Wednesday, September 7, 2011

dari gesekan biola Tun hingga Hari Malaysia

Dari gesekan biola Tun hingga sambutan Hari Malaysia
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

KALAU bukan kerana gesekan biolanya yang merdu, mungkin tentera Jepun telah membunuh Tun Datu Mustapha. Kalau kepalanya dipenggal, mungkin jalan sejarah akan berbelok ke arah lain.

Ketika itu Tun Mustapha ditangkap kerana dituduh menjadi talibarut British tetapi dengan segala keberanian dan kebijaksanaannya, Tun yang mahir bermain biola menggesek biola memainkan lagu yang akhirnya melembutkan dan melekakan tentera Jepun.

Akhirnya beliau terlepas daripada dibunuh. Tidak lama selepas itu, Tun Mustapha melancarkan perlawanan secara gerila menentang Jepun sehingga Perang Dunia Kedua tamat pada 1945.

Apabila perang tamat, Tun bersama sembilan yang lain menghadiri Victory Parade di London pada 1946. Beberapa tahun kemudian, iaitu pada tahun 1959, beliau mengikuti kursus di England mempelajari bidang pentadbiran kerajaan dan mendalami bahasa Inggeris.

Ketika itu gerakan untuk membebaskan diri dari belenggu kolonialisme pecah di negara-negara jajahan.Di sanalah, Tun menyaksikan betapa tidak beruntungnya menjadi orang yang dijajah.

Sekembalinya ke tanahair, bersama rakan-rakannya beliau menubuhkan United Sabah National Organization (USNO) pada 24 Disember 1961, nama yang terilham daripada nama UMNO di Semenanjung yang ditubuhkan pada tahun 1946 dan memerdekakan Tanha Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sejarah bergerak dari satu titik ke satu titik.dari satu waktu ke satu waktu.Setelah menjalani proses yang cukup genting dan penting, maka pada 16 September 1963, bendera Union Jack diturunkan di Padang Bandaran bagi memberi laluan kepada lahirnya sebuah negara baru yang merangkumkan Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya sebagai sebuah negara baru bernama Malaysia.

"Sabah mengambil langkah yang tepat untuk menyertai pembentukan Malaysia," kata Datuk Jumat Haji Idris, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar. Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah peristiwa yang amat bersejarah bagi semua kalangan rakyat di negara ini. Sejak itu, Sabah berkembang maju dan pesat membangun. Banyak projek pembangunan yang dibawa oleh kerajaan untuk membangunkan dan memajukan rakyat.

"Dimana-mana kita boleh lihat nikmat kemerdekaan yang kita kecapi. Sebagai negara yang membangun, dan dihormati di seluruh dunia kerana kestabilan ekonomi dan politik dan peranannya yang dimainkan di peringkat antarabangsa, kita boleh berbangga sebagai rakyat yang dilahirkan di negara ini".

Bagaimanapun, Jumat berkata, cabaran yang lebih hebat kini menanti. ""Kini kita memasuki fasa dua kemerdekaan," katanya. Empat puluh lapan tahun sudah berlalu. Kini keadaan telah banyak berubah. Kita mesti memastikan masa depan rakyat, dari segi kesejahteraan,sosial, ekonomi dan pendidikan sentiasa terjamin.

Selain itu, kita mestilah mengukuhkan lagi semangat dan kecintaan kita kepada negara supaya anasir tertentu yang tidak bertanggungjawab, tidak mengambil kesempatan untuk menyebarkan kekeliruan dan prasangka.

Beliau berkata , sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan pada 16 September, bersamaan Hari Malaysia itu adalah satu langkah yangh bijak untuk membentuk semangat cintakan bangsa dan negara.

"Sambutan hari kemerdekaan yang diadakan buat pertama kalinya pada 16 September itu, secara tidak langsung adalah pengiktirafan kepada semua rakyat, bukan saja kepada rakyat Sabah dan Sarawak tetapi kepada semangat asal ketika penubuhan Malaysia pada 16 September," katanya.

Tetapi yang paling penting sekarang, ialah apakah peranan dan sumbangan mereka terhadap proses pembangunan negara.

Bagi kita Hari Malaysia yang diadakan pada 16 September adalah satu peristiwa yang teramat penting. Tahun ini ia menjadi lebih bersejarah kerana sambutan Hari Merdeka yang biasanya diadakan pada setiap 31 Ogos, turut diadakan pada 16 September.

"Bagi kita Hari Malaysia yang diadakan secara serentak dengan Hari Kemerdekaan perlu dikenang oleh generasi muda," katanya. Dari buku sejarah kita tahu bagaimana orang-orang tua kita dahulu berjuang demi mencapai kemerdekaan, hinggakan terpaksa menggadai gelang, emas perhiasan mereka," kata Ketua Pemuda UMNO Kudat, Sh Sahar Sh Ading

"Generasi muda perlu diberikan kefahaman sejarah dan mereka hendaklah menyedari bagaimana pahit maungnya perjuangan mencapai kemerdekaan," katanya.

Oleh itu sambutan Hari Kemerdekaan pada 16 September yang diadakan buat pertama kalinya tahun ini adalah satu peristiwa yang sangat siginifikan ke arah pembangunan negara bangsa," katanya yang juga Ketua Penerangan Pemuda BN Sabah.

"Perjuangan menuntut kemerdekaan, bukan sesuatu yang mudah," katanya. Ia merupakan perjuangan yang perit yang dilakukan oleh pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh terdahulu.


Bagaimanapun, kita haruslah memiliki idea baru untuk membangunkan negara. Generasi muda haruslah jangan bersandar pada idea yang masih lapuk.

Apakah makna kemerdekaan yang sesungguhnya? Kemerdekaan bermakna kita merdeka dari segala penduduk penjajahan termasuk penjajahan minda.

"Jangan kita terikut-ikut budaya asing. Kemerdekaan perlu kita isi dengan cara dan budaya kita sendiri," kata Sh.Sahar. Sambil itu, beliau menyelar golongan yang cuba memutarbelit fakta sejarah.

Menjelang 16 September, kita haruslah memikirkan bagaimana pengisian kemerdekaan ke arah sebuah negara yang maju, dimana rakyatnya menikmati kesejahteraan, didahulukan dan pencapaian diutamakan selaras dengan konsep 1Malaysia.

Sementara itu, Haji Mahil Kamarudin berkata, sambutan Hari Merdeka yang diadakan pada 16 September itu selaras dengan konsep 1Malaysia.

"Fakta sejarah harus dihormati dan keikhlasan kerajaan Persekutuan nampak terserlah melalui perayaan yang diadakan kali ini," katanya yang juga seorang pemimpin tempatan dari Lahad Datu.

"Jika anda bertanya kepada saya apakah signifikan Hari Malaysia untuk Sabah dan pembangunan Negarabangsa, bagi saya ia sesuatu yang penting," katanya. Pengiktirafan terhadap sejarah penting.Apabila semua orang mempunyai semangat cintakan negara bernama Malaysia yang lahir pada 16 September 1963, ia adalah satu langkah yang baik kerana rakyat Malaysia akan merasa sama dan tidak dibeza-bezakan.

Jika semua rakyat berlagu dan menyanyi dalam nada suara yang sama, gesekan biola terdengar merdu bunyinya.

No comments: