Saturday, October 22, 2011

setelah pemergian muammar gaddafi

Seorang rakan saya menamakan anaknya Muammar Gaddafi. Tapi saya tidak tahu apa perasaan beliau pada 20 Oktober ketika bekas pemimpin Libya itu ditembak mati di Sirte, iaitu kampung halamannya sendiri.

Saya sendiri termasuk salah seorang pengagum Gaddafi.Beliau adalah pemimpin Arab yang berani melawan hegemoni Amerika, berani membantu orang-orang yang tertindas tidak kira dimana mereka berada.Bahkan beliau dikatakan pernah menyalurkan bantuan untuk kumpulan-kumpulan yang berjuang menuntut hak mereka untuk memiliki tanahair sendiri. Untuk itu, saya tabik kepada Gaddafi sebagai pemimpin yang bukan saja berani bersuara tetapi berani bertindak melaksanakan cita-citanya.

Apa yang membanggakan ialah Kolonel Gaddafi sering melaungkan bahawa Libya diperintah oleh rakyat. Bahkan, terdapat laporan media satu ketika dahulu yang menyatakan beliau pernah memberikan rumah secara percuma manakala gas disalurkan ke rumah-rumah di Tripoli. Kekuatan Gaddafi berasaskan kepada semangat nasionalisme dan sosialisme berteraskan Islam. Beliau sering menyatakan bahawa Libya sebuah negara kebajikan. Gaddafi juga memperkenalkan sistem moral Islam yang melarang rakyatnya meminum minuman keras dan berjudi. Falsafah politik beliau dicetak dalam bentuk buku, dicetak tiga jilid antara tahun 1975 hingga 1979 dan dinamakan Buku Hijau.

Bagaimanapun, apa yang pernah dicita-citakan Gaddafi tidak sama dengan apa yang berlaku dalam pemerintahannya. Lama-kelamaan banyak rahsia pemerintahannya terbongkar, kekejaman yang dilakukan kepada rakyat yang menentangnya, semuanya akhirnya menyebabkan sebilangan besar rakyatnya mual, marah dan mula membenci Gaddafi.

Pada mulanya saya tidak dapat memahami mengapa rakyat Libya menentang pemimpin mereka. Tetapi kemudian setelah menyelidiki pelbagai fakta dan peristiwa, saya menyimpulkan bahawa Gaddafi sebenarnya memiliki persamaan dengan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Apa persamaan yang ketara antara Gaddafi yang mati dalam sebuah terowong di bawah lebuh raya di Sirte, kira-kira 360 km di Timur Tripoli, ibu negara Libya dengan Amerika yang ditentangnya?. Saya berani mengatakan bahawa persamaan yang menonjol antara Gaddafi yang menjadi Presiden Libya setelah berjaya menggulingkan Raja Idris dalam rampasan kuasa pada tahun 1969 adalah kerana kesombongan dan keangkuhan yang sama taranya. Sejarah mencatatkan bahawa beliau adalah antara pemimpin terlama memerintah di dunia iaitu hampir mencecah 42 tahun.

Bagi saya punca penentangan terhadap Gaddafi oleh rakyatnya, dan oleh pihak-pihak yang membencinya, ialah kerana kesombongan, keangkuhan, keegoan, malah kesilapan yang dilakukannya.

Kesombongan, keangkuhan yang akhirnya melahirkan kebebalan, kedunguan dan kebodohan, keganasan, kebuasan dan kata-kata yang seerti dengannya adalah perkara-perkara yang sepatutnya dilontarkan jauh-jauh dari kehidupan kita.

Saya teringat pesan arwah ayah, supaya setinggi manapun kita, sebesar manapun kita, sekaya manapun kita, sekuat manapun kita, setampan mana pun kita, kita ditegah daripada berlaku sombong dan angkuh sepanjang hidup di dunia.

Kita hendaklah sentiasa hormat menghormati, kita hendaklah sentiasa toleransi, kasih mengasihi antara sesama kita. Bahkan terhadap tumbuhan atau binatang pun, kita ditegah untuk berlaku zalim, sombong dan angkuh terhadap mereka.

Kita hendaklah nyahkan jauh-jauh perasaan riak, perasaan sombong dan bangga diri.Kita hendaklah singkirkan perasaan ego dan angkuh. Semuanya ini perlu kita buang jauh-jauh dari kehidupan kita.

Tiba-tiba saya teringat pesan seorang mentor kepada bakal jemaah haji yang menunaikan rukun Islam kelima di tanah suci Mekah. Beliau menyarankan agar setiap umat Islam mengambil iktibar daripada pesan-pesan nabi supaya umat Islam sentiasa berfikir, menggunakan akal dan kebijaksanaan mereka.Mereka hendaklah betul-betul memahami rahsia mengapa mereka diperintah `berhaji'. Banyak isyarat atau simbol yang perlu difahami oleh setiap umat Islam sepanjang mereka menunaikan ibadah haji.

Sebagai contoh, aktiviti melontar jamrah di aqabah. Rukun haji ini mempunyai pengertian yang mendalam, iaitu pencucian jiwa. Mereka bukan setakat melontar syaitan bahkan juga melontarkan segala kesombongan, segala ketamakan segala keangkuhan, segala dendam dan kebencian dan segala keegoan, supaya nanti boleh melahirkan jiwa yang bersih.

Apa yang kita lontarkan itu ialah nafsu kita, yang kita lontar itu adalah sikap kesombongan kita, sikap kedekut kita, kebodohan kita, kebebalan kita,sikap riak kita dan semua sikap negatif.Itulah makna simbolik daripada rukun haji itu, demikian saya mengutip kata-katanya.

Perkara-perkara itu menjadikan saya berfikir, bahawa kita perlu membuang segala bentuk kesombongan, keangkuhan, kerakusan, ketamakan dan segala perbuatan yang tidak baik supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan penuh damai dan sejahtera.

Saya fikir, kesombongan Gaddafi, dan Amerika sudah pasti, dan kesombongan kita juga perlu kita buang dan lontarkan jauh-jauh. Kita semua, tanpa kecuali, mestilah memperkuatkan komitmen dan iktikad kita untuk berbuat baik, damai, adil, agar dunia sejahtera.

Barangkali itulah sebabnya, dalam setiap waktu ketika menyempurnakan ibadah solat, kita memalingkan muka ke sebelah kanan dan sebelah kiri kita, dan mengucapkan `selamat sejahtera ke atas kamu, semoga dirahmati dan diberkati' sebagai komitmen kita kepada kehidupan yang damai dan sejahtera. Ia merupakan komitmen moral, komitmen sosial kita dalam memastikan dunia ini damai dan sejahtera.

Untuk itu, kita hendaklah menjauhkan diri dari kesombongan dan keangkuhan yang menyebabkan kekasaran, keganasan, kerakusan, dan sebagainya, dan sebagainya.. Bagi saya, itulah antara penyebab Gaddafi meninggal di Sirte.

No comments: