Sunday, October 2, 2011

di sebalik pembentangan makalah di Bachok Narathiwat

Konsentrasi saya sebenarnya agak terganggu sejurus sebelum membentangkan kertas kerja di Dewan Jubili Majlis Daerah Bachok Narathiwat pada petang 25 September itu. Penyebabnya ialah tiba-tiba saya risau kalau-kalau handphone saya tercicir. Saya meraba kocek seluar tetapi tidak ada.Ketika itu sesi kedua. Sasterawan Negara Singapura, Pak Djamal Tukimin sedang berbicara mengenai Melayu Singapura manakala Fauziyah Nurdin  diminta bercakap mengenai pengalamannya sebagai ahli persatuan wanita di Tawau Sabah.
Tajuk yang diberikan kepada saya selain bercakap mengenai sukubangsa Iranun di Sabah ialah  mengenai pengalaman dan pengamatan saya terhadap perjuangan bangsamoro,masalah dan cabaran yang mereka hadapi dalam usaha mereka merangkul kedamaian berkekalan di Mindanao.
Bagaimanapun saya rasa saya telah cuba sedaya upaya  menyampaikan informasi sesuai dengan pengalaman saya sebagai wartawan yang pernah berkunjung ke Cotabato.

Sebaik selesai majlis pembentangan kertas kerja, saya dikerumuni oleh masyarakat yang berada dalam dewan.Ada di antaranya mengajak bergambar kenangan. Mereka mengatakan saya patut datang sekali lagi. Majlis pembentangan kertas kerja di Dewan Jubilee daerah Bachok Narathiwat itu adalah salah satu acara dalam Ist International Seminar on Malay Studies 2011.
 
Saya sempat berkenalan dengan ADUN Bachok, Pakrurozee, Salleh yang  Timbalan Speaker Wilayah Narathiwat yang peramah dan mesra itu.

Betapa eratnya pelukan rasa persaudaraan dari mereka. Tetapi fikiran saya tertuju kepada telefon saya yang mungkin tercicir. Telefon mungkin boleh dibeli tetapi nombor-nombor dalam telefon sukar diperolehi lagi. Mujurlah saya dapat juga membentangkan kertas kerja di depan lebih 200 pemimpin masyarakat dan peserta seminar di Bachok itu.Saya tidak sempat bertanya apakah penduduk bachok di kelantan berasal dari bachok narathiwat atau penduduk bachok marathiwat berasal dari kelantan atau nama dua tempat itu hanya kebetulan.
 

Nasib baik sesampainya di resort tempat penginapan, telefon saya ampai-ampai di atas katil.

No comments: