Ahad, 30 Oktober 2011

Naomi lonjakkan imej Pandu Puteri Sabah

Tags

NAOMI LONJAKKAN IMEJ PANDU PUTERI

SEJAK terpilih sebagai Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Sabah, Datuk Naomi Chong Set Mui telah berjaya meningkatkan imej dan citra PPPM. Di bawah kepimpinanannya, Pandu Puteri berjaya mengadakan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan selari dengan tujuan dan matlamat penubuhan PPPM. Paling ketara, beliau telah berjaya merubah wajah Bangunan Pandu Puteri daripada sebuah bangunan yang lusuh kepada sebuah bangunan yang membanggakan ahli-ahli Pandu Puteri. Semua ini adalah hasil daripada kegigihan dan kesungguhan serta jaringan kerja sehingga berjaya mengumpul dana dan tajaan untuk membaik pulih dan menambahbaik bangunan itu termasuk membaikpulih asrama, bilik penginapan, dewan aras lobi, bilik gerakan utama , ruang pejabat dan sebagainya

Kejayaan Naomi memimpin PPPM Sabah menarik perhatian bukan saja di peringkat negeri malah di peringkat nasional. Tahun lepas beliau dianugerahkan Tokoh Wanita Sabah 2010.

Datuk Naomi Chong Set Mui dilahirkan di Kudat pada 11 Disember 1953. Beliau merupakan anak ke-12 dari 13 adik beradik. Naomi mendapat pendidikan awal di St James Primary School Kudat pada tahun 1964 dan meneruskan pendidikan menengahnya di SMK Kudat pada 1967 dan SM Lok Yuk pada 1969. Selepas lulus peperiksaan Senior Cambridge `O' Level, Naomi melanjutkan pelajaran di Goon Institute dan memprolehi Diploma Sains Kesetiausahaan.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Negara dari tahun 2003-2006, Ketua Wanita LDP dari tahun 1989-2009. Naomi merupakan Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah sejak 2007, Ahli Jawatankuasa Kota Kinabalu Charitable Foundation sejak 1997, Rotary Ann of Rotary Club Likas bay sejak 1989 dan Persatuan Hokkien Sabah sejak 1990. Selain itu, belaiu telah menerima anugerah bintang kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) 1997, Bintang Kinabalu (BK) 1982, Bintang Setia Kinabalu (BSK) 1994, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) 2001 dan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) 2009. Di Peringkat Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Naomi pernah dianugerah Bintang kehormatan daripada DYMM Raja Permaisuri Agong pada tahun 2001.

Datuk Naomi mendirikan rumahtangga dengan seorang peguam, datuk Lee Chuen Wan, dan dikurniakan tiga anak Sherman Lee See Wen, yang melibatkan diri dalam perniagaan, di Australia, Sherlene Lee Jing Wen, seorang peguam dan Sherwynna Lee Whey Wen, kini masih menuntut di Australia.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Datuk Naomi Chong Set Mui, Presiden Pandu Puteri Malaysia Cawangan sabah yang juga Tokoh Wanita Sabah 2010 mengenai zaman persekolahannya, Persatuan Pandu Puteri, pandangannya terhadap golongan wanita dan sebagainya.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kami ucapkan kepada Datuk kerana sudi memberikan kesempatan kepada kami untuk menemuramah Datuk pada petang ini.

DATUK NAOMI CHONG: Terima Kasih. Saya juga mengucapkan terima kasih ke atas peluang yang diberikan oleh Utusan Borneo.

UB: Dimana Datuk bersekolah dahulu?

DNC: Saya bersekolah rendah di St James Kudat. Saya melanjutkan pelajaran di SMK Kudat.Selepas lulus peperiksaan Senior Cambridge 'O' Level, saya mengikuti diploma di Goon Institute Kuala Lumpur dan lulus pada tahun 1975. Selepas itu saya balik dan bekerja di Kota Kinabalu.

UB: Sejak bila Datuk aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia?

DNC: Saya mula aktif dalam Pandu Puteri ketika masih di bangku sekolah di Kudat. Ketika itu saua berusia kira-kira 10 tahun.Pada mulanya saya tertarik dengan uniform yang mereka pakai. Entah kenapa ketika itu saya minat pada uniform mereka. Saya rasa mereka menarik.Oleh sebab itu saya pun memasuki brownies atau Pandu Puteri Tunas. Saya rajin mengikuti pelbagai aktiviti. Aktiviti seperti seperti perjumpaan,menyanyi, syarahan, perkhemahan dan sebagainya. Saya banyak belajar dan mendapat banyak pelajaran dan manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang diadakan ini. Saya rasa gembira. Itulah mulanya saya minat dalam Pandu Puteri.

UB: Mungkin ramai yang belum tahu mengenai Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM). Apa matlamat penubuhan PPPM Datuk?

DNC: PPPM mempunyai tujuan mendidik, melatih dan mengembangkan potensi semua ahli persatuan ini menjadi warga negara yang peka, berwibawa, berketrampilan dan berdisiplin. Harapan PPPM adalah untuk menghasilkan insan yang taat setia, berguna, cekap dan amanah, bertimbang rasa, mempunyai inisiatif, berdaya kreatif dan selalu bersedia memberi khidmat dan membantu orang lain.

Oleh itu, untuk mencapai tujuan murni tersebut, pendidikan dan latihan melalui program Pandu Puteri mengutamakan sistem berkumpulan (patrol system) yang menjadi ciri utama dalam pergerakan Pandu Puteri seluruh dunia.

UB: Apa misi PPPM?

DNC: Misi kita ialah PPPM mempunyai komitmen melahirkan golongan wanita, remaja dan dewasa yang berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai Pandu Puteri demi kepentingan nusa, bangsa dan antarabangsa. Manakala visi PPPM ialah menjadi sebuah organisasi yang dinamik dan efektif untuk wanita, remaja dan dewasa.

UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai objektif PPPM?

DNC: Objektif am PPPM ialah untuk membantu mendidik dan melatih wanita remaja dan dewasa supaya bersifat taat setia, berdikari, berdisiplin, sedia memberi khidmat, berinisiatif dan berdaya kreatif.Harapan PPPM adalah untuk menghasilkan warga negara yang peka, berguna, bersih, cekap, amanah dan bertimbangrasa terhadap orang lain.

UB: Apa komitmen PPPM?

DNC: PPPM mempunyai komitmen melahirkan golongan remaja wanita dan wanita dewasa yang berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai Pandu Puteri demi kepentingan nusa, bangsa dan masyarakat sejagat.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertujuan menjadi sebuah organisasi yang dinamik dan efektif untuk remaja dan wanita dewasa.Persatuan Pandu puteri Malaysia akan menonjolkan imej yang selari dengan program berkualiti yang menyediakan remaja dan wanita dewasa hari ini untuk menjadi pemimpin berwibawa hari esok.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia menyediakan program Pandu Puteri yang bercorak pendidikan bukan formal. Pelaksanaan program bukan formal ini mementingkan perkaedahan yang fleksibel, ceria dan aktif untuk memenuhi kehendak dan keperluan remaja wanita dan wanita dewasa Malaysia

UB: Boleh Datuk jelaskan sedikit apa yang matlamat Pendidikan Bukan Formal PPPM?

DNC: Matlamat Pendidikan Bukan Formal yang berkualiti ialah "Jerih, Rapi, Kaitan dan Hubungan". Persatuan Pandu Puteri Malaysia mempunyai matlamat untuk memantapkan tahap kejerihan dan kerapian dalam program dan aktiviti, menjadikan program dan aktiviti Pandu Puteri relevan kepada kehidupan seharian ahli Pandu Puteri dan boleh digunakan untuk manfaatnya pada masa hadapan, serta memupuk perhubungan baik antara Pandu Puteri, dewasa dan remaja.

UB: Barangkali ada manfaatnya jika Datuk dapat jelaskan mengenai tujuan progam Pandu Puteri?

DNC: Program Pandu Puteri yang digubal untuk ahli adalah berdasarkan Undang-Undang Pandu Puteri yang bertujuan supaya seseorang ahli, pertama,boleh dipercayai,kedua; sentiasa taat dan setia,ketiga; suka menolong orang lain, keempat;bersabar dengan semua orang dan Pandu Puteri yang lain, kelima;Sentiasa bersopan santun, keenam;sentiasa melindungi haiwan dan memelihara alam sekitar, ketujuh;sentiasa menurut perintah,kelapan; sentiasa berjimat cermat dan akhir seklai suci dalam fikiran, perkataan dan perbuatan.

Asas program Pandu Puteri terdiri daripada empat komponen iaitu perkembangan diri, sahsiah dan intelek; minat dan hobi; gaya hidup sihat; dan khidmat. Program Pandu Puteri juga menekankan empat elemen utama iaitu perkembangan jasmani, emosi, kerohanian dan kognitif.

Program Pandu Puteri juga memenuhi minat dan kebolehan semua peringkat ahli melalui sistem latihan dan Skim Lencana Kecekapan. seseorang ahli muda digalakkan berusaha supaya berjaya menjadi seorang Pandu Puteri Raja manakala Pemimpin digalakkan untuk mendapat Mutiara Pemimpin.

UB: Agaknya berapa ahli PPPM Malaysia?

DNC: Persatuan Pandu Puteri Malaysia mempunyai 85,000 orang ahli dan sukarelawan di seluruh Malaysia. Di peringkat kebangsaan, Persatuan Pandu Puteri Malaysia merupakan ahli gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Di Peringkat antarabangsa pula, PPPM adalah ahli penih Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri sedunia (World Association of Girl Guides and Girl Scouts- WAGGGS)

UB: Oh ya. berbalik kepada Datuk semulaBagaimana Datuk minat bidang kesukarelaan?

DNC: Memang sejak kecil menjadi tabiat saya. saya suka bantu orang. Saya percaya seseorang mesti ada sikap keprihatinan, tolong menolong, bantu membantu dan sebagainya. Sebab itu, Pandu Puteri juga ikut turun padang, banyak ke kampung-kampung dan melawat tempat orang-orang perlukan perhatian, miskin. Masih banyak lagi rakyat yang perlukan perhatian dan sebagainya.

UB: Siapa di sebalik kejayaan Datuk dalam memimpin persatuan ini?

DNC: Sebenarnya saya amat berterima kasih kepada suami saya yang telah memberikan keyakinan, sokongan, galakan dan dorongan kepada saya. Beliau sangat banyak membantu saya dalam sama ada dalam bidang kemasyarakatan dan apa saja bidang yang ceburi termasuk bidang politik. Saya juga aktif dalam bidang politik. Saya teringat, kejayaan seseorang lelaki adalah kerana di belakangnya ada isterinya yang setia.Begitu juga kejayaan seorang wanita, kerana di belakangnya ada seorang suami.

UB: Tentu ada tokoh-tokoh yang menjadi idola Datuk. Siapa agaknya ya?

DNC: Saya meminati Margaret Thatcher, bekas Perdana Menteri British dan Tan Sri Rafidah Aziz.

UB: Kalau tidak silap saya, Datuk banyak memerhati keadaan wanita di luar negara. Apa komen Datuk?

DNC: Ketika menjadi Ahli Dewan Negara, saya pernah melawat Bangkok, Kemboja, New Zealand dan sebagainya. Sewaktu disana, kita banyak bertukar pendapat dan idea bagaimana untuk memajukan kaum wanita. Saya melihat kaum wanita di negara kita boleh bersaing dan memiliki potensi untuk maju

UB: Bagaimana Datuk melihat pencapaian Pandu Puteri sekarang

DNC: Pandu Puteri bertambah hebat, bertambah aktif. Datin Rosmah juga menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap Pandu puteri. Kami Semua bergerak turun padang

UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa?

DNC: Bagi saya, terpulang pada kita bagaimana membahagi dan membuat perancangan masa dengan baik. Semua orang mempunyai masa 24 jam sehari. Kalau orang berkata, dia tiada masa, saya fikir itu satu alasan saja. Saya gembira kerana dapat mengurus masa dengan baik, antara keluarga, kerjaya dan kegiatan sukarela.

Di rumah, saya tidak mempunyai amah. Semua saya lakukan sendiri. Semua anak saya tahu memasak.Tapi saya berterima kasih kerana mendapat seorang suami yang prihatin dan memahami, dan banyak membantu saya. Tanpa sokongan suami, mungkin saya tidak begitu berjaya.

Selain itu, anak-anak saya boleh membuat kerja-kerja rumah. Boleh memasak dan membasuh kain sendiri. Semua mereka kini telahpun berjaya dalam kerjaya masing-masing.

UB: Terima kasih Datuk kerana sudi meluangkan masa dengan kami.

DNC: Terima kasih kembali