Tuesday, October 25, 2011

Wawancara dengan Datuk Rahim Ismail

MESKIPUN tidak lagi menjadi menteri, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis sentiasa padat dengan pelbagai acara dan program di kawasannya. Bahkan pejabatnya yang terletak di Pekan Papar tidak pernah sepi daripada pengunjung yang kebanyakannya merupakan rakyat yang datang membincangkan pelbagai perkara, mengadukan pelbagai masalah, atau datang sekedar bertanya khabar, menghantar jemputan majlis perkahwinan dan sebagainya.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kesibukannya melayani rakyat, beliau sempat menemui wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN di pejabatnya untuk sesi temubual mengenai tugas dan tanggungjawabnya sejak dilantik sebagai Pengerusi RISDA Holdings berkuat kuasa 1 April lalu, sehinggalah kepada kenangan di zaman persekolahan dan sebagainya.

Datuk Haji Abdul Rahim Ismail, dilahirkan pada tahun 1949, di Papar. Beliau merupakan anak bungsu daripada tujuh adik beradik. Mendapat pendidikan rendah di GPS Pekan Papar, GPS Bingkor dan GPS Tanjung Aru. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SM St.Joseph Papar dan kemudian meneruskan pelajaran di Sabah College (kini Maktab Sabah) setelah mendapat biasiswa anak negeri (Native Scholarship) pada tahun 1962. Selepas menjadi Renjer Hutan di Jabatan Perhutanan pada tahun 1968, beliau ditawarkan biasiswa Colombo untuk menuntut di Indian Forest College di Dehradun, sebuah kota di Uttar Pradesh,utara India. Selepas itu, beliau ditawarkan kursus singkat di Oxford England. Rahim berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang perhutanan dari sebuah universiti di Amerika Syarikat

Pada tahun 1995, Abdul Rahim dilantik sebagai Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri dan kemudian dilantik Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada tahun 2003. Pada tahun 2008, beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembagha Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sehingga tahun 2010. Mulai April 2011, berdsarkan pengalaman luas dan prestasi cemerlang, beliau dilantik sebagai Pengerusi RISDA Holdings, anak syarikat milik penuh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajah Dayangku Ainun Haji Pengiran Bagul dan dikurniakan sebanyak lima orang anak.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini. Kami rasa gembira kerana YB Datuk bersetuju untuk ditemuramah. Boleh Datuk ceritakan sedikit latar belakang Datuk?

DATUK HAJI ABDUL RAHIM ISMAIL: Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga nelayan. Anak Bungsu daripada tujuh adik beradik. Saya sebenarnya lahir pada tahun 1951 tetapi kerana saya suka ikut abang saya ke sekolah maka umur saya ditambah dua atau tiga tahun bagi membolehkan saya bersekolah. Waktu itu umur saya enam tahun. Saya bersekolah di GPS Pekan Papar, GPS Bingkor dan GPS Tanjung Aru. Saya berpindah sekolah kerana mengikut abang saya yang bekerja sebagai seorang guru. GPS itu ialah singkatan Government Primary School atau Sekolah Rendah Kebangsaan atau kini disebut Sekolah Kebangsaan.

UB: Selepas sekolah rendah, dimana Datuk bersekolah menengah?

DHARI: Saya menduduki sekolah menengah di St Joseph Papar. Kemudian saya ditawarkan Native Scholarship atau Biasiswa Anak Negeri pada 1962. Ini kerana saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Darjah Enam ketika itu.Antara rakan-rakan saya pada ketika itu termasuklah Haji Zulkifli Jaafar, Jurij Yakub, Ali Daud, ACP Mashud Haji Awang Damit. Ini antara rakan-rakan saya ketika itu.Ketika belajar di Sabah College (kini Maktab Sabah), saya tinggal di asrama. Antara rakan sekolah saya ketika itu ialah Datin Saidatul Badru Tun Said (kakak Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said), Datuk Haji Abdul Ghani Rashid, Asri Kadir dan lain-lain lagi.

UB: Ketika di sekolah dahulu, apa mata pelajaran yang paling Datuk minati?

DHARI: Saya meminati pelajaran sains gunaan.

UB: Selepas sekolah di Maktab Sabah, Datuk terus melanjutkan pelajaran atau bekerja?

DHARI: Saya sempat bekerja di Jabatan Pertanian Papar selama setahun sebaik keluar dari sekolah. Selepas itu, saya mendapat tawaran sebagai Renjer hutan di Jabatan Perhutanan, di Kinabatangan selama setahun. Waktu itu, Kinabatangan lebih dikenali sebagai Lamag. Selepas saya ditukarkan ke range Bukit kopi Sungai Pin, di Kinabatangan juga. Tidak lama kemudian pada tahun 1971, saya ditawarkan Biasiswa Colombo Plan untuk melanjutkan pelajaran diploma di Dehradun, Uttar Pradesh, di utara India. Tempatnya sejuk. Kemudian saya ditawarkan kursus singkat di Oxford England pada tahun 1975 kira-kira setahun lebih. Kemudian, saya terus berkhidmat di Jabatan hutan menjawat pelbagai ibu pejabat Jabatan Hutan. Saya kemudian ditukarkan ke Kalabakan, Lahad Datu, di Pusat Penyelidikan Sepilok selama lima tahun dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Hutan Kota Kinabalu selama tujuh tahun. Seterusnya saya ditugaskan semula sebagai Pegawai Hutan Daerah Kinabatangan selama dua tahun dan selepas itu berpindah ke ibu negeri, sebagai Pegawai Hutan Wilayah Kota Kinabalu. Sebagai pegawai kerajaan. Sebelum itu itu saya sempat mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perhutanan dari universiti di Amerika Syarikat. Selepas itu, saya menceburkan diri dalam bidang politik pada tahun 1990 setelah berkhidmat selama 22 tahun dalam perkhidmatan kerajaan.

UB: Mengapa Datuk mengambil keputusan menceburi bidang politik pada ketika itu?

DHARI: Terus terang, situasi pada ketika itu mendorong untuk saya dan rakan-rakan menerjunkan diri dalam politik. Bertanding buat kali pertama di Buang Sayang tetapi tidak bernasib baik. Pada tahun 1991, ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, atas saranan Tun saya dilantik sebagai Ketua penaja UMNO Bahagian Tuaran. Ketika itu saya mendapat bimbingan daripada Almarhum Tun Mustapha, Tan Sri Hussein Ahmad dan Raja Arifin Raja Sulaiman. Saya mengetuai UMNO Tuaran selama dua tahun. Datuk Hajiji ketika itu masih berada dalam USNO. Untuk mengatasi masalah kepimpinan di Tuaran ketika itu, Tun sebenarnya mahukan saya terus memimpin di Tuaran apatah lagi kerana saya diterima oleh masyarakat di sana tetapi saya memilih untuk kembali ke Papar untuk membantu Datuk Osu Haji Sukam sebagai timbalannya.

UB: Selepas itu?

DHARI: Selepas itu pada tahun 1994,saya sekali bertanding di N33 Buang Sayang dan alhamdulillah, menang dengan majoriti 1,643 undi. Dalam pilihanraya seterusnya iaitu pada tahun 1999, saya menang dengan kelebihan undi 2,534. Pada tahun 2004, saya terpilih tanpa bertanding manakala pada tahun 2008, saya menang dengan majoriti 2,862. Alhamdulillah rakyat terus memberikan sokongan kepada saya sebagai calon Barisan Nasional (BN).

UB: Bagaimana Datuk membahagikan masa antara wakil rakyat dan tugas Datuk sebagai Pengerusi Risda Holdings?

DHARI: Saya mempunyai banyak masa dengan rakyat. Sebagai wakil rakyat dikehendaki agar sentiasa dilihat, sentiasa dirasai kehadirannya.wakil rakyat tempat rakyat mengadu, dan wakil rakyat perlu terus bertemu rakyat untuk menyalurkan bantuan yang tertentu. Sebenarnya saya seorang yang `homely'. Saya lebih suka berada di rumah, jika tidak ada program di luar. Saya juga sentiasa memastikan untuk mengurus masa dengan baik. Saya berusaha untuk memenuhi janji dengan rakyat di kawasan saya. Jika ada majlis rasmi, atau jika ada majlis perkahwinan saya cuba meneoati masa.Alhamdulillah, setakat ini saya dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat, dan diterima baik di kalangan akar umbi.

UB: Kalau boleh tahu, apa hobi Datuk ya?

DHARI: Dulu kalau ada masa, saya suka juga bermain golf tetapi sekarang saya lebih banyak menghabiskan masa dengan rakyat di kawasan saya. Itu yang menjadi prioriti saya sekarang.

UB: Oh ya, kita beralih kepada soalan lain. Boleh datuk ceritakan serba sedikit mengenai RISDA?

DHARI: Rubber Industry Smallholders Development Authority atau Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) adalah sebuah Badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Tanah dan Luar Bandar dan Wilayan (KKLW) dan ditubuhkan pada 1 Januari 1973. Penubuhan Risda ini menunjukkan kerajaan memandang berat peranan yang dijalankan oleh Sektor Pekebun Kecil sebagai satu sektor pengeluaran hasil yang penting pada ekonomi negara.

RISDA adalah sebuah organisasi yang khusus untuk membimbing sektor pekebun kecil ke arah kemajuan dan perkembangan ekonomi dan sosial.RISDA juga akan menentukan perusahaan getah asil negara bertambah teguh dan stabil. Kerajaan memandang mustahak mengadakan satu dasar dan strategi baru bagi memajukan sektor pekebun kecil.

UB: Mungkin ramai yang belum tahu mengenai fungsi RISDA apatah lagi ia masih baru di Sabah. Apa fungsi RISDA?

DHARI: Antara fungsi RISDA ialah melaksanakan pembaharuan pertanian yang dihasilkan daripada penyelidikan, bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dalam penyelidikan, pengembangan, pinjaman pertanian, pemprosesan dan pemasaran getah bagi mempercepatkan proses pemodenan sektor pekebun kecil. RISDa juga befungsi untuk melaksanakan penananam semua dan penanaman baru dengan klon-klon baru yang boleh mengeluarkan hasil yang tinggi melalui amalan agronomi yang baik, Memastikan bahawa sektor pekevun kecil adalah dimodenkan dari segala segi bagi membaiki keadaan ekonomi mereka;mendapatkan dan menyimpan perangkaan-perangkaan yang berhubung dengan pembangunan sektor pekebun kecil;Mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti yang ditentukan oleh Menteri yang bertanggungjawab dari semasa ke semasa berhubung dengan pembaikan dan kemajuansektor pekebun kecil.

Selain dari tugas dan fungsi seperti mana termaktub dalam Akta RISDA 1972, Risda juga melaksanakan program pembangunan di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Luar bandar seperti Skim pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Gerakan Desa Wawasan (GDW), Program Pembangunan Prasarana, Perumahan Rakyat Termiskin dan lain-lain.

UB: Apa misi RISDA?

DHARI:Misi kita ialah membentuk masyarakat pekebun kecil yang progresif dan sejahtera melalui aktiviti perladangan dan komersial. Sebagai Peneraju Kemajuan Pekebun Kecil yang menjadi visi RISDA, RISDA juga berhasrat untuk menjadikan pekebun kecil memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan sekeluarga menjelang 2015.

UB: Berapa jumlah pekebun kecil RISDA di negara ini?

DARI: Terdapat seramai 80,029 pekebun kecil Risda di Sabah manakala di Sarawak terdapat 157,147 pekebun kecil dan di Semenanjung seramai 162,784 orang menjadikan jumlahnya 339,960 orang.

UB: Apa jenis bantuan yang diberikan oleh RISDA?

DARI: Jenis bantuan yang diberikan pada 2011 ialah bantuan tanam semula sahaja tetapi pada tahun 2012, berbagai jenis bantuan meliputi RM141 juta diumumkan peruntukan bajet 2012 meliputi bantuan Tanam Semula Getah ke Getah, Bantuan tanam baru Getah dan Bantuan Tanam Semula Sawit ke Sawit.

UB: Boleh Datuk jelaskan mengenai peranan Risda dalam pembangunan industri getah di Sabah?

RAHIM: Sebagai sebuah organisasi yang khusus untuk membimbing sektor pekebun kecil, Risda sedia memainkan peranan untuk membantu memperkasakan pembangunan industri getah di negeri ini. Seperti yang kita ketahui, ramai pekebun kecil getah di negeri ini berminat untuk mendapatkan bantuan Risda membangunkan tanah-tanah mereka. Risda mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk membantu pekebun kecil memperkasakan industri getah di negeri ini.

Sabah memerlukan satu mekanisme yang dinamik untuk memperkasa industri getahnya, dan Risda bersedia untuk membantu. Hasil tinjauan di seluruh negeri telah mendapat maklumbalas yang positif daripada pekebun pekebun kecil terhadap program dan rancangan pembangunan Risda.

Sebanyak 48,000 hektar kebun getah individu di Sabah akan terlibat secara langsung melalui 14 program pembangunan yang akan dilaksanakan oleh Risda termasuk pembangunan tanah dan tanam semula.Pekebun kecil akan diberikan bantuan menanam semula menggantikan getah tua dengan klon getah bermutu tinggi.

Program itu juga meliputi usaha mempelbagaikan sumber pendapatan pekebun kecil getah melalui industri kampung, penempatan hasil selain program latihan pekebun kecil.

UB: Oh ya. Mungkin ramai yang keliru antara RISDA dengan Risda Holdings. Boleh Datuk jelaskan?

DHARI: Risda Holdings ditubuhkan sebagai badan pelaburan Risda. Sebelum ini kerajaan meluluskan penggabungan 11 anak syarikat utamanya di dalam satu pentadbiran yang dinamakan RISDA Holdings untuk mengukuhkan dan memperluaskan aktiviti perniagaan, yang akan mencakupi sehingga ke luar negara. Jadi bermakna RISDA Holdings yang saya pengerusikan adalah badan pelaburan RISDA.

UB: Jika tak silap, Kolej Risda akan dibuka di Semporna. Mungkin ada yang ingin tahu mengenai Kolej RISDA ini?

DHARI: Kolej RISDA adalah sebuah IPTS yang menjalankan kursus pertanian di peringkat diploma dan sijil dengan matlamat menaiktaraf dan meningkatkan kualiti pendidikan di samping melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan separuh mahir di dalam bidang pertanian.

UB: Mengapa Kolrj RISDA ditubuhkan?

DHARI: Kita menyedari betapa pentingnya sektor pertanian untuk pembangunan nehgara yang merupakan niche Kolej RISDA maka fokus diberikan kepada bidang pertanian, perladangan dan aktiviti berkaitan untuk memberi peluang kepada sesiapa yang berminat bagi melanjutkan pengajian di bidang pertanian selaras dengan kehendak pasaran kerjaya di masa kini.Program yang ditawarkan bersesuian dengan kemudahan pembelajaran yang ada untuk menampung `agro based activitiy.

UB: Apa bidang kursus yang ditawarkan oleh Kolej ini?

DHARI: Kolej RISDA menawarkan pengajian dalam bidang pertanian, perladangan, perakaunan, keusahawanan, sains komputer serta pengurusan perniagaan dan peniagaan tani. Manakala Sijil Kemahiran Malaysia yang dilaksanakan adalah untuk menampung kekurangan pekerja mahir dalam sektor pertanian dan perladangan.

Kolej Risda Sdn.Bhd merupakan anak syraikat milik penuh RISDA yang ditubuhkan pada tahun 1999 di bawah Akta Syarikat 1965. Koleh RISDA ditubuhkan khususnya bagi memabngunkan modal insan masyarakat luar bandar melalui penawaran peluang-peluang pendidikan yang lebih laus kepada generasi kedua masyarakat luar bandar khususnya dalam bidang pertanian dan bidang-bidang lain bersesesuaian keperluan pasaran agar mereka dapat memberi sumbangan kepada negara.

Dari segi sejarahnya, Koleh RISDA mula beroperasi pada tahun 1960 sebagai Sekolah Latihan Getah di bawah Institut Penyelidikan Getah Malaysia. Padabtahun 1973, sekolah tersebut telah diambil alih oleh RISDA dan dinamakan Sekolah Latuhan RISDA yang menjalankan aktiviti latihan, teknikal dan pengurusan. Pada tahun 1980, sekolah tersebut ditingkatkan pengurusannya sebagai Institut Latihan RISDA (ILR) dimana kursus-kursus untuk kakitangan RISDA, agensi luar dan pekebun kecil dijalankan dan seterusnya pada tahun 1999 dinaiktaraf kepada Kolej RISDA. Kolej Risda mempunyai kampus di Alor Gajah Melaka, Kuala Krai Kelantan, Padang Rengas, Kuala Kangsar dan Pekan Awah Temerloh,Pahang dan kini Semporna Sabah.

UB: Bila Kolej Risda mengembangkan sayapnya ke Sabah?

DHARI:Pada tahun 2011, Kolej RISDA mengorak langkah dan mengembangkan sayap ke negeri sabah.Mulai 1 November ini, kolej RISDA akan mula beroperasi di Semporna. Premis kolej RISDA cawanagn Semporna akan dirasmikan oleh Menteri KKLW pada 10 Oktober 2011 dalam upacara yang gilang gemilang, .

Pada peringkat awal ini, Kolej RISDA dalam proses pengenalan dengan menawarkan kursus-kursus pendek berkaitan pengurusan dan pertanian kepada agensi-agensi swasta dan awam di sekitar Sabah.

Kolej RISDA akan mula menawarkan program akademik setelah mendapat kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi untuk menubuhkan sebuah IPTS di Semporna. pada peringkat ini kolej RISDA telah merancang dan bercadang untuk menawarkan program Diploma Perniagaan Tani, Diploma Keusahawanan, Sijil Sains Pertanian, Sijil Kemahiran Kejuruteraan Komputer manakala pada tahun 2, ia akan menawarkan Diploma Sains Pertanian, Sijil Akuakultur, Sijil Pengurusan Perniagaan, Sijil Perhotelan, Sijil Kemahiran Konduktor Ladang, Sijil Kemahiran Konduktiort Kilang sawit, Sijil Jahitan Pakaian wanita. manakala pada tahun ketiga,Kolej RISDA akan menawarkan Diploma Pengurusan ladang.Kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan ialah perladangan,pertanian, pemasaran, lanskap, motivasi, pengurusan dan kewangan dan komputer.

Selepas 26 tahun terlibat dalam bidang latihan dan pendidikan khususnya dalam bidang pertanian, peranan kolej RISDA dalam pembangunan negara khususnya industri pertanian dirasakan lebih signifikan.Memandangkan terdapat kekurangan tenaga kerja dalam bidang pertanian dan perladangan dan kurangnya tumpuan IPTA yang ada untuk melahirkan tenaga kerja di dalam bidang pertanian dan perladangan, Kolej RISDA yakin dapat mengisi vakum yang diperlukan negara.

UB: Sebenarnya masih banyak soalan yang perlu ditanyakan, tetapi mungkin boleh diajukan pada waktu yang lain. Terima kasih banyak Datuk kerana memberikan ruang kepada kami.


Selepas wawancara dan minum pagi, Datuk Rahim terus bergegas untuk menziarahi pesakit yang terlantar di Hospital Papar

No comments: