Tuesday, September 27, 2011

Catatan di Narathiwat

Sebaik tiba di Pancor National Park, Bachok Narathiwas, Thailand jam menunjukkan 9.30 malam.

Perjalanan memang jauh dan melelahkan. Bayangkan kami berangkat jam 10.55 pagi dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan tiba di LCCT jam 1.00 petang.

"Kita tiba 25 minit lebih awal," kata pramugara AirAsia sebaik pesawat mendarat di lapangan terbang.

Selepas transit kira-kira satu setengah jam di LCCT, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu jam 3.50 petang dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 5.00 petang.

“Saya berada kira-kira tiga kilometer. Sebentar lagi sampai, “ kata Nik Rakib melalui telefon.

Bersama Pak Djamal Tukimin dan isterinya Kak Maimunah dari Singapura dan Salmi Mesra (Dato’ Paduka Utama Di Raja Dr. Awang Ustaz Haji Abdul Hamid Haji Tamat) kami menunggu saja Nik Rakib tiba untuk menjemput kami.

Setengah jam kemudian kami berangkat lagi dengan teksi ke Sungai Golok di perbatasan Malaysia-Thailand kira-kira jam 6.25 petang.

Jam 7.00 malam, kami sudah berada di Pejabat Imigresen Sungai Kolok Thai untuk mengisi borang imigresen. Setelah segalanya selesai, kami meneruskan perjalanan lagi dan berhenti sebentar untuk buang air kecil dan membeli minuman di sebuah stesen minyak yang agak suram keadaannya jam 7.25 malam.

Kami melalui beberapa pos pemeriksaan keselamatan. Seminggu sebelum itu, terdapat peristiwa letupan bom di pekan Sungai Kolok dan mengorbankan rakyat Malaysia dan mencederakan berpuluh yang lain.

Kami sekarang memasuki wilayah yang bergolak itu. Memang terasa khuatir juga kalau tiba-tiba ada letupan bom atau kejadian-kejadian tidak diingini pada ketika kami melalui jalanraya Sg Kolok itu.

Jalan aspal itu terasa panjang dan di kiri kanan jalan masih dihuni oleh sesuatu yang misteri dalam minda kami.

Namun kami sempat juga singgah di Nasir Seafood dan makan dalam keadaan yang agak tergesa kerana kami telah ditunggu peserta 1st International Seminar on Malay Studies 2011 di Bachok, Narathiwas.

Setelah meletakkan beg pakaian, dan berehat tidak sampai lima minit, kami turun semula untuk menjayakan sesi pertama seminar antarabangsa pengajian Melayu itu itu.

Tajuk pertama yang diberikan ialah puisi perdamaian dan kami diminta untuk bercakap mengenai perdamaian dan menceritakan pengalaman dari negara masing-masing mengenai usaha-usaha mempertahankan kedamaian.

Nik Rakib Nik Hassan yang bertugas Pusat Studi Nusantara, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Prince of Songkla University memperkenalkan kami kepada hadirin. Pak Djamal Tukimin dari Singapura, Dato (Dr) Ustaz Awg Haji Abdul Hamid bin Haji Tamat atau lebih dikenali Salmi Mesra dari Negara Brunei Darussalam dan saya Abd.Naddin Hj Shaddin, wartawan kanan Utusan Borneo diperkenalkan sebagai seorang pengkaji dari sukubangsa Iranun dan Nik Rakib menambahkan bahawa saya diminta bercakap mengenai masyarakat Iranun di Sabah dan kerana saya akrab dengan Iranun, Maranao dan Maguindanao di Mindanao, maka saya diminta juga bercakap mengenai situasi masyarakat Islam di selatan Filipina itu.

Memang sambutan yang diberikan terhadap sesi pertama itu agak menarik.Kami dihujani dengan pelbagai pertanyaan, dan saya menjawab mungkin pertanyaan yang diajukan itu. Jam menunjukkan 12.45 minit malam. Pak Jamal mengisyaratkan agar majlis ditangguhkan buat sementara kerana sudah larut malam dan kami masih keletihan.

Masih awal lagi, kata Nik Rakib. Rupanya waktu di Selatan Thailand ketika itu ialah jam 11.45 minit malam, iaitu satu jam lebih lewat berbanding waktu di Malaysia.

Walaupun majlis berakhir, tapi saya sempat juga bercakap dengan Samsu Yaeyaeng, seorang wartawan muda dari Patani Forum, staff writer www.pataniforum.com dan Tuwaedaniya Tuwaemaengae, Director of Local Comunity Relation, Patani Forum, Pattani.

Entah jam berapa kami tertidur, mungkin jam 2.30 pagi atau jam 3.00 pagi waktu Malaysia, mengikut jam yang ada di tangan atau jam 1.30 pagi waktu selatan Thai.

No comments: