Saturday, November 19, 2011

Sabah perlu diberi peruntukan lebih banyak:Hussin Basir

SABAH PERLU DIBERI PERUNTUKAN LEBIH BANYAK: HUSSIN BASIR

"KITA minta Sabah diberikan peruntukan yang lebih banyak dalam Belanjawan 2012," kata Hussin Basir, 49, dengan wajah serius. Sejak memegang jawatan Presiden Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS), beliau sering bersuara lantang untuk memperjuangkan kepentingan guru-guru termasuk 6,000 yang menjadi ahli-ahli KGKS. “Sabah perlu diberikan peruntukan yang lebih besar bagi membolehkan lebih banyak prasarana dibina untuk meningkatkan lagi bidang pelajaran di negeri ini," katanya dalam wawancara dengan Utusan Borneo di ibu negeri, minggu lalu.

Meskipun agak sibuk dengan pelbagai tanggungjawab yang harus dipikulnya, Cikgu Hussin yang bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Masanoi,Kemabong, Tenom, bergegas ke Kota Kinabalu bagi memenuhi pelawaan untuk sesi wawancara untuk akhbar terunggul di Malaysia Timur ini. Berbaju batik hijau pada petang itu, beliau yang juga Yang Di Pertua, Majlis Guru Besar Daerah Tenom bercakap mengenai isu-isu pendidikan,kesatuan guru, asrama desa, guru sandaran tidak terlatih di Sabah dan sebagainya.

Hussin Basir dilahirkan di Kampung Chinta Mata Tenom pada 1962. Beliau mendapat Sijil Perguruan dari Maktab Perguruan Kent, Tuaran pada 1981-1982. Beberapa tahun kemudian, beliau mengikuti pengajian di Institut Bahasa (IB) dan memperolehi Sijil Perguruan Khas pada 1988. Hasil kegigihan dan semangatnya yang tidak mahu berhenti belajar,Cikgu Hussin berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan dengan kepujian dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2010.

Dalam kegiatan NGO, beliau mempunyai pengalaman yang luas. Pernah menjadi Pengerusi KGKS Daerah Tenom 1996-2002,beliau juga menyandang jawatan Naib Presiden 2 KGKS 2003-2007, Timbalan Presiden 2008-2010 dan seterusnya Presiden sejak tahun 2011. Jawatan lain yang disandangnya termasuklah Ahli Skill Up Education in Community,Ahli Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pendidikan dan Pengerusi Bersama Majlis Bersama Jabatan (MBJ) JPN Sabah.

Ikuti petikan wawancara Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Presiden KGKS, Hussin Basir pada satu petang di pejabat Utusan Borneo, di Jalan Pantai, di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu.

UB: Terima kasih kerana sudi memenuhi undangan kami untuk sesi wawancara ini.Soalan pertama, ialah mengapa seseorang guru mesti menjadi ahli kesatuan guru?

HB: Saya juga mengucapkan terima kasih kerana sudi menemubual saya.Ya, kenapa seseorang guru mesti menjadi ahli kesatuan guru? Dalam Tatasusila Profesion Keguruan ada mensyaratkan bahawa seseorang guru akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru. Di Sabah terdapat dua kesatuan guru iaitu Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) dan Sabah Teachers Union (STU).

UB: Boleh tuan ceritakan perbezaan antara suasana pendidikan dahulu berbanding sekarang?

HB: Memang terdapat perbezaan antara dunia pendidikan dahulu dengan dunia pendidikan sekarang.Dulu mungkin kurang tekanan, tapi sekarang disebabkan banyak KPI(Key Performance Index), tekanan makin banyak.Tetapi kita sentiasa dalam keadaan bersedia kepada perubahan.Perubahan seperti ini memang bagus, dalam dunia pendidikan,perubahan memang diperlukan.

Kini segala maklumat semuanya boleh diperolehi melalui talian, online.Sistem maklumat semua online.Dulu terpaksa isi borang, sekarang maklumat boleh didapati dengan mudah kerana system data berpusat.Malah keputusan peperiksaan juga boleh diperolehi atau diakses secara online.

Bagaimanapun di Sabah kita masih ketinggalan. Sebab itu kita mahukan Sabah diberikan peruntukan yang lebih. Kita mahu juga system ICT kita ditingkatkan. Masih terdapat banyak sekolah yang tidak mempunyai akses terhadap pelbagai kemudahan prasarana yang baik seperti jalan raya,letrik dan sebagainya. Ini perlu diperhatikan supaya perkara-perkara ini dapat diambil tindakan.

UB: Kalau tak silap, kerajaan memberikan peruntukan yang banyak untuk pendidikan dalam Bajet 2012. Apa pendapat tuan?

HB: Sebagaimana yang diumumkan, Kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion untuk pendidikan. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta, murid-murid tidak payah membayar yuran. Sebanyak 1.9 bilion untuk pembangunan manakala RMbilion tabung khas pembaikan dan penyelenggaraan. Kita harap biarlah peruntukan lebih kepada Sabah.Kita memang ketinggalan. RM1 bilion tabung khas penyelenggaraan inipun kita daif, kita tengok kita masih ketinggalan dari Semenanjung.Kalau boleh kita banyakkan peruntukan di Sabah. Macam mana boleh berubah.Orang kata kemudahan perlu ditingkatkan. Peralatan perlu cukup di sekolah masih lagi masalah menghadapi masalah letrik, pehubungan dan sebagainya. kita belum dapat online .Kita berharap sangat, bajet 2012 ini lebih banyak peruntukan dapat diberikan kepada Sabah.

UB: Apa cadangan KGKS?

HB: Kita mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji elaun perumahan guru-guru di Sabah dan mereka yang bertugas di Semenanjung. Sewa rumah di Sabah sangat mahal, elaun perumahan yang ada tidak mencukupi. Begitu juga yang bertugas di Semenanjung.

KGKS meminta agar Kementerian mengkaji Elaun Mengikut Lokasi & Tahap Lokasi (EMLK). Masih terdapat sekolah-sekolah yang layak belum menikmati elaun tersebut.

HB: KGKS mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana Belanjawan 2012 kerana Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat,Mensejahtera Negara. Kita juga mengalu-alukan kesediaan kerajaan memberikan 20,000 tempat kepada guru yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda. Ini membuktikan keikhlasan Perdana Menteri memartabatkan guru. Dalam sejarah pendidikan sejak merdeka, inilah kali pertama durian runtuh yang benar-benar diberikan kepada guru.

UB: Apa pendapat tuan mengenai keputusan kerajaan memberi kuasa autonomi kepada Jabatan Pelajaran Sabah?

HB: Keputusan ini adalah satu keputusan yang amat baik.Pengumuman Timbalan Perdana Menteri memberikan kuasa penuh menguruskan pembangunan kepada Jabatan Pelajaran Sabah. Terima kasih atas keprihatinan Timbalan Perdana Menteri (TPM). Kami di KGKS juga mensyorkan juga agar Jabatan Pelajaran Sabah diberi kuasa penuh untuk mengurus kenaikan pangkat hingga ke Gred DG54. Kita mencadangkan guru di Sabah bersaing di dalam negeri sahaja kerana Sabah sebenarnya ketinggalan enam tahun berbanding rakan-rakan mereka di Semenanjung Malaysia. KGKS juga mencadangkan agar Pegawai Pelajaran daerah di seluruh Negara dinaikkan ke Gred DG54 kerana ramai pengetua berada dalam gred DG52.Kita mahu agar kuasa mengurus kenaikan pangkat diberikan kepada JPN Sabah

Kita bersyukur TPM bersetuju supaya kuasa yang sebelum ini dipegang oleh JPN negeri dikembalikan kepada negeri.Bagaimanapun kita harap kuasa autonomi yang diberikan itu (diperincikan) secara jelas, supaya tidak mendatangkan kekeliruan kepada pelbagai pihak.

UB: Masih terdapat laporan mengenai gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar sekolah.Bagi pendapat tuan, bagaimana caranya mengatasi gejala keciciran di kalangan pelajar terutamanya di kawasan luar Bandar?

HB: Untuk mengatasi masalah keciciran pelajar atau ponteng sekolah ini, terlebih dahulu kita mesti tahu puncanya.Salah satu sebabnya ialah pelajar tinggal jauh dari kawasan sekolah.Kadang-kadang mereka perlu berjalan kaki tiga atau empat jam, kadang lebih lama lagi untuk berulang alik ke sekolah. Oleh sebab itu kita mensyorkan agar lebih banyak lagi asrama desa dapat dibina untuk mengatasi masalah keciciran di kalangan pelajar ini.Kita lihat bahawa kemudahan ini adalah tidak mencukupi. Sekadar maklumat umum, jumlah Asrama Desa di Sabah sebanyak 58 buah saja. Kita perlu membina lebih banyak lagi Asrama Desa untuk pelajar pelajar kita di kawasan luar Bandar.Kita yakin pembinaan asrama desa mampu meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pendidikan.

Kita mesti tanamkan kesedaran mengenai peri pentingnya pendidikan di kalangan mereka. Kalau tak sekolah macam mana mahu belajar. Ini satu faktor mengapa mutu pendidikan kita di luar Bandar perlu dipertingkatkan lagi. Lain lagi masalah kekurangan guru dan sebagainya.

UB: Apa pendapat tuan mengenai guru sandaran tidak terlatih? Bilakah masalah GSTT ini dapat diatasi?

HB: Bagi saya, guru sandaran tak perlu lagi. Kita tak perlu adakan pengambilan guru sandaran sebaliknya semua guru sandaran yang ada sekarang diberikan latihan guru. Latih cukup-cukup.Bagi peluang kepada mereka semua GSTT dari Sabah untuk mengikuti latihan perguruan. Lepas itu jangan lagi ambil guru sandaran yang baru.Dengan cara ini, masalah guru sandaran akan selesai.

UB: Apa pandangan tuan mengenai kekurangan guru sains dan matematik dan bahasa Inggeris di sekolah khususnya di luar Bandar?

HB: Saya fikir guru-guru pencen atau pesara guru boleh dilantik sebagai guru kontrak untuk mengatasi masalah kekurangan guru dalam subjek sains, matematik dan bahasa Inggeris khususnya di luar bandar. Saya fikir pesara guru yang berumur 56 tahun masih kuat dan masih boleh mengajar dalam subjek-subjek tertentu seperti matematik, sains dan bahasa Inggeris.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai sejarah awal KGKS?

HB: KGKS ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf dalam tahun 1963. Sebelum itu, KGKS bermula dengan Majlis Guru-Guru, Persatuan Guru-Guru British North Borneo dan seterusnya Persatuan Guru-Guru Sabah.

UB: Apa tujuan penubuhannya?

HB: Tujuan penubuhannya hanyalah sekadar hubungan silaturrahim, bertukar fikiran mengenai kemajuan sekolah, kekurangan peralatan dan guru. Kini tuntutan profesion pendidikan lebih mencabar,melahirkan modal insane cemerlang yang dibayangi oleh beban tugas guru, sistem pendidikan yang sentiasa berubah, tuntutan ibubapa dan juga pihak yang berwajib.

UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai perancangan-perancangan yang dibuat oleh KGKS?

HB: KGKS sebagai sebuah kesatuan guru, yang ahli-ahlinya adalah di kalangan guru, mempunyai perancangan untuk membantu memastikan kebajikan guru-guru sentiasa terpelihara dan nasib mereka sentiasa terbela. Antara perancangan KGKS ialah membantu menyebar maklumat mengenai peluang-peluang belajar di universiti dan IPT tempatan,dan menggalakkan ahli agar belajar hingga ke peringkat doktor falsafah (PHD).

Kita juga mengadakan kempen penambahan ahli melalui jerayawara (roadshow) melalui kerjasama Majlis Guru Besar (MGB) dan melantik wakil yang bertauliah.

Selain itu, kita di KGKS juga menganjurkan program seperti seminar dan motivasi berkaitan pendidikan.Kita juga menggalakkan ahli membuat penyelidikan dan kajian tindakan untuk dikemukakan kepada jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Pada masa yang sama KGKS juga bekerjasama dengan universiti tempatan dan Institusi Perguruan Guru dalam mencemerlangkan pendidikan di Malaysia khasnya di Sabah.

UB: Berapa ahli KGKS sekarang?

HB: Seramai 6,000 orang. Sepatutnya lebih ramai lagi guru menyertainya. Tapi kesedaran di kalangan guru di Sabah masih kurang berbanding rakan mereka di Semenanjung.Padahal peranan KGKS penting dalam perkhidmatan perguruan. KGKS boleh menjadi platform untuk ahli-ahlinya menyuarakan aspirasi mereka. Kita di Sabah tak kisah dengan kesatuan sedangkan kesatuan boleh menjadi platform penambahbaikan perkhidmatan pendidikan.Kadang-kadang ada orang masuk kesatuan hanya kerana mereka ada kepentingan walaupun sebenarnya menjadi ahli kesatuan ini amatlah penting untuk kita sama-sama membangun profesion perguruan dan menangani cabaran-cabaran pendidikan.Melalui kesatuan kita boleh berbincang dengan ketua jabatan mengenai isu-isu dan masalah perguruan.

UB: Apa harapan tuan sebagai seorang pemimpin Kesatuan Guru?

HB: Sebagaimana yang kita tahu terdapat 412,042 orang guru daripada 1.3 juta orang penjawat awam di Negara ini. Oleh sebab jumlah yang begitu banyak itu, kita mencadangkan agar diwujudkan Bank Guru. Saya fikir, jika ditubuhkan Bank Guru ini banyak manfaatnya. Keuntungan daripada urus niaga bank berkenaan dapat disumbangkan kepada guru itu sendiri melalui tabung kebajikan. Buat masa ini, semua kesatuan guru di Malaysia member perlindungan insurans kebajikan dengan menggalakkan ahli membeli insuran.Ramai guru-guru yang sakit dan bersara awal kerana tidak sihat. Wang pencen yang ada tidak cukup untuk menyara hidup keluarga.

UB: Selain Bank Guru, apa impian dan harapan tuan yang lain?

HB: Sudah tiba masanya juga Majlis Guru ditubuhkan bagi memfokuskan halatuju pendidikan ke arah landasan yang betul. Ahli jawatankuasanya pula terdiri daripada semua pemimpin kesatuan guru, ahli akademik dan sesiapa saja yang pakar dalam pengurusan pendidikan. Ini bagi mengelakkan pelbagai masalah yang timbul dalam dunia pendidikan di negara kita. Biarkan orang-orang yang pakar saja menguruskan bidangnya seperti dalam dunia perubatan.

UB: Apa pendapat KGKS terhadap keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggerus (PPSMI)?

HB: Kami di Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI kerana ia tidak relevan dengan senario pendidikan di Sabah. Kami sangat bersetuju kerana PPSMIbukan saja ia tidak relevan dengan senario pendidikan di Sabah tetapi juga ia menimbulkan banyak masalah seperti masalah kekurangan guru dan sebagainya.

KGKS berpendapat pengajaran sains dan matematik dan mata pelajaran lain mestilah dilaksanakan sepenuhnya menggunakan bahasa kebangsaan. Kerajaan perlu berhati-hati dan tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu agar PPSMI diteruskan kerana ia menyebabkan berlakunya jurang pendidikan yang lebih luas pada masa depan.

Kita lihat PPSMI sudah digantikan dengan pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ini adalah satu langkah yang lebih tepat dan bijak dalam meningkatkan bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris di kalangan belajar di negara ini.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa keempat terbesar di dunia juga menunjukkan bahawa martabat BM tidak boleh dikesampingkan dan rakyat di negara ini tidak perlu berasa rendah diri kerana bahasa yang mereka gunakan salah satu bahasa antarabangsa.

Kami rasa bersyukur kerana kerajaan memutuskan untuk memansuhkan PPSMI seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

UB: Oh ya. Berbalik kepada tugas sebagai pendidik. Sebelum menjadi guru besar di SK Masanoi, dimana tuan bertugas sebelum ini?

HB: Saya mulai bertugas di Kinabatangan sekitar tahun 1983-84 di SK Sungai Lokan Kinabatangan.Ketika itu gaji kami sekitar RM370.00.Tidak setinggi gaji guru sekarang. Selepas itu, dari tahun 1985 hingga 1990, saya mengajar di SK Pekan Keningau. Selanjutnya di SK Pekan Tenom dari tahun 1990-1994. Selepas itu di SK Chinta Mata pada tahun 1995 kemudian bertukar ke SK Ulu Tomani dan bertugas selama 11 tahun di sana sebelum bertugas di SK Masanoi.

UB: Bagaimana tuan mengagihkan masa antara tiga tugas iaitu Guru Besar, Presiden KGKS dan keluarga?

HB: Tiada masalah bagi saya dalam mengagihkan masa.Cuma perlukan sedikit pengorbanan.Selain itu,saya juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Daerah Tenom. Saya menyusun jadual kerja saya.Malah kadang-kadang, kalau ada kerja yang perlu disiapkan, saya kembali ke sekolah dan hampir tengah malam baru dapat pulang ke rumah.Saya sedar tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya dan harapan yang disandarkan oleh ahli-ahli kepada saya.

UB: Akhir sekali, dalam kesatuan apa yang penting kualiti atau kuantiti?

HB: Kita perlukan kuantiti yang ramai tetapi kuantiti bukan penentu kualiti. Oleh sebab itu, kita mahukan lebih ramai lagi guru menganggotai KGKS supaya kita dapat memperjuangkan penambahbaikan perkhidmatan perguruan ke arah yang lebih berkualiti lagi.

No comments: