Saturday, October 1, 2011

Catatan perjalanan dari Narathiwat-Yala-Pattani-Hat Yai




Jam 7.00 pagi waktu Thailand atau jam 8.00 pagi waktu Malaysia, kami berangkat menuju Yala. Di tengah perjalanan yang panjang itu, kami melalui beberapa pos pemeriksaan tentera. Kelihatan juga kubu daripada guni pasir dan tentera berseragam hijau berkawal di setiap satu batu perjalanan. Sebenarnya melihat situasi sebegitu, cukup membuat hati cemas. Sejak memasuki wilayah selatan yang bergolak itu, dari Sungai Golok, Bachok, Narathiwat, Yala, suasana penuh pertentangan, saling curiga, dendam, kebencian dan tekanan bercampur baur dalam udara yang kami hirup sepanjang kembara itu.

Tetapi  ketika kami singgah minum di Kota Baru, Yala, perasaan menjadi agak lega sedikit. Saya agak teruja melihat masyarakat Melayu yang masih kental kemelayuannya. Walaupun terdapat tulisan siam, terdapat juga bahasa Melayu ditulis dalam aksara jawi.

Meskipun selatan Thai masih dalam sengketa,saya dapat membaca huruf huruf kedamaian di pekan itu. Tidak lama kemudian, kira-kira jam 9.00 pagi,kami meneruskan perjalanan ke Bandar Yala. Majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Melayu Islam.Bandar Yala dikatakan antara Bandar paling bersih di Thailand. Saya kagum dan gembira melihat papan tanda kedai ditulis dalam abjad jawi bersama tulisan siam.Betapa di kota ini, masyarakatnya masih mempertahankan tulisan jawi.

Nik Rakib membawa kami berkunjung ke Yala Rajabhat University, sebuah institut pengajian tinggi yang melatih mahasiswanya dalam bidang pendidikan. Di sana kami bertemu dengan salah seorang pensyarahnya, Kumajdi Yamirudeng, lulusan ekonomi dan pernah kuliah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Ketika itu, beliau baru balik dari Bangkok. Kumajdi sebenarnya masih keturunan tengku  Beliau beria-ia mengajak kami minum tetap kami terpaksa menolak pelawaannya kerana  masih banyak tempat yang perlu kami kunjungi sementara masa yang ada agak terhad.

Dari sana kami menuju Yarang untuk melihat tapak bersejarah Kerajaan Langkasuka, salah satu kerajaan Melayu tertua sebelum kedatangan Islam.Ia terletak kira-kira 15 kilometer dari Pattani di Lebuhraya No.410-Pattani-Yala. Kami sempat melawat Ban Wat, Ban Ja Lae dan Ban Pra Wae, dan melihat tinggalan candi-candi di tempat itu.

Kak Maimunah dari Singapura agak kesal kerana hampir semua papantanda dan penerangan tertulis dalam bahasa Siam dan untuk lebih baik lagi, ia perlu ditulis dalam bahasa antarabangsa.

Selepas itu kami terus bergegas ke Prince of Songkla University (PSU) Kampus Pattani. Sesampainya di sana kami sudahpun ditunggu oleh mahasiswa-mahasiswa PSU. Kami dijadual untuk bercakap kepada mahasiswa sebagai salah satu pengisian program seminar antarabangsa itu.Namun dalam sesi tanya jawab kemudiannya, saya ditanya mengenai perasaan saya , apakah kami tidak takut untuk berkunjung ke Pattani di sebalik hingar bingar letupan bom. Pelajar juga menanyakan mengenai Asean Community 2015, apa kesannya terdapat selatan Thai dan sebagainya.

Pak Djamal Tukimin dari Singapura dan Prof Dr.Zulhasril Nasri dari Universiti Indonesia bercakap pada sesi pertama pembentangan manakala  Dato’ Paduka Seri Utama (Dr) Awang Haji Abdul Hamid Haji Tamat (dari Negara Brunei Darussalam) dan saya sendiri mengambil bahagian dalam sesi kedua.Kedua-dua sesi dipengerusikan oleh Zawawi P.Amin, pensyarah dari PSU.

Hadirin pada majlis itu kebanyakannya mahasiswi, satu fenomena dalam IPT sekarang dimana lebih ramai pelajar perempuan daripada lelaki. Terdapat hanya beberapa mahasiswa, tak sampai sepuluh orang saya kira. Salah seorang pelajar PSU berasal dari Malaysia.Ayahnya orang Kemaman Terengganu manakala ibunya orang Patani.

Respon terhadap ceramah yang kami adakan sangat menggalakkan. Kami berada di sana kira-kira dua jam. Selepas makan di kantin PSU, kami bergerak lagi dan singgah di satu masjid bernama Masjid Kru Se, salah satu masjid tertua di Wilayah Pattani (Sheikh Gombok Minangkabau) tetapi kami tidak dapat turun kerana hujan lebat.

Dari Pattani ke Donyap, kereta bergerak lebih laju. Tak ada lagi sekatan jalanraya oleh pihak polis mahupun tentera. Telefon sudah menerima isyarat roaming. Ketika berada di tiga wilayah,Narathiwat, Yala dan Pattani, telefon  tidak boleh roaming. Untuk membuat panggilan terpaksa menggunakan telefon rakan dari Thailand.Telefon lain tak boleh digunakan.

Saya terlelap beberapa kali dalam perjalanan panjang itu. Jalanraya ke Hat Yai Songkla agak baik. Masih kelihatan penduduk yang majoritinya keturunan Melayu. Sepanjang perjalanan itu kami dihiburkan dengan kaset vcd penyanyi dari Minang. Dan agak mengejutkan juga ialah entah dari mana Nik membelinya, kami dihiburkan juga dengan lagu-lagu Abu Bakar Ellah dengan vcd  Orang Kita sepanjang perjalanan ke berkeliling selatan Thai itu.

Prof Dr.Zulhasril sempat bertanya mengenai rambut Ampal, dan saya menjelaskan serba sedikit mengenai penyanyi keturunan Sungai dari Kinabatangan itu.

Setibanya di Hat Yai, Nik Rakib sempat membawa kami berkeliling di Prince of Songkla University Kampus Hat Yai. Kami sempat melihat kawasan Fakulti Kedoktoran, Fakulti Kejuruteraan dan sebagainya.

Hari sudah malam. Jam 7.00 waktu Thailand, kami sampai di Presiden Hotel, Hat Yai.

No comments: