Sabtu, 17 Disember 2011

Tawfiq pernah jual buku-buku terpakai

Tags

TAWFIQ PERNAH JUAL BUKU-BUKU TERPAKAI

TEPAT jam 2.30 petang, 6 Disember lepas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan memasuki ruangan lobi Hotel Emas Tawau untuk menemui pemimpin-pemimpin belia dari Tawau dan Kalabakan yang ingin bertemu dengan tokoh pemimpin yang juga Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri DUN N.56 Apas, Tawfiq adalah salah seorang pemimpin yang disenangi dan popular di kalangan rakyat kerana sikapnya yang ramah, mudah mesra dan sentiasa prihatin terhadap permasalahan rakyat akar umbi di kawasannya.

Di celah-celah kesibukannya sebagai wakil rakyat, beliau sempat memenuhi permintaan wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN untuk sesi wawancara singkat untuk mengenali sedikit sebanyak latar belakang beliau sebelum menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan Pembantu Menteri Kewangan, yang dianggap salah satu portfolio penting dalam kerajaan.

Beliau merupakan anak ke 10 dari 14 adik beradik. Ayahnya, Datuk Haji Abu Bakar Titingan adalah tokoh politik berpengaruh di Pantai Timur Sabah manakala ibunya, Kee Hafsah Kee Abdullah datang dari keluarga yang terkenal di daerah Tawau.

Tawfiq dilahirkan pada 2 Oktober 1962.Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tawau dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah St Patrick Tawau. Beliau kemudian berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian sehingga lulus dalam bidang Kejuruteraan Kimia (Bsc Chemical Engineering) di University Glamorgan Wales.

Sekembalinya dari seberang laut, Tawfiq sempat menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan. Beliau menjual buku-buku terpakai di bandar Tawau, sebelah menyebelah dengan gerai sotong dan gerai kuih muih untuk mengisi masa sebelum mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya sebagai lulusan dalam bidang kejuruteraan. Selepas itu, beliau bekerja sebagai Jurutera Proses di Sabah Gas Industries pada tahun 1987 di Loji HBI di Labuan dan kemudian berpindah bertugas dengan Sarawak Shell Berhad di Miri, Sarawak.

Kemudian beliau meletakkan jawatan dan kembali ke Tawau untuk menceburi bidang perniagaan pada tahun 1992. Pada masa yang sama beliau bergiat dalam kegiatan berpersatuan dan aktif dalam Persatuan SANYA, Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT), SAFA Daerah Tawau dan sebagainya. Pada tahun 1995, beliau menyertai UMNO, parti politik pertama yang disertainya dan menjadi Ketua Pemuda UMNO Tawau pada tahun 1998.

Pada tahun 2000 hingga 2003, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri. Selepas persempadan semula, Tawfiq dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Tawau pada tahun 2004. Kemudian dalam pilihanraya 2004, beliau dipilih sebagai calon BN DUN Apas, dan menang tanpa ditandingi dalam pilihanraya itu. Seterusnya beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar. Selepas pilihanraya 2008, beliau yang menang dengan cemerlang, dilantik pula sebagai Pembantu Menteri Kewangan Sabah. Datuk Tawfiq mendirikan rumah tangga dengan Datin Rahmah Sayed Ali dan dikurniakan empat orang anak.


UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi wawancara ini. Sebagai seorang pemimpin yang sentiasa sibuk, bagaimana Datuk mengagihkan masa antara tugas sebagai Pembantu Menteri Kewangan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Keluarga?

DTAT: Sebenarnya tidaklah sukar membahagikan masa. Saya berada di Kota Kinabalu setiap Isnin hingga Khamis untuk menjalankan tugas sebagai pembantu menteri manakala setiap Jumaat , Sabtu, Ahad, saya berada di kawasan untuk bertemu rakyat, mengadakan program turun padang dan sebagainya.

Biasanya pada hari Jumaat, saya berada di Pejabat UMNO Tawau untuk membuat perjumpaan dengan rakyat yang saya wakili.

UB: Saya mendapat tahu Datuk juga berhubung dengan rakyat melalui perkhidmatan SMS (Sistem Pesanan Ringkas)?

DTAT: Ya, saya juga berusaha memastikan agar sentiasa berhubungan dengan rakyat di DUN Apas melalui perkhidmatan SMS. Setiap mengirimkan sms kepada rakyat, kepada pemilih, mengenai maklumat-maklumat penting, program-program dan sebagainya untuk makluman kepada semua rakyat di kawasan saya. Saya berusaha semaksima mungkin untuk berhubung dengan mereka.

UB: Jadi bagaimana respon mereka Datuk?

DTAT: Kebanyakan mereka memberikan respon yang positif kerana mereka merasa dihargai. Bahkan mereka juga menyalurkan aduan mengenai masalah-masalah yang mereka hadapi melalui SMS. Itu semua diambil tindakan segera agar masalah mereka dapat diatasi. Selain itu, rakyat juga membuat aduan melalui telefon.Malah baru sebentar tadi, Miss Yong dari Tinagat, mengadukan mengenai masalah bekalan air. Jadi rakyat boleh menghubungi wakil rakyat mereka pada bila-bila masa. Apabila kita menerima aduan,Kita terus mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat dan cuba untuk membantu menangani masalah mereka.

UB: Apakah perkara-perkara atau isu-isu yang biasanya dikemukakan oleh rakyat di kawasan Datuk?

DTAT: Antara isu yang mereka kemukakan ialah masalah infrastruktur, masalah kebajikan, pelajaran, memerlukan bantuan kebajikan, pembaikan rumah,

Oleh kerana kebanyakan masyarakat luar bandar, kaunseling, kemana mereka memohon kad pengenalan, ada yang datang memohon sokongan untuk mendapatkan pekerjaan, masalah kesihatan, ada yang datang dari golongan yang tidak mampu, itu yang biasa diadakan

UB: Oh ya? Bagaimana Datuk terlibat dalam politik?

DTAT: Keluarga saya terdiri daripada orang politik. Ayah saya orang politik, jadi saya sudah terbiasa dengan rakyat. Setiap malam, ramai orang yang berkunjung di rumah kami. Semasa abang saya, Datuk Ahmad Bahrom Abu Bakar Titingan, menjadi wakil rakyat, keadaan yang sama juga berlaku. Saya berasa seronok berkhidmat dengan rakyat.saya gembira jika dapat membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka. Saya meneruskan legacy kepimpinan untuk memastikan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar terus mendapat pembelaan.

UB: Apa perasaan Datuk setelah menjadi wakil rakyat?

DTAT: Saya menganggap menjadi wakil rakyat bukan satu keistimewaan. Sebaliknya ia satu cara untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada semua rakyat agar mereka menikmati kesejahteraan, tanpa mengira kaum dan agama,

UB: Saya difahamkan Datuk pernah menjual buku-buku terpakai.Boleh ceritakan sedikit mengenainya?

DTAT: Ketika itu saya baru balik selepas menamatkan pengajian di UK pada tahun 1987. Ekonomi dunia waktu itu sedang merudum.Amat sukar mencari kerja. Sudah menjadi sifat semulajadi jadi, tidak suka berdiam diri.Jadi saya ambil lesen untuk berniaga secara kecil-kecilan.saya jual buku-buku terpakai, buku pelajaran, alat tulis dan sebagainya. Saya masih ingat, tempat saya berjualan itu bersebelahan dengan gerai sotong dan gerai kuih-kuih muih dan gerai lain. Ada juga yang mengejek tapi saya tidak peduli. Wal hal ketika itu, abang saya Datuk Ahmad Bahrom Abu Bakar Titingan menjawat Timbalan Ketua Menteri. Tapi ia tidak menjadi penghalang. Saya fikir ada baiknya untuk mendapatkan pengalaman dalam bidang perniagaan. Dalam berniaga, kita boleh belajar ciri-ciri ketabahan, kesabaran, disiplin dan sebagainya.

Saya menasihatkan agar belia tidak memilih kerja. Jangan suka buang masa sebaliknya ceburi bidang keusahawanan dan perniagaan kerana ia boleh mendatangkan pulangan lumayan.

UB: Selepas itu, Datuk bekerja dimana?

DTAT: Saya mendapat tawaran untuk bekerja di WP Labuan sebagai jurutera proses dengan Sabah Gas Industries sebelum berkhidmat dengan Sarawak Shell Berhad di Sarawak. Pada tahun 1992, saya berhenti dan menceburkan diri semula dalam bidang perniagaan.

UB: Apa bidang perniagaan yang Datuk ceburi?

DTAT: Selepas balik ke Tawau, saya membuka kelas komputer di Komplek Mara Tawau. Saya juga menceburi bidang kontraktor binaan, dan menyelenggara loji-loji di taman-taman perumahan.Hasil dari keuntungan perniagaan itu, saya laburkan dalam bidang automotif, menjadi pengedar kereta perodua di Sandakan dan Proton Edar di Kota Kinabalu.

UB: Mungkin ada falsafah hidup atau nasihat yang boleh jadi renungan pembaca?

DTAT: Kita kena sentiasa bersabar, jangan terlalu tergesa-gsa untuk menghasilkan sesuatu.Hasilkan yang terbaik dan buat perancangan yang rapi.

UB: Siapa idola Datuk?

DTAT: Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri kita.

UB: Apa hobi Datuk jika ada masa lapang?

DTAT: Sekiranya ada masa terluang, saya suka bermain golf. Tetapi oleh kerana sekarang masa agak terhad, saya suka melayari internet untuk mendapatkan maklumat baru, untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan dan sebagainya. Melalui media baru ini juga kita boleh mendapatkan maklumat dengan cepat tetapi kita mesti bijak menapis dan menilai maklumat yang kita perolehi itu, supaya pemikiran kita tidak terpesong.

UB: Agaknya apa nilai-nilai yang dapat Datuk contohi daripada Ayahanda Datuk?

DTAT: Ayah saya seorang yang prihatin, tanpa memilih bulu.Beliau sangat mesra dengan semua golongan, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, bangsa dan agama.

Kami 14 adik beradik adalah satu keluarga yang begitu rapat. Kami dididik sebagai satu keluarga yang mementingkan semangat persahabatan dan persaudaraan.

Ayah saya juga sama sekali tidak mengabaikan pendidikan agama. Sebelah pagi beliau menghantar kami ke sekolah kerajaan manakala pada sebelah petang beliau menghantar kami ke sekolah Islamiah Tawau. Disinilah saya mula terdedah dalam bidang kepimpinan.Sewaktu di sekolah menengah, saya di;ilih sebagai Pengerusi Persatuan Pelajar Islam Tawau, Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan menjadi Timbalan Ketua Pengawas SM St Patrick Tawau.

UB: Apa komen Datuk terhadap Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri baru-baru ini?

DTAT: Sebagaimana yang sedia kita tahu, Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kewangan adalah bajet yang terbesar dalam sejarah negeri sejak merdeka iaitu RM4.048 bilion. Bajet ini memberikan banyak penekanan terhadap pembangunan luar bandar, dengan memberikan peruntukan yang besar untuk menangani masalah rakyat seperti menyediakan bekalan air, mengatasi masalah miskin tegar, meningkatkan kesejahteraan rakyat, produktiviti ekonomi dan sebagainya. Pembentangan bajet ini membuktikan bahawa Sabah memiliki kedudukan kewangan yang sangat kukuh. Ia juga menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi yang kukuh itu adalah hasil kewibawaan kepimpinan Ketua Menteri yang rajin bekerja, dan sentiasa turun padang untuk meninjau masalah rakyat.

Melalui Bajet yang begitu besar itu, kita yakin bahawa hasrat menjadikan Sabah Negeri Maju menjelang 2015 akan tercapai. Selain itu, kita juga melihat kerajaan juga memberikan peruntukan yang besar kepada kementerian-kementerian.Contohnya Kementerian Belia dan Sukan yang sebelum ini mendapat peruntukan kurang Rm10 juta tetapi melalui Bajet 2012, KBS mendapat peruntukan melebihi RM50 juta. Ini menunjukkan bahawa Sabah berada pada landasan ekonomi yang kukuh.

Harapan saya agar masyarakat bijak menilai dan melihat pencapaian yang dibawa oleh pucuk pimpinan dalam memastikan Sabah terus makmur dan sejahtera. Saya juga menggesa agar mereka jangan terlalu emosi atau terpedaya dengan dakyah-dakyah yang saya anggap dibuat oleh pihak yang kecewa.

UB: Akhir sekali apa harapan Datuk di masa depan?

DTAT: Saya berharap dengan izin Allah, dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Saya akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan penyelesaian terhadap isu-isu atau perkara yang melibatkan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.