Sabtu, 5 November 2011

Samsudin anak pulau bela nasib nelayan

Tags

SAMSUDIN ANAK PULAU PEMBELA NASIB NELAYAN

SEBAIK mendapat persetujuan untuk sesi temuramah dengan Mejar (K) Datuk Haji Samsudin Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong , kami terus menetapkan waktu untuk temujanji. Jarang yang tidak mengenali Ahli Yang Berhormat yang selalu menarik perhatian ketika berbahas di ruang DUN ini. Selain menjadi Pengerusi Ko-Nelayan, beliau juga adalah Jemaah Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mewakili Sabah. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Junaidah Aji dan dikurniakan 4 anak, tiga lelaki dan satu perempuan. Kini beliau memiliki dua cucu.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemuramah Mejar (K) Datuk Haji Samsudin Yahya sebaik beliau tiba di ibu negeri selepas turun padang di kawasan DUN Sekong yang diwakilinya. Beliau sempat bercerita mengenai masa kecil, tugasnya sebagai wakil rakyat, dan skim-skim bantuan yang diberikan oleh Ko-Nelayan untuk membantu golongan nelayan di negeri ini.

UTUSAN BORNEO: Kami sangat berbesar hati kerana Datuk sudi memberi ruang untuk sesi temuramah ini. Terima kasih. Boleh Datuk ceritakan sedikit latar belakang keluarga?

DATUK HAJI SAMSUDIN YAHYA: Saya dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Tambisan, sebuah pulau yang dihuni kebanyakannya masyarakat nelayan. Ada juga yang bertani. Keluarga kami pengusaha kopra. Kelapa kering yang dijual dan dipasarkan di Sandakan. Sejak kecil lagi, saya tinggal bersama Datuk dan Nenek. Datuk saya seorang imam, Imam Haji Hussin Panglima Wahid. Saya juga tinggal bersama Pakcik saya, Haji Mahiruddin Imam Haji Hussin (ayah kepada TYT Yang Di Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin) Beliau memiliki kedai runcit selain daripada Sheikh Ismail Abd.Ghani. Jadi keadaan ekonomi kami, waktu itu agak lebih baik berbanding yang lain.

UB: Bagaimana keadaan masyarakat pada waktu itu?

DHSY: Waktu itu, kehidupan masyarakat kampung boleh dikatakan sentiasa mengamalkan kerjasama, bantu membantu, bergotongroyong dan sebagainya. Hubungan antara keluarga agak erat, apatahlagi semuanya mempunyai kaitan keluarga. Kebanyakan penduduk kampung Tambisan terdiri daripada orang-orang Suluk. Terdapat juga lapan keluarga Cina, yang istimiewanya, fasih bercakap Suluk. Selain itu, terdapat juga orang Arab, Kagayan,Simunul dan sebagainya. tetapi kebanyakan penduduk mempunyai kaitan keluarga, satu sama lain.

UB: Sejak kecil Datuk tinggal bersama atuk dan nenek. Mengapa Datuk memilih tinggal bersama mereka dan tidak bersama ibu bapa?

DHSY: Sebenarnya, ketika kecil ayah saya, Yahya bin Imam Haji Hussin dan ibu saya, Hajah Jabiah Haji Mangol ingin beralih angin. Mereka berpindah ke Brunei dan meninggalkan saya tinggal bersama atuk dan nenek di Pulau Tambisan. Kami 14 adik beradik.Tiga perempuan dan lima lelaki dilahirkan di Tambisan. Ayah saya mengikut ibu saya pindah ke Brunei. Semua adik beradik saya kini menjadi warga negara Brunei. Mereka tinggal di Kampung Kilanas Brunei. Itulah sebabnya saya tinggal bersama atuk dan nenek saya.

UB: Tentu banyak pengalaman waktu kanak-kanak dahulu. Waktu itu Tambisan terkenal dalam banyak segi kerana ramai juga yang menuntut dalam bidang agama di pulau itu. Mungkin Datuk pernah juga ikut mengaji. Ada pengalaman yang boleh dikongsikan bersama pembaca?

DHSY: Waktu kecil kami pergi mengaji beramai-ramai. Guru mengaji saya bernama Tuan Guru Wahid Tambi. Ketika itu, kalai mahu mengaji mesti angkat air untuk kegunaan guru. Semua murid dikehendaki mengangkat air untuk guru mereka. Ini pengalaman menarik bagi saya. Selain itu, saya juga belajar mengaji daripada Hajah Fatmah Haji Hussin, iaitu makcik saya. Saya juga belajar mengaji daripada atu saya, Haji Hussin, yang juga seorang imam. Selain itu, pada sebelah paginya, saya bersekolah di SK Tambisan. Saya ingat lagi nama cikgu kami, antaranya Cikgu Abdul Rahim Oting, yang sering memberikan dorongan dan motivasi kepada kami.

UB: Bila pertama kali Datuk keluar meninggalkan Tambisan?

DHSY: Pertama kali saya keluar meninggalkan Tambisan, seingat saya ialah tahun 1972. Waktu itu kami pergi ke Bandar Sandakan, naik kapal yang mengangkat Kopra. Perjalanan mengambil masa kira-kira 12 jam. Tidak seperti sekarang, Tambisan sudah semakin maju dan sebagainya. Waktu dulu, Tambisan yang kebanyakan penduduknya nelayan dan petani menubuhkan sebuah koperasi yang dinamakan Koperasi Syarikat Sungai Nyamuk. Walaupun orang kampung, mereka mewujudkan koperasi untuk meningkatkan ekonomi mereka.

UB: Bila pula Datuk mula terlibat dalam politik?

DHSY: Saya mulai terlibat dalam politik dalam tahun 1978, masa USNO lagi. Selepas itu, saya terus bergiat dalam dunia politik dan sempat menyaksikan pelbagai peristiwa politik yang penting, sehingga akhirnya UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991.

UB: Apa peristiwa politik yang Datuk masih ingat, yang mungkin telah menjadi pendorong kepada Datuk untuk menceburi dunia politik?

DHSY: Antara peristiwa yang saya tidak dapat lupakan ialah lawatan Tun Datu Mustapha Datu Harun, waktu itu Ketua Menteri Sabah ke Pulau Tambisan. Beliau sering membuat lawatan ke pulau itu. Saya masih ingat, kami disuruh berbaris.Mungkin waktu itu saya dalam darjah dua atau darjah tuga.Kami berbaris di sepanjang jambatan untuk menyambut ketibaan Tun. Selalunya beliau datang menggunakan kapal marin. saya berasa sangat seronok dapat bersalaman dengan beliau. Beliau pemimpin kemerdekaan yang sangat dihormati oleh penduduk kampung. Tetapi waktu itu, belum lagi timbul niat untuk menjadi ahli politik seperti sekarang.

UB: Sebagai anak pulau yang merasai denyut nadi nelayan, agaknya apa perbezaan hidup golongan nelayan dahulu dengan zaman sekarang Datuk?

DHSY: Dahulu nelayan menangkap ikan menggunakan kaedah tradisi, peralatan tradisi seperti jala, pancing, pukat dan sebagainya. Tetapi sekarang kaedah yang digunakan jauh lebih moden. Golongan nelayan sekarang mendapat bimbingan daripada agensi-agensi seperti Ko-Nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan dan sebagainya. Dahulu pendapatan nelayan jauh lebih murah, harga ikan pun jauh lebih murah.

Bayangkan ikan putih dahulu, dijual hanya 50 sen sekilo, sekarang lebih kurang RM12 sekilo. Udang galah, dulu dijual hanya RM2.00 sekilo, sekarang RM120 sekilo. Ikan kerapu RM14 ringgit sekilo, dulu berapa saja, murah harganya. Memang taraf kehidupan nelayan sekarang jauh lebih baik berbanding dahulu. Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Negeri banyak memberikan bantuan untuk menaikkan taraf hidup nelayan.

UB: Apa hobi Datuk di masa lapang?

DHSY: Saya suka bermain golf atau badminton. Jika ada masa lapang, saya akan bermain golf. Tetapi sekarang, saya agak jarang bermain kerana lebih banyak masa tertumpu kepada tugas-tugas di kawasan.

UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa antara tugas sebagai wakil rakyat, Pengerusi Ko-Nelayan, dan ketua keluarga?

DHSY: Tidak timbul masalah dalam pengagihan masa. Saya tinggal dan menetap di kawasan yang saya wakili. Saya dapat menjalankan tugas sebagai Pengerusi Ko Nelayan dengan baik tanpa terganggu. Keluarga saya dapat memahami tugas saya sebagai wakil rakyat. Saya berusaha untuk memenuhi jemputan mesyuarat dan sebagainya.

UB: Boleh Datuk kongsikan apa pengalaman yang tidak dapat dilupakan?

DHSY: Pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan ialah ketika berumur 13 tahun. ketika saya bertemu dengan ibu saya di Brunei. Saya dibawa ke Brunei untuk berjumpa ibu. Selepas mereka meninggalkan pulau Tambisan, ibu tidak pernah balik lagi ke Tambisan. Itulah pengalaman yang saya tak dapat lupakan. Semua adik beradik saya kini warga negara Brunei.Mereka menetap di Kampung Kilanas Brunei. Seperti yang saya katakan tadi, saya tinggal bersama datuk dan nenek.

UB: Apa perasaan Datuk ketika diumumkan sebagai calon dalam pilihanraya 2004?

DHSY: Saya sebenarnya tidak menyangka yang saya menjadi calon. Perasaan gembira, takutpun ada, saya gembira kerana akhirnya cita-cita menjadi YB termakbul dan takut tidak dapat memikul tugas yang diamanahkan. Tapi Alhamdulillah, pada hari penamaan calon 2004 itu, saya menang tanpa bertanding. Nasib menyebelahi saya.

UB: Sebelum jadi wakil rakyat, dimana Datuk pernah bertugas?

DHSY: Sebelum ini, saya pernah menjadi Pegawai Perhubungan Parlimen Kinabatangan selama dua penggal. Ketika itu, Ahli Parlimen Kinbatangan yang merangkumi Kuamut, Sukau, Sekong, sebelum persempadan baru diwakili oleh Tun Juhar. Kemudian saya menjadi Ketua Penerangan UMNO Libaran dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman, dan kemudian Naib Ketua Bahagian Libaran. Selepas kawasan Batu sapi diwujudkan saya menjadi Timbalan Ketua Bahagian dan selepas itu, terpilih sebagai Ketua Bahagian.

UB: Ketika mula-mula menjadi YB, apa kesukaran yang Datuk hadapi?

DHSY: Sebenarnya menjadi tugas wakil rakyat untuk membantu rakyat. Tetapi ada pengalaman menarik ketika menjadi wakil rakyat Sekong. Pada ketika itu, ada anggota masyarakat suka menghantar ikan, sotong dan sebagainya dan menyatakan ia sebagai `tanda kasih sayang'. Mereka kata, YB, ikan ini saya pancing, saya berikan sebagai `tanda kasih sayang kepada YB. Di sebaliknya, mereka sebenarnya meminta bantuan wakil rakyat untuk dibelikan enjin, perahu dan sebagainya. Tapi itu mula-mula menjadi YB.

UB: Apakah Datuk dapat memenuhi hajat mereka?

DHSY: Alhamdulillah, saya telah mengagihkan 40 enjin sangkut untuk golongan nelayan di kawasan saya, 100 mesin jahit dan pelbagai lagi jenis bantuan lain. Itu sebagai tanda kasih sayang saya kepada mereka. Kerajaan juga sebenarnya menyediakan pelbagai skim yang menjadi tanda kasih sayang mereka kepada rakyat. Kebanyakan penduduk di DUN Sekong yang berbilang kaum terdiri daripada Suluk,bajau, Cina, Bugis dan sebagainya.Kebanyakan mereka petani dan nelayan. Kawasan ini bersempadan dengan DUN Karamunting, DUN Sibuga, DUN Gumgum, DUN Sukau. Kawasannya luas sekali.

UB: Berbalik kepada tugas Datuk sebagai Pengerusi Ko-Nelayan, yang banyak membantu golongan nekayan.Bolehkah Datuk jelaskan status pembasmian kemiskinan Ko-Nelayan pada masa sekarang?

DHSY: Program Pembasmian Kemiskinan Nelayan Tegar Negeri Sabah (KIRMT) dimana peruntukannya diterima daripada Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2007-2010 bertujuan untuk membasmi kemiskinan tegar golongan nelayan bagi tempoh RMK9. Jumlah peruntukan yang diberikan ialah RM10.198 juta iaitu dana khas ICU-JPM.

Seramai 223 orang menerima bantuan di bawah Skim Peningkatan taraf Sosial Nelayan Termiskin Sabah (PENTAS), manakala 270 orang menerima bantuan Skim Kredit Bersubsidi (SBKB) dan 177 orang menerima bantuan Skim Pembekalan Peralatan Menangkap Ikan Kredit Bersubsidi (PERMITS). Kesemuanya melibatkan seramai 670 orang.

UB: Bagaimana perkembangan Program 1 Azam?

DHSY: Bagi Program 1 Azam Ko-Nelayan fasa 1, yang dijalankan di Semporna, Pulau Banggi dan Kota Belud, Program ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan nelayan berpendapatan rendah dalam sistem eKasih . Peruntukan berjumlah RM5.7718 juta diperolehi daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.Setakat 30 Sept 2010, seramai 25 orang menikmati projek industri sokongan perikanan (PISP), 439 orang projek transformasi ekonomi perikanan (PTEP), seramai 26 orang, Azam Kerja Ko-Nelayan menjadikan jumlah kesemua penerima 486 orang.

Sementara itu, bagi Projek 1 Azam fasa 2 yang dilaksanakan di Teluk Ambong, bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan nelayan berpendapatan rendah dalam daftar eKasih di Sabah.. Projek ini mendapat peruntukan sebanyak RM10.005 juta dariUnit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), JPM

UB: Bagaimana prestasi pencapaian projek itu datuk?

DHSY: Prestasi pencapaian setakat 31 Oktober 2011 ialah bagi Projek PTEP mensasarkan 690 orang tetapi mencapai 70.2 peratus pencapaian iaitu 485 0rang melibatkan peruntukan sebanyak 4,448.700 juta manakala kos operasi latihan yang diadakan ialah RM199,369.

UB: Boleh Datuk perincikan mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Nelayan Ko Nelayan di bawah Kerajaan Negeri?

DHSY: Program ini melibatkan Skim Bantuan Nelayan (SBN), Skim Bantuan Pengusaha Akuakultur (SBPA) dan Skim Pembangunan Industri Kecil Perikanan (PIKP). Tujuannya adalah untuk peningkatan pendapatan dari kumpulan miskin dan berpendapatan rendah dan bantuan seperti perahu, enjin sangkut, pukat dan/atau lain-lain peralatan perikanan. Seramai 240 orang telah menerima bantuan dalam tempoh 2006-2010 iaitu dalam RMK9 melibatkan peruntukan sebanyak RM1,010,000 manakala dalam RMK10, seramai 42 orang telah menerima bantuan melibatkan RM200,000. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya 282 orang dengan peruntukan sebanyak RM1,210,000. Sementara itu bagi Skim bantuan Pengusaha Akuakultur SBPA,seramai 82 orang telah menerima bantuan dalam tempoh 2006-2010 dengan belanja dsekitar RM837,000 manakala pada tempoh RMK10 pada 2011 sebanyak 80 ribu diagihkan kepada 8 penerima, menjadikan jumlah keseluruhan penerima ialah 90 orang dengan RM917,000

UB: Bolehkah Datuk jelaskan mengenai Pembangunan Industri Kecil Perikanan (PIKP). Apa tujuannya?

DHSY: PIKP bertujuan untuk Pengagihan sosioekonomi yang lebih seimbang melalui peningkatan penglibatan masyarakat Bumiputera dalam bidang perdagangan dan Pakej kredit peralatan dan modal pusingan dengan caj perkhidmatan 3% ditawarkan kepada pengusaha produk hiliran perikanan.

Seramai 1,013 menerima bantuan dalam skim pembangunan industri kecil perikanan (PIKP) pada 2006-2010 melibatkan peruntukan sebanyak RM5,800,000. Seramai 98 orang telahpun menerima bantuan dalam RMK10 yang baru dilaksanakan dengan peruntukan bernilai RM614.9 menjadikan jumlah keluruhan 1,111 orang dengan peruntukan RM6,414.9.

UB: Bagaimana prestasi keseluruhan skim bantuan setakat ini Datuk?

DHSY: Walaupun peruntukan kerajaan Negeri berbentuk pinjaman dan peruntukan kerajaan Persekutuan berupa pinjaman bersubsidi , sambutan amatlah memuaskan. Purata bayaran balik juga memuaskan iaitu 75 %. Kajian Impak mendapati bahawa pendapatan purata kumpulan sasar Program KIRMT Nelayan meningkat 102%,pendapatan purata peserta SBN meningkat 33%,pendapatan purata peserta SBPA meningkat 55% dan pendapatan puratapeserta PIKP meningkat 38%. Sehingga kini bilangan kumpulan sasar yang telah dibantu sejak RMK9 sehingga kini seramai 3,124 orang.

UB: Terima kasih Datuk kerana sudi menjawab pertanyaan-pertanyaan kami dalam sesi wawancara ini. Semoga ada kesempatan di lain waktu untuk bersama Datuk lagi. Terima kasih