Monday, November 28, 2011

Budaya itu dinamik, bukan statik, kata Datu Rosmadi

BUDAYA ITU DINAMIK, BUKAN SESUATU YANG STATIK

"BAGI SAYA, budaya itu dinamik. Saya tidak percaya kalau dikatakan budaya itu statik," kata Datu Rosmadi Datu Sulai, 49, sebaik kami duduk di sebuah restoran di Asia City, petang Selasa lepas.Hari itu, beliau tidak begitu sibuk dan bersedia untuk diwawancara Utusan Borneo sambil minum petang dalam suasana yang lebih santai. Sejak menjadi Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datu Rosmadi sentiasa sibuk dengan pelbagai program untuk memartabatkan warga seni dan warisan budaya negeri ini bukan saja di peringkat nasional malah hingga ke peringkat antarabangsa.

Meskipun Datu Rosmadi seorang yang suka merendah diri tetapi beliau seorang yang tegas, berani, dan `action oriented' dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Lahir di Kampung Pantai Emas Kota Belud, beliau memulakan pendidikan awal di SK Peladok sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Arshad Kota Belud sehingga tingkatan tiga. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Likas hingga tingkatan 5. Selepas itu, beliau meneruskan pelajaran di Maktab Sabah hingga lulus Tingkatan Enam. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kerja di Jabatan Ketua Menteri. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat sehingga lulus peringkat sarjana.Sekembalinya ke Sabah, beliau menjawat pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri. Beliau pernah menjadi Penolong Setiausaha,Kementerian Pembangunan Sosial,Penolong Setiausaha Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan. Kini beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sejak 20 April 2009.

Ikuti petikan wawancara wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN bersama DATU ROSMADI DATU SULAI mengenai usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan budaya, pembinaan budaya dan isu-isu berkaitan budaya di negeri ini.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi diwawancara. Kami sangat berbesar hati kerana berpeluang mewawancara YM Datu mengenai isu-isu dan cabaran budaya, perancangan dan pembinaan budaya dan sebagainya. Sejak menjadi Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, apa perkara yang menarik perhatian Datu? Apa cabaran yang Datu hadapi?

DRDS: Memang banyak perkara yang menarik. Budaya adalah satu bidang yang luas. Sebagaimana yang kita tahu, budaya atau kebudayaan itu berasal dari bahasa sanskrit iaitu buddhayah, yang merupakan bentuk jamak dari buddhi bermakna budi dan akal. Jadi budaya itu berkaitan dengan budi dan akal manusia.Dalam bahasa Inggeris kebudayaan disebut `culture' yang berasal dari kata latin `colere', yang maksudnya mengolah atau mengerjakan. Boleh juga diertikan sebagai mengolah atau mengerjakan tanah.

Dapat kita fahami bahawa budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sekelompok orang dan diturunkan atau diwariskan dari generasi ke satu generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit termasuk sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni.

Bagi saya budaya itu menjadi milik sesuatu kaum apabola mereka mengamalkannya atau membudayakannya dalam kehidupan seharian mereka. Budaya itu sifatnya dinamik, ia tidak statik. Oleh sebab itu, cabaran kita ialah kita memperhebatkan usaha-usaha inventori supaya budaya itu tidak hilang. Sesuatu budaya itu hilang apabila tidak ada usaha-usaha pendokumentasian.

Misalnya jika kita katakan bahawa sukubangsa kita adalah bangsa yang hebat dan pakar mengenai dunia dan alam kelautan, dia mesti tahu spesies ikan, ikan putih misalnya...berapa spesies ikan putih... dia mesti tahu. Selain itu, ilmu pelayaran, arah angin, ilmu perbintangan dan sebagainya. Berapa jenis perahu, berapa muatannya, ukurannya dan sebagainya. Hal-hal seperti ini hendaklah didokumentasikan supaya satu masa nanti tidak hilang dan kita dipersalahkan oleh generasi berikutnya.

Perlu kita tekankan bahawa pertama sekali ialah kita mesti memelihara budaya, memuliharanya, memperkayakannya, menjadikannya tradisi, barulah kita dapat mewariskan kepada generasi kita.

UB: Baru-baru ini Datu mengilhamkan pameran mengenai hantu dengan menjadikan `bal-bal' sebagai maskot sempena Sabah International Folklore Festival (SIFF). Banyak tanggapan pro dan kontra terhadap pameran itu kerana keberanian Datu mengangkat hal yang dianggap negatif dalam masyarakat.Mengapa Datu memilih Bal-Bal sebagai maskot pameran itu?

DRDS: Bal-bal adalah satu mitos dan cerita rakyat yang terdapat masyarakat kita. Ia selalu dipandang negatif oleh orang, tetapi hal ini menarik untuk kita jadikan pameran kerana setiap bangsa mempunyai legenda, mitos dan cerita rakyat masing-masing.

Perkataan `Bal-bal' sebenarnya adalah satu bentuk ilmu hitam yang diamalkan oleh sukubangsa Iranun pada masa dahulu. Kononnya seseorang yang mengamalkan bal-bal itu terlibat dalam pertempuran,kebal,memiliki keupayaan untuk terbang, dan menghilangkan diri. Ini terdapat dalam mitologi Iranun. Dalam semua masyarakat mempunyai mitos masing-masing.Misalnya dalam masyarakat Bajau, ada mangat, ada balan-balan, hantu penanggal dan sebagainya.

Ia sudah menarik perhatian masyarakat. Kita cari aspek-aspek positif untuk kita ketengahkan. Kita tanya orang kampung, bal-bal itu bagaimana? adakah dia melompat seperti katak? Menurut mitos mereka, bal-bal itu terbang.Kerana kita tidak pernah melihatnya, kita buatkan kostume seperti burung.Kita merubah tanggapan orang dalam melihat cerita-cerita mitos rakyat itu. Kita mesti buka luas-luas fikiran kita dan melihat pelbagai cara untuk mengetengahkan mitos dan legenda yang kita miliki.

UB: Sempena Tamu Besar baru-baru ini, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah turut sama menganjurkan Perarakan dan Pertandingan Usunan. Perkara ini sangat menarik perhatian masyarakat. Apa komen Datu mengenai progran itu?

DRDS: Pada tahun ini, kita menganjurkan Perarakan dan Pertandingan Usunan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belu "Usunan" dipercayai dimulakan oleh etnik Iranun kira-kira 300 tahun yang lalut.Etnik Bajau mempopularkan kepada khalayak dan kini dimilik bersama oleh semua masyarakat di Kota Belud.

Kita berharap, tradisi ini terus hidup dan berkembang dalam masa yang sama keasliannya dapat dikekalkan untuk kita wariskan kepada generasi akan datang. Kita mengadakan program itu, salah satu objektifnya ialah memberi pendedahakn kepada masyarakat dan golongan muda untuk mengenal lebih dekat dan mendalam tentang keguanaan usunan pada masa dulu dan sekarang.

Selain untuk mengeratkan silaturahim antara etnik, objektif kita juga ialah memulihara, memelihara dan memartabatkan warisan budaya (usunan) untuk diwariskan kepada generasi muda. Matlamat utamanya program itu ialah menarik minat khasnya golongan belia dan pelancong luar agar memahami dan mengenal budaya serta menjadikan perarakan Usunan ini satu cara yang unik dan berdaya saing.

Bagi saya, kebudayaan yang kita miliki, kita mesti peragakan dengan melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.Kita didik dan bimbing mereka untuk mencintai budaya.Kalau mereka iaitu generasi muda meminati budaya, sudah tentu kebudayaan kita akan kekal lama.

UB: Sepanjang tahun ini, apa lagi menarik yang boleh dikongsi pembaca?

DRDS: Saya tertarik dengan Pesta Kebudayaan Tawau yang boleh dikatakan amat berjaya, disertai 30 kumpulan yang budaya suku kaum yang unik, dan mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat di Tawau termasuk generasi muda. Ini sangat menarik sekali. Ia dianjurkan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Majlis Perbandaran Tawau.

UB: Apa projek LKNS yang terkini?

DRDS: Sekarang ini kita sedang giat membuat inventori budaya. Tujuh budaya etnik sedang dibuat inventorinya manakala enam lagi kini di peringkat cadangan, menjadikan kesemuanya 13 yang akan kita buat. Kita mulakan dengan pendekatan yang agak mudah. Kita mencatat budaya kita yang dikhuatiri akan hilang. Kita mempunyai 25 kriteria untuk kerja-kerha inventori. Kita merakamkan teknologi menangkap ikan, misalnya, kita merakamkan juga lagu-lagu rakyat dan sebagainya. Setakat ini kita mengadakan kerjasama dengan persatuan-persatuan suku kaum, bagi memudahkan kerja-kerja inventori itu.

UB: Bagaimana pula mengenai kajian kosakata?

DRDS: LKNS juga sedang menjalankan kajian kosa kata etnik, kini melibatkan enam suku kaum. Ini sedang berjalan.Terdapat kira-kira 35 etnik di Sabah dan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.

Saya kira inilah salah satu cabaran kita, iaitu kita pelihara budaya, kita pulihara, kita perkayakan, saya lebih suka menggunakan perkataan, perkayakan bukan kreatifkan, kita peragakan dan akhirnya kita turunlan dan kita wariskan kepada generasi seterusnya.

Selain itu, sebenarnya banyak lagi yang perlu kita dokumentasikan.Dalam masyarakat Iranun, misalnya, selain kekayaan kosakata, masyarakat Iranun juga memiliki Epik Darangen, satu epik yang mengisahkan mengenai ketokohan dan kepahlawanan Paramata Bantogen. Epik ini telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO. Sebenarnya terdapat 17 bab dalam epik yang ditulis dalam tulisan jawi yang disebut Kirim. Tapi masyarakat Iranun menganggapnya sebagai pusaka, sehingga lama kelamaan amat jarang untuk kita menemui darangen itu.

UB: Oh ya, Boleh tahu sedikit mengenai latar belakang Datu?

DRDS: Saya fikir yang lebih penting ialah apa yang kita dapat sumbangkan pada ketika ini. Kita dinilai dengan apa yang kita yang sumbangkan dan bukan apa latar belakang kita. Kalau kita katakan kita pernah sekolah di bawah pokok kayu, nanti orang berkata kita mohon simpati.Kalau kita kata kita pernah sekolah di bangunan tujuh tingkat, orang tafsirkan kita meninggi diri.

Itu pendapat saya secara peribadi mengenai latar belakang. Albert Einsten dan Mahatma Gandhi menjadi penting kerana apa yang dia sumbangkan kepada peradaban pada ketika itu.Kita lihat bagaimana budaya itu dinamik, tidak statik.

Bahkan kita lihat bahawa dulu kita mengerjakan tanah untuk tanam-tanaman tetapi sekarang orang sudah boleh menanam menggunakan kaedah hidroponik. Itu salah satu bukti bahawa budaya itu dinamik. Apa yang perlu kita lakukan sekarang, ialah budaya itu kita pelihara, kita pulihara, kita perkayakan, kita peragakan dan kemudian kita turunkan kepada anak-anak kita, generasi baru kita.

No comments: