Saturday, October 1, 2011

catatan di Masjid Wadi Hussin Teluk Manak Narathiwat



Hanafi beria-ia membawa kami menyaksikan air terjun di pancur itu. Bukan selalu kalian datang, katanya. peluang itu tidak harus dilepaskan. Beliau bersama rakan-rakannya membonceng kami dengan motosikal untuk ke tempat air terjun, kira-kira lima minit dari tempat kami menginap.

Dan benar air terjun itu benar-benar cantik dan menakjubkan.Tujuh tingkat.Tempat itu selalu menjadi tempat tumpuan masyarakat di sekitar Narathiwat dan kawasan selatan siam. Pelancong jarang datang kerana daerah itu masih bergolak. Tetapi lokasi air terjun itu memang menarik.

Selepas mengambil gambar, kami dibawa menyaksikan kawasan istana raja, salah satu daripada tujuh raja di Pattani. Bagaimanapun, kami terpaksa meninggalkan keindahan itu kerana perlu ke Teluk Manak.

Di Teluk Manak, kami ke Masjid Wadi Hussin, sebuah masjid kayu tertua yang dibina tanpa menggunakan paku. Masjid itu berusia kira-kira 250 tahun. Kebanyakan penduduk di kampung itu adalah orang Islam yang saleh. Majoritinya adalah keturuna Arab Hadrami dari Yaman. Keluarga Al-Idrus. Nik Rakib memberitahu lebih 300 penduduk kampung itu kini menjadi warga Arab Saudi. Salah seorang daripadanya kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan di Arab Saudi.

Saya diminta oleh Nik Rakib untuk bercakap sedikit kepada jemaah Masjid selepas wakil dari Brunei. Selepas mengucapkan salam dan terima kasih atas jemputan yang diberikan, saya menceritakan tujuan kedatangan kami untuk melawat ke masjid tertua itu. Di samping itu, saya berkata, kami juga teringat mengenai peristiwa Tak Bai, pada 2004, dimana 26 orang khabarnya dikebumikan di kawasan masjid itu. Saya agak hairan bagaimana mangsa Tak Bai yang sepatutnya boleh sampai dalam masa satu atau dua jam ke Pattani, tetapi mengambil masa kira-kira lapan jam untuk sampai ke sana. Semua mangsa yang dilonggokkan dalam lori, meninggal dunia dalam kejadian itu. Setengahnya tak dapat lagi dikenali mayat mereka.

Saya juga menyatakan rasa terharu kerana berpeluang melawat kampung yang terkenal dan mempunyai kedudukan yang penting dalam sejarah pengembangan Islam di Pattani. Imam Ramli Ahmad mempelawa kami bermalam tetapi kami memberitahu banyak lagi tempat yang perlu kami kunjungi.

Alhamdulillah, selepas saja melawat masjid Wadi Hussin, van yang dipandu Hanafi terus meluncur ke Narathiwat.

Perut agak lapar juga. Kami menuju ke Nasir Seafood.Tom yamnya agak sedap, entah kerana memang sedap atau kerana kami yang kelaparan.


No comments: