkan'.

Perkara dipanjangkan tapi sehingga sekarang tidak panjang-panjang itu membuat saya berfikir panjang. Satu ketika dahulu, sewaktu masih di bangku sekolah rendah, saya memang suka mencari tahu mengenai soal-soal berkaitan panjang. Misalnya sungai apa yang terpanjang di dunia? Jambatan yang terpanjang? dan segala persoalan ter, umpamanya terbesar, terkecil, tertinggi, terendah, dan ter ter yang lain.

Saya cuba membuat carian perkataan panjang di enjin carian google.Ternyata terdapat 102 juta entri mengandungi perkataan panjang manakala untuk perkataan dipanjangkan, saya menemui 773,000 kata. Manakala dalam enjin carian yahoo, jumlah entri yang mengandungi perkataan panjang ialah 1,200,000 manakala dipanjangkan terdapat 74,600 kata.

Memang terdapat juga orang yang sukakan panjang, sukakan kepanjangan, suka berpanjang-panjang, suka berpanjangan dan suka juga dipanjangkan. Tapi soalnya bagi kawan saya dari sebuah desa di pedalaman itu, perkataan dipanjangkan yang diterimanya sepanjang lima tahun yang lalu amat menyakitkan hati.

Beliau tidak berpuas hati kerana setiap kali dia menulis surat mengenai masalah tanah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di kampungnya, jawapan yang diterimanya seringkali membuat dia bertanya tanya bahkan tertanya-tanya mengapa dia mendapat jawapan yang serupa.

Dipanjangkan! Oleh sebab itu, beliau menghubungi media untuk mempertanyakan, bukan sekadar menanyakan maksud dipanjangkan yang diterimanya secara berpanjangan itu. Dia tidak mahu berpanjang-panjang lagi sebaliknya dia tidak mahu lagi mendapat jawapan dipanjangkan itu kerana walaupun dipanjangkan, ia tidak panjang-panjang juga.

Sebenarnya saya beraca lucu menerima aduannya itu.Saya meminta supaya beliau membawa semua surat-surat yang berisi perkataan `dipanjangkan' itu kerana saya juga ingin tahu kenapa sampai sekarang perkara itu asyik dipanjangkan. Pemanjangan itu sudah tentulah membuat penduduk desa yang terpencil itu sering bertanyakan akan perkara itu.

Dalam Kamus Dewan edisi keempat, maksud dipanjangkan ialah menjadikan panjang atau melanjutkan atau meneruskan. Satu lagi maknanya ialah menyampaikan. Jika demikian, surat kawan saya tadi itu akan atau sudah disampaikan kepada pihak atasan.

Tetapi kalau begitu, katanya kepada saya, mengapa sesuadah sekian lama dipanjangkan kepada kerajaan, masalah mengenai tanah yang kami hadapi ini belum juga selesai-selesai.

Katanya, beliau banyak kali menulis surat kepada jabatan berkenaan untuk meminta agar masalah itu dapat diberikan jalan penyelesaian tetapi, ia menyatakan dengan kesal, sehingga sekarang jawapan yang diterimanya, selalunya tertulis perkataan `dipanjangkan'.

Beliau mengharapkan satu jawapan yang lain daripada perkataan dipanjangkan itu. Saya dapat menduga bahawa beliau fobia menerima jawapan yang sama, dan menurutnya, beliau berhak mendapat jawapan yang lebih jelas, atau lebih baik daripada perkataan dipanjangkan itu.

Sudah lebih lima tahun, takkan perkara itu asyik dipanjangkan, katanya. Fikiran saya menerawang mencari takrif perkataan dipanjangkan itu untuk dijelaskan kepadanya serta proses-proses dan prosedur prosedur yang perlu ditempuhi sebelum sesuatu keputusan diambil. Risiko-risiko yang perlu ditanggung seandainya sesuatu perkara diputuskan tanpa difikirkan semasak-masaknya terlebih dahulu.

Pokoknya saya menagih jawapan yang lebih baik, katanya.Saya meminta penjelasan yang munasabah mengapa persoalan yang kami hadapi itu belum diambil tindakan sebaliknya pegawai-pegawai itu sering memberikan jawapan yang serupa iaitu dipanjangkan.

Mungkin juga perlukan `ubat panjang', katanya. Saya tertawa mendengar mengenai ubat panjang itu kerana sekarang ramai orang menjual ubat panjang, bahkan dijual secara terbuka di pasar-pasar malam. Bukan yang itu, katanya supaya saya tidak salah sangka. Ubat panjang maksudnya perkara itu tidak diuruskan jika tidak ada semacam pelicin atau ubat panjang. Kalau tidak ada yang diberikan sebagai pelincir atau ubat panjang itu, perkara itu asyik dipanjangkan saja tanpa menjadi panjang.

Setelah meletakkan telefon, saya teringat perbualan kami mengenai perkataan dipanjangkan tetapi tidak panjang-panjang itu. Saya tersenyum mengingatnya. Pada masa yang sama saya turut berasa kecewa kerana sudah lebih lima tahun, beliau sering menerima jawapan `dipanjangkan' itu.

Betapa melelahkan menunggu suatu jawapan.Betapa menghampakan.