Tuesday, November 15, 2011

Sejenak bersama Yang di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

SEJENAK BERSAMA YANG DI PERTUA YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA

MESKIPUN kelihatan agak letih setelah menempuh perjalanan yang jauh menaiki keretapi dari Stesen Tanjung Aru ke Stesen Beaufort dan seterusnya menghadiri dua acara di Tapak Tapak Tamu Pekan Beaufort dan Rumah Anak Yatim Al-Aman dan beberapa acara lain, Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Aziz Jamaludin Mhd.Tahir bersedia untuk diwawancara bagi mengetahui sedikit latar belakang penubuhan YADIM, visi dan misi Yadim, gerak dakwah Yadim terkini,pengalaman dan latar belakang beliau sebelum menjadi teraju utama Yadim.

Sebelum dilantik menjadi Yang Di Pertua Yadim pada 8 Mac 2008,Datuk Aziz Jamaludin pernah menjalani kerjaya yang menarik. Beliau dilahirkan di Kampung Baru Kuala Lumpur dan ayahnya, Mhd.Tahir merupakan pemegang resepi bubur lambuk yang terkenal di ibu negara. Beliau menduduki sekolah rendah di Kampung Baru sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Lucknow India, Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir. Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai Kadi dan hakim Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan selama empat tahun.

Kemampuan dan penguasaannya dalam pelbagai bahasa seperti Arab, Urdu, Hindi, Parsi, Inggeris merupakan satu kebolehan yang istimewa. Kerana itu, beliau ditawarkan dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebagai Konsul Malaysia di Jeddah selama lima tahun. Dato' Aziz Jamaludin kemudian dipanggil balik ke tanahair dan dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau seorang yang aktif dalam perkhidmatan kemasyarakatan dan dakwah pernah menjadi Pengerusi Masjid Kampung Baru dan dilantik sebagai Ahli Lembaga Penapisan Filem selama 10 tahun.Beliau menggunakan masjid sebagai platform untuk menyampaikan risalah dakwah.

Wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Haji Shaiddin menemui beliau Datuk Aziz Jamaludin Mhd.Tahir (DAJMT) di hotel penginapannya di Kota Kinabalu baru-baru ini.Turut hadir ketika temubual itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Dr.Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Yadim Sabah, Haji Samin Haji Ungki.

Utusan Borneo: Terima kasih kerana sudi diwawancara Dato'. Apa pandangan Dato' terhadap aktiviti Ekspedisi Dakwah Berkeretapi yang dijalankan oleh Yadim Sabah?

DAJMT: Ekspedisi Dakwah Berkeretapi yang dijalankan oleh Yadim Sabah boleh dikatakan berjaya mencapai matlamatnya. Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan terhadap program yang dijalankan oleh Yadim. Pemimpin-pemimpin di negeri ini juga memberikan sokongan dan kerjasama terhadap program Yadim.Program Eskpedisi itu memperlihatkan kreativiti dan inovasi dalam gerak kerja ataupun teknik berdakwah di negara kita. Ini merupakan satu teknik dakwah kontemporari.

Selain itu, kita sedar bahawa masyarakat kita sudah jauh berubah dan selera mereka juga berubah. Oleh sebab itu, kita perlu mempelbagaikan lagi pendekatan dakwah dan tidak seharusnya hanya tertumpu di masjid, surau dan tempat-tempat tertentu yang biasanya tertutup atau hadirinnya terhad dari kalangan yang dijemput sahaja.

Ekspedisi Dakwah Berkeretapi ini dijalankan agar Yadim dapat menjangkau khalayak yang lebih luas lagi.Ia juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mengikuti program dakwah Yadim. Kini program dakwah Yadim tidak lagi terhad atau terbatas.Sesiapa saja yang secara kebetulan menaiki keretapi akan berpeluang mengenali YADIM dan mendapat manfaat daripada program yang diadakan.

UB: Saya difahamkan ini merupakan kali pertama Yadim mengadakan aktiviti dakwah berkeretapi?

DAJMT: Kita pernah merancang untuk mengadakan jelajah dakwah berkeretapi ini dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Tetapi Yadim Sabah nampaknya lebih proaktif dan mendahului dalam mengadakan program yang besar manfaatnya kepada masyarakat. Selain itu, pemimpin-pemimpin seperti wakil rakyat turut memndukung usaha ini. Bahkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman merupakan seorang pemimpin yang prihatin terhadap gerakan dakwah di Sabah.

Malah kita lihat dalam ekspedisi itu, selepas majlis pelancaran, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas sendiri ikut berkeretapi hingga ke stesen Putatan. Datuk Ghulam Khan Haidar Khan, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga ADUN Kawang ikut berkeretapi ke Pekan Kinarut. Datuk Haji Karim Bujang, ADUN Bongawan ikut berkeretapi hingga ke Pekan Bongawan. Saya juga teruja dengan persiapan dan sambutan yang diadakan.

Di Kinarut, rombongan ekspedisi di sambut dengan penari tradisi, di Bongawan pula rombongan disambut oleh kumpulan Gambus, di Membakut kami disambut oleh pemimpin pemimpin masyarakat dengan kompang manakala di pekan Beaufort, rombongan disambut dengan titikan kulintangan. Selepas itu ada cara sambutan di Tapak Tamu Pekan Beaufort dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, sahabat lama saya hadir merasmikan. Di Rumah Anak Yatim Al-Aman, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Mohd.Dun turut hadir bersama-sama meraikan anak-anak yatim.

UB: Apa matlamat program ini?

DAJMT: Ini merupakan salah satu cara kita untuk turun padang bersama masyarakat, untuk mendekatkan Yadim bersama rakyat. Yadim berusaha untuk mendekati suara rakyat. Melalui program-program yang dijalankan ini, kita menjelajah dan melihat sendiri keperluan dan permasalahan rakyat.Kita berusaha menyelami hasrat dan kehendak mereka.Apa kemahuan mereka.Permasalahan mereka bukan susah untuk ditangani. Permintaan mereka tidaklah berat sangat. Selepas itu, kita bawa aspirasi mereka untuk pengetahuan pihak kepimpinan, dan pihak-pihak berkaitan untuk diatasi.

UB: Selain aktiviti ini, apalagi aktiviti yang dijalankan oleh Yadim?

DAJMT: Kita akan mengadakan aktiviti Yadim untuk menjelajah kepulauan Borneo dari Kota Kinabalu, singgah di Brunei, kemudian ke Miri, ke Kuching kemudian ke Serikin dan terus ke Kalimantan. Di setiap tempat yang kita singgahi kita adakan aktiviti kemasyarakatan.

UB: Ini bermakna Yadim tidak setakat berdakwah di dalam negeri bahkan di peringkat global?

DAJMT: Ya betul. Selain di dalam negara, Yadim juga memperluaskan aktiviti dakwahnya di negara-negara lain seperti Indonesia, di Jakarta, di Tanjung Pinang, Riau dan sebagainya dan bekerjasama dengan mereka untuk menjalankan program dakwah. Kita mahu menyampaikan dakwah vidi dakwah kontemporari untuk memperlihatkan bahawa Islam agama kesejahteraan, agama kebaikan. Islam satu agama yang mementingkan kasih sayang.Selama ini kita selalu disalah anggap.

Kita menjelajah hingga ke Kunming.Bahkan Yadim pernah ke Myanmar dan berjaya menjejaki orang Melayu Islam di Kwatung, jauh di pedalaman Myanmar yang masih bercakap dalam loghat Kedah.Ini adalah pengalaman yang menarik.

UB: Bagaimana tentang masalah saudara baru yang kurang mendapat bimbingan? Apa langkah Yadim?

DAJMT: Kita sama-sama berganding bahu untuk memnastikan agar saudara-saudara baru yang memeluk Islam mendapat bimbingan dalam agama Islam.Kita tahu bahawa ramai yang memeluk Islam di sabah tetapi tidak ada follow up.Kita tidak boleh membiarkan mereka sebaliknya kita mesti membimbing mereka untuk menikmati cara hidup Islam.Kita telah merangka program untuk memberi bimbingan berterusan kepada saudara-saudara baru kita.

UB: Boleh jelaskan apa visi Yadim?

DAJMT: Sebagai pemangkin kepada pembangunan negara Islam Malaysia, YADIM berhasrat membangunkan pandangan hidup (world view) masyarakat Islam berlandaskan minda quranik dan menyatukan pemikiran ke arah menghargai kemajuan dan berkeinginan untuk maju di segenap lapangan, di dalam negara maju mengikut acuan sendiri, menjelang tahun 2020.

UB: Bolehkah Dato' jelaskan sedikit apa misi Yadim?

DAJMT: Antara misi Yadim ialah membina imej Islam sebagai agama yang benar dan adil, supaya lebih ramai orang tertarik kepada Islam dan menerimanya sebagai agamanya.Kedua Menarik lebih ramai generasi muda terlibat dalam kegiatan dakwah melalui pendekatan pemasyarakatan YADIM.Ketiga,melahirkan pendakwah yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi serta mempunyai kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah dan keempat menjadi badan penyelaras kegiatan dakwah Islam di Malaysia.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang penubuhan Yadim?

DAJMT:Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ditubuhkan pada tahun 1974 untuk menyelaras dan menyatukan badan-badan dakwah dan membantu badan-badan ini supaya berperanan secara membina untuk pembangunan umat dan meningkatkan kefahaman Islam supaya masyarakat Islam memainkan peranan aktif dalam proses kemajuan.

Sejak ditubuhkan YADIM mengalami perubahan dan perkembangan dasar dan pendekatan, sesuai dengan perubahan masa. Bagaimana pun tujuan dan matlamat YADIM tetap terpelihara. YADIM terus melibatkan diri dalam kegiatan dakwah mengikut keupayaannya. Dengan dunia melangkah ke abad 21 ini, sudah tibalah masanya YADIM melihat kembali peranannya dan mengkaji semula strategi dan pendekatannya. YADIM perlu memiliki wawasan baru yang sesuai dengan tuntutan zaman dan cabaran-cabaran masa kini, terutama cabaran daripada ledakan maklumat dan proses globalisasi.

UB: Apa pandangan Dato terhadap mutu perpaduan di negeri ini?

DAJMT: Perpaduan merupakan salah satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran untuk melaksanakan sesuatu perancangan demi kebajikan bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi pelbagai tugas hidup. Kita jangan bergaduh sesama sendiri.

No comments: