Friday, December 9, 2011

Pesan ibu perkukuh tekad Datuk Hajah Hamisa

PESAN IBU PERKUKUH TEKAD DATUK HAJAH HAMISA

SETIAP kali menghadapi cabaran, beliau selalu teringat pesan ibunya.Nasihat yang melekat dalam ingatannya dan menjadi pendorong untuknya agar jangan gentar menghadapi cubaan. "Kalau sedikit, buat cuci muka.Kalau banyak, buat mandi," itulah kata-kata hikmat yang membantu memperkuat azamnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Datuk Hajah Hamisa Samat dilahirkan di Tawau pada Disember 1949. Beliau menerima pendidikan awal di GPS Tawau dan kemudian meneruskan pelajar di Sekolah Menengah St.Patrick Tawau. Selepas menamatkan persekolahan, beliau memohon menjadi guru. Selain menjadi guru, beliau juga pernah menjadi pegawai di Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK), kini JASA. Kemudian beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik di Jabatan Ketua Menteri (JKM). Pada tahun 2008, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah tokoh yang lebih mesra dipanggil Kak Misah di pejabatnya, di Tingkat Satu, Bangunan UMNO Kalabakan ditengah-tengah kesibukannya sebagai wakil rakyat. Sebagai seorang pemimpin yang disenangi, beliau yang membahasakan dirinya Kakak, adalah seorang yang prihatin terhadap permasalahan golongan rakyat di peringkat akar umbi. Ikuti petikan wawancara bersama beliau sambil menghimbau nostalgia ketika kanak-kanak, zaman persekolahan, pengalaman sebagai guru dan tugasnya sebagai wakil rakyat.Ikuti petikan wawancara bersama

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi wawancara dengan Utusan Borneo.Kami sangat berbesar hati kerana sudah lama berhasrat untuk mewawancara Datuk.

DHHS: Terima kasih juga kepada Utusan Borneo yang sudi memberi peluang kepada kakak.

UB: Boleh tahu dimana Datuk dilahirkan?

DHHS: Kakak dilahirkan di Tawau.Di satu tempat yang dulunya dipanggil Tanjung Pagar.Dinamakan Tanjung Pagar kerana ada pagar di tepi hospital.Kakak lahir tahun 1949, bulan Disember.

UB: Datuk sekolah dimana dahulu? Bagaimana keadaan persekolahan pada masa dahulu?

DHHS: Kakak mula bersekolah di GPS Tawau. Sekarang SK Bandar, kemudian di Sekolah Menengah St.Patrick.Belum sempat habis. Kerana waktu itu tiada duit untuk bayar yuran sekolah, tidak cukup duit untuk beli buku sekolah.Keadaan dulu berbeza dengan sekarang. Apatahlagi kerana kakak anak yatim. Ayah meninggal ketika kakak berumur dua tahun. Kakak pun tak tahu bagaimana wajahnya. Kakak hanya sempat melihat gambarnya satu kali. Jadi ibu yang membesarkan kami lapan beradik. Kakak yang paling kecil.

UB: Berapa jauh jarak antara sekolah dengan rumah Datuk?

DHHS: Jauh juga. Kakak berjalan kaki ke sekolah.Kemudian kakak dibelikan basikal, berkayuh ke sekolah bersama adik beradik Datuk Bahrom Titingan, naik basikal ke sekolah. Bukan macam sekarang.Dulu mana ada YB kita kenal. Sekarang persekolahan lebih baik, ada biasiswa, dulu mana ada. Itu sebabnya Kakak terpaksa berhenti awal.

UB: Lepas sekolah, Datuk terus bekerja?

DHHS: Ya. Lepas itu kakak jadi guru.Waktu itu menjadi guru agak senang. Ketika menjadi guru, kakak ambil kelas tambahan. Jadi sambil mengajar, sambil belajar. Ambil kelas tuisyen di sekolah yang sama.

UB: Berapa gaji guru ketika itu?

DHHS: Gaji guru ketika itu RM105.00.Jumlah itu sudah cukup untuk membelikan arwah ibu kain, beli baju untuknya.Dengan gaji itu, cukup untuk menampung keperluan keluarga, malah masih berbaki hingga bulan depannya.

UB: Bagaimana pula timbul minat dalam politik? Sebelum ini pernahkah Datuk terfikir menjadi wakil rakyat?

DHHS: Sebenarnya minat itu timbul tanpa direncana. Tiba-tiba saja minat dalam politik.Bila mengajar dalam kelas, kakak selalu menyeru murid untuk belajar bersungguh-sungguh, rajin, bila besar nanti boleh menjadi orang berguna, boleh menjadi pemimpin.

UB: Ada pengalaman menarik sewaktu mengajar dahulu?

DHHS: Satu hari, sekolah kami dikunjungi oleh arwah Tun Hussein Onn, ketika itu Menteri Pelajaran.Beliau datang melawat sekolah.Tiba di kelas, beliau lama tengok kakak mengajar.Kakak terus mengajar.Waktu itu kakak mengajar matapelajaran bahasa Melayu.Kalau tak silap mengajar peribahasa.Perkataan ter, yang maksudnya tidak sengaja.Kakak huraikan makna perkataan terpijak, dan banyak lagi ter, ter yang yang lain. Beliau rasa seronok.Lama dia perhatikan kakak mengajar.

UB: Apa beza jadi cikgu dahulu berbanding kerjaya cikgu sekarang?

DHHS: Ketika itu kakak mengajar anak-anak macam anak sendiri.Kalau mereka bising, kakak tak marah mereka.Sebaliknya kakak diam sambil merenung mereka.Tak lama kemudian mereka diam dengan sendirinya. Murid dahulu segan dan hormat kepada guru mereka.Ibu bapa pula tidak macam sekarang. Dulu kebanyakan ibubapa terdiri orang kampung yang baik budi.Mereka membawa macam-macam jenis buah, sayur, ubikayu dan sebagainya.Itulah pengalaman manis sewaktu dahulu.

Dahulu tidak macam sekarang. Sekarang kanak-kanak banyak dipengaruhi televisyen, cybercafe, internet, permainan games dan sebagainya. Dulu tv pun tiada.Yang ada hanya radio. Kanak-kanak dahulu banyak melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

UB: Mungkin ada murid-murid Datuk yang berjaya sekarang?

DHHS: Antara murid kakak dahulu yang berjaya, antaranya Datuk Tawfiq (Abu Bakar Titingan), Badrul Amin (Ustaz Dr Badrol Amin Haji Bahrun), Dr Arsiah, mereka itu pelajar yang pandai pandai belaka.Malah di pejabat kakak sekarang, ada beberapa orang yang pernah menjadi murid, antaranya CDO, pemaju mukim dan sebagainya.

UB: Sebenarnya bila Datuk terlibat dalam politik?

DHHS: Kakak dulu pernah menjadi Ketua Penerangan USNO Tawau Lama, termasuk cawangan Icebox (kampung Titingan). Kak ditegur apabila terlalu aktif dalam politik.Ketika itu masih Kerajaan Perikatan. Kakak terpaksa meletak jawatan dan memberi notis dalam 24 jam. Kakak terpaksa membayar sebulan gaji RM105.Kemudian kakak menjadi Ketua Kaum Ibu USNO. Bila menonton Perhimpunan Agung UMNO disiarkan di tv, terbetik dalam fikiran keinginan untuk berucap.Barangkali seronok juga,.Hasrat ini tercapai kemudian apabila kakak terpilih dua kali membahas ucapan, dalam tahun 95, 96 begitu.

Kakak ingat lagi, waktu pertama kali berucap kakak kena tegur, kerana dikatakan emosi. Ada seorang pemimpin ketika itu berucap mengatakan bahawa rakyat adalah raja. Tapi dalam ucapan perbahasan kakak mengatakan bahawa tidak guna kita mengatakan rakyat itu raja, kalau selepas pilihanraya kita lupakan mereka, malahan kakak mengatakan bahawa di Sabah, masih dalam tahap miskin. Sehabis berucap kakak dipanggil.Mereka minta teks ucapan, tapi kakak tak baca teks ucapan yang diberikan.Sebaliknya bercakap tanpa teks.

UB: Kalau tak silap, Datuk juga pernah terlibat dalam Ngo seperti Persatuan Wanita Sabah (PEWASA).

DHHS: Kakak terlibat dalam Pewasa, sejak tahun 1978 tapi melepaskan jawatan dalam tahun 2009, untuk memberi lebih tumpuan kepada tugas yang diamanahkan oleh rakyat. Banyak juga aktiviti yang kami adakan ketika itu.

UB: Oh ya. Siapa yang paling berpengaruh dan memberikan inspirasi kepada Datuk?

DHHS: Orang yang paling berpengaruh dalam hidup kakak ialah ibu, arwah Maimunah binte Dusamat. Beliau seorang yang penyabar dan membesarkan kami dengan tabah. Ayah kakak, Abdul Samat Ahim meninggal sewaktu akak masih kecil.Jadi tidak banyak kenangan bersamanya. Ibu selalu berpesan, bahawa dalam kehidupan, misalnya dalam organisasi, kita jangan gentar menghadapi cabaran dan cubaan. Katanya `kalau sedikit, buat cuci muka.Bila ada cabaran.Kalau banyak buat mandi" Itulah kata-katanya yang paling kakak ingat.Sampai dia meninggal, ibu berpesan agar jangan takbur. Sentiasa baik dengan orang dan melayan mereka dengan baik.Ibu kakak dahulu, kalau ada tamu datang, mesti dilayan dan walaupun sedikit dijamu makan dan minum. Semua mesti dilayan dengan baik dan tamu mesti dimuliakan.

UB: Sebagai wakil rakyat, apa cabaran Datuk di kawasan DUN Tanjung Batu?

DHHS: Antara cabarannya ialah banjir. Sekarang sedang sibuk mesyuarat persiapan menghadapi banjir.Selain itu masalah sampah. Di kawasan kakak juga, masih banyak rakyat yang tidak mempunyai rumah, masih tinggal di kawasan setinggan. Ada perumahan PPR yang dibina tetapi masih belum mencukupi.Ini antara cabarannya.

Selain itu, antara masalah juga ialah masalah dadah yang sudah masuk ke kampung-kampung.Kita tidak mahu belia kita rosak. Kita mengadakan program dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menangani masalah ini.Kita menyeru agar semua pihak bekerjasama untuk membenteras gejala ini.

UB: Bagaimana sambutan rakyat kepada program yang pihak Datuk laksanakan?

DHHS: Alhamdulillah, rakyat di kawasan Tanjung Batu memberikan kerjasama yang amat baik.Tidak menyusahkan malah memberikan sambutan terhadap program-program yang dianjurkan.

UB: Oh ya, mungkin Datuk ada pengalaman lucu, pahit manis yang boleh dikongsikan bersama?

DHHS: Pengalaman lucu? Kakak tidak tahu sama ada ini lucu atau tidak.Dulu sewaktu sekolah rendah, dalam darjah dua begitu, kakak jual kuih ke sekolah. Sambil jualan itu, banyak pula yang dimakan sendiri. Selain itu, waktu masih kanak-kanak dahulu, kita teruja untuk memiliki baju hujan.Kita pakai baju hujan, tapi hujan tak datang-datang.

Keadaan hidup dahulu tidak seperti sekarang. Dulu kalau ada baju raya, mahu tidurpun, itu yang ditengok-tengok. Itu sebabnya kakak selalu bercakap kepada anak yatim, kebetulan kakak anak yatim sejak kecil, betapa kehidupan memberi rahmat kita patut mensyukurinya, dan berusaha untuk membaiki hidup kita.

Ada lagi satu peristiwa lucu.Dulu kan kami berjalan kaki ke sekolah.Jadi satu hari kakak ituk jalan pintas, short cut, lalu kebun Cina.Kakak dikejar Sapi.Tak tahu pula disana ada sapi.Rasa takut sangat.Kakak lari lintang pukang kena kejar sapi.Kakak terluka kerana terpaksa menyusup pagar yang dawainya berduri.

UB: Ada yang mungkin Datuk boleh ceritakan?

DHHS: Dulu kehidupan sebagai anak yatim memang perit. Tapi setiap Jumaat ada satu orang tua, kami panggil Pak Tua Aman, datang membawa gulu-gula, duit 30 sen dan roti paun. Jadi setiap Jumaat kakak menunggu kedatangannya.Pak Tua Aman berjalan kaki, dia mesti panggil.Itu satu kenang-kenangan sewaktu kecil.

UB: Apa falsafah Datuk dalam perjuangan?

DHHS: Kita dalam perjuangan, mesti ada keikhlasan.Jangan berburuk sangka dengan orang lain.Kalau mahu naik ke atas, jangan memijak orang lain.Biarlah kita berdiri atas kewibawaan kita sendiri.

No comments: