Thursday, July 21, 2011

kadangkadang niat baik boleh disalaherti

Barangkali niat baikpun boleh jadi disalah erti jika tidak disampaikan dengan baik.
Seorang kakitangan wanita yang gembira kerana mendapatkenaikan pangkat agak teruja untuk mengucapkan terima kasih apabila terserempak dengan seorang atasannya di kedai kopi.
Dengan penuh takzim beliau mengucapkan terima kasih.
Atasannya itu sebenarnya sudah melupai peristiwa itu. Tetapi dia bertanya, bila dia mendapat kenaikan itu.
Wanita tadi mengatakan bahawa dia telahpun mendapat kenaikan itu bulan sebelumnya.
Tapi kenapa lambat sangat mengucapkan terima kasih?
Wanita itu menjawab bahawa dia baru terjumpa atasannya itu dan dia mengatakan bahawa dia takut mengganggu atasannya hanya semata-mata datang untuk mengucapkan terima kasih.
"Oh dulu, sewaktu meminta sokongan, kamu datang tanpa tahu sama ada aku sibuk atau tidak," katanya. Kalau benar kamu sungguh-sungguh mengucapkan terima kasih sudah tentu kamu datang ke pejabat saya.Tetapi saya fikir kamu tidak bersungguh-sungguh mahu mengucapkan terima kasih kerana kamu mengucapkannya ha nya apabila terserempak dengan saya.
Wanita yang pada mulanya gembira mahu mengucapkan terima kasih itu akhirnya berasa kecut dan takut kerana dimarahi atasannya serupa itu.

Peristiwa kedua yang singgah dalam minda saya ialah apabila ada orang yang mahubelanja minum. Mereka sebenarnya duduk di meja dalam sementara kami berada di meja luar. "Tolong kira sekali minuman mereka?" katanya kepada pelayan restoran.
Si pelayan pula, yang tak reti bahasa, datang dengan kalkulatornya. "Ini tidak termasuk" katanya kerana dia diminta untuk mengira minuman, padahal maksud kerabat tadi itu dia mahu belanja tak kira apa yang dimakan atau diminum.
Tapi oleh sebab salah terima kerana pelayan salah cakap, maka saudara kami itu berkata, kalau mahu belanja, belanja semua yang di atas meja. Dan tak eloklah kalau ada yang diasingkan misalnya rokok.Oleh kerana itu dia menolak untuk ditraktir.
Padahal niat kerabat itu memang baik.Tapi oleh kerana si pelayan salah cakap dan tak mengerti itu, niat murni mahu `traktir' itu sedikit merosak perbualan kami.

Peristiwa ketiga yang agak melucukan juga apabila ada seseorang rakan kami mengatakan bahawa penulis tertentu tidak tepat lagi dimasukkan dalam klasifikasi penulis muda.Maksudnya penulis-penulis yang disebutkannya itu tidak boleh lagi dianggap penulis muda kerana karya dan penulisan mereka sudah melayakkan diri mereka dipanggil penulis mapan. Akhirnya ulasan itu menuai polemik yang tidak perlu, padahal ia bermula dari suatu yang baik.

Tapi saya kira apapun yang bermula dari niat baik, pasti akan berakhir dengan kebaikan.

2 comments:

Hasyuda Abadi said...

Saya masih ingat perbualan yang pertama itu sdr. Agak tragik juga. Kehidupan ini sering berhadapan dengan teka teki. Kita fikir sudah menemukan jawapan dan percaya berada pada kedudukan yang selesa. Rupanya tidak. Begitu kita yakin bahawa satu pandangan sudah cukup sebagai menjelaskan kewibawan seseorang bahkan ramai lagi, tetapi menerima tanggapan yang lain pula. Saya fikir ini natijah sebuah suguhan semangat yang sukar dibendung. Akhirnya wujud beda tanggap hingga menemukan jalur-jalur polemik yang bukan-bukan.

Pada 90an kita juga berhadapan satu situasi yang hampir sama - gerakan penulis muda merisaukan penulis mapan. Bezanya satu, dulu penulis muda terjumlah ramai dan gerakan itu bersifat nasional sedangkan era ini, penulis mapan lebih menonjol berbanding yang menganggapnya muda. Dari aspek ambil peduli pengurus sastera, usaha meninjau delima yang dihadapi penulis muda merupakan satu usaha yang baik. Cuma, apakah penulis mapan tidak menghadapi delima yang sama? Soal penerbitan, penampungan karya, sifat ambil peduli pengurus sastera apakah juga telah mereka terima dengan memuaskan? Kerana itu meletakkan gap-gap tertentu tidak akan menyelesaikan keperluan-keperluan kelompok-kelompok ini. Saya fikir jika masalah.media, mengapa tidak menerbitkan Wadah setiap bulan berbanding sifatnya berkala masa ini. Tidak perlu menerbitkan buletin khas semata-mata untuk menempatkan karya-karya penulis muda. Jika demikian, penulis mapan barangkali tidak salah menuntut pekara yang sama. Akhirnya usaha yang murni berubah menjadi keadaan rasa mahu yang berlambak.

Apabila karya penulis muda diterbitkan dalam bentuk buku, bagaimana penulis yang mapan, jika mahu kategori penulis diteruskan. Kehendak penulis mapan juga belum dilaksanakan sekian lama menghambat kreativiti penulis, apatah lagi kelembaban penangan karya kreatif tidak seagresif sebelumnya. Jika pengurus sastera kita mahu berlaku adil, fikirkan perkara-perkara pokok sebelum ini, misalnya merekayasa semula penataran untuk para penulis. Ia perlu dilakukan secara telus dan terancang. Konsep mentor boleh dilakukan. Penerbitan buku juga demikian. Satu perkara lagi yang perlu difikirkan iaitu mewujudkan dana untuk penulis Sabah. Dana inilah menjadi sokongan aktiviti pemerkasaan karya dan inovasi penulis. Jika tidak, jangan harap apa yang penulis hasratkan tercapai, melainkan ungkapan yang klise, semangat menjadi luntur. Beberapa tahun akan datang wujud lagi gerakan yang sama. Sampai bila-bila pun penulis tidak dapat memperkasa bakat mereka. Ini menjadi bertambah parah lagi apabila wujud ketidak sepakatan di pihak pengurus sastera, misalnya siapakah pegawai yang benar-benar bertanggungjawab mengurus penulis, karya dan aktiviti mereka. Jika bumbung rumah penulis retak di mana lagi tempat penulis bernaung?

abd naddin said...

terima kasih atas respon.
Mungkin dapat kita renungkan bersama