Friday, October 7, 2011

Secupak budi sepenuh hati

SECUPAK BUDI SEPENUH HATI, KEMPEN YANG MEMBERI ERTI

Temubual dengan CEO Beras Corporation Sdn.Bhd, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie

Matanya basah. Sedih kerana periuk sudah tidak berisi. Hanya sesenduk nasi yang tersisa. Dia agak terlambat pada hari itu. Tetapi dengan nasi yang tinggal sedikit itu, tidak mungkin mengenyangkan. Namun dikautnya juga ke dalam pinggan. Kita dapat merasainya betapa mengharukan peristiwa itu. Ketika melihat keadaan itu, rakan-rakannya yang lain, masing-masing memberikan sesudu nasi dari pinggan mereka, dan akhirnya dapatlah anak itu makan dengan gembira.

Sebenarnya bagi yang pernah menonton iklan tv itu, pasti tersentuh dengan babak itu yang disiarkan sempena kempen "Secupak Budi, Sepenuh Hati" Padiberas Nasional Bhd (BERNAS). Iklan itu disiarkan sejak kempen "Secupak Budi, Sepenuh Hati" dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Julai lepas. BERNAS akan membelanjakan RM12 juta setahun bagi kempen "Secupak Budi, Sepenuh Hati" untuk diberikan kepada anak-anak yatim di seluruh negara.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual Ketua Pegawai Eksekutif Beras Corporation Sdn.Bhd, Mohammed Kamaluddin Mohammed Effendie untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen berkenaan. Sebelum bertugas sebagai CEO Beras Corporation Sdn.Bhd di Kuching, Mohammed Kamaluddin pernah bertugas di Kota Kinabalu pada tahun 2000-2003 sebagai Ketua Pegawai Operasi Sazarice Sdn.Bhd. Dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 16 Mac 1965, Beliau mula berkhidmat dengan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada 1986 dan pernah bertugas di beberapa tempat di Sabah dan Sarawak.Menurut pengakuannya, beliau telah sampai ke segala ceruk negeri ini, melihat keindahan dan kehijauan alam, melihat matahari terbenam, mengunjungi pelbagai destinasi menarik tetapi yang paling penting, beliau juga sempat bermesra dan melawat sawah sawah padi, bertemu dengan petani dan turut merasai degup jantung dan sukaduka mereka dalam menjalani kehidupan sambil berbakti dengan tanah.

Ikuti temubual dengan Mohammed Kamaluddin mengenai kempen "Secupak Budi, Sepenuh Hati" di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri sambil didampingi pegawai-pegawai kanan Beras Corporation Sdn.Bhd.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan Utusan Borneo. Bolehkah tuan jelaskan mengenai kempen "Secupak Budi, Sepenuh Hati" yang dijalankan oleh BERNAS ini?

MOHAMMED KAMALUDDIN: Kempen "Secupak Budi, Sepenuh Hati" ini dilaksanakan oleh BERNAS di seluruh negara. Elok juga saya jelaskan bahawa Beras Corporation Sdn.Bhd adalah anak syarikat milik penuh BERNAS yang beroperasi di Sabah dan Sarawak sahaja. Kempen ini dilaksanakan oleh BERNAS dan di Sabah dan Sarawak, kempen ini dijalankan oleh Beras Corporation Sdn.Bhd (BCSB) bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan. Hasil kempen ini akan diberikan kepada anak-anak yatim di seluruh negara. Terdapat 150 rumah anak yatim di seluruh negara dan di Sabah, bantuan itu akan disalurkan kepada sembilan rumah anak yatim.

UB: Bagaimana kaedah kempen itu dijalankan?

MK: Bagi setiap sepuluh kilogram pek beras terpilih yang dibeli oleh rakyat Malaysia dimana-mana cawangan runcit di seluruh negara, Bernas akan mendermakan 25 gram beras untuk disedekahkan kepada anak-anaki yatim di rumah anak yatim. Kita menyasarkan 150 rumah anak yatim daripada pebagai bangsa dan ugama untuk mendapat manfaat daripada kempen itu.

Di Sabah, kita menyasarkan sebanyak sembilan rumah anak yatim. Pengguna boleh membeli beras terpilih yang berpelekat "Secupak Budi, Sepenuh Hati", yang diedarkan oleh Sabarise Sdn.Bhd dan Sazarise Sdn.Bhd. Kesemua jenama beras yang terpilih untuk kempen ini yang dijual di kedai-kedai akan ditandakan dengan pelekat "Beras untuk Kemanusiaan".Pembelian pek beras 10kg akan menjuruskan kepada pendermaan beras kepada anak-anak yatim bagi pihak pengguna. Melalui kempen ini, Bernas akan menyumbang 25 gram beras bagi pembelian setiap pek 10 kilogram dari mana-mana kedai di seluruh negara dan akan disalurkan kepada rumah-rumah anak yatim yang terpilih.

UB: Berapa lama agaknya kempen ini akan diadakan?

MK: Kempen Secupak Budi Sepenuh Hati ini kita rancang selama tiga atau empat tahun dan akan disemak semula selepas itu. Ia merupakan sebahagian daripada kempen CSR yang dijalankan oleh BERNAS.

UB: Bolehkah tuan ceritakan secara ringkas sejarah BCSB?

MK: BCSB adalah anak syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). BERNAS ditubuhkan pada Januari 1996, apabila Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan. BERNAS mengambil alih semua tanggungjawab komersil dan sosial yang sebelum ini dilakukan LPN. Kita juga menguruskan stok simpanan beras negara, mengurus skim subsidi harga padi dan membeli harga padi pada harga yang berpatutan.

Bagaimanapun,kerja-kerja penguatkuasaan, perlesenan dan peraturan masih dikekalkan di bawah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Beras Corporation Sdn.Bhd ini ditubuhkan khas untuk Sabah dan Sarawak, sebagai anak syarikat milik penuh BERNAS.

UB: Kami difahamkan, salah satu daripada program yang dilaksanakan oleh BCSB ialah Program Rakan Ladang atau PRL. Boleh jelaskan sedikit mengenai PRL ini?

MK: Salah satu kaedah BCSB mendekati pesawah ialah menerusi Program Rakan Ladang yang diperkenalkan pada tahun 2008 bagi mengukuhkan penglibatan BCSB dalam projek penanaman padi. Melalui program ini, PRL yang merupakan satu pakatan strategik antara BCSB, agensi-agensi kerajaan dan para pesawah dalam memperkukuhkan kerjasama bagi meningkatkan hasil dan kualiti padi yang dikeluarkan, sekaligus meningkatkan jumlah pendapatan yang secara tidak langsung menyumbang kepada aspirasi kerajaan untuk mencapai tahap sara diri yang lebih tinggi.

Setakat ini, terdapat 2,000 pesawah melibatkan kira-kira 7,000 hektar tanah di Kota Belud dan Kota Marudu terlibat dalam program PRL ini. Di Kota Belud, PRL dijalankan di Zon Taun Gusi, Kesapang, dan Tempasuk manakala di Kota Marudu, PRL dilaksanakan di Zon Talantang, Masalog, Salimandut, Mangkalua dan Rasak Darat.

Kita menjadikan Tanggungjawab Korporat ( CSR) sebagai aspek pengurusan strategik yang penting dalam perlaksanaannya PRL. PRL menitikberatkan unsur-unsur pelaburanberteraskan tanggungjawab sosial seperti perlindungan alam sekitar, amalan perladangan yang bertanggungjawab dan penerapan teknik-teknik Amalan Pertanian Baik (GAP) di kalangan para pesawah. PRLturut melibatkan komuniti pesawah dalam setiap aspek kebajikan dan kehidupan mereka.

BCSB sentiasa membantu pesawah yang berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk modal dan kemudahan yang terhad,kemiskinan dan peningkatan usia.

UB: Bagaimana PRL boleh membantu pesawah?

MK: Melalui usaha yang terancang, PRL membantu meningkatkan pendapatan pesawah melalui pengurusan rantaian bekalan,produktiviti dan kualiti tuaian yang lebih efisien.Para pesawah turut didedahkan kepada teknologi terkini dan program-program pembangunan di samping bantuan kewangan sehingga 100% tanpa faedah bagi menampung kos penanaman padi. Hasil padi mereka yang dihantar kepada BCSB dibeli dengan hargapasaran yang kompetitif. Sebagai peserta PRL, merekaturut menikmati faedah-faedah serta insentif lain disamping berpeluang untuk melaksanakan ibadah umrah dan ziarah. Sejak diperkenalkan ramai pesawah yang telah menerima insentif.

Sehingga kini, seramai 48,000 orangpesawah telah menerima manfaat daripada program PRL di seluruh negara. Di Sabah, ramai pesawah yang telah dihantar untuk melaksanakan ibadah umrah dan ziarah jika menunjukkan prestasi yang tinggi dan meningkatkan hasil produktiviti yang lumayan. Ada di antara mereka pula dihantar untuk melawat di Semenanjung Malaysia. Kita berharap, insentif ini akan memberi semangat dan pendedahan kepada petani. Kita berharap pesawah dan keluarga mereka dan masyarakat keseluruhannya mendapat manfaat dan membina kehidupan yang lebih baik daripada PRL ini.

UB: Saya tertarik dengan pemilihan Kota Belud dan Kota Marudu oleh BCSB untuk melaksanakan PRL. Apa rasionalnya ya?

MK: Sebenarnya Kota Belud menyumbangkan kira-kira 60 peratus keluaran beras di Sabah manakala Kota Mardu mengeluarkan sebanyak 30 peratus.Daerah-daerah lain seperti Tuaran, Papar, Keningau, Terusan sapi di Sandakan hanya mengeluarkan 10 peratus keperluan beras.Bagaimanapun, Sabah masih bergantung kepada import beras dari luar negara. Sabah yang dapat menampung 30 peratus keperluan dalam negeri manakala 70 peratus lagi terpaksa di import, antaranya dari Vietnam, Thailand, India, Pakistan, Kemboja, Myanmar.

UB: Jika begitu masih banyak yang perlu dilakukan. Bagaimana tuan melihat potensi Sabah dalam pengeluaran beras?

MK: Sabah mempunyai potensi yang agak baik dalam meningkatkan keluaran beras iaitu daripada dua hingga tiga tan kepada sepuluh tan sehektar. BCSB sedia membantu meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini. Kita sentuasa sentiasa bersama agensi-agensi kerajaan merancangdan membantu meningkatkan keluaran beras.

UB: Apa masalah yang dihadapi dalam meningkatkan hasil produktiviti pengeluaran beras di negeri ini?

MK: Masalah utama yang dihadapi ialah infrastrukur seperti pengairan dan saliran. Jika kemudahan infrastrukur memadai, kita boleh meningkatkan pengeluaran kepada dua kali setahun atau lima kali dalam tempoh dua tahun. Selain itu, kita perlu membuka kawasan baru untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran beras secara komersil. Apa yang kita lihat masih ada petani yang menanam padi hanya untuk memenuhi keperluan mereka. Mereka hanya menanam satu dua ekar di belakang rumah mereka. Saya fikir kita perlukan penggunaan tanah yang lebih luas untuk meningkatkan pengeluaran. Kita dapat melihat saiz keluasan sawah semakin mengecil, tidak seperti dahulu kerana pembangunan, perumahan dan sebagainya.

UB: Bagaimana tuan melihat teknologi pengeluaran padi di Sabah? apakah ia terkebelakang atau bagaimana?

MK: Mengikut pendapat saya, Sabah masih tertinggal lima hingga sepuluh tahun daripada semenanjung manakala Sarawak tertinggal 10-15 tahun daripada Sabah.Industri pertanian di negeri ini berpotensi untuk dimajukan lagi.

UB: Berbalik kepada program "Secupak Budi, Sepenuh Hati" itu tadi, apakah pihak BERNAS dan BCSB mempunyai program CSR yang lain?

MK: Kita terus menjalankan aktiviti CSR yang lain secara berterusan. Kita terus membantu masyarakat untuk meringankan beban mereka akibat banjir dan lain-lain bencana alam.Kita terus membantu persatuan-persatuan ibu tunggal, dan organisasi-organisasi kebajikan untuk mempertingkatkan kehidupan mereka.Kita terus membuat pelaburan sosial termasuklah sumbangan menaiktaraf rumah anak yatim, masjid-masjid dan kemudahan-kemudahan awam yang lain. Cuma bezanya ialah program "Secupak Budi, Sepenuh Hati" ini dijalankan secara tersusun di seluruh negara.

UB: Akhir sekali, apakah harapan tuan terhadap kempen "Secupak Budi Sepenuh Hati" ini?

MK: Saya berharap agar program kempen ini mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat di negeri ini. Harapan saya, agar program ini meningkatkan keprihatinan masyarakat dalam membantu anak-anak yatim yang kurang bernasib baik. Dengan membeli beras satu pek 10 kilogram, bermakna kita menderma 25 gram beras kepada anak-anak yatim. Semakin banyak kita membeli beras yang terpilih, semakin banyak kita berbakti kepada masyarakat. Secupak Budi, Sepenuh Hati adalah satu kempen yang sangat baik. Dengan hanya secupak, kita membantu memberi makna dan cahaya kepada kehidupan insan lain. Apatah lagi, jika secupak budi itu, kita berikan dengan sepenuh hati. Ia sangat indah dan bermakna.

No comments: