Sabtu, 26 November 2011

Belajar dari Keretapi, mengulas ucapan Arifin Arif

Tags

BARANGKALI tidak semua orang pernah menaiki keretapi.

Saya sendiri hanya tiga kali menaikinya. Kali pertama naik keretapi dari Bandung ke Yogyakarta. Kali kedua dan ketiga dari Stesen Tanjung Aru ke Beaufort. Sepatutnya pada perjalanan berikutnya, kami menaiki keretapi dari Beaufort ke Tenom tetapi tidak kesampaian kerana Beaufort mengalami banjir ketika itu.

Dari Tenom ke Melalap, saya mulai berangan-angan. Dari Melalap ke Keningau kemudian ke Nabawan, seterusnya ke Kalabakan.Dari Kalabakan ke Tawau, kemudian dari Tawau ke Lahad Datu terus ke Kinabatangan, langsung ke Sandakan.Dari Sandakan ke Beluran kemudian terus ke Paitan, dari Paitan ke Pitas, dari Pitas ke Kota Marudu terus ke kampung saya di Kota Belud, dari Kota Belud ke Tuaran, kemudian terus ke Kota Kinabalu dan berhenti di Stesen Tanjung Aru.

Alangkah baiknya jika ada perkhidmatan keretapi mengelilingi negeri Sabah.

Itulah sebabnya saya tertarik dengan ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd Arif yang membahaskan Bajet 2012 di bawah mauduk keretapi di Dewan Undangan Negeri Sabah yang baru selesai bersidang.

Sebagai seorang pemimpin yang dilahirkan di Membakut, Arifin akrab dengan keretapi, landasan dan gerabaknya. Beliau sendiri mengakui sering menaiki keretapi dan menceritakan sedikit pengalaman duduk di bangku kayu dari Membakut ke Tanjung Aru kira-kira 30 tahun yang lalu. Pada ketika itu, keretapi adalah pengangkutan utama. Bahkan sejak keretapi wujud di negeri Sabah kira-kira 115 tahun yang lalu, ia telah menggerakkan sebahagian roda ekonomi negeri Sabah.

"Saya berpendapat bahawa perkhidmatan keretapi bukanlah sekadar penghimbau nostalgia tetapi ia merupakan perkhidmatan alternatif bagi kemudahan rakyat. Perkhidmatan ini saya lihat masih tetap relevan sebagaimana negara-negara maju dunia yang lain tetap menggunakannya," kata Arifin dalam ucapannya.

Beliau mencadangkan agar Kerajaan membuat rancangan jangka panjang ke arah mewujudkan rangkaian landasan perkhdimatan keretapi di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat seperti merancang penyambungan landasan untuk perkhidmatan ini ke Tawau, Sandakan, Tuaran seterusnya mengembangkan perkhidmatan pengangkutan menuju pelabuhan.

"Tidak mustahil, jika kita bersungguh, mempunyai kemahuan dan berusaha mencari jalan, kita juga mungkin dapat merealisasikan impian membina rangkaian perkhidmatan keretapi Trans Borneo yang menjadi penghubung antara negara. Bukan juga mustahil, setelah berhadapan dengan kesesakan jalan raya dan tuntutan bergerak mudah dan pantas di ibu negeri satu masa nanti mahu tidak mahu perkhidmatan monorel atau LRT menjadi alternatif yang tidak tergambarkan," katanya.

Banyak yang disebut oleh Arifin dalam ucapan perbahasannya di DUN itu. Sebagai Wakil Rakyat Membakut, beliau mencadangkan agar Kedai Pekan Lama Membakut dijadikan bangunan warisan yang disediakan dengan penginapan,gerai kraf, pusat seni budaya dan arena persembahan tradisi, permintaan supaya kerajaan membaiki Klinik Membakut dan membina sebuah hospital baru di Membakut,memperbanyak perpustakaan desa, pembinaan mini kompleks sukan, dan ucapan terima kasihnya atas pengumuman Ketua Menteri menjadikan Membakut sebuah daerah penuh dan penghargaannya atas pembangunan keilmuan seperti pembinaan perpustakaan baru di Membakut.

Banyak sebenarnya yang boleh kita pelajari daripada keretapi, kata Arifin lagi. Satu ketika dahulu orang suka menggunakan istilah ketinggalan keretapi yang merujuk kepada ketinggalan maklumat, sering lambat dan tidak cekap.

"Lihatlah pula sifat keretapi, bila sahaja ia bergerak dan meninggalkan stesen, kita tak dapat melambai dan memintanya berundur semula. Jika mahu, tunggulah keretapi yang lain mengikut jadual. Jika kita menunggu tanpa mengikut jadual, kita juga akan bakal tertinggal," katanya.

Keretapi sesungguhnya mengajar kita tentang disiplin dan pengurusan masa., jelas Arifin lagi Kebanyakan kegagalan dalam kehidupan manusia adalah kegagalan dalam menjaga, mengurus dan menghargai masa. Kejayaan kerajaan kita dalam mengurus kewangan negeri dan dana rakyat dengan baik sehingga mampu mendapat pelbagai pengikut pengiktirafan, dan sehingga mampu memakmurkan rakyat seperti yang dibuktikan menerusi ucapan bajet 2012 adalah kerana kecekapan kita dalam mengurus masa yang amat berharga serta menjadualkan program yang berkesan dan bermanfaat untuk rakyat.

"Cuba kita perhatikan gerak roda keretapi dengan hembusan bunyinya yang bernada serentak. Cuba pula kita perhatikan gerak roda pada semua gerabak, juga bergerak sama serentak. Dengan gerak serentak itulah baru kepala kereta api boleh berjalan meluncur melalui landasan. Inilah pancaran nilai amal jamaei, bekerja dalam satu pasukan, sentiasa bermuafakatan dan bekerjasama dalam menjayakan misi dan visi samaada dalam organisasi mahupun di peringkat kepimpinan di seluruh peringkat", katanya

Cuba pula kita perhatikan kepala keretapi itu, kepala keretapi itu hanya satu, ia tidak mungkin dua, jika dua salah satunya pasti berada di luar landasan dan akan tergelincir dan tumbang.

"Setiap gerabak dengan gerabak yang lain berpaut erat besi pengaitnya, besi pengait ini saling berpaut antara semua gerabak. Jika besi pengaitnya terlepas, gerabak akan tertinggal," katanya.

Beliau menyimpulkan bahawa semua itu membawa nilai persefahaman dan saling berkait erat hati, jasad serta agenda perjuangan. Katanya, biar berbeda gerabak suku, agama atau status nama jika saling berkait tentu akan mudah kepala membawa meluncur landasan menuju perhentian yang dituju.

Benar, kata Arifin, banyak sebenarnya yang boleh kita pelajari dari keretapi. Banyak juga pengajaran yang kita perolehi bagi mengelakkan tragedi pelanggaran keretapi, ini tambahan dari saya sendiri.