Wednesday, October 12, 2011

Rakaman kenangan ketika di Bachok,Narathiwat

Hampir tak ada bezanya.Sama.Serupa.Kecuali kerana mereka menggunakan bahasa Yawi atau sebutan yang digunakan kerajaan untuk bahasa Melayu dialek Patani, dan kerana begitu pekatnya, kadang ada ungkapan mereka sukar dimengerti.Tetapi yang teliti mendengar, dialek yang mereka gunakan itu hampir sama dengan dialek Melayu Kelantan.Namun kenangan sewaktu berada di Daerah Bachok dalam wilayah Narathiwat sangat indah dan pengalaman berkunjung ke sana amatlah berharga.
Sebelum ke sana memang ada yang mengatakan adalah agak berbahaya melawat Narathiwat kerana masih bergolak.
Apatahlagi minggu sebelum itu ada letupan bom di pekan Sungai Kolok yang bersempadan dengan Malaysia.
Saya sendiri datang bersama isteri,Fauziyah. Tetapi firasat saya mengatakan bahawa tak ada masalah untuk ke sana. Orang baik, tidak diganggu, kata saya berjenaka dengan rakan-rakan.Hampir tak terfikir bahawa tujuh tahun sebelum itu, tepatnya 26 oktober 2004, terjadi peristiwa Tak Bai yang menyebabkan 84 orang mati. Dan menurut sumber pihak berkuasa Thailand, sepanjang tahun 2004 itu saja, lebih 700 tercedera atau terkorban akibat konflik di wilayah selatan.
Saya menganggap undangan ke selatan Thai itu, oleh Pusat Studi Nusantara, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Prince of Songkla University, Kampus Pattani, adalah sesuatu yang tidak wajar dipersia-siakan.Tambahan pula, semua biaya perjalanan ditanggung pihak universiti.
Terima kasih kami ucapkan kepada Ketua Pusat Studi Nusantara PSU, Nik Rakib Nik Hassan, yang bersusahpayah menjemput kami ke sana, agar dapat merasai denyut nadi masyarakat Melayu di wilayah itu, sambil melawat tempat-tempat yang bersejarah. Budi baik beliau itu tidaklah dapat kami lupai sepanjang hayat kami.
Dalam salah satu kesempatan, isteri saya, fauziyah dan Kak Maimunah dari Singapura, sempat merakamkan gambar kenangan bersama pelajar Sekolah Agama ArRohmaniah, Daerah Bachok Narathiwat.





Isteri saya sempat menanyakan nama-nama mereka sekadar untuk tanda perkenalan.Pelajar-pelajar ini merupakan antara peserta yang menjayakan Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Melayu Kali Pertama 2011 yang diselenggarakan di selatan Thai. Antara pelajar itu ialah Rakiyah Basor, Nuraini wakyeng,Aminah mawingj,Ruslah Salaemae, Sitirohana cheklong, Asmah Neaha,Yura Malik, Asrah Che Lah,Chekkoteekoh chekmah,Surainee Ma'ro, Fadillatuliffah Raman.
Gambar-gambar ini, hendaknya menjadi tanda bahawa persaudaraan atau silaturrahim itu tidak mengenal batas negara.

No comments: