Tuesday, November 15, 2011

Jumat berbicara mengenai isu dan cabaran Sepanggar

JUMAT BERBICARA MENGENAI ISU DAN CABARAN SEPANGGAR

MESKIPUN terletak berhampiran Bandaraya Kota Kinabalu, sebenarnya masyarakat bumiputera di kawasan Sepanggar terhimpit dan tersepit oleh pembangunan sosial dan ekonomi. Sepanggar yang dihuni oleh penduduk berbilang kaum dan etnik ini menghadapi cabaran yang tidak kurang hebatnya. Fenomenan miskin bandar masih lagi dapat ditemui di kawasan ini. Wartawan Utusan Borneo ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN menemui Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sepanggar,Datuk Jumat Haji Idris yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, untuk mendapatkan pandangannya mengenai Sepanggar dan cabaran-cabaran yang dihadapinya.

Datuk Jumat Haji Idris terpilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Sepanggar selepas bertanding dan menang jawatan itu dalam tahun 2009. Tidak lama kemudian beliau dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sepanggar sehingga sekarang. Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi TEKUN Malaysia.

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Gaya ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke negeri ini pada tahun 1991. Beliau dilantik sebagai Bendahari Pemuda UMNO Sabah sewaktu Pemuda UMNO Sabah dipimpin oleh Datuk Mohd.Shafie Apdal. Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Negeri ketika Pemuda UMNO berada di bawah pimpinan Juhari Janan. Perjuangan dalam UMNO memiliki sejarah yang panjang. Bersama beberapa orang rakannya, beliau pernah dihalau keluar daripada Mesyuarat AMT USNO apabila mencadangkan agar UMNO dibawa masuk ke Sabah pada tahun 80-an. Beliau seterusnya melibatkan diri dalam NGO, aktif dalam aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan, Majlis Perhubungan Masyarakat dan selepas ADUN Likas, YB Chin Kok Kong melihat Jumat boleh menyatukan masyarakat bumiputera Melayu, beliau dilantik sebagai Pemimpin Kemajuan Masyarakat (CDO) Likas. Beliau juga aktuf dalam kegiatan pengakap, menubuhkan Persatuan Belia Likas (PEMBELA), mengganggotai kelab Lion Club dan aktivis sosial dan terlibat dalam penubuhan SEPA.

Dalam tahun 1986 hingga 1991, Jumat berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan Malaysia di Kuala Lumpur. Pada tahun 1991, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Gaya. Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis DBKK dan sudah pasti, Jumat memahami masalah dan cabaran oleh masyarakat yang tinggal di pinggir bandaraya seperti Sepanggar.

UTUSAN BORNEO: Bagaimana Datuk melihat kedudukan masyarakat bumiputera di kawasan Sepanggar?

DATUK JUMAT HAJI IDRIS (JHI): Kawasan Parlimen Sepanggar sebenarnya agak terhimpit dan tersepit, sama ada dari sudut sosial dan ekonomi. Penduduk Sepanggar terdiri pelbagai etnik, seperti Bajau, Kadazan, Iranun, Suluk,Bisaya, Bugis, dan kaum kaum lain. Kita dapat menyaksikan bahawa kebanyakan masyarakat yang miskin adalah terdiri dari masyarakat bumiputera yang tersepit kerana pembangunan yang begitu pesat. Kita dapat melihat masalah yang berpunca daripada perancangan yang tidak teratur.

UB: Apa keistimewaan yang dimiliki Sepanggar?

JHI: Kawasan Sepanggar memiliki kendahan alam semulajadi yang berpotensi untuk dimamukan. Sepanggar ada laut,ada bukit, ada sungai tetapi semua ini kurang dimanfaatkan, kurang diolah,kurang ditonjolkan padalah ia boleh menjadi sumber pendapatan yang bagi penduduk Sepanggar.

UB: Apa cadangan Datuk untuk membolehkan masyarakat bumiputera mengambil bahagian aktif dalam perniagaan?

JHI: Salah satu cadangan kita ialah membina Pusat Komersial Bumiputera yang menelan belanja RM150 juta untuk membantu golongan bumiputera dalam perniagaan, pemasaran dan sebagainya. Kita minta agar tanah seluas 50 ekar dapat dikeluarkan daripada KKIP. Kita mencadangkan mereka yang masuk berniaga mencburkan diri dalam perniagaan textiles dan caption.

Pusat komersil bumiputera ini perlu dibina sebagai hadiah atas kesetiaan penduduk Sepanggar yang terus memberikan sokongan kepada BN. Kita mesti tanamkan bahawa golongan bumiputera juga mampu berdikari.Kita menolak persepsi yang menyatakan masyarakat kita kurang berdikari. Mereka perlu diberikan peluang untuk memajukan diri dalam bidang ekonomi.

UB: Bagaimana penduduk boleh keluar dari masalah kemiskinan?

JHI: Kita sedang berusaha untuk mengatasi masalah jurang perbezaan antara kaya dan miskin. Kita bersyukur kerana kerajaan memberikan komitmen yang serius untuk mengatasi masalah jurang kemiskinan ini. Kerajaan BN telah mengadakan pelbagai program untuk membantu rakyatnya yang miskin

UB: Masih ramai penduduk yang tidak mempunyai rumah dan tinggal di kawasan setinggan. Bagaimana Datuk melihat masalah ini?

JHI: Kerajaan perlu membina lebih banyak skim rumah mampu milik untuk mengatasi masalah perumahan yang dihadapi penduduk Sepanggar. Banyak langkah diambil untuk mengatasi masalah setinggan tetapi yang lebih utama ialah kita memastikan semua rakyat yang berhak, menerima hak masing-masing sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negaranya

UB: Isu lain yang dihadapi masyarakat ialah masalah pencemaran. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
JHI: Masalah pencemaran adalah antara masalah serius yang kita hadapi sekarang. Tapi saya yakin, jika semua pihak bertanggungjawab, perkara seperi itu, mampu diatasi. Kita boleh mempopularkan pelancongan sungai jika air sungai tidak dicemari. Saya pernah meninjau kawasan sungai di Sepanggar. Memang ada potensi.Cuma masalahnya ialah masalah pencemaran dan sampah yang berpunca daripada kawasan setinggan dan perkilangan yang terletak di kawasan kolombong dan sebagainya. Selain itu, kita boleh membina pusat tadahan air yang boleh digunakan untuk mengawal pasang surut dan sebagainya.

UB: Mungkinkah semua ini berpunca dariapada masalah kesedaran sivik yang kurang di kalangan masyarakat?

JHI: Saya setuju ia berpunca daripada sikap kita. Saya menyarankan agar penduduk yang tinggal di kawasan pesisir sungai agar tidak membuang sampah mereka merata-rata. Saya menyarankan agar mereka juga memiliki kesedaran sivik. Selain itu, DBKK juga membantu dalam pengurusan sampah tetapi kesedaran sivik adalah yang paling utama dalam mengatasi masalah pencemaran sungai. Kesedaran perlu dipertingkatkan. Sebenarnya Sepanggar memerlukan perancangan yang tersusun.

UB: Datuk banyak memberikan perhatian terhadap alam sekitar?

JHI: Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Apapun usaha yang kita lakukan, kita perlu memastikan ia tidak merosakkan alam sekitar.Kita harus mengurus alam sekitar kita dengan baik. Jika kita mampu mengurus alam sekitar kita dengan baik, sudah tentu ia juga boleh mendatangkan kebaikan kepada kita. Kita tidak boleh membenarkan orang lain merosakkan eko sistem kita.Kita harus menegur mereka yang tidak merosakkan ekosistem kita.

Tragedi bencana yang terdapat di negara luar dapat dijadikan iktibar. Banyak bencana berlaku disebabkan mereka merosakkan alam sekitar. Sekarang usaha-usaha dilakukan untuk menanam semula pokok bakau.

UB: Nampaknya Datuk agak prihatin terhadap masalah alam sekitar?

JHI: Seperti yang saya katakan tadi, alam sekitar adalah berkaitan dengan kehidupan kita.Jangan kita rakus untuk menebang bakau semata-mata untuk pembangunan.Kita harus sedaya upaya mempertahankan alam sekitar.Berkaitan perkara ini, kita meminta DBKK dan Jabatan Tanah dan Ukur membekukan proses permohonan tanah di kawasan paya bakau untuk menghalang kerosakan alam semulajadi.

JHI: Kawasan Sepanggar itu sungguh luas. Sempadannya ialah dari kawasan Masjid Bandaraya hinggaTelipok, sampai di Salud, di Kampus Intan, kemudian kawasan bukit bersempadan Kiulu dan Penampang. Antara tempat yang paling jauh ialah Tirian. Kita terpaksa berjalan kaki empat hingga lima jam. Itupun saya sudah masuk. Berjalan kaki. Tempat itu memang jauh, tapi saya sudah melawatnya. Kawasan Sepanggar adalah satu kawasan yang memerlukan perhatian.Perlukan kemajuan dan pembangunan. Kita perlukan perancangan pembangunan yang tersusun untuk membangunkan Sepanggar.