Saturday, November 12, 2011

Aliasgar, pernah menjual nasi lemak di Carbondale

ALIASGAR, PERNAH MENJUAL NASI LEMAK DI CARBONDALE

SELEPAS menghirup secangkir kopi di Likas Plaza, Pengarah Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR), Datuk Aliasgar Haji Basri mengajak Utusan Borneo ke pejabatnya di Tingkat 7, Menara Tun Mustapha untuk sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu. Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran adalah seorang tokoh yang bukan saja terkenal di negeri ini malah pernah terpilih mewakili Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Islam (Islamic Leadership Development Program) anjuran Asian Institute of Management (AIM) yang beribu pejabat di Manila. Mantan juruhebah RTM ini pernah melalui pelbagai kisah hidup yang menarik sewaktu belajar di luar negara, berniaga nasi lemak di Carbondale, pernah disahkan menghidap penyakit barah dan sebagainya. Anak kedua daripada pasangan Haji Basri Mohidin dan Hajah Siti Ramlah Kawi, mempunyai 12 adik beradik. Aliasgar mendirikan rumah tangga dengan Datin Jumiah Eli dan dikurniakan lima orang anak.

Ikuti catatan temubual wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN bersama Datuk Aliasgar Haji Basri mengenai pelbagai pengalaman pahit manis dalam hidupnya, sejak dari kecil bersekolah di Kampung Serusup sehingga menjadi Pengarah UPKR yang mempunyai 62 Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) dan 800 kakitangan di seluruh Sabah.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi bersama Utusan Borneo. Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang Datuk?

DATUK ALIASGAR BASRI (DAB): Saya lahir di Kampung Serusup, tepatnya di Kampung Taun Pinang, di seberang Serusup ketika musim menanam padi. Ketika itu ibubapa saya mengusahakan menanam padi. Mungkin lebih sesuai disebut penanam padi kerana memang hanya mengusahakan tanaman padi. Kalau disebut petani, mungkin tidak sesuai kerana ia tidak menanam jenis tanaman pertanian yang lain.

Ketika musim menanam padi, masa itulah saya lahir. Tahun 1960.Bapa saya seorang nelayan dan juga penanam padi. Hidup dengan bertanam padi dan menangkap ikan. Boleh dikatakan hidup sara diri, ada yang dimakan, ada yang dijual. Saya memiliki keluarga yang ramai. Saya adalah anak kedua dari 12 adik beradik, enam lelaki enam perempuan.

UB: Dimana Datuk bersekolah?

DAB: Saya mulai bersekolah di SK Kampung Serusup dan Sekolah Agama di kampung Serusup juga. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di SMK Tuaran dan selepas itu SM St John sehingga Tingkatan Lima.

UB: Boleh ceritakan sedikit suasana persekolahan ketika itu?

DAB: Ketika itu kami bersekolah dalam English Medium (Aliran English). Lulus MCE Grade 3 kerana gagal mata pelajaran English. Selepas itu, saya bekerja di RTM sebagai News Reporter, Translator. Kemudian saya ditawarkan menyambung pelajaran dalam Tingkatan Enam Aliran Melayu di SMK Menggatal, tapi akhirnya saya memilih untuk belajar secara corespondent dan beberapa kali mengambil peperiksaan HSC. Waktu itu, keputusan 4 P baru boleh memasuki Universiti. Saya selalu mendapat Prinsipal dalam Kertas Am dan Bahasa Melayu. Tidak lama kemudian saya ditawarkan kerja part time on full time basis iasepenuh masa tetapi bertaraf sementara.

UB: Dari RTM, Datuk bertugas dimana pula?

DAB: Selepas itu saya bekerja sebagai Pegawai Perumahan di Lembaga Perumahan, kira-kira tahun 1980an. Namun pada masa yang sama saya bekerja sambilan sebagai pembaca berita dan penterjemah di RTM. Saya masih meneruskan kerjaya membaca Berita TV Sabah untuk rangkaian 3, Voicing Program dan sebagainya. Ketika itu, saya ingat lagi Datuk Bernard Maraat bertugas sebagai penerbit.

UB: Apa pengalaman sewaktu berrtugas sebagai pemberita dan penterjemah?

DAB: Banyak pengalaman saya ketika ity.Satu ketika saya diminta menterjemahkan berita Inggeris ke bahasa Bajau. Datuk Abdul Ghani Rashid sendiri yang bertindak sebagai penyunting. Apabila siap beliau berkata, ini bukan terjemahan dalam bahasa Bajau, ini terjemahan dalam bahasa Melayu. Dari situ saya belajar, bukan senang menterjemah bahasa Inggeris ke bahasa bajau. Lama-kelamaan saya dapat membaiki kelemahan. Bahkan boleh menterjemah bahasa Inggeris ke bahasa Bajau tanpa menggunakan teks. Saudara Kusin Haji Diasin boleh mengesahkannya. Saya masuk konti dan menterjemahkan secara langsung bahasa Inggeris ke Bahasa Bajau. Saya melatih diri. Di RTM, saya lebih banyak dalam berita bahasa Inggeris, berita bahasa bajau dan Berita TV. Saya ingat waktu itu antara rakan saya ialah Affendi Sunoh, arwah Abdullah Hashim, Kusin Haji Diasin dan Norah Mahali.

UB: Bagaimana pula Datuk berminat dalam bidang lakonan drama?

DAB: Sebenarnya sehingga sekarang, saya masih dijemput untuk berlakon drama radio sampai sekarang.Kak Azizah Haji Itam selalu menjemput untuk berlakon drama radio, biasanya dalam rancangan khas. Saya pernah digandingkan dengan Datuk Gan Poh Tiaw. Ada perkara lucu. Beberapa bulan selepas kami berlakon drama radio, kebetulan kami bersama-sama dianugerahkan anugerah Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri sempena Hari Jadinya. Selepas mendapat tahu mengenai senarai penerima pingat, saya menghubungi Datuk Gan yang waktu itu sedang berada di padang golf. Waktu itu dia belum tahu, jadi dia menjawab seadanya kerana berfikir bahawa ia hanya main main saja. Tetapi menjelang tengahari, barulah beliau menelefon semula mengucapkan terima kasih kerana ucapan tahniah dan beliau fikir waktu saya menelefon itu cuma drama saja. Lepas itu, beliau menerima tahniah bertubi tubi dari rakan-rakannya barulah dia percaya.

UB: Apa bezanya berlakon tv, dan berlakon radio?

DAB: Berlakon radio lebih mudah, kerana tidak banyak gerakan. selepas dua tiga kali berlatih, kita sudah boleh menguasainya.

UB: Bagaimana timbul minat belajar semula?

DAB: Ayah saya selalu berpesan agar kami sentiasa belajar. Beliau selalu berpesan bahawa tidak ada harta yang paling besar yang beliau dapat tinggalkan melainkan pendidikan. Beliau menggalakkan kami belajar, belajar mengaji, belajar silat. Kebetulan beliau seorang guru silat, beliau meminta kami agar belajar semua hal. Jadi Sebenarnya cita-cita untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi tidak pernah tumpul.

UB: Mungkin itu antara yang menjadi pendorong kepada Datuk untuk belajar lebih tinggi lagi?

DAB: Ya, saya selalu ingat pesan beliau. Alhamdulillah,Pada tahun 1982, saya mendapat tawaran untuk belajar di Hawaii Pacific College. Tidak berapa lama kemudian saya mendapat tawaran pula untuk belajar di Southern Illinois University di Carbondale. Jadi saya memilih SIU kerana di tanah besar, ramai pelajar dari Sabah.

UB: Apa kegiatan sepanjang pengajian di SIU?

DAB: Ketika di SIU, saya bergiat dalam Majlis Kebajikan Pelajar Sabah sebagai bendahari. Kemudian saya menjadi Naib Presiden Persatuan Pelajar Malaysia SIU dan kemuncaknya saya menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Amerika Utara yang meliputi Amerika Syarikat dan Kanada pada tahun 1985. Antara mantan Presiden PEMAU ialah Datuk Dr.Awang Adek, Datuk Mutalib Alias dan lain-lain lagi.

UB: Tentu banyak yang menarik ketika dalam kegiatan mahasiswa sewaktu berada di Amerika?

DAB: Ketika itu saya banyak juga terlibat dalam kegiatan mahasiswa.Ketika itu pelajar Malaysia juga ada yang cenderung kepada pro kerajaan dan ada juga kepada pembangkang seperti MISG. Saya teringat ketika itu sedang hangat perdebatan antara kerajaan dan pembangkang. Kami menjemut Datuk Ibrahim Azmi Hassan Yusof Noor (kini Tan Sri)dan Tan Sri Amar Wan Mokhtar sementara pihak yang sebelah lagi menjemput Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Seingat saya, Kelab UMNO yang mula-mula ditubuhkan di Amerika ialah Kelab UMNO di Carbondale. Saya menjadi antara pengasasnya. Saya masa itu menjadi Exco. Kelab UMNO Carbondale diketuai Mohd Yassin Kamari. Jika tidak silap, waktu itu Kelab UMNO di London diketuai Datuk Kadir Sheikh Fadzir. Tapi di Carbondale adalah Kelab UMNO pertama yang ditubuhkan di Amerika. saya bergiat dalam Kelab UMNO dari tahun 1983 hingga 1986 iaitu sehingga balik ke tanahair. Waktu itu UMNO belum mengembangkan sayapnya ke Sabah.

UB: Sejak bila pula Datuk terlibat dalam bidang kepimpinan?

DAB: Saya terlibat dalam bidang kepimpinan sejak berusia 18 tahun lagi. Saya telah mengikuti kursus kepimpinan JKKK pada tahun 1978, antara rakan saya ialah Naib Presiden USBO, Haji Norzain Haji Tawi. Selepas itu saya pernah mengikuti kursus kepimpinan di Pusat latihan Kepimpinan di Tuaran.

UB: Selepas balik ke Sabah, Datuk bertugas dimana pula?

DAB: Apabila balik ke tanahair, saya berkhidmat di Yayasan Sabah sehingga tahun 1987. Kemudian saya dilantik sebagai Pengurus Utusan Media Sales di Kota Kinabalu. Pada masa yang sama, saya bergiat sebagai Ahli Majlis Tertinggi Sanya.

UB: Sejak bila Datuk terlibat dalam politik Sabah khususnya UMNO?

DAB: Saya terlibat dalam UMNO sejak UMNo belum mengembangkan sayapnya ke Sabah lagi. Seperti yang saya katakan tadi, saya pernah menjadi Exco Kelab UMNO di Carbondale. Tetapi apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah pada 1991, saya menjadi salah seorang anggota penaja. Ketika ini, dalam AJK Bahagian UMNO Tuaran, tinggal saya seorang saja yang masih kekal daripada 20 orang yang menjadi penaja UMNO ketika itu.Selain menjadi AJK Bahagian, saya juga dilantik sebagai Setiausaha Pemuda bahagian.

Pada tahun 1994, saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) dan pada tahun 1996, saya dilantik sebagai Pengarah UPKR apabila Datuk Haji Sairin Karno dilantik sebagai Pengerusi Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Pada tahun 1998 hingga tahun 2001, saya terpilih sebagai Ketua Pemuda. Pada tahun 2001, saya bertanding Naib Ketua Bahagian tetapi kalah. Tetapi saya melihat kekalahan saya ketika itu sebagai satu peluang. Saya kemudian mengikuti pengajian MBA di UMS . Antara personaliti yang turut mengambil program MBA ialah Datuk Ainal Fattah, Datuk Matusin Sunsang.

Selepas itu, pada tahun 2004, saya bertanding Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan menang. Pada tahun 2009, saya bertanding sekali lagi mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan Alhamdulillah, sekali lagi diberi kepercayaan. Ketika ini saya menjawat jawatan Setiausaha Biro Latihan UMNO Sabah dan Ahli Jawatankuasa Biro Latihan UMNO Malaysia dan banyak terlibat menganjurkan kursus latihan di seluruh negara.

UB: Boleh Datuk ceritakan sedikit pengalaman ketika berada di luar negara?

DAB: Kalau diceritakan, memanglah banyak pengalaman sewaktu di sana. Namun sepanjang berada di sana, saya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk belajar.Selain itu, saya juga berniaga kecil-kecilan.

Isteri saya pandai membuat roti canai, walaupun tidaklah sesedap roti canai di kedai. Kebanyakan pelanggan berbilang bangsa, malah terdapat juga pelanggan kami dari India, yang bertanyakan mengenai roti canai.Dari situ, saya tahu roti canai tidak ada di India. Roti canai dibuat oleh mamak di Malaysia disesuaikan dengan selera Malaysia.

Sewaktu di universiti juga, saya menjual nasi lemak, nasi bungkus dan sebagainya. Memang sejak mahasiswa lagi, sudah ada jiwa entrepreneur. Lagi pula ketika belajar di Amerika itu melalui skim pinjaman. Jadi untuk menambah pendapatan, selain menambah kenalan juga, kami berjualan. Saya ingat lagi, setiap Sabtu saya berkereta ke Chicago, yang jauhnya kira-kira 400 batu untuk membeli ayam dan daging halal serta ramuan lain. Biasanya saya bergerak jam 5.00 pagi, tiba di Chicago kira-kira jam 11.00 pagi kemudian membeli segala barang keperluan. Jam 3.00 atau 4.00 petang, saya pulang semula ke Carbondale dan tiba sekitar jam 11.00 malam.

UB: Setahu kami Datuk juga terlibat dalam program Islamic Leadership Development Program. Boleh ceritakan sedikit mengenainya?

DAB: Sebenarnya pemilihan kami dicadang oleh UMS melalui kerjasama dengan Asian Institute of Management atau AIM. Terdapat 13 orang kesemuanya yang mengikuti program itu. Dua dari Malaysia iaitu Profesor Dr Roslina Ahmad Shaufi dan saya sendiri, dari Indonesia 3 orang dan lapan orang dari Filipina. Program anjuran AIM ini ditaja oleh British Embassy di Manila. Apa yang menarik ialah bagaimana AIM melihat mengenai kepimpinan Islam. Kami juga telah mengadakan tiga kali seminar, yang pertama di Indonesia, di Kuala Lumpur Malaysia dan di Manila. Di Indonesia kami menganjurkan program dan dibawa melawat Pesantren Al Qalam yang mempunyai 4,000 pelajar, sebuah pesantren moden dan Pesantren Darul Qurin yang memuatkan seramai 300 pelajar. Selepas itu kita membuat persidangan di Manila, anjuran AIM dan dihadiri oleh wakil wakil dari IPT termasuk UIA, UM, Prof Dr Sharifah Hayati, dan tokoh tokoh seperti Prof Abhoud Syed Lingga, dari Bangsamoro Development Agency (BDA), Prof Dr.Munir Bajunaid, yang kini menjadi Amir Haji Filipina.

Dalam salah satu seminar itu, diusulkan mengenai penubuhan International Islamic Leadership Peace & Development Foundation (IILPDF) dan sudah dipersetujui bahawa berpusat di Masjid Al-Ghufron Taman Dr Ismail.

UB: Apa hobi Datuk dimasa lapang?

DAB: Sebenarnya saya suka bermain bowling, badminton dan indoor games. Saya sebenarnya kaki bangku. Sekarang baru saya sedar mengapa saya kaki bangku. Saya bersekolah ketika umur saya lima tahun. Ketika itu saya selalu mengikuti abang saya ke sekolah. Oleh kerana itu, apabila ada perlawanan bola saya tidak bermain kerana saya paling kecil sementara rakan-rakan saya dalam darjah satu iaitu kebanyakannya berumur sembilan hingga sepuluh tahun. Kalau dibawa main bolasepak, tubuh saya agak kecil.Kalau dibawa bermain takraw juga saya dianggap kecil. Hanya saya pernah menyertai sukan lumba lari. Saya hanya menang sukan lumba lari 50 meter buat kira-kira, iaitu siapa yang dapat menyiapkan ilmu kira-kira matematik, dia dibenarkan berlari dahulu. dan ini saya selalu menang.

UB: Khabarnya Datuk juga pernah menderita penyakit barah?

DAB: Ya. saya disahkan menghidap penyakit Colon Cancer pada tahun 1992. Ketika itu saya berasa perut saya sering sakit. pada mulanya saya fikir gastrik. Tapi bila saya bawa ke hospital, penyakit itu pada mulanya tidak dapat dikesan. Pada bulan 11, saya menjalani pemeriksaan endokskopi. Kemudian Dr.Suppiah minta saya membuat pemeriksaan lagi. dan Kemudian pada 3 Disember saya menjalani pembedahan selama enam jam. Apa yang melucukan ialah ketika orang kampung bertanya penyakit kepada ibu saya, ibu saya mengatakan penyakit barah. Oh, kalau begitu tidak apa-apa. Mereka ingat itu banyak ba', iaitu satu penyakit angin dalam perut dalam bahasa Bajau. saya percaya semua kehiduoan kita Allah yang tentukan. Ketika Dr bertanya kau ada kancer, kau tidak takutkah. Selepas 18 bulan menjalani makan ubat, maka pada pertengahan 1994, Doktir mengucapkan tahniah kepada saya dan menyatakan saya 100 peratus sembuh dari penyaikit seperti 18 tahun sudah sembuh. Sampai sekarang saya tidak makan ubat lagi.Biasanya penyakit kanser boleh kambuh dalam waktu 3 tahun hingga 5 tahun. saya Alhamdulillah sudah sembuh.

UB: Apa cerita berhenti merokok?

DAB: Sebenarnya tabiat merokok boleh dihentikan melalui tekad kita ssendiri.Dulu saya seorang yang kuat merokok tetapi kemudian satu hari saya memutuskan untuk berhenti merokok. Saya kuatkan azam saya. Tetapi kepada mereka yang mahu berhenti merokok supaya berbuat demikian dan selepas itu membuat pemeriksaan kesihatan. ini kerana selepas berhenti merokoh, gaya hidup berubah . Dulu berat saya 74, meningkat ke 80 kemudian turun lagi kepada 75 kg.

UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai UPKR?

DAB: UPKR mempunyai 62 PKR di seluruh negeri. Di setiap 60 kawasan Dewan Undangan Negeri termasuk dua PKR di ibu pejabat. Selain itu terdapat seramai 800 kakitangan, pemaju mukim , JKKK dan sebagainya. UPKR bertanggungjawab untuk menerangkan polisi, matlamat, proses perancangan dan pelaksanaan program dan jentera pembangunan kepada rakyat.

Selain itu, ia juga membantu, melibatkan dan menyediakan kefahaman, bimbingan dan peluang kepada kumpulan sasaran dalam pemilihan program pembangunan di samping menyediakan program latihan serta menjadi pemudahcara atau penggerak pembangunan yang berkesan kepada rakyat supaya program-program pembangunan kerajaan dapat dimanafaatkan secara optimum;

UPKR juga berfungsi Untuk menyediakan satu rangkaian sistem maklumat dan maklumbalas yang berkesan supaya aspirasi rakyat dapat difahami dan dijadikan input kepada perancangan dan pelaksaan program pembangunan di semua peringkat selain menjadi perantaraan di antara kerajaan dengan rakyat melalui penyebaran maklumat mengenai dasar, program dan jentera kerajaan kepada rakyat, mengembeling pelbagai inisiatif dan kaedah inovatif untuk merangsang dan melibatkan semua lapisan masyarakat dalam pembangunan, Mengawas pelaksanaan dan keberkesanan program dan projek pembangunan masyarakat dan menggerakkan JKKK/JKDB sebagai jentera organisasi yang berkesan untuk membangunkan rakyat. Itulah secara ringkas mengenai UPKR.

No comments: