Saturday, September 17, 2011

Aduhai jambatan Tawadakan

Berdiri di hujung jambatan Tawadakan itu, ingatan saya kembali ke zaman persekolahan dahulu.
Sebenarnya tidak ada yang istimewa. Dari rumah orang tua saya di Kampung Tamau, saya berjalan kaki merentas batas-batas sawah padi, parit dan juga padang ilalang untuk ke SMK Taun Gusi. Sambil menggalas beg dan menjinjit kasut, saya merentas desa bermula seawal jam 6.00 pagi. Jika saya lewat bangun daripada itu, saya pastilah terlambat ke sekolah.

Sesampainya di jambatan itu, saya membasuh kaki untuk kemudian memakai stoking sebelum tergesa meniti jambatan dan masuk di pintu pagar sekolah. Walaupun begitu, saya jarang sekali terlambat.

Ketika itu, tahun 1982, SMK Taun Gusi baru dibuka dan kami adalah kelompok pelajar pertama yang menduduki sekolah. Bangunan masih baru, papan hitam masih baru, kerusi masih baru dan semangat juga baru.

Saya berbangga kerana ketika berada di sekolah itu, guru-guru menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi untuk mengajar dan mendidik kami. Kebanyakan pelajar pula mematuhi peraturan sekolah dan menunjukkan disiplin. Memang pernah ada satu dua kejadian pelajar bergaduh, dan ada juga pelajar di denda kerana melanggar peraturan, tetapi pada umumnya imej sekolah itu terjaga dengan rapi.

SMK Taun Gusi tempat saya belajar itu tempat menunjukkan prestasi dan kecemerlangan yang tinggi.

Tetapi ketika balik kampung baru-baru ini, saya dikejutkan oleh aduan ibu bapa mengenai masalah jambatan di Tawadakan itu.

Apa masalahnya? saya tertanya-tanya.Bukankah jambatan itu telah diperbaiki dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan sendiri mengeluarkan peruntukan untuk membaiki jambatan itu setelah beberapa tahun rosak dan berbahaya untuk dilalui.

Rupanya bukan masalah fizikal jambatan itu yang menjadi rungutan, walaupun beberapa bahagian jambatan rosak kerana aktiviti vandalism. Apa yang menjadi masalah bagi ibu bapa ialah meningkatnya gejala sosial di kalangan anak-anak sekolah.

Apa yang akan jadi kepada anak-anak kita? Setiap hari, terutamanya hari Isnin dan Jumaat, banyak pelajar sekolah tidak kira lelaki dan perempuan ponteng sekolah. Ada di antara mereka yang berkumpul beramai-ramai, lebih sepuluh orang di atas jambatan itu.

Tanpa segan silu mereka ponteng sekolah. Bahkan ada juga yang sibuk berkasih-kasihan, minum minuman keras malah pernah juga dijumpai bahan-bahan yang tak sepatutnya.

Keadaan ini berlaku kerana sebilangan ibubapa membiarkan anak-anak mereka. Walaupun mereka memiliki rumah-rumah yang besar dan cantik, tetapi mereka gagal mengurus anak mereka.

"Kebanyakan anak-anak itu datang dari beberapa kampung, yang kebanyakan masyarakatnya adalah bangsa kita sendiri," katanya. Ibubapa juga bimbang kerana masalah itu terbiar begitu saja.

Menurut mereka, masalah itu boleh diatasi sekiranya anggota Rela ditempatkan untuk mengawal. Pihak PIBG dan pihak pentadbiran sekolah sepatutnya mencari jalan untuk menutup dan membaiki pagar yang rosak agar tidak mudah bagi pelajar keluar dari kawasan sekolah.

Jika ada kawalan sudah pasti masalah itu sedikit sebanyak akan dapat diatasi. Guru-guru mungkin tidak mempunyai masa yang lebih untuk mengatasi masalah ini kerana mereka juga mempunyai masa yang terhad dan memberikan tumpuan kepada pelajar-pelajar yang mahu belajar. Bagaimanapun masalah keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang dihadapi itu perlu ditangani semua pihak.

"Sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah di kalangan anak-anak kita," kata KK Jamri kepada saya. Anak-anak ini tidak boleh dibiarkan begitu saja. Ibubapa perlu memberikan perhatian terhadap aktiviti anak-anak mereka. Banyak didapati ibubapa kurang memberikan perhatian terhadap anak-anak remaja yang datang dengan uniform sekolah, kemudian ponteng sekolah dan kemudia bila tamat sesi sekolah, pulang ke rumah masing-masing tanpa ditanya atau disemak oleh ibubapa mereka.

Malah pernah juga berlaku, pelajar sekolah memuat naik di Youtube pelajar-pelajar perempuan bergaduh, kononnya berebut teman lelaki.

Pelbagai masalah diadukan kepada saya ketika pulang kampung baru-baru ini. Mungkin mereka menyangka dengan meluahkan masalah itu, sebagai wartawan saya dapat menulisnya.

Saya teringat satu ketika dahulu ketika saya turut sama meniti jambatan Tawadakan untuk ke sekolah. Ketika pagi limun saya meredah embun pagi untuk mendapatkan pengetahuan dengan belajar bersungguh-sungguh.

Saya tidak pernah menyangka bahawa pada satu waktu menyaksikan pelajar-pelajar remaja di bekas sekolah saya bergaduh, bertarik tarik rambut, tendang menendang di Youtube.

Saya termenung panjang memikirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di jambatan Tawadakan itu.

No comments: