Sunday, September 11, 2011

Pengajaran ketika membeli ikan yu

Apa yang kita dapat pelajari dari pasar ikan?
Jual beli, untung rugi,bekalan, permintaan? mungkin lebih dari itu.
Saya berpeluang untuk ke pasar borong Safma untuk membeli ikan yu awal pagi kelmarin. Sesampainya di sana, kira-kira jam 3.00 pagi, anak-anak kapal sedang sibuk memunggah ikan dari bot laut dalam. Sementara peraih-peraih ikan sedang sibuk memilih ikan dan tauke tauke ikan asyik menimbang berat ikan sebelum beralih tangan. Suasana agak ramai dan bukanlah pasar namanya kalau tidak ada kegiatan tawar menawar.

Sebenarnya agak jarang untuk berada di pasar borong itu, kalau bukan kerana mencari ikan yu. Sejak beberapa hari ini kami sudah berusaha untuk mencari ikan yu.Ikan yu adalah sejenis ikan yang paling sesuai dibuat `siager' sejenis masakan tradisi sukubangsa Iranun yang dibuat dengan mencampurkan `palapa'- kelapa parut, kunyit dan ikan yu yang ditumbuk, lada secukup rasa dan sebagainya.

Masakan tradisi ini biasanya amat popular di kalangan masyarakat yang menetap di pesisir pantai. Di kalangan masyarakat Bajau Semporna atau Suluk, ianya disebut siagol manakala di kalangan masyarakat Bajausama, masakan ini disebut pancak yu.

Tetapi bukan itu yang menarik perhatian saya pagi itu.Saya melihat di tengah-tengah keramaian itu, ketika jual beli ikan berlaku, orang-orang dari pelbagai suku bangsa berada di pasar borong itu untuk memborong ikan-ikan yang baru dikeluarkan dari bot nelayan.

Tauke atau pemilik kapal itu kebanyakannya terdiri dari orang Cina. Pekerja-pekerjanya terdiri daripada orang-orang yang rasanya berasal dari filipina. Namun yang menarik ialah turut kelihatan juga orang-orang dari Peshawar memborong ikan.

Di pasar borong itu, saya belajar tentang persaingan, kompetitif, peluang perniagaan, juga rasa malu menjadi orang bumiputera.

Apa istimewanya orang-orang dari Peshawar itu memborong ikan? Hampir tak ada kecuali bahawa mereka memiliki semangat untuk berniaga, merebut peluang berniaga ikan, satu peluang yang sepatutnya diambil oleh orang bumiputera.

Begitu juga saya sempat memerhati pemborong dan pembeli ikan dari pelbagai strata masyarakat itu. Saya melihat peniaga-peniaga restoran, lelaki dan wanita, malah ada juga kelihatan ibu yang sarat mengandung turut membeli ikan seawal pagi itu.

Beberapa buah bot merapat ke tepian, dan berpuluh-puluh tan ikan, pelbagai jenisnya dipunggah dari perut bot nelayan untuk dipasarkan. Sungguhpun waktu masih terlalu pagi, tapi pasar itu tidak pernah sepi dari gelagat penjual dan pembeli.

Satu kilo ikan yu berharga kira-kira RM3.00 sekilogram dari atas bot. Selepas dibeli oleh peraih di jeti itu, harganya meningkat RM5.00. Kemudian peraih membawanya ke pasar ikan dengan menjualnya dengan harga RM7.00. Jika ikan yu itu dipasarkan ke luar daerah Kota Kinabalu, harganya sudah meningkat RM10.00.

Itu kalau mengambil contoh ikan yu. Sekadar menggambarkan bagaimana proses jual beli itu berlaku dan dalam masa yang singkat, orang tengah mencipta untung.

Walaupun kami datang seawal jam 3.00 pagi, tetapi kami telah didahului oleh peraih ikan. Kalau kami datang lebih awal, mungkin kami akan dapat membeli ikan itu pada harga RM3.00 tetapi kerana hanya terlambat beberapa minit, harga ikan itu telah meningkat kepada RM5, dan sebentar kemudian apabila ia sampai ke pasar ikan, harganya meningkat lagi dengan cepat.

Di jeti tempat memunggah ikan di Safma itu, saya dapat memerhatikan bagaimana roda ekonomi kita bergerak. Betapa sumber laut kita masih kaya. Bidang perikanan menyumbang kepada ekonomi negara. Ketika melihat ikan ikan pelbagai jenisnya itu, saya terfikir betapa maha kayanya Allah SWT kerana sudah berpuluh puluh tahun ikan ikan ditangkap para nelayan tetapi tidak pernah habis habis.

Apa yang tak pernah habis juga ialah keserakahan dan ketamakan manusia dalam memanfaatkan sumber alam yang ada sehingga sanggup memusnahkan alam sekitar untuk kepentingan diri. Menggunakan bom ikan, merosakkan sisyem ekologi laut dengan penggunaan pukat yang tidak sesuai dan sebagainya.

Pengalaman berada di jeti safma itu, walaupun singkat memberikan banyak pengajaran dalam kehidupan.

No comments: