Rabu, 30 November 2011

Ramlee Jalimin Jainin, tokoh penulis dari pedalaman

Tags

“Kalau sejuk-sejuk begini, saya lebih suka minum Chinese tea,” kata Cikgu Ramlee Jalimin Jainin. “Minuman ini bagus untuk menghalang selesema,” katanya selepas kami bertukar-tukar khabar. Hari itu petang bergerimis.Tetapi tepat jam 5.00 petang, kami sudah berada di Restoran Islamic Kampung Air, tempat yang dijanjikan untuk kami bertemu.

“Saya menulis mulai tahun 1977.Waktu itu saya lebih cenderung menulis rencana dalam majalah sarina, menggunakan nama R.Jalimin Jainin.,” katanya.Ketika itu, beliau pernah menulis artikel mengenai beberapa faktor kemunduran bumiputera di Sabah, dan disiarkan dalam akhbar Bacaria. Selain itu, beliau juga pernah menulis dalam Mingguan Islam, “tapi tidak lama, hanya empat keluaran sahaja,” katanya.

Dalam bidang puisi pula, Ramlee Jalimin Jainin sudah menghasilkan lebih 200 puisi. Beliau mula menulis puisi sejak tahun 1979. “Yang sebetulnya, saya banyak menulis berkaitan bidang pendidikan, dunia guru dan pelajar dan sebagainya”. Begitu juga cerpen, walaupun jumlahnya tidak banyak, sekitar 10 cerpen tetapi beliau banyak menyingkap bidang perguruan.

“Kita menulis mengenai perasaan dan fikiran kita mengenai alam sekeliling kita, menghasilkan puisi-puisi yang akrab dengan guru,” katanya lagi.

Tokoh penulis dari pedalaman ini dilahirkan di Kampung Bayangan Keningau pada tahun 1959.Beliau mendapat pendidikan awal dari SK Binaung 1965-1968, dan SK Luagan 1969-1973. Selepas itu di GPS Bingkor 1972, SMK Gunsanad 1973-1977 dan Maktab Perguruan Kent Tuaran 1980-1981.

Antara sekolah yang pernah menjadi tempatnya berbakti ialah SK Paitan, SK St James Keningau, SK Bunga Raya Keningau dan kini beliau menjawat jawatan Guru Besar SK Karamatoi.

Pada mulanya beliau lebih tertarik untuk menceburi bidang kewartawanan.”Bakat itu diasah dengan banyak menghadiri kursus-kursus deskritif dan kreatif anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, Sabah Times, serta anjuran diadakan oleh pihak penerbitan akhbar lain” katanya.

Malah kerana begitu taksubnya kepada bidang penulisan, Cikgu Ramlee pernah bercuti dua bulan tanpa gaji selang tiga tahun, lLalu menyeberangi lautan Cina Selatan untuk meningkatkan pengetahuan dalam kewartawanan. Penulis dari Sabah yang pertama menghiasi Majalah tabloid BACARIA selama setahun. Majalah Islam, Mingguan Perdana, Sarina (selama 3 tahun), Sabah Times dan Utusan Borneo.

Nama sebenar Mabirin @Ramlee@Jalimin bin Jainin,Beliau sering menggunakan nama Ramlee Jalimin Jainin, R.Jalimin Jainin, Tinta Dewata, Tinta Alam dan Suara Alam.

Beliau pernah mengikuti kursus penulisan selama setahun dari Pustaka Wilayah Kuala Lumpur secara koresponden sahaja dan berjaya mendapat sijil kewartawanan. Dalam bidang kewartawanan juga, beliau pernah mendapat bimbingan daripada Emin Madi,Johan Aziz, Malungun dan sebagainya.

Pada tahun 80-an,beliau pernah mengikuti kursus kewartawanan anjuran Sabah Press Club di Keningau, yang ketika itu diketuai Teddy Chin.Waktu itu, mereka dibimbing oleh Prof.Hamdan Adnan, Ilias Haji Zaidi, Dr.Acharal Mehra.

”Kami seramai 20 orang,” katanya sambil menyebut antara yang diingatnya ialah Lichong Angkui,Johan Aziz, Uhim Wong, Christopher Bubod.Noor AH Abadi, A Jalil Madarin, Awang Ahmad Ongkang, Arifin Rukot. ”Saya lupa sudah nama peserta yang lain,” katanya.

Disamping itu berjinak-jinak dalam penulisan sajak dan cerpen. Cerpen pertama yang ditersiar diSabah Times 1983, Di Lembah Sepi, dan sajak yang bertajuk Orang-Orang Kota

Ramlee pernah berguru kepada Dino SS, Othman Puteh, A. Samad Said, Hamdan Adnan (Kini Prof. Madya Dr.) Hj. Illias Zaidi, Ratnawati Jamil,Hj. Ismaily Bungsu, dan lain-lain lagi. Pernah mengikuti pembelajaran secara jarak jauh di Universitas Nasional Indonesia( Jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Indonesia 1996/1997)

Pernah mengikuti kursus teater di bawah bimbingan Pro. Madya Dr. Mohammad Ghouse Nasiruddin (USM) 1983/1984 dan di bawah Puan Salbiah Jabrin dan Shariff Ismail,Nasriadi Abdullah dalam bidang tarian dan kejurulatihan tarian dari Badan Budaya Kuala Lumpur 1987.

Dalam kegiatan berpersatuan, banyak persatuan yang telah ditubuhkan seperti Angkatan Belia Kinabalu Sabah (ABKIS) bersama Henry Dulasim (Mohd Khairy Abdullah), Badan Bahasa Nabawan/Keningau. Persatuan Wartawan Pedalaman Keningau (IJA). Angkatan Gabungan Penulis-penulis Keningau (Anggerik) bersama Sitti Rahmah G.Ibrahim dan lain-lain. Kini giat sebagai ahli jawatankuasa dalam Anak Teater Keningau bersama dengan Nandra.

Beliau telah brjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Pendidikan dan Pembangunan Sosial daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kini menyambung kuliahnya di peringkat sarjana.

Hingga kini beliau masih aktif menulis.Tetapi antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila manuskrip novelnya musnah bersama laptopnya yang terbakar dalam tragedi kebakaran di Rumah Guru di Bingkor pada 2010.

Namun beliau berazam untuk menerbitkan buku `pakai duit sendiri’ dengan mengantologikan puisi-puisi dan cerpennya.

“Cerpen mutakhir saya ialah Persidangan Rimba, yang mengisahkan mengenai rasa tidakpuas hati mergastua terhadap aktiviti-aktiviti pembalakan.Jika pembalakan diteruskan, habitat mereka akan terancam dan dimana binatang-binatang itu akan tinggal, kalau hutan ditebang, pokok ditebang dan sebagainya”, katanya.

Dikurniakan tujuh orang anak, tetapi hanya seorang,kata Cikgu Ramlee iaitu anak bungsunya, seorang perempuan, bekerja sebagai guru, yang meminati bidang penulisan.

Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai guru besar, tetapi beliau tetap bertekad untuk terus menulis dan terus menambahkan ilmu di dada.

“Masih banyak karya saya belum tersiar,” katanya mengakui. “saya akan terus menulis merakamkan denyut, keresahan dan kegelisahan masyarakat untuk menikmati kehidupan yang sejahtera dan bermanfaat untuk sesama manusia,” katanya sebelum kami beredar setelah gerimis reda.

Isnin, 28 November 2011

Budaya itu dinamik, bukan statik, kata Datu Rosmadi

Tags

BUDAYA ITU DINAMIK, BUKAN SESUATU YANG STATIK

"BAGI SAYA, budaya itu dinamik. Saya tidak percaya kalau dikatakan budaya itu statik," kata Datu Rosmadi Datu Sulai, 49, sebaik kami duduk di sebuah restoran di Asia City, petang Selasa lepas.Hari itu, beliau tidak begitu sibuk dan bersedia untuk diwawancara Utusan Borneo sambil minum petang dalam suasana yang lebih santai. Sejak menjadi Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datu Rosmadi sentiasa sibuk dengan pelbagai program untuk memartabatkan warga seni dan warisan budaya negeri ini bukan saja di peringkat nasional malah hingga ke peringkat antarabangsa.

Meskipun Datu Rosmadi seorang yang suka merendah diri tetapi beliau seorang yang tegas, berani, dan `action oriented' dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Lahir di Kampung Pantai Emas Kota Belud, beliau memulakan pendidikan awal di SK Peladok sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Arshad Kota Belud sehingga tingkatan tiga. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Likas hingga tingkatan 5. Selepas itu, beliau meneruskan pelajaran di Maktab Sabah hingga lulus Tingkatan Enam. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerja di Jabatan Ketua Menteri. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat sehingga lulus peringkat sarjana.Sekembalinya ke Sabah, beliau menjawat pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri. Beliau pernah menjadi Penolong Setiausaha,Kementerian Pembangunan Sosial,Penolong Setiausaha Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan. Kini beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sejak 20 April 2009.

Ikuti petikan wawancara wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN bersama DATU ROSMADI DATU SULAI mengenai usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan budaya, pembinaan budaya dan isu-isu berkaitan budaya di negeri ini.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi diwawancara. Kami sangat berbesar hati kerana berpeluang mewawancara YM Datu mengenai isu-isu dan cabaran budaya, perancangan dan pembinaan budaya dan sebagainya. Sejak menjadi Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, apa perkara yang menarik perhatian Datu? Apa cabaran yang Datu hadapi?

DRDS: Memang banyak perkara yang menarik. Budaya adalah satu bidang yang luas. Sebagaimana yang kita tahu, budaya atau kebudayaan itu berasal dari bahasa sanskrit iaitu buddhayah, yang merupakan bentuk jamak dari buddhi bermakna budi dan akal. Jadi budaya itu berkaitan dengan budi dan akal manusia.Dalam bahasa Inggeris kebudayaan disebut `culture' yang berasal dari kata latin `colere', yang maksudnya mengolah atau mengerjakan. Boleh juga diertikan sebagai mengolah atau mengerjakan tanah.

Dapat kita fahami bahawa budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sekelompok orang dan diturunkan atau diwariskan dari generasi ke satu generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit termasuk sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni.

Bagi saya budaya itu menjadi milik sesuatu kaum apabola mereka mengamalkannya atau membudayakannya dalam kehidupan seharian mereka. Budaya itu sifatnya dinamik, ia tidak statik. Oleh sebab itu, cabaran kita ialah kita memperhebatkan usaha-usaha inventori supaya budaya itu tidak hilang. Sesuatu budaya itu hilang apabila tidak ada usaha-usaha pendokumentasian.

Misalnya jika kita katakan bahawa sukubangsa kita adalah bangsa yang hebat dan pakar mengenai dunia dan alam kelautan, dia mesti tahu spesies ikan, ikan putih misalnya...berapa spesies ikan putih... dia mesti tahu. Selain itu, ilmu pelayaran, arah angin, ilmu perbintangan dan sebagainya. Berapa jenis perahu, berapa muatannya, ukurannya dan sebagainya. Hal-hal seperti ini hendaklah didokumentasikan supaya satu masa nanti tidak hilang dan kita dipersalahkan oleh generasi berikutnya.

Perlu kita tekankan bahawa pertama sekali ialah kita mesti memelihara budaya, memuliharanya, memperkayakannya, menjadikannya tradisi, barulah kita dapat mewariskan kepada generasi kita.

UB: Baru-baru ini Datu mengilhamkan pameran mengenai hantu dengan menjadikan `bal-bal' sebagai maskot sempena Sabah International Folklore Festival (SIFF). Banyak tanggapan pro dan kontra terhadap pameran itu kerana keberanian Datu mengangkat hal yang dianggap negatif dalam masyarakat.Mengapa Datu memilih Bal-Bal sebagai maskot pameran itu?

DRDS: Bal-bal adalah satu mitos dan cerita rakyat yang terdapat masyarakat kita. Ia selalu dipandang negatif oleh orang, tetapi hal ini menarik untuk kita jadikan pameran kerana setiap bangsa mempunyai legenda, mitos dan cerita rakyat masing-masing.

Perkataan `Bal-bal' sebenarnya adalah satu bentuk ilmu hitam yang diamalkan oleh sukubangsa Iranun pada masa dahulu. Kononnya seseorang yang mengamalkan bal-bal itu terlibat dalam pertempuran,kebal,memiliki keupayaan untuk terbang, dan menghilangkan diri. Ini terdapat dalam mitologi Iranun. Dalam semua masyarakat mempunyai mitos masing-masing.Misalnya dalam masyarakat Bajau, ada mangat, ada balan-balan, hantu penanggal dan sebagainya.

Ia sudah menarik perhatian masyarakat. Kita cari aspek-aspek positif untuk kita ketengahkan. Kita tanya orang kampung, bal-bal itu bagaimana? adakah dia melompat seperti katak? Menurut mitos mereka, bal-bal itu terbang.Kerana kita tidak pernah melihatnya, kita buatkan kostume seperti burung.Kita merubah tanggapan orang dalam melihat cerita-cerita mitos rakyat itu. Kita mesti buka luas-luas fikiran kita dan melihat pelbagai cara untuk mengetengahkan mitos dan legenda yang kita miliki.

UB: Sempena Tamu Besar baru-baru ini, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah turut sama menganjurkan Perarakan dan Pertandingan Usunan. Perkara ini sangat menarik perhatian masyarakat. Apa komen Datu mengenai progran itu?

DRDS: Pada tahun ini, kita menganjurkan Perarakan dan Pertandingan Usunan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belu "Usunan" dipercayai dimulakan oleh etnik Iranun kira-kira 300 tahun yang lalut.Etnik Bajau mempopularkan kepada khalayak dan kini dimilik bersama oleh semua masyarakat di Kota Belud.

Kita berharap, tradisi ini terus hidup dan berkembang dalam masa yang sama keasliannya dapat dikekalkan untuk kita wariskan kepada generasi akan datang. Kita mengadakan program itu, salah satu objektifnya ialah memberi pendedahakn kepada masyarakat dan golongan muda untuk mengenal lebih dekat dan mendalam tentang keguanaan usunan pada masa dulu dan sekarang.

Selain untuk mengeratkan silaturahim antara etnik, objektif kita juga ialah memulihara, memelihara dan memartabatkan warisan budaya (usunan) untuk diwariskan kepada generasi muda. Matlamat utamanya program itu ialah menarik minat khasnya golongan belia dan pelancong luar agar memahami dan mengenal budaya serta menjadikan perarakan Usunan ini satu cara yang unik dan berdaya saing.

Bagi saya, kebudayaan yang kita miliki, kita mesti peragakan dengan melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.Kita didik dan bimbing mereka untuk mencintai budaya.Kalau mereka iaitu generasi muda meminati budaya, sudah tentu kebudayaan kita akan kekal lama.

UB: Sepanjang tahun ini, apa lagi menarik yang boleh dikongsi pembaca?

DRDS: Saya tertarik dengan Pesta Kebudayaan Tawau yang boleh dikatakan amat berjaya, disertai 30 kumpulan yang budaya suku kaum yang unik, dan mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat di Tawau termasuk generasi muda. Ini sangat menarik sekali. Ia dianjurkan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Majlis Perbandaran Tawau.

UB: Apa projek LKNS yang terkini?

DRDS: Sekarang ini kita sedang giat membuat inventori budaya. Tujuh budaya etnik sedang dibuat inventorinya manakala enam lagi kini di peringkat cadangan, menjadikan kesemuanya 13 yang akan kita buat. Kita mulakan dengan pendekatan yang agak mudah. Kita mencatat budaya kita yang dikhuatiri akan hilang. Kita mempunyai 25 kriteria untuk kerja-kerha inventori. Kita merakamkan teknologi menangkap ikan, misalnya, kita merakamkan juga lagu-lagu rakyat dan sebagainya. Setakat ini kita mengadakan kerjasama dengan persatuan-persatuan suku kaum, bagi memudahkan kerja-kerja inventori itu.

UB: Bagaimana pula mengenai kajian kosakata?

DRDS: LKNS juga sedang menjalankan kajian kosa kata etnik, kini melibatkan enam suku kaum. Ini sedang berjalan.Terdapat kira-kira 35 etnik di Sabah dan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.

Saya kira inilah salah satu cabaran kita, iaitu kita pelihara budaya, kita pulihara, kita perkayakan, saya lebih suka menggunakan perkataan, perkayakan bukan kreatifkan, kita peragakan dan akhirnya kita turunlan dan kita wariskan kepada generasi seterusnya.

Selain itu, sebenarnya banyak lagi yang perlu kita dokumentasikan.Dalam masyarakat Iranun, misalnya, selain kekayaan kosakata, masyarakat Iranun juga memiliki Epik Darangen, satu epik yang mengisahkan mengenai ketokohan dan kepahlawanan Paramata Bantogen. Epik ini telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO. Sebenarnya terdapat 17 bab dalam epik yang ditulis dalam tulisan jawi yang disebut Kirim. Tapi masyarakat Iranun menganggapnya sebagai pusaka, sehingga lama kelamaan amat jarang untuk kita menemui darangen itu.

UB: Oh ya, Boleh tahu sedikit mengenai latar belakang Datu?

DRDS: Saya fikir yang lebih penting ialah apa yang kita dapat sumbangkan pada ketika ini. Kita dinilai dengan apa yang kita yang sumbangkan dan bukan apa latar belakang kita. Kalau kita katakan kita pernah sekolah di bawah pokok kayu, nanti orang berkata kita mohon simpati.Kalau kita kata kita pernah sekolah di bangunan tujuh tingkat, orang tafsirkan kita meninggi diri.

Itu pendapat saya secara peribadi mengenai latar belakang. Albert Einsten dan Mahatma Gandhi menjadi penting kerana apa yang dia sumbangkan kepada peradaban pada ketika itu.Kita lihat bagaimana budaya itu dinamik, tidak statik.

Bahkan kita lihat bahawa dulu kita mengerjakan tanah untuk tanam-tanaman tetapi sekarang orang sudah boleh menanam menggunakan kaedah hidroponik. Itu salah satu bukti bahawa budaya itu dinamik. Apa yang perlu kita lakukan sekarang, ialah budaya itu kita pelihara, kita pulihara, kita perkayakan, kita peragakan dan kemudian kita turunkan kepada anak-anak kita, generasi baru kita.

Sabtu, 26 November 2011

Belajar dari Keretapi, mengulas ucapan Arifin Arif

Tags

BARANGKALI tidak semua orang pernah menaiki keretapi.

Saya sendiri hanya tiga kali menaikinya. Kali pertama naik keretapi dari Bandung ke Yogyakarta. Kali kedua dan ketiga dari Stesen Tanjung Aru ke Beaufort. Sepatutnya pada perjalanan berikutnya, kami menaiki keretapi dari Beaufort ke Tenom tetapi tidak kesampaian kerana Beaufort mengalami banjir ketika itu.

Dari Tenom ke Melalap, saya mulai berangan-angan. Dari Melalap ke Keningau kemudian ke Nabawan, seterusnya ke Kalabakan.Dari Kalabakan ke Tawau, kemudian dari Tawau ke Lahad Datu terus ke Kinabatangan, langsung ke Sandakan.Dari Sandakan ke Beluran kemudian terus ke Paitan, dari Paitan ke Pitas, dari Pitas ke Kota Marudu terus ke kampung saya di Kota Belud, dari Kota Belud ke Tuaran, kemudian terus ke Kota Kinabalu dan berhenti di Stesen Tanjung Aru.

Alangkah baiknya jika ada perkhidmatan keretapi mengelilingi negeri Sabah.

Itulah sebabnya saya tertarik dengan ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd Arif yang membahaskan Bajet 2012 di bawah mauduk keretapi di Dewan Undangan Negeri Sabah yang baru selesai bersidang.

Sebagai seorang pemimpin yang dilahirkan di Membakut, Arifin akrab dengan keretapi, landasan dan gerabaknya. Beliau sendiri mengakui sering menaiki keretapi dan menceritakan sedikit pengalaman duduk di bangku kayu dari Membakut ke Tanjung Aru kira-kira 30 tahun yang lalu. Pada ketika itu, keretapi adalah pengangkutan utama. Bahkan sejak keretapi wujud di negeri Sabah kira-kira 115 tahun yang lalu, ia telah menggerakkan sebahagian roda ekonomi negeri Sabah.

"Saya berpendapat bahawa perkhidmatan keretapi bukanlah sekadar penghimbau nostalgia tetapi ia merupakan perkhidmatan alternatif bagi kemudahan rakyat. Perkhidmatan ini saya lihat masih tetap relevan sebagaimana negara-negara maju dunia yang lain tetap menggunakannya," kata Arifin dalam ucapannya.

Beliau mencadangkan agar Kerajaan membuat rancangan jangka panjang ke arah mewujudkan rangkaian landasan perkhdimatan keretapi di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat seperti merancang penyambungan landasan untuk perkhidmatan ini ke Tawau, Sandakan, Tuaran seterusnya mengembangkan perkhidmatan pengangkutan menuju pelabuhan.

"Tidak mustahil, jika kita bersungguh, mempunyai kemahuan dan berusaha mencari jalan, kita juga mungkin dapat merealisasikan impian membina rangkaian perkhidmatan keretapi Trans Borneo yang menjadi penghubung antara negara. Bukan juga mustahil, setelah berhadapan dengan kesesakan jalan raya dan tuntutan bergerak mudah dan pantas di ibu negeri satu masa nanti mahu tidak mahu perkhidmatan monorel atau LRT menjadi alternatif yang tidak tergambarkan," katanya.

Banyak yang disebut oleh Arifin dalam ucapan perbahasannya di DUN itu. Sebagai Wakil Rakyat Membakut, beliau mencadangkan agar Kedai Pekan Lama Membakut dijadikan bangunan warisan yang disediakan dengan penginapan,gerai kraf, pusat seni budaya dan arena persembahan tradisi, permintaan supaya kerajaan membaiki Klinik Membakut dan membina sebuah hospital baru di Membakut,memperbanyak perpustakaan desa, pembinaan mini kompleks sukan, dan ucapan terima kasihnya atas pengumuman Ketua Menteri menjadikan Membakut sebuah daerah penuh dan penghargaannya atas pembangunan keilmuan seperti pembinaan perpustakaan baru di Membakut.

Banyak sebenarnya yang boleh kita pelajari daripada keretapi, kata Arifin lagi. Satu ketika dahulu orang suka menggunakan istilah ketinggalan keretapi yang merujuk kepada ketinggalan maklumat, sering lambat dan tidak cekap.

"Lihatlah pula sifat keretapi, bila sahaja ia bergerak dan meninggalkan stesen, kita tak dapat melambai dan memintanya berundur semula. Jika mahu, tunggulah keretapi yang lain mengikut jadual. Jika kita menunggu tanpa mengikut jadual, kita juga akan bakal tertinggal," katanya.

Keretapi sesungguhnya mengajar kita tentang disiplin dan pengurusan masa., jelas Arifin lagi Kebanyakan kegagalan dalam kehidupan manusia adalah kegagalan dalam menjaga, mengurus dan menghargai masa. Kejayaan kerajaan kita dalam mengurus kewangan negeri dan dana rakyat dengan baik sehingga mampu mendapat pelbagai pengikut pengiktirafan, dan sehingga mampu memakmurkan rakyat seperti yang dibuktikan menerusi ucapan bajet 2012 adalah kerana kecekapan kita dalam mengurus masa yang amat berharga serta menjadualkan program yang berkesan dan bermanfaat untuk rakyat.

"Cuba kita perhatikan gerak roda keretapi dengan hembusan bunyinya yang bernada serentak. Cuba pula kita perhatikan gerak roda pada semua gerabak, juga bergerak sama serentak. Dengan gerak serentak itulah baru kepala kereta api boleh berjalan meluncur melalui landasan. Inilah pancaran nilai amal jamaei, bekerja dalam satu pasukan, sentiasa bermuafakatan dan bekerjasama dalam menjayakan misi dan visi samaada dalam organisasi mahupun di peringkat kepimpinan di seluruh peringkat", katanya

Cuba pula kita perhatikan kepala keretapi itu, kepala keretapi itu hanya satu, ia tidak mungkin dua, jika dua salah satunya pasti berada di luar landasan dan akan tergelincir dan tumbang.

"Setiap gerabak dengan gerabak yang lain berpaut erat besi pengaitnya, besi pengait ini saling berpaut antara semua gerabak. Jika besi pengaitnya terlepas, gerabak akan tertinggal," katanya.

Beliau menyimpulkan bahawa semua itu membawa nilai persefahaman dan saling berkait erat hati, jasad serta agenda perjuangan. Katanya, biar berbeda gerabak suku, agama atau status nama jika saling berkait tentu akan mudah kepala membawa meluncur landasan menuju perhentian yang dituju.

Benar, kata Arifin, banyak sebenarnya yang boleh kita pelajari dari keretapi. Banyak juga pengajaran yang kita perolehi bagi mengelakkan tragedi pelanggaran keretapi, ini tambahan dari saya sendiri.

Jaafar Alam, menulis sejak 70-an

Tags

Bila mula menulis bang?

"Lama, ndak ingat sudah," katanya. Dalam tahun-tahun 70-an, ketika dunia kesusasteraan di Sabah tumbuh subur, Jaafar Alam bersama Nasir Manaf, Suari Lahi, Junaidah Sunoh.

"Malah Tan Sri Sunoh Marso sendiri juga kami menulis.Beliau kami punya Sifu" kata Jaafar kepada saya ketika kami duduk di sebuah kedai mamak di Api-Api Centre.

Ketika itu beliau sedang duduk sendirian dan bercadang pulang ke Lahad Datu selepas menghadiri mesyuarat DPBS di Kota Kinabalu.

"Dulu abang menulis apa?" saya bertanya kepadanya. Walaupun lebih dikenali sebagai aktivis, Jaafar juga sebenarnya terlibat dalam dunia penulisan.

Beliau lebih banyak menulis puisi, dan menulis berita.

Satu hari, beliau ingat kata-kata Emin Madi ketika beliau berkunjung ke pejabatnya,"Jaafar, kau ingat, bakul sampah saya besar di Ofis. Saya tengok intro, kalau ndak ngam, saya buang," katanya mengingat kata-kata Emin, yang menjadi perangsang kepadanya untuk menulis lebih baik.

Nasihat dan kata-kata yang dilontarkan oleh Emin, yang pada waktu itu Ketua Editor, sebuah syarikat suratkhabar tempatan, mendorong Jaafar untuk menghasilkan tulisan yang berkualiti, agar tulisan atau karyanya itu tidak dimasukkan ke dalam bakul sampah oleh Emin.

"Terus terang, kata-kata Emin itu membuat saya untuk menulis lebih baik lagi," katanya.

Selain menulis, Jaafar juga aktif dalam kegiatan seni. Ketika berada di ibu negeri, beliau ingat,pada waktu itu, antara rakan-rakannya dulu ialah Amin Muin, Lokman Sunggim, Ismaily Bungsu, Joidin Jahim dan ramai lagi.

"Walaupun tidak lagi aktif menulis, tapi saya terus bergiat dalam dunia sastera. Sering hadir dalam seminar-seminar, bengkel dan pertemuan penulis sekiranya ada masa yang terluang," katanya.

Kini Jaafar menjadi Pengerusi Badan Bahasa dan Sastera (BAHASA) Lahad Datu.

"Apa kegiatan abang selain terlibat dalam aktiviti basa dan sastera?"

Jaafar mengakui beliau juga seorang aktivis sosial.Beliau sentiasa merasai denyut nadi masyarakatnya. "Saya suka terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan," katanya. Untuk itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Lahad Datu, Ahli Lembaga Pengarah PENGASAH (Persatuan Nelayan Negeri Sabah), dan juga Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS).

Bukan itu saja, Jaafar juga terlibat dalam persatuan sukan seperti SAFA, Malah beliau pernah menjadi Naib Pengerusi SAFA Bahagian Tawau, Pengerusi Safa Lahad Datu, Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA) Lahad Datu, Persatuan Taekwondo dan sebagainya.

Jaafar Alam dilahirkan di Tambisan pada 20 Jun 1951. Kini beliau menumpukan kerjaya dalam perniagaan. Namun minatnya dalam aktiviti kesusasteraan, kesenian dan kebahasaan tidak pernah luntur.

Di celah-celah kesibukannya, Jaafar sentiasa menyempatkan diri untuk membaca buku walaupun tidak serajin dahulu.

"Saya minat semua jenis buku terutamanya buku berkaitan sejarah," katanya yang pernah bersekolah di SK Tambisan.

"Dulu kalau mahu ke Sandakan, terpaksa naik motor (motobot) selama 12 jam," katanya. Sandakan adalah bandar terdekat dari Tambisan, dan kenderaan yang disebutnya `motor' itu tak ubahnya bot nelayan sekarang ini.

Beliau juga menempuh pelbagai kerjaya dalam hidupnya, antaranya kakitangan Jabatan Laut, Kastam dan juga pernah menjadi Setiausaha Syarikat. Dalam bidang perniagaan, beliau terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan.Malah beliau pernah menjual kuih untuk menyara keluarga. Ini semua mengajar saya hidup katanya.

"Keutamaan hidup saya ialah keluarga, baru kerjaya," kata Jaafar lagi yang bertekad untuk terus membantu masyarakat.

Pertemuan dengan Jaafar Alam walaupun singkat tetapi sedikit sebanyak dapat menyingkap kegiatannya dalam penulisan dan kemasyarakatan.

Sabtu, 19 November 2011

Sheena James terokai dunia E-Book

Tags

E-BOOK mungkin bukan perkara baru bagi sebilangan orang. Ketika ini e-book atau ebook atau disebut buku elektronik atau buku yang diterbitkan dalam bentuk digital kini semakin diminati dan mempunyai peminat yang ramai di seluruh dunia.Hanya dengan menggunakan komputer peribadi, ipod,ipad atau iphone, pembaca boleh membaca buku-buku atau karya penulis dari belahan bumi yang lain. Selain teks, ebook juga mengandungi gambar-gambar yang boleh dibaca menggunakan peralatan elektronik.

Kamus Oxford mendefinisikan E-Book sebagai versi elektronik buku bercetak. Tapi ada juga ebook yang wujud hanya dalam alam siber tanpa bahan bercetak. Kadang-kadang ebook sama isinya dengan buku yang dicetak secara konvensional tapi ebook juga boleh lahir secara digital. Ebook boleh dimuat turun setelah kita memesan agtau membeli dari penulis atau penerbitnya. Kini e-books semakin digemari oleh penulis di seluruh dunia kerana mereka mampu mendapatkan pembaca yang lebih ramai dari manca negara malah ada buku yang laris di pasaran ebook kerana ia menawarkan cerita yang menarik.

Seorang penulis Sabah, Sheena James yang pernah menghasilkan novel Angels That Came, sebuah buku yang diterbitkan Xlibris. Com di Amerika, kini adalah penulis yang memasarkan karyanya melalui ebook. Buku Angels That Came yang berbicara mengenai konsep evolusi dan penemuan berkaitan biomass, adalah sebuah buku yang mempromosi pemuliharaan alam sekitar dan spesies-species dari kepupusan.

Sebagai seorang yang terdidik dalam bidang Conservation Biology dari UMS dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Cardiff Wales, lulus sarjana Sains dalam tahun 2007, Sheena komited dalam cintanya terhadap alam sekitar. Beliau menulis mengenai dunia orangutan dengan menarik apatahlagi orangutan sudah lama menjadi daya tarik pelancong ke negeri ini.

Minggu lalu saya sempat bertanyakan Sheena berkenaan dengan e-book, dimana karyanya kini dipasarkan dengan meluas."E-book sebenarnya adalah naskah terbitan elektronik hanya boleh dibaca melalui software atau ipad atau iphone, harganya lebih murah berbanding daripada harga buku itu sendiri" katanya melalui kotak facebook.

Bagaimana lahir minat untuk menulis dalam ebook?

"Ini bukan merupakan suatu program tetapi merupakan sejenis jualan yang ada di internet. Penerbit saya telah memberi saya ebook dan beberapa naskah buku untuk tujuan promosi. Saya telah pun menyampaikan senaskah ke Starbucks untuk minat pembaca. Kerana saya terdorong oleh tanggungjawab sosial saya.Namun, bila saya telah kembali ke lokasi tersebut, saya mendapati bahawa buku itu sudah tiada lagi di tempat majalah. Mungkin ada orang yang telah mengambilnya.

"Meskipun begitu, kembali kepada soalan tadi, ebook itu hanya merupakan bahan bacaan elektronik yang boleh dibelek menggunakan perisian," katanya. Beliau berharap,hasil kutipan daripada keuntungan ini diberi hasil sumbangan komuniti ataupun kepada anak-anak yang merempat

Boleh jelaskan sedikit mengenai ebook? saya bertanya lagi.

"Sebenarnya, penerbit saya adalah dinamakan Xlibris yang merupakan korperasi di Indiana, U.S. Ebook ini hanyalah berbagai jenis cetakan yang boleh didapati untuk buku saya ini. Ebook memang semakin berkembang dengan adanya sumber perisian baru semakin meluas. Jika anda ada iphone atau ipad, senang untuk meninjau kandungan buku ini.

"Saya rasa, sebagai seorang penulis atau pembaca, anda seharusnya mempunyai benda-benda ini. Saya takut nanti sekiranya salinan ini diberi kepada orang. Oleh itu, kepada mereka yang tidak mempunyai Apple, mereka tidak boleh membelek ebook ini.

Apa tema yang diminati oleh pembaca-pembaca ebook?

"Pada pendapat saya, tema-tema yang amat diminati ramai pembaca adalah skop cabaran seperti cerita mitos yang mencelik minda bersama seperti tekateki yang dapat membina pemikiran.Saya juga melihat banyak isu yang boleh diangkat untuk ditulis dalam ebook.Misalnya anak-anak terbiar yang banyak saya lihat dalam gambar.Alangkah baiknya jika kita dapat memberikan perhatian dan sumbangan dan sebagainya.. Semua ini boleh jadi bahan penulisan yang menarik.