Friday, September 23, 2011

Seorang ibu mampu menjaga sepuluh anak

Seorang ibu boleh memelihara sepuluh orang anak tapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Ketika pertama kali mendengar kata-kata ini, sewaktu masih remaja dahulu, terus terang saya agak tidak bersetuju.

Mana mungkin! Apa mungkin? Bagaimana mungkin begitu? Sepuluh anak tidak boleh menjaga seorang ibu sedangkan seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak.

Kebetulan di kampung kami banyak keluarga yang mempunyai ramai anak. Jika semua anak itu, bila besar dan bekerja memberikan RM100 untuk ibubapa mereka setiap bulan, bererti orang yang mempunyai lima anak boleh menerima RM500 sebulan.

Itu perkiraan yang mudah dan sederhana. Maka sudah tentu, keluarga yang mempunyai ramai anak akan merasa sangat beruntung.

Tetapi pada masa dulu, kehidupan kebanyakan keluarga di kampung kami hidup dalam keadaan miskin dan agak daif. Kalau bukan petani, pekerjaan utama penduduk kampung kami adalah nelayan.Tidak seperti sekarang, pada waktu itu, orang bertani hanya untuk memenuhi keperluan sara diri.

Bagaimanapun, hubungan antara anggota keluarga, antara ibu bapa dan anak, antara adik beradik, antara saudara sepupu, makcik pakcik dan sebagainya amatlah erat dan kukuh.

Kadang-kadang, bila ada waktu, ibu selalu bercerita, dengan caranya sendiri mengenai bagaimana seharusnya sebuah keluarga itu didirikan. Asasnya tentulah saling bantu membantu, saling kasih mengasihi, saling hormat menghormati,saling maaf memaafi, saling faham memahami, toleransi dan sebagainya.

Beliau juga sering berpesan betapa restu ibu amatlah penting dalam menentukan mulia tidaknya kehidupan.Kehidupan yang diredhai, mestilah yang paling penting ialah mendapatkan restu ibu.

Kita tidak boleh menyakiti hati ibu.Menggores hati mereka adalah hal-hal yang sepatutnya dijauhi. Hati seorang ibu tidak boleh disakiti. Ibu sering berpesan agar anak-anak sentiasa menghormati orang tua mereka.

Syurga berada di bawah telapak kaki ibu, katanya selalu mengingatkan kami. Seorang ibu, sejak dari waktu mengandungkan anak, sudah menanggung bebanan derita dan sengsara.Kemudian dia akan memelihara anaknya sehingga anaknya atau anak-anaknya yang membesar.

Seorang ibu boleh memelihara sepuluh orang anak tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Itulah hakikatnya.Hakikat yang pahit.

Kita pernah terdengar betapa ada yang tidak mempedulikan orang tua mereka. Ada yang malah sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua. Ada yang menyerahkan penjagaan ibu bapa mereka kepada orang gaji dan jarang menjenguk ibu bapa.

Malah seorang rakan saya bercerita mengenai pengalamannya beberapa hari menjaga adiknya di hospital. Beliau melihat betapa ramai ibu atau bapa yang terlantar dan dijaga orang lain, yang bukan anak-anak mereka. Anak-anak mereka yang ramai itu agak sibuk, bekerja dan sebagainya.

Mungkin bukan salah mereka juga. Tetapi saya fikir nilai masyarakat kita berubah.Kalau dulu tak ada yang sampai hati membiarkan ibu bapa mereka tinggal atau menetap sendirian.

Meskipun tidak semua orang yang memiliki sifat-sifat yang yang kurang baik.Masih ramai di kalangan masyarakat kita yang penyayang dan prihatin terhadap orang tua mereka. Beruntunglah orang yang mempunyai anak yang ramai. Dan anak yang ramai itu pula, prihatin dan menjaga anak-anak mereka.

Seorang ibu mampu menjaga, memelihara dan membesarkan sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu. Betapa benar kata ibu , betapa pahit realiti menjadi ibu bapa sekarang.

2 comments:

musli oli said...

Ibu menjaga anak-anak dengan perasaan kasih sayang dan sanggup membuat pengorbanan. Ibu jarang sekali mengharapkan balasan dari anak-anaknya.....

Pena Alam said...

bila dewasa, kita semua sangat setuju dengan kenyataan ini kan abg Nad... sebab banyak anak2 skarang lupa daratan..