Tuesday, August 2, 2011

Sejenak bersama Datuk Jainab DSP Ahmad

SEBENARNYA tidak pernah terlintas di hati saya untuk menjadi seorang wakil rakyat. Walaupun lahir dalam keluarga pejuang dan pemimpin, tetapi saya hanya bercita-cita untuk menjadi peguam yang baik yang dapat membela mereka yang teraniaya dan perlukan nasihat undang-undang. Tetapi kita merancang, Tuhan yang menentukan, kata Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat. Beliau tidak menyangka, penglibatannya yang aktif dalam politik sejak kembali ke Sabah pada tahun 1994 setelah membina kerjaya yang membanggakan di Kuala Lumpur telah membawanya ke satu destinasi yang menyebabkan beliau memikul tugas dan tanggungjawab yang lebih besar. Sejak terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, beliau merupakan seorang wakil rakyat dan tokoh wanita yang sering turun padang untuk menemui rakyat.

Jainab menduduki bangku sekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Tawau. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SM St Patrick Tawau dan selepas tamat tingkatan lima, beliau bersekolah di Sabah College selama tiga bulan sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat A-Level di Walthamstow, sebuah kota yang terletak di timur laut London. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang sehingga mendapat BA Law dan kemudian

Barrister At law di Lincoln Inns, London. Beliau ditauliahkan sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1982. Selepas itu beliau diterima sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1986. Pada tahun 1994, beliau diterima sebagai Peguam Syariah. Jainab juga memiliki ijazah MBA dari UiTM. Beliau merupakan anak kedua daripada tujuh adik beradik.

Selain tugasnya sebagai wakil rakyat,Jainab juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar dan menjawat jawatan Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Sabah

Walaupun jadualnya agak padat, tetapi Datuk Hajah Jainab sedia untuk ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Satu jam sebelum solat Jumaat kelmarin, wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN menemui beliau untuk bersembang-sembang dan sedia berkongsi sedikit kisah hidupnya. Ikuti temuramah beliau:

UTUSAN BORNEO: Pernahkah Datuk terfikir menjadi seorang Ahli Yang Berhormat?

DATUK HAJAH JAINAB AHMAD: Walaupun saya dibesarkan dalam keluarga yang bergiat dalam politk, tidak pernah di lintas dalam fikiran saya untuk menjadi Wakil Rakyat. Bapa saya, Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid adalah orang kuat USNO di Tawau, ibu saya Alahyarhamah Hajah Nikmah, juga seorang aktivis USIA dan Kaum Ibu. Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang menitikberatkan komitmen untuk membantu masyarakat.

UB: Siapa yang selalu memberi galakan kepada Datuk?

DHJA:Bapa saya menggalakkan untuk kami menimba pelajaran dan ilmu pengetahuan, walaupun zaman itu, anak perempuan kurang diberi galakan untuk bersekolah hingga ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi bapa saya seorang yang berpandangan jauh. Katanya, harta yang paling paling baik ialah ilmu pengetahuan. Sebab itu beliau menyekolahkan adik beradik hingga ke luar negeri, dengan belanja sendiri, walaupun bapa saya seorang peniaga yang menjual kain. Saya hanya mendapat biasiswa sewaktu berada di tahun akhir di London.

UB: Kenapa YB tak begitu minat dalam politik pada mulanya?

DHJA: Saya nampak bapa saya sibuk. Saya fikir sukar untuk menjadi orang politik kerana sering berjumpa orang. Saya hanya minat belajar untuk menjadi peguam yang baik. Sebaik balik dari london, saya mencari kerja. Saya ingin menjadi majstret. Tetapi kerana tiada kekosongan, saya dapat bertugas di SINAR, sebagai tenaga pengajar selama enam bulan.

UB: Apa yang Datuk lakukan selepas itu?

DHJA: Pada tahun 1982, saya ditauliahkan sebagai peguam `called to the bar' di Mahkamah Tinggi Borneo. Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Undang-undang dan Setiausaha Syarikat Permodalan Bumiputera Sabah Berhad. Setelah bekerja selama kira-kira dua tahun setengah di Kota Kinabalu, saya berasa ingin untuk mengamalkan kerjaya guaman. Kawan-kawan saya menggalakkan untuk saya bekerja sebagai peguam di Kuala Lumpur. Rakan-rakan saya mengatakan di KL, kalau praktis di KL boleh berlawan dengan Karpal Singh.

UB: Jadi kemudian Datuk memutuskan untuk membina kerjaya di KL?
DHJA: Ya. Waktu itu saya bertanya pandangan Razak Rouse, seorang peguam yang terkenal mengenai pandangannya. Katanya bagus mengamalkan kerjaya guaman di Kuala Lumput untuk mengambil pengalaman. Jika kita mempunyai pengalaman satu tahun di KL, ia seperti 1o tahun pengalaman di KK, katanya waktu itu. Apatah lagi saya masih muda ketika itu. Saya kemudian masuk bekerja dengan Cecil Abraham dengan elaun kira-kira RM500. padahal sewaktu bekerja di Permodalan, gaji saya sudah lumayan. tetapi kerana ingin mengamalkan bidang guaman, maka saya sanggup untuk menimba pengalaman di KL. saya jual kereta saya. Di KL saya menyewa rumah sekitar RM250 dan naik teksi untuk ke pejabat.

UB: Selepas itu?

DHJA: Pada Mac 1986, kami menubuhkan firma dengan Vernon Ong Jainab @ Partners. Kami tiga orang, satu Cina, satu Melayu dan satu India. Konsep Satu Malaysia sudah diamalkan ketika itu. Di KL, saya tinggal serumah dengan Mariany Mohd Yit. Di sanalah saya tertarik dengan UMNO. Saya menyertai UMNO tahun 1985. walaupun pada masa itu, saya hanya ikut-ikutan saja.

Walaupun pada mulanya saya hanya merancang untuk berada di Kuala Lumpur selama kira-kira satu tahun sahaja, tetapi hanya dapat balik ke Sabah pada tahun 1994. Bapa saya sudah bising-bising, buat apa lama lama di sana. Saya pun balik untuk menubuhkan Jainab @ Associates.. Saya mulai aktif bergiat dalam politik semula. Saya memasuki UMNO cawangan Seroja Likas. Pada tahun 1995, saya menjadi Naib Ketua Wanita UMNO Gaya. Kemudian saya menjadi Ketua Wanita pada 1998. Selepas persempadanan semula, saya dipilih menjadi Ketua Wanita UMNO Sepanggar pada tahun 2003.

UB: Apa pengalaman yang tak dapat Datuk lupakan sepanjang menjadi Ketua wanita?

DHJA: Sesuatu yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika menjadi Ketua Wanita UMNO, hampir tiap-tiap tahun diadakan pilihanraya. Selepas pilihanraya umum, diadakan pilihanraya kecil, pilihanraya DUN, pilihanraya Parlimen dan sebagainya.

Pada tahun 2004, saya terpilih sebagai wakil rakyat N12 Karambunai. wakil rakyat yang pertama di DUN Karambunai yang baru diwujudkan itu. Saya kemudian dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian. Pada tahun 2000, saya diberi kepercayaan pula untuk menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan KemajuanTeknologi Maklumat.

Apapun yang kita buat adalah satu amanah yang harus dilaksanakan sebaik-baiknya.

Ibu saya Datin Hajah Nikmah, tiga bulan sebelum kembali ke Rahmatullah pernah meramalkan bahawa saya akan menjadi pemimpin. Oleh sebab itu apabila pertama kali bertanding sebagai calon BN bagi DUN Karambunai, saya memakai baju ibu saya, yang telah banyak memberi galakan. Yang telah banyak mendoakan saya.

UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa antara tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sebagai pembantu menteri, ketua wanita

DHJ: Saya bertuah kerana mempunyai suami yang prihatin, selain sokongan daripada anggota keluarga. Selain itu keluarga kami agak rapat, jadi saling bantu membantu. Saya sentiasa mempunyai buku nota yang selalu saya bawa dalam beg. Saya juga meletakkan buku nota di meja di bilik dan membacanya sebelum tidur.saya sentiasa memastikan untuk menziarahi rakyayt yang menjadi pengundi saya. Kalau ada orang sakit, ada orang yang menghadapi musibah, majlus kahwin dan sebagainya, saya pastikan agar dapat datang. Apalagi kalau ada masalah rakyat di kawasan saya.Saya sentiasa memasyikan untuk dapat hadir.

UB: Apa yang Datuk lakukan jika ada masa lapang?

DHJ: Saya suka baca buku. Selain itu saya suka menyemak check list tugas saya. Saya juga menyempatkan diri untuk melihat facebook, dan memuat turun gambar-gambar ketika bersama masyarakat turun padang, walaupun tidak semua gambar. Jika ada peluang saya suka membawa anak-anak saya Adam Iskandar dan Jane Noorlina untuk keluar bersiar-siar. Selain itu, kalau ada trip ke luar negeri dan kebetulan pula cuti sekolah, saya suka membawa mereka berjalan-jalan.

Saya juga memastikan setiap ada peluang balik kampung untuk membawa anak-anak saya bersama, agar mereka mengenal sepupu-sepupu mereka.

UB: Kalau boleh bertanya, apa falsafah Datuk?

DHJ: Hidup ini sementara.Kita harus lakukan yang terbaik.Do the best you can.tapi sebagai manusia biasa ada kelemnhana. Bukan semua yang kita buat orang sukla. Tapi saya jenis orang yang suka berkawan, tidak suka bermusuh. Cuba memperbaiki kerana pengorbanan orang lain

1 comment:

Nim Yorza said...

Selalunya apa yang kita benar2 inginkan,ditangguhkan oleh Allah kerana Dia telah mempunyai rancangan yang lebih baik untuk kita.