Saturday, October 15, 2011

Percakapan bersama Pak Djamal (Djamal Tukimin)


PERTEMUAN seperti itu jarang berlaku. Saya sendiri tidak menyangka dapat bertemu dengan Sasterawan Negara Singapura, Djamal Tukimin atau lebih mesra dipanggil Pak Djamal di Narathiwat, Thailand, kira-kira 1,140 km dari selatan Bangkok tetapi hanya dipisahkan oleh Sungai Golok dari Tanah Melayu. Saya merasa bertuah kerana dapat mengikuti Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Melayu Kali Pertama 2011 pada 25 dan 26 September lepas di Bachok Narathiwat dan tanpa diduga, Pak Djamal, juga ikut serta menjadi pemakalah dalam seminar itu.

Barangkali bagi peminat sastera di negeri ini, nama Djamal Tukimin kurang dikenali. Tetapi Pak Djamal bukan saja mencatat nama di negaranya, Singapura, sehingga dianugerahkan Anugerah Sasterawan Tun Seri Lanang ke-7, iaitu setaraf dengan Anugerah Sasterawan Negara (ASN) malah nama beliau terkenal di seluruh Nusantara. Kini beliau dilantik sebagai felo di Akademi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Beliau dilahirkan di Geylang Serai pada 20 Oktober 1946. Penglibatan awalnya dalam bidang sastera bermula apabila memenangi hadiah menulis cerpen dalam satu peraduan pada tahun 1963. Bersama rakan-rakan seniman dan sasterawan muda, beliau juga menubuhkan Grup Gelorasa, yang ditubuhkan untuk mengisi kegiatan sastera ketika pemisahan Singapura pada 1965.

Pak Djamal dikenali sebagai penyair, novelis, cerpenis, pengkritik sastera malah juga juga terkenal sebagai tokoh teater.Karya-karya Pak Djamal pernah dimuatkan dalam Gema Membelah Gema II (KL,1972), Puncak Sembilan (Singapura,1975) , Penyair-penyair Singapura Muda Di Tengah Forum Masyarakat (Singapura,1977), Puisi-puisi Nusantara (Kl, 1981), The Poetry of Singapore (Singapura, 1985) , Tiga Warna Bertemu (KL, 1987) , Dinamika Budaya (Singapura, 1991), Resan dan Kesan Kumpulan Makalah Sempena Bulan Bahasa (Singapura, 1992), Rhythm (Singapura, 2000) , Embun Tajjali (Yogyakarta, 2000) , Citra Minda (Singapura, 2003) dan Legasi – Antologi Puisi Nusantara (Shah Alam, 2006).

Beliau juga menghasilkan tiga kumpulan puisi perseorangan iaitu Puisi-puisi Muhajjir (Singapura, 1977) , Betapa Pun Begitu Nyanyian Rindunya Si Anak Geylang Serai (Singapura, 1999) dan Betapa Pun Begitu Pada hari Berkah Ini Cinta Masih Tersisa (Singapura, 2003). Sumbangannya dalam bidang teater pula terakam dalam buku teaternya yang pertama iaitu Arus Teater Singapura

Selain itu, beliau juga menghasilkan Kumpulan Esei sastera 1971-2005 bertajuk Sejarah Tidak Pernah Luka Kita Yang Berduka Beliau juga menghasilkan novel bertajuk Imam (sebuah novel salafi) dan naskhah teater satira " Seekor Kerbau Hitam Legam Dalam Mimpi Sang Pangeran Tomtom", Kumpulan Puisi Cinta Adalah makrifat ndan beberapa buah naskhah buku agama.Paling menarik ialah Kumpulan surat-surat `Kulayarkan Bahtera Derita Di Atas Gelombang Air Mata (Surat-surat Ketulusannya Zaihasra Kepada Djamal Tukimin).

Peluang bertemu dengan Pak Djamal, dan bercerita panjang dengan beliau, di satu pagi yang cerah, di Taman Negara Pancor, tidak wajar disia-siakan. Saya terus mengeluarkan pen dan buku catatan untuk mencatat butir-butir percakapan kami yang mungkin bermanfaat. Pak Djamal, mantan wartawan terkemuka di Singapura ini, adalah seorang yang peramah, dan membuat kita seolah-olah kenalan yang lama tidak berjumpa.

"The best is last minute," kata Pak Djamal. Beliau menceritakan proses penciptaan dan pengkaryaannya. Banyak artikel yang dibuatnya di saat akhir, yang tanpa diduga, terpilih memenangi anugerah terbaik.

Tugasan pertamanya sebagai wartawan ialah apabila diminta untuk menemuramah Usman Awang pada tahun 1971.Ketika itu, Usman (Sasterawan Negara) baru balik dari Manila selepas mementaskan teater Matinya Seorang Patriot

Namun Pak Djamal dikenali bukan saja sebagai wartawan atau sasterawan. Beliau juga merupakan tokoh dakwah dan pernah bergiat di World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dari tahun 1975-1980. Di Singapura, beliau merupakan salah seorang pemimpin Himpunan Belia Singapura.

"Walaupun wartawan, jiwa saya dekat dengan Abim," katanya. Sejak muda lagi beliau aktif dalam kegiatan dakwah.Melalui aktiviti dakwah inilah beliau mengenai tokoh-tokoh pendakwah seperti Imaduddin Abdul rahim, Sidik Kertapati, Ridwan Saidi, Anwar Ibrahim, KH Abdurrahman Wahid, Endang Saefudin Anshary dan aktivis-aktivis dakwah yang lain. Selain itu, beliau pernah menjadi Sekretari Jeneral Muhammadiyah Asean.

Pak Djamal kini sedang menyunting kembali buku-buku-buku mengenai pemikiran tokoh-tokoh budayawan yang berjasa di alam Melayu. Beliau sempat memperlihatkan kepada saya draf manuskrip mengenai tokoh-tokoh yang ditulisnya.

Kami duduk santai di luar tempat penginapan itu. Beliau sempat menyampaikan kerisauannya mengenai masyarakat Melayu, khususnya di Singapura mengenai gejala kehilangan bahasa. Makin ramai masyarakat Melayu di Singapura yang tidak bertutur dalam bahasa Melayu lagi di rumah mereka. Malah, pak Djamal menceritakan bahawa kesemua lima anaknya, yang bekerja sebagai jurutera penerbangan,pengurus hotel, jurutera perisian dan sebagainya, berkahwin dengan bangsa lain dan menggunakan bahasa Inggeris di rumah.

Namun disebaliknya, kata Pak Djamal, semangat beragama umat Islam di Singapura semakin tinggi. Masjid dan pengajian sentiasa penuh, khutbahnya disampaikan dalam bahasa Inggeris walaupun kebanyakan makmum tahu berbahasa Melayu

Beliau seorang yang selalu bersuara keras terutamanya berkaitan warisan dan kebudayaan Melayu di Singapura. Beliau sering mempertahankan warisan budaya Melayu. Namun bagi beliau, kebanyakan pemimpin Melayu di Singapura adalah kebanyakannya kalangan teknokrat atau pentadbir yang baik dan bukan pemikir yang baik, katanya

Selain itu, pak Djamal berkata, sastera boleh dikembangkan melalui melalui pelbagai pendekatanUntuk mengajar sastera dan budaya seperti pantun, beliau sering menekankan mengenai cinta, tetapi di kalangan orang dewasa beliau menekankan mengenai warisan.

Beliau juga sempat menceritakan mengenai episod putus kasih dengan seorang penyair di Melaka "Siang malam saya menangis.Saya betul-betul merana ketika itu ia berlaku kira-kira seminggu selepas Hari Sastera 1971. Beliau terpaksa meminjam motosikal Cikgu Othman Puteh (kini Allayharham) untuk ke rumah penyair itu yang terletak antara Pulau Sebang dan Sungai Buluh. Beliau masih ingat, Hizairi Othman baru beberapa hari dilahirkan ketika itu.

Ketika itu terdapat perbezaan pendapat. Sebagai aktivis dakwah, mereka mengidolakan Aishah, isteri Nabi dan berharap dapat dipertemukan dengan gadis seperti itu.

Percakapan kami pada hari itu sangat menarik dengan pelbagai tajuk yang beragam. Bagaimanapun, Pak Djamal menganggap sastera hanyalah sebagai alat untuk menyampaikan dakwah. Sastera hanyalah sebagai alat untuk menyeru masyarakat untuk berbuat baik, mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Beliau juga menyebut pesan Al-Quran dalam Al-Syu’ara ayat 224-227 yang berbicara tentang para penyair. Pak Djamal sangat terinsiprasi dengan ayat ini dalam membicarakan sastera.Selain itu, beliau juga menyebut menyebut pendapat Ahmad Sharkasi dalam bukunya Yas Alu naka yang menyebut bagaimana penyair berlari dari khayalan ke satu khalayan, dari satu imaginasi ke satu imaginasi.

Sastera bukan semata-mata khayalan dan imaginasi. Sastera adalah alat untuk menyampaikan kebaikan, kebenaran dan keadilan.


No comments: