Saturday, October 15, 2011

Secalit kenangan di Narathiwat,selatan Thai

SEBAIK menerima jemputan Pusat Studi Nusantara, Prince of Songkla Universiti, untuk melawat Wilayah Narathiwat, Yala, Pattani di Selatan Thailand, saya terus menyatakan persetujuan. Tanpa berfikir panjang. Sebenarnya saya sudah lama mengidamkan untuk satu waktu kelak, dapat berkunjung dan melawat ke wilayah, yang majoriti penduduknya masyarakat Melayu itu. Wilayah yang bergolak, dimana aspirasi, cita-cita, impian dan harapan, tumbuh bersama perjuangan untuk kesetaraan, tetapi terhalang oleh kekuatan senjata atas nama kedaulatan.

Narathiwat yang bermakna "kediaman orang-orang budiman", adalah salah satu wilayah (changwat) di Selatan Thailand.Terletak di Teluk Thailand, Narathiwat yang dipisahkan oleh Sungai Golok dengan Kelantan di Semenanjung Malaysia. Terletak kira-kira 1,140 kilometer ke selatan Bangkok, Narathiwat bersama Yala adalah sebahagian daripada Kerajaan melayu Patani yang merdeka.

Sejarahnya panjang. Tetapi setelah kejatuhan Ayuthaya pada 1767, Patani menjadi sebuah negara yang merdeka. Namun dalam pemerintahan Raja Rama 1, akibat perjanjian yang dimeterai oleh British dan Kerajaan Siam dalam tahun 1909, Patani ditakluki dan wilayah Narathiwat dan Yala ditadbir secara berasingan.

Inilah yang banyak dikesalkan dan kemudian menuai sengketa yang berpanjangan. Masyarakat Melayu Patani terpisah sama ada dari sudut sejarah, bahasa dan bjudaya dengan majoriti penduduk Thailand. Walaupun mereka penduduk majoriti di Selatan Thai tetapi secara keseluruhannya, mereka adalah kalangan minoriti.

Narathiwat merupakan salah satu daripada empat wilayah yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam iaitu kira-kira 82 peratus. Selebihnya kira-kira 17.9 peratys adalah penganut agama Buddha. Sebanyak 80.4 peratus penduduknya bertutur dalam bahasa Yawi atau bahasa Melayu dialek Patani, yang hampir sama dengan dialek Melayu Kelantan. Kerajaan menyebutnya sebagai bahawa Yawi atau Jawi kerana ia merujuk kepada aksara yang digunakan untuk menulis bahasa Melayu di Selatan Thai.

Kami tiba di Selatan Thai melalui Sungai Golok pada 24 September lalu. Sebaik baik menyeberangi jambatan, kami melalui proses pemeriksaan Imigresen. Kami mendapati waktu berundur satu jam. Walaupun jam di tangan menunjukkan angka 7.00 malam tetapi di Narathiwat, jarum jam menunjukkan jam 6.00 petang.

Suasana hampir gelap dan kami terus dibawa ke Sungai Padi, dan melalui pos pemeriksaan tentera yang berjaga hampir setiap satu kilometer. Seminggu sebelum itu, memang ada kejadian letupan bom, di kawasan berhampiran kelab malam, tetapi di sepanjang jalan suasana kelihatan seperti biasa.

Saya segera teringat potret Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit yang sentiasa tersenyum, yang dipasang di pejabat Imigresen itu. Kecuali pos pemeriksaan yang dilalui, keadaan di Narathiwat hampir sama dengan kampung-kampung Melayu di Semenanjung.

Sebelum ke tempat penginapan di Taman Negara Pancor, kami dibawa singgah untuk menikmati makanan di Nasir Seafood yang kelihatan agak ramai pengunjungnya pada malam itu. Melihat keramaian itu, dan keramahan di wajah penduduknya, kami merasa seolah-olah berada di negeri sendiri. Barangkali yang berbeza adalah bahasanya, dialek Melayu patani yang pekat. Namun hampir semua wanita, gadis semuanya mengenakan tudung. Mereka adalah golongan yang taat beragama,kata Nik Rakib Nik Hassan sambil menyamakan keadaan itu dengan Aceh.

"Saya tak nampak orang yang tidak bertudung," kata isteri saya yang turut serta dalam kunjungan kali ini. Kanak-kanak juga mengenakan tudung, tambahnya. Hujan renyai baru saja turun ketika kami meninggalkan tempat itu.

Lambang Wilayah Narathiwat menunjukkan sebuah kapal yang memiliki layar dengan gambar seekor gajah putih.Menurut cerita, gajah putih merupakan simbol diraja Thailand bagi memperingati peristiwa gajah Phra Sri Nararat Rajakarini yang ditangkap di Narathiwat dan diserahkan kepada raja sebagai hadiah. Terdapat 13 buah kawasan pentadbiran (amphoe) yang dibahagikan kepada 77 daerah (tambon) dan 551 buah kampung (mubaan). Antaranya ialah Mueang Narathiwat, Tak Bai (Tabal), Bacho (Bachok), Yi-Ngo (Jeringga), Ra-ngae, Roeso (rusa), Si Sakhon, waeng, Sukhirin, Sungai Kolok,Sungai Padi, Chanaei dan Cho-airong.

Pada hari kedua kunjungan kami ke Narathiwat, kami telah dibawa untuk melihat bandar Narathiwat. Jalan-jalan raya luas, dan fasiliti dan kemudahan awam boleh dikatakan tersedia dengan baik. Kebanyakan penduduk di wilayah seluas 4,475 kilometer persegi itu terdiri daripada petani dan nelayan.

Bagaimanapun kehidupan penduduknya tidak sama dengan sebelum tahun 2004, kata Nik Rakib. Kini hubungan antara etnik tidak sama seperti dulu, katanya lagi.

Apa sebenarnya yang terjadi?. Tiba-tiba ingatan saya kembali kepada peristiwa 26 Oktober 2004, yang pernah saya lihat di kaca tv dan youtube. Seramai 84 orang meninggal dunia akibat sesak nafas selepas dimasukkan dalam trak polis, dengan tangan terikat untuk dihantar ke Patani. Bahkan, Menteri Pertahanan Thai ketika itu mengatakan seramai 700 orang tercedera atau terkorban akibat kekacauan yang berlaku sepanjang tahun itu.

Kebanyakan masyarakat Melayu di Selatan Thai tidak berpuas hati dengan beberapa dasar kerajaan pusat yang memperlakukan mereka dengan cara yang berbeza dari kaum etnik Thai. Ketidakpuasan hati masyarakat di wilayah itu, menyebabkan timbulnya gerakan pemisah yang bergiat sejak tahun 1980-an. Tapi sejarah penentangan mereka panjang sebagai akibat daripada dasar Rathaniyum 1939 oleh Phibul Songgram yang tidak membenarkan masyarakat Melayu menggunakan bahasa mereka, dan mereka dimestikan menggunakan bahasa Thai.

Sepanjang berada di wilayah itu, kami sempat dibawa melawat Muzium peribadi Nik Amin Nik Ahmad di Mukim Gading, Daerah Jeringga (Yi-Ngo). Atas usahanya sendiri, Nik Amin mengumpulkan khazanah budaya Melayu sejak zaman berzaman. Selepas itu, kami dibawa melawat Muzium Daerah Yi-Ngo yang menyimpan khazanah Raja Teluban.

Kami sempat juga menyaksikan bekas tapak istana Raja Sai yang terbiar dan tidak dipedulikan. Rekabentuk istana itu kelihatan cantik dengan ukiran yang menarik tetapi malangnya, tiada sebarang usaha dibuat untuk memuliharanya.

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke tapak Air Terjun Panchor yang terkenal dengan kecantikannya. Terletak di Taman Negara Bu-di Sungai Padi, Air Terjun pancor merupakan salah satu tarikan utama ke wilayah itu.

Pada sebelah malamnya, kami dibawa melawat masjid kayu tertua di Thailand yang terletak di Teluk Manak, Masjid Wadi Hussin yang berusia kira-kira 250 tahun dan didirikan pedagang Arab dari Hadramaut. Kampung itu terkenal kerana ia merupakan salah saru tempat pengembangan Islam yang terawal.

Pada asalnya, Narathiwat dengan nama Menara, yang kemudiannya ditukar kepada Bangnara. Pada tahun 1915, Raja Rama VI, telah mengubah nama wilayah itu kepada Narathiwat yang bermaksud "kediaman orang orang budiman".

Alangkah seronoknya berkunjung ke negeri orang-orang yang budiman itu, dengan penduduknya yang ramah tamah, dan kecantikan alam yang belum diteroka. Kunjungan ke Narathiwat meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.

No comments: