Tuesday, September 27, 2011

Catatan di Narathiwat 2

Pak Djamal sudah duduk di beranda ketika kami keluar dari bilik. Walaupun jam di tangan menunjukkan jam 8.00 pagi, tetapi waktu di Selatan Thai kira-kira jam 7.00 pagi.
Hari ini 25 September 2554, tahun Thailand atau 25 September 2011, iaitu hari kedua kami berada di Bachok, Narathiwat. Saya tidak pasti mana ejaan yang betul, sama ada Narathiwas atau Narathiwat.
Sambil menunggu sarapan, saya sempat bercerita dengan Pak Djamal Tukimin, sasterawan Singapura yang merupakan penerima Anugerah Tun Seri Lanang yang ke-7. Beliau seorang tokoh sasterawan yang terkenal dari Negara itu.
Saya tak sempat menegur Pak Djamal Tukimin dan isterinya ketika sedang check-in di LCCT. Saya sudah camkan wajahnya sebaik ternampak beliau di LCCT. Tak apalah, saya akan menegurnya kemudian, kata saya dalam hati.
Ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa petang kelmarin, kami sempat bersapa tetapi pagi ini, selain daripada malam kelmarin dalam sesi pertama, saya dapat mendengar banyak cerita daripada tokoh ini.
Nik Rakib terpaksa ke Sungai Golok untuk mengambil Prof.Dr.Zulhasril Nasri, Ketua Pusat Tamadun Melayu Nusantara, Universitas Indonesia, Depok, yang kelmarin tertinggal kapal terbang di LCCT.
Pagi ini kami akan dibawa melawat Kampung Gading Jeringa dan bertemu dengan Nik Amin Nik Ahmad, Ketua Kampung atau Tok Nibi yang berusaha mengumpul segala khazanah melayu dari zaman Funan, Srivijaya, Campa dan sebagainya. Segala artifak itu dikumpulnya sejak dua tahun lalu dan minatnya tumbuh sebagau melanjutkan minat bapanya, Nik Ahmad Hassan, seorang seniman dan budayawan yang terkenal di zamannya.
Dari Kampung Gading, kami dibawa melawat istana Raja Sai di Kampung Takok yang hampir roboh. Istana itu tidak dipedulikan atau dipulihara.Padahal ia merupakan salah satu daripada tujuh raja yang memerintah di selatan thai.
Selepas makan di perpustakaan, nasi bungkus dan sup,, kami di bawa pula ke Dewan Masyarakat majlis Daerah Bachok.
Orang kampong dan peserta seminar sudah memenuhi dewan ketika kami tiba. Saya sempat berkenalan dan bercakap dengan wakil rakyat Bacho, Pakrurozee Saleh, yang juga Deputy Speaker of Narathiwat Provincial Administration Organization.
Selepas majlis perasmian oleh ADUN Bacho, Nik Rakib mempersilakan panel pada sesi pertama iaitu Dr.Zulhasril dan Salmi Mesra. Dr.Zulhasril bercakap mengenai masyarakat majmuk di Indonesia manakala Awang Haji Abdul Hamid Haji Tamat bercakap mengenai masyarakat kedayan di Brunei.
Sementara sesi kedua yang dipengerusikan oleh Sdr Zawawi dari PSU, Pak Djamal Tukimin bercakap mengenai masyarakat Melayu Singapura, saya pula diminta bercakap mengenai perjuangan masyarakat Islam di Mindanao manakala isteri saya, Fauziyah diminta bercakap mengenai kedudukan kaum wanita dan pembinaan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di sabah, khususnya di Tawau.
Selepas saja saya bercakap, saya diserbu oleh masyarakat Islam di Bacho dan meminta bergambar dan mempelawa saya datang semula ke daerah itu.
Ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan, sambutan masyarakat Islam yang begitu peramah dan sebagainya.
Insya Allah, saya pasti datang semula

No comments: