Sunday, October 2, 2011

Catatan di Taman Negara Pancor Narathiwat, Thailand

Terus terang inilah pengalaman saya yang pertama membentang kertas kerja hampir jam 1.00 pagi. Tempatnya di Pancor National Park, Bachok Narathiwat. Ceritanya ialah kami terlambat sampai.Ketika kami tiba jam sudah menujukkan jam 9.30 malam. Peserta seminar telah menunggu di kerusi yang disediakan, khabarnya sejak jam 8.00 malam.
Jadi selepas berehat lima minit, kami sudah dipersilakan duduk untuk berbicara dengan tema Puisi Perdamaian. Sesi dipengerusikan Nik Rakib Nik Hassan,Ketua Pusat Studi Nusantara PSU.Pembicara pertama ialah Pak Djamal Tukimin, Sasterawan Negara Singapura, pemenang anugerah Tun Seri Lanang ke-7. Kemudian diikuti oleh Dato' Paduka Utama Dr.Haji Abdul Hamid Haji Tamat dan saya memilih untuk menjadi pembicara ketiga.
Ist International Seminar  on Malay Studies 2011 itu dianjurkan bersama oleh Pusat Studi Nusantara, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan PSU, Majlis Daerah Bachok Narathiwat dan sebuah stesen TV Thai PBS. Inilah pertama kali seminar itu diadakan di luar kampus, dan diadakan di beberapa lokasi di Taman Negara Pancor, Majlis Daerah Bachok dan PSU Kampus Pattani.

Kami dihujani pelbagai pertanyaan dalam program pertama seminar itu. Saya melihat jam sudah menunjukkan hampir jam 1.00 pagi, dan peserta masih bersemangat meneruskan majlis. Akhirnya dengan berat hati Nik Rakib menangguhkan majlis setelah mempertimbangkan kami keletihan dalam perjalanan.
Jam menunjukkan angka 1.00 pagi. Rupanya di sana waktu baru jam 12.00 tengah malam, lambat sejam berbanding waktu negara kita.

No comments: