Saturday, December 31, 2011

Antara tahun baru, pegar dan batok-catatan yang belum selesai

HARI ini hari Ahad.

Ahad yang bermakna satu dalam bahasa Arab. Hari ini adalah hari pertama tahun baru 2012. Ertinya kita sedang berada pada hari yang baru, tahun yang baru. Sebut saja tahun baru, maka yang mula-mula ditanya selepas rakan-rakan kita mengucapkan Selamat Tahun Baru ialah apa azam baru. Apakah azam kita tahun lalu telah tercapai dengan jayanya. Apakah pencapaian-pencapaian kita pada tahun lalu yang baru saja berakhir kelmarin.

Apakah perkara-perkara yang belum kita capai? Apakah janji-janji yang telah kita laksanakan untuk diri kita, apakah janji-janji yang kita belum tunaikan?. Apakah perkara yang kita gagal lakukan, apakah pula perkara yang belum selesai?

Yang pasti umur kita semakin bertambah, yang pada hakikatnya semakin berkurang. Jika tahun lalu umur kita sudah menginjak 42 misalnya, pada tahun ini ia bertambah lagi kepada 43, yang bermakna kita semakin bertambah tua. Sebenarnya jika jatah hidup kita di dunia ini hanya, katakanlah 63, bermakna jumlah umur kita yang tersisa, semakin berkurang.

Sudah pasti, kita ingin menjadi lebih baik daripada hari semalam. Sudah pasti kita berharap semoga tahun ini dapat kita jalani dengan gembira dan bahagia. Kita berdoa mudah-mudahan kehidupan kita lebih sejahtera. Semoga segala kekurangan-kekurangan, semoga kelemahan-kelemahan kita tahun lalu dapat kita atasi. Pendek kata, kita mahukan segala yang terbaik untuk kita jalani tahun ini.

Betapa cepat masa berlalu, kadang-kadang kita merasakan waktu berjalan dengan pantas dan cepat. Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa setiap hari matahari terbenam untuk terbit lagi keesokan hari. Kita bangun pagi, gosok gigi, mandi, sarapan, berjalan ke tempat kerja, makan, minum, riadah, bersukan, berlari, tidur dan sebagainya. Ia berulang-ulang sehingga kadang-kadang kita menghadapi hari yang terasa monoton.

Tetapi jika kita mensyukuri rahmat dan nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Pemberi, jika kita mesyukuri kasih yang dianugerahkan oleh Yang Maha Pengasih, jika kita menyayangi segala yang diberikan oleh Yang Maha Penyayang, jika kita mengasihi, menyayangi dan memanfaatkan kehidupan yang diberikan kepada kita dengan memberi manfaat pula kepada yang lain, sudah pastilah hidup kita menjadi lebih bermakna.

Namun betapa sukarnya mengubah kebiasaan. Saya mengalaminya sendiri.Banyak kebiasaan-kebiasaan lama yang sepatutnya dinyahkan dari dalam diri. Kebiasaan membuat sesuatu yang sia-sia. Kemalasan, kelalaian, kealpaan, kecuaian dan banyak lagi perkara yang sepatutnya ditangani. Kadang-kadang apabila kita meremehkan diri kita, maka kita akan dianggap remeh oleh orang lain. Kadang-kadang jika kita kurang menghargai diri kita, kita akan kurang dihargai oleh orang lain. Kita adalah apa yang kita fikirkan, benar kata orang, fikiran kitalah yang membentuk dan membina jati diri kita.

Ya, betapa sukarnya mengubah kebiasaan, apatahlagi kebiasaan-kebiasaan lama. Juga betapa sukar mengubah tanggapan, betapa sukar mengubah tafsiran, betapa sukar mengubah andaian dan sebagainya.Kadang-kadang ada penafsiran, ada tanggapan kita yang salah.Kadang-kadang ada pemahaman kita yang tak kena, tapi oleh kerana selalu kita ungkapkan,selalu kita ucapkan, ia menjadi benar, walaupun sebenarnya, kita tidak menyedari bahawa selama ini kita mengikut yang tak benar.

Umpamanya, kita selalu mengatakan `Harapkan pagar, pagar makan padi'. Peribahasa ini selalu kita ucapkan untuk maksud orang yang dipercayai untuk menjaga sesuatu, dia pula yang mengkhianati kita. Kita terfikir bagaimana pagar makan padi, bagaimana pagar yang maksudnya sesuatu yang dibuat untuk membatasi, menyekat atau mendinding kawasan rumah, atau kebun, atau sawah, boleh memakan padi.

Menurut sebilangan pakar bahasa, sebenarnya bukan pagar yang memakan padi tetapi pegar yang memakan padi. Kesilapan peribahasa Melayu ini bermula apabila bahasa Melayu yang ditulis dalam huruf jawi dirumikan. Pengkaji bahasa menyatakan, mana logiknya peribahasa ini.Mana ada orang pagarkan kawasan padi, kata mereka.

Rupanya, yang betul `harapkan pegar,pegar makan padi'. Pegar adalah sejenis burung yang diharapkan untuk menghalau tikus dan haiwan perosak, tetapi burung pegar itu pula yang memakan padi.

Satu lagi peribahasa ialah `melepaskan batuk ditangga' yang bermaksud melakukan sesuatu dengan tidak bersungguh-sungguh. Apa kaitan melepas batuk dengan kerja yang tidak bersungguh-sungguh.Apakah kita membuat sesuatu sambil melepaskan batuk?. Sebenarnya yang betul adalah `melepaskan batok di tangga' Batok adalah alat yang dibuat daripada kayu dan tempurung yang digunakan untuk menceduk air dalam tempayan. Masyarakat kita pada zaman dahulu selalu meletakkan tempayan di kaki tangga. Mereka biasanya membasuh kaki sebelum masuk rumah. Tetapi air dalam batok itu tidaklah cukup untuk membasuh, kadang-kadang pula batok itu dilepaskan dan tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya, yang membawa makna kerja yang sambil lewa.

Saya sengaja memetik dua peribahasa ini untuk menunjukkan betapa kita boleh salah mengucapkan sesuatu, kita boleh tersalah andaian, kita boleh tersilap kerana menuruti ucapan orang-orang sebelum kita.Kadang-kadang tanpa usul periksa kita mengikuti sesuatu yang tidak betul. Lama-kelamaan, kerana terbiasa, kita tidak ambil peduli mengenainya.

Tahun lalu betapa banyak kes `harapkan pegar,pegar makan padi' yang tersiar dalam media, sama ada media cetak mahupun media elektrik. Betapa banyak perkara sumbang, yang tidak senonoh berlaku dalam masyarakat kita.Betapa teruknya gejala penyakit sosial yang kita hadapi.Semakin hari semakin banyak yang dilaporkan, semakin banyak kes jenayah yang berlaku, sehingga membuat kita bimbang takut, seram, dalam menjalani kehidupan.

Tetapi berapa banyak usaha yang telah kita lakukan untuk menangani gejala-gejala sosial yang semakin meningkat, yang melanggar kesopanan dan kesusilaan.Berapa banyak usaha yang dibuat oleh kerajaan dalam mengatasi masalah-masalah, dan kita sendiri, sebagai anggota masyarakat, berapa besar sumbangan kita dalam menjadikan negara ini selesa dan selamat untuk didiami. Kita berharap semuanya bukan sekedar melepas batok ditangga.

Selamat Tahun Baru 2012.

No comments: