Khamis, 28 April 2011

Sekadar memaknai sepotong Bayuk Iranun

Tags
paganai pindeleman,
a nidtug aku ian,
ka tai' aku a putau.

Merasa terbuang atau terpinggir dari keluarga atau masyarakat, kerana dianggap `tai' a putau' (mungkin terjemahan bebasnya besi berkarat yang tidak lagi berguna) seseorang mungkin menganggap dirinya tidak lagi berguna.

Dahulu miskin dan lara, dihumban kerana tak berfaedah. Tidak lagi dihiraukan kerana dianggap sebagai hanya sekadar besi berkarat walaupun sekarang besi berkarat tetap boleh dijual sebagai besi buruk.Tetapi dalam masyarakat Iranun,seperti juga masyarakat lain di alam Melayu,dalam bab merajuk ini, barangkali mereka sukar ditandingi.

Inilah salah satu penyakit yang sukar juga dihilangkan. Tabiat merajuk ini, sebutlah bahawa ia sejenis budaya, budaya merajuk, pada akhirnya menyebabkan sesuatu keinginan atau hasrat terhalang.

imantu miagulana'
agu aku' ian bu' sambuta
ka sundang aku a ranti'

Tetapi sekarang, setelah hidup disinari cahaya, barulah ia dianggap berguna bak `sondang a ranti'. Sundang adalah sejenis senjata masyarakat Iranun seperti keris, tetapi lebih besar dan panjang tetapi tajam, yang digunakan sebagai salah satu alat senjata masyarakat Iranun.Ranti' atau maranti' dalam masyarakat Iranun bermaksud amat tajam, panas yang menyengat dan sebagainya.

Bayuk-sejenis puisi Iranun yang menggunakan bahasa Iranun klasik- dirakamkan oleh Mabulmaddin Hj Shaiddin daripada Haji Mohd.Salleh Mantar. Meskipun bayuk ini menggambarkan rasa merajuk tetapi melaluinya dapat juga kita hayati aspek pemikiran dan budaya masyarakat Iranun itu sendiri.

Versi lengkap bayuk itu berbunyi;

paganai pindeleman,
a nidtug aku ian,
ka tai' aku a putau.

imantu miagulana'
agu aku ian bu sambuta
ka sundang aku a ranti'...
-Haji Mohd.Salleh Mantar

terjemahan bebasnya;

di musim kegelapan dahulu,
ia mencampakkan aku
seperti karat pada besi,
demikianlah diri ini.

Sekarang purnama bertamu,
ia mengalu-alukan daku,
seperti sundang sakti,
demikianlah aku bererti.
-Mabulmaddin Haji Shaiddin

Membandingkan antara besi berkarat dengan senjata berbisa seperti `sundang sakti' amatlah tidak adil.Tetapi kita dapat menghayati betapa tajamnya kiasan yang digunakan oleh orang-orang tua kita dahulu dalam menggambarkan perasaan mereka.

Selain itu, melalui sepotong bayuk ini kita dapat melihat betapa sebagai sebagai bangsa bermartabat, suku bangsa Iranun mengenal senjata besi kerana masyarakat itu, ketika zaman kegemilangannya pada abad ke-17 dan ke-18, dikenali sebagai masyarakat pandai besi.

Mereka mampu membuat laila' (meriam) rentaka, membuat senjata daripada besi seperti pisau, kerus, parang pelbagai jenis, sondang,bangkau, kampilan dan berbagai lagi peralatan besi yang lain.

Sekarang tidak ramai lagi yang menyimpan kesan-kesan kegemilangan itu. Orang-orang tua meninggal dan pergi dan pada zaman meleset, zaman malaise itu, Orang-orang terpaksa menjual harta mereka, alat alat kebesaran mereka, hasil kerja tangan mereka dengan harga yang murah untuk dapat bertahan hidup.

Barangkali itulah juga sebabnya masyarakat Iranun kehilangan banyak khazanahnya.Bahkan generasi muda, ada di antaranya, tidak lagi mengenal perjalanan sejarah yang ditempuhi oleh bangsanya.

Mungkin mereka akan merasa hairan jika mengetahui bagaimana unggulnya nenek moyang mereka dahulu, sehinggakan Sultan Mahmud III yang memerintah Kerajaan Riau-Lingga meminta bantuan Raja Tempasuk pada tahun 1787 untuk menghalau Belanda dari Tanjung Pinang.

Banyak pengajaran yang dapat diambil dari puisi bayuk dengan nada merajuk ini.Jangan sekali kali kita meremehkan orang dan menganggapnya `tai' a putau' (besi berkarat).Tidak semua orang boleh menjadi sundang sakti tetapi jika tidakpun mampu menjadi sundang sakti, jadilah pisau tetapi pisau yang ada gunanya.


*****OKK Haji Masrin Haji Hassin menyatakan versi asal bayuk ini
Guani ka ayag aku,
sundang aku a ranti'
Kagia man ndeleman, andu'
tai' aku a putau.

Bayuk ini membawa maksud antara lain, ketika muda dan perkasa, kita dilayani, dihormati, dianggap berguna seperti sondang a ranti'. Tetapi setelah menjadi renta, tidak dipedulikan lagi.

Ahad, 24 April 2011

Apa yang mereka buat dalam bilik tu abah? pertanyaan seorang anak ketika menonton tv

Tags
Apa yang mereka buat dalam bilik tu abah?
Maskan terlopong mendengar pertanyaan anak itu. Dia tidak dapat menjawab. Dia dan isterinya berpandangan sesama sendiri.

Anaknya itu baru berusia lima tahun.Dia bertanya kepada ayahnya ingin tahu apa yang sedang dilakukan oleh orang-orang dalam tv itu.

"Jangan kau tanya tu," kata abangnya, lalu menampar muka adiknya.Kemudian dia bingkas bangun ke dapur untuk membuat minuman.

"Jangan kau sakiti dia.Dia tak salah. Adikmu tak salah.Tv ini yang tak betul," kata Maskan seraya mematikan tv. Waktu itu siaran berita.Buletin jam 8.00 malam.

Beliau merasa gusar dan marah kepada media penyiaran yang menyiarkan berita tanpa rasa tanggungjawab.

"Kalau ghairah berpolitikpun, berpolitiklah, jangan racuni fikiran anak-anak," katanya.Laporan berita yang menayangkan klip video itu disiarkan tanpa memikirkan kesannya kepada kanak-kanak.

"Waktu itu kami sekeluarga menonton tv. Kemudian klip video x itu, yang menunjukkan seorang lelaki dan perempuan disiarkan.Walaupun hanya sesaat, tetapi ia dilihat oleh anak-anak saya.

"Apa yang mereka buat dalam bilik tu abah?"

"Astaghfirullah hal adzim".Maskan beristighfar berkali-kali.

"Talibisin beloon," katanya dalam bahasa bajau yang bermakna televisyen gila.Rasa marah berkobar-kobar.

Apa mereka sudah gila? tanya Maskan.

Penyiaran klip video itu, oleh sebuah stesen tv di negara kita, boleh mengundang padah dan memberi dampak negatif kepada generasi muda.

Walau apapun tujuan penyiaran itu, sama ada kerana keghairahan politik atau sebaliknya, ia patut dihentikan dan tidak disiarkan pada waktu perdana.

"Saya amat terkejut apabila anak saya yang berusia lima tahun bertanya `apa yang dia orang buat tu abah?' sebaik melihat klip video yang ditayangkan dalam siaran berita.

Pengamal media mesti mempunyai tanggungjawab moral kerana walaupun apapun motif penyiaran itu, ia sepatutnya dapat dielakkan sekiranya media mematuhi kod etika kewartawanan.

"Kalau anak-anak perempaun mereka menonton berita pada malam ini (malam 23.04.2011) apakah mereka tidak rasa malu?"

Barulah mereka rasa apa yang aku rasa, kata Maskan. Saya tak dapat menerima rasional penyiaran klip itu.

Media mesti ada etika.Mesti ada kawalan terhadap bahan bahan yang disiarkan, kata Maskan lagi.

"Kalau orang dewasa seperti kita, mungkin dapat memahami isunya.Tapi kanak-kanak yang tak tahu apa-apa itu, bagaimana akan dijelaskan kepada mereka?

Orang-orang itu sudah mati rasa barangkali. Rasa tanggungjawab mereka sudah mati.Rasa malu mereka sudah mati.Rasa simpati mereka sudah mati.Rasa kemaafan mereka sudah mati.Rasa keadilan mereka sudah mati.Rasa kebenaran mereka sudah mati. Jadi mereka adalah orang yang mati rasa.

Khamis, 21 April 2011

Sepotong cerita hidup manusia, sepertimana diceritakan Alip

Tags
Setiap kali bertemu Alip, ada saja cerita manusia yang dikongsikannya, misalnya pada hari ini, ketika kami makan nasi ayam di Taman Kemajuan, Alip bercerita mengenai seorang lelaki dari utara yang dijadualkan menghantar wang hantaran kepada keluarga si perempuan di sebuah taman di Kinarut.

Waktu yang ditetapkan untuk menghantar wang itu jam 10.00 pagi, hari minggu, beberapa waktu yang lalu.

Tapi jam 10.00, pihak si lelaki belum sampai.
Ketika dihubungi, lelaki itu berkata, mereka sedang dalam perjalanan dan ketika itu berada dekat kingfisher.

Kalau dihitung, jarak antara King fisher Likas dengan Kinarut, tidak sampai satu jam menggunakan kereta. Lebih-lebih lagi hari itu hari Ahad.

Jam 11.00 pagi, lelaki yang mahu kahwin itu belum juga sampai. Ketika ditelefon, katanya mereka sedang berada dekat dengan Tanjung Lipat.

Jam 12.00 tengahari. si lelaki belum juga tiba. Sekali lagi ditelefon.Ketika itu kononnya mereka sudah berada dekat Airport Petagas.

Keluarga si perempuan sudah rimas.Marah-marah.Takkan begitu lama perjalanan itu. Jam menunjukkan angka 1.00 petang, lelaki itu sudah terlewat dari jadualnya. Ketika ditelefon, kononnya mereka sudah sampai Ketiau Putatan.Jadi tak lama lagi pasti datang.

Tunggu punya tunggu, sampailah jam 4.00 petang, rombongan lelaki baru datang.
"Kenapa lama sangat?" Naik kereta kuda kah? keluarga si perempuan marah-marah. Mungkin ada masalah dalam perjalanan, tak apalah kata Alip.

Kemudian wang hantaran itu dibungkus rapi dalam kotak. Berwarna warni pitanya. Tidak pula diceritakan berapa jumlah wang hantaran itu.
Ketika disodorkan kepada keluarga perempuan, kotak itu diletakkan dengan baik di hadapan wakil perempuan.
Tapi bila dibuka, kotak yang disangka mengandungi wang hantaran itu, hanya berisi kad kredit.
Kad kredit?

Apalagi marahlah keluarga pihak perempuan. "Apa dia ingat ini supermarketkah?"

Akhirnya majlis itu tak jadi dilangsungkan, dan ditangguhkan ke hari lain, setelah perbincangan dan perdebatan panjang.
Tidak lama kemudian, cerita itu berangsur dilupakan orang. Gadis yang dipinang dan sepatutnya kahwin itu pun hilang dan luput dari perhatian orang-orang di sekitar.

Sehinggalah satu hari, gadis yang hilang itu muncul bersama suaminya, lelaki yang itu juga, kononnya mereka menikah di luar negara.

Aduhai.

Selasa, 19 April 2011

Catatan untuk penjaga kasut di masjid

Tags
Setiap Jumaat,Liyas mendapat tugas menjaga kasut dan selipar di masjid bandaraya.
Saya tidak tahu apakah dia suka atau tidak suka.Tidak ada apa apa ekspresi di wajahnya. Apa yang dia tahu ialah pada setiap kali tibanya Jumaat, ia akan meninggalkan tugasnya yang lain dan memilih untuk menjaga selipar dan kasut para jemaah yang akan menunaikan solat Jumaat.

"Ketika kau menjaga kasut dan selipar di masjid ini, sebenarnya kau juga ikut menjaga iman si empunya kasut dan selipar," kata Liyas mengulangi kata-kata orang tua yang pernah didengarnya.

Liyas merasa hairan, bagaimana kasut dan selipar boleh dihubungkan dengan iman seseorang. Dia tidak mengerti. Tetapi tetap saja dia menjalankan tugasnya menjaga kasut dan selipar dengan sebaik-baiknya.

Asalkan jangan ada yang hilang.Kadang-kadang ada budak budak nakal yang sengaja mencuri kasut jemaah.
Liyas mahu memastikan tidak ada kasut yang hilang atau selipar yang lesap begitu secara misteri.
Dia tidak mahu setiap kali selesai sembahyang, ada orang yang merungut, geram dan marah marah kerana kehilangan kasut atau selipar.

"Kalau kau menjaga kasut dengan baik, kau ikut berpahala,"dia teringat kata-kata orang tua itu lagi.
Pada satu waktu yang lain, orang titu berkata kepada Liyas, betapa menjaga kasut itu juga dapat membantu orang orang meningkatkan tahap keimanan mereka.

Liyas gembira. Semudah itu dapat berpahala, dan dapat pula membantu meningkatkan iman seseorang.
Kalau kau menjaga kasut dan selipar itu, pemiliknya tidak akan risau dan susah hati. Kerana itu mereka dapat menjalankan ibadah solat dengan lebih khusyuk lagi. Apalagi kalau orang orang berada, ketika solat mereka asyik teringat kasut mereka dan tidak dapat mengingat Tuhan dengan baik.

Fikiran mereka melayang ke arah kasut mereka yang diletak di luar masjid.Takut hilang. Kadang-kadang kasut dan selipar mahal yang mereka pakai boleh mengganggu iman mereka. Selipar dan kasut menyebabkan kualiti iman mereka menurun. Kalau iman juga ada KPI, sudah tentu pencapaian mereka terjejas kerana takut kasut dan selipar mereka diambil orang atau dicuri oleh budak-budak nakal.

"Tugasmu ini, walaupun ringan tetapi mulia,Liyas". Dengan adanya orang-orang sepertimu, orang-orang yang sudi dan sedia menjaga kasut dan selipar, para jemaah dapat menjalankan ibadah mereka dengan khusyuk.

Bayangkan kalau orang kehilangan kasut atau selipar mereka, tentulah mereka akan marah dan memaki-maki. Ketika marah dan memaki-maki itu, mereka kadang terlupa bahawa segalanya itu ujian atas keikhlasan dan kesabaran, juga ujian terhadap ketakwaan mereka.

Dengan hal-hal yang kecil seperti kasut dan selipar, orang dapat dengan mudah mengukur tahap kebaikan dan tahap keimanan seseorang.Kerana itu, anggaplah tugasmu ini satu ibadah dan jangan pernah meremehkannya.

Saya duduk sambil mendengar kata-katanya itu. Kata-kata yang sebenarnya pernah didengarnya daripada seorang tua, yang selalu menunaikan solat di masjid itu

Kalau hidup ini, kita ikhlaskan dengan menjaga selipar dan kasut dengan sebaik-baiknya,sudah tentu Tuhan memberikan ganjaran kebaikan kepada kita. Sejak bertugas di masjid itu, pandangan Liyas terhadap hidup dan kehidupan banyak berubah.

Padahal tugas yang diamanahkan kepadanya hanya menjaga kasut dan selipar. Ternyata menjaga kasut dan selipar telah mendidiknya untuk berfikir bahawa segala sesuatu dalam kehidupan ini dicipta, dengan hikmah dan mempunyai manfaatnya masing-masing.

Setiap Jumaat, Liyas akan duduk di kaunter, menyimpan kasut dan selipar, meletakkan satu kad tanda nombor di kasut dan satu lagi dipegang oleh si empunya, kemudian setelah panggilan azan dikumandangkan, dan orang-orang berdiri menunaikan solat Jumaat, Liyas dengan cepat-cepat berdiri di belakang jemaah dan solat sebagai makmum.

Ahad, 17 April 2011

MEMOAR SEORANG GEISHA SERLAHKAN DUNIA GEISHA YANG RAHSIA

Tags
MEMOAR SEORANG GEISHA SERLAHKAN DUNIA GEISHA YANG RAHSIA

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Jika tidak kerana buku Memoirs of a Geisha karya Arthur Golden, yang diterjemahkan dengan baik dalam bahasa Melayu Indonesia sebagai Memoar Seorang Geisha, anggapan saya terhadap dunia geisha mungkin selamanya silap. Geisha bukanlah pelacur, seperti anggapan saya selama ini sebaliknya geisha dilatih mengenai pelbagai seni untuk memikat laki-laki, kalau boleh lelaki yang kaya dan berkuasa.

Dunia geisha penuh rahsia, dan kisahnya tidak dengan mudah dituturkan kepada orang lain. Seorang yang menjadi geisha perlu menjaga penampilannya. Dia perlu menghadiri sekolah, dan mempelajari tarian, seni malah sastera untuk bekalnya sebagai seorang geisha.

Memoar seorang Geisha (Memoirs of a Geisha) bercerita mengenai Sayuri yang berasal dari sebuah desa nelayan yang miskin di Yoroido. Ketika ibunya terlantar sakit, dia dan kakaknya terpaksa meninggalkan kampung setelah dijual ke sebuah rumah geisha yang terkenal di Gion, jauh dari tempatnya. Sayuri yang ketika itu, baru berusia sembilan tahun, memiliki mata biru-kelabu yang luar biasa, mencuba melarikan diri. Perbuatan ini menyebabkan Sayuri tidak layak menjadi geisha dan menurut kebiasaan, ia akan menjadi pelayan seumur hidup.

Bagaimanapun, ketika meratapi nasibnya di tepi Sungai Shirakawa, Sayuri bertemu Iwamura Ken yang dipanggil ketua. Lelaki yang terhormat itu menghiburnya dan memberikannya saputangan, sesuatu yang menyebabkan Sayuri membulatkan tekadnya untuk menjadi Geisha agar dapat bertemu lagi dengan lelaki itu nanti.

Kisah ini berlaku dalam tempoh waktu yang panjang iaitu 1929, ketika Sayuri masih kanak-kanak sembilan tahun sehinggalah selepas tamat Perang Dunia Kedua yang turut meluluhlantakkan Jepun, menyebabkan ekonominya lumpuh, sehingga ramai orang terpaksa berbaris dengan kopun makanan kerana semakin sukar diperolehi, dan kemudian menyaksikan rumah-rumah geisha di Daerah Gion ditutup.

Melalui watak Sayuri, kita menyaksikan suka duka seorang wanita mempelajari seni geisha yang berat, menari dan menyanyi, belajar memakai kimono, makeup tebal dan dandanan rambut yang rumit.Mereka juga belajar cara menuang sake dengan cara yang paling menarik, bersaing sesama mereka untuk merebutkan lelaki lelaki kaya.

Dalam buku ini, Sayuri sebagai seorang gadis kampung, sering diperlakukan secara tidak baik dan selalu dibuli oleh geisha yang lebih senior seperti Hatsumomo. Mujurlah Mameha mengambilnya sebagai adik. Menurut tradisi geisha, Mameha harus membimbing Sayuri menjadi geisha yang terkenal dan memberikan pulangan hasil kepada okiya, iaitu rumah geisha.

Setelah lulus daripada latihan geisha, Sayuri mendapati dirinya diperebutkan antara Nobu dan Doktor Kepiting. Dalam dunia geisha , keperawanan seorang gadis diberikan kepada pembida yang paling tinggi. Setelah itu, selepas mizuagenya dilepaskan kepada Dr Kepiting, Jenderal Tottori menjadi `danna' Sayuri dalam satu upacara di Rumah Minum Teh Ichiriki. Selepas upacara ini, Sayuri menjadi `isteri simpanan' kepada Jenderal Tottori. Selepas perang, Sayuri yang mahu diambil oleh Nobu kemudian di bawah ke Amerika oleh Iwamura Ken.

Berbanding kedatangan Sayuri ke Gion pada 1929, jumlah geisha ketika ialah 800 orang, tetapi kemudian selepas perang menurun kepada sekitar 60 orang sahaja.Tradisi geisha pun yang telah berlangsung turun temurun pun terancam. Geisha bukanlah pelacur, meskipun ada juga yang disebut `hot spring geisha' yang jelas pelacur. Geisha sebenar bukan seperti itu.

Geisha sebenar mahir bermain shamisen, dan mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai upacara minum teh yang membolehkan mereka layak dipanggil geisha. Penulis buku ini, Arthur Golden dilahirkan dan dibesarkan di Chattanooga, Tennesse. Selepas lulus dari Harvard College dalam bidang sejarah kesenian pada tahun 1978, beliau memperolehi gelar sarjana dalam bidang sejarah Jepun dari Universiti Columbia. Kemudian beliau belajar di Universiti Beijing dan bekerja di sebuah majalah di Tokyo. Gelar Sarjana dalam bahasa Inggeris diperolehi dari Universiti Boston. Selepas bekerja di Jepun, beliau kemudian mengajar bidang penulisan dan kesusasteraan di Boston.Kini beliau menetap di Brookline, Massachussetts bersama isteri dan anak-anaknya.

Buku Memoar Seorang Geisha (Memoirs of a Geisha) ini tidak semata bercerita mengenai dunia geisha yang penuh rahsia sebaliknya ia juga bercerita mengenai kehidupan di Jepun pada akhir tahun dua puluhan sehinggalah beberapa tahun selepas perang dunia berakhir

PERCAKAPAN DENGAN ASAM MENGENAI NELAYAN LIKAS

Tags
KAJAT,salim dan rakan rakannya menjual hasil tangkapan ikan mereka di Pantai Likas sejak lebih setahun lalu. Setiap pagi bermula jam 6.30 hingga 7.30 pagi, mereka menurunkan dua tiga kilo ikan yang baru ditangkap untuk dijual kepada pelanggan setia mereka yang telah sedia menunggu.

Ikan lami-lami, papakan, langging, ikan pari, ketam dan udang yang ditangkap dijual dengan harga berpatutan tetapi menjadi lebih murah dibandingkan dengan ikan yang dijual di pasar besar Kota Kinabalu.

Nelayan-nelayan kecil dari Kampung Likas, Bangka-Bangka, Gusong, Darau itu yang menangkap ikan dengan perahu kecil gembira kerana mereka tidak perlu lagi bimbang untuk memasarkan ikan di pasar berdekatan kerana pelanggan setia menunggu kedatangan mereka sejak mereka menarik pukat di tengah laut di perairan likas.

Tetapi Kajat, salim dan rakan-rakannya terkejut apabila pada satu pagi, penguatkuasa datang untuk menghentikan kegiatan mereka menjual ikan itu. Alasan yang diberikan ialah mereka tidak mempunyai lesen. Konon ada aduan bahawa mereka menjual ikan bom. Konon mereka bukan orang tempatan sebaliknya PTI.Konon mereka menghalang lalu lintas dan menyebabkan kesesakan jalanraya di Teluk Likas.

“Kami menjual ikan jam 6.30 pagi hingga 7.30 pagi,” kata Asam yang biasa membeli ikan di tepi pantai itu.Bagaimana mereka dikatakan menghalang kesesakan lalu lintas sedangkan mereka menjual ikan awal pagi di tepi pantai dan bukan dipinggir jalan.

Alasan itu agak dangkal, katanya. Saya kenal mereka kerana mereka adalah orang tempatan, orang kampung Likas, kampung Bangka-Bangka, kampung Gusong, Darau.Malah ada nelayan yang berasal dari Kota Belud, Tuaran.

Mereka bukanlah PTI.Saya kenal mereka, kerana selalu membeli ikan di tepi pantai itu bersama Sharif dan beberapa lagi pelanggan lain yang suka membeli ikan segar. Mungkin betul, ada seorang dua dari suku palahu yang suka berpindah rendah, dan ada juga seorang nelayan cina yang berasal dari Sarawak yang juga menangkap ikan. Tetapi kebanyakan mereka orang tempatan, kata Asam.

Malah saya kenal betul dengan Kajat, salim dan kawan-kawannya. Bahkan Datuk Jumat juga mengenali nelayan-nelayan itu. Saya difahamkan beliau juga telah membawa perkara itu kepada pihak berkenaan untuk meminta supaya nasib dan masa depan nelayan-nelayan kecil itu dapat dibela dengan menyediakan anjung sebagai tempat untuk mereka menjual hasil tangkapan mereka.

Setahu saya, kata Asam lagi, tak ada di antara nelayan itu yang menjual ikan bom. Semua ikan yang dijual ditangkap menggunakan pukat dan rawai, iaitu sejenis kaedah menangkap ikan menggunakan mata pancing, beberapa mata pancing yang direntangkan untuk menangkap ikan.

Kebanyakan pelanggan yang datang membeli ikan sebenarnya datang untuk membeli ikan segar.Ikan-ikan itu belum disimpan ke dalam ais, jadi masih segar lagi ketika ia diturunkan ke tepi pantai.

Cuma saya tidak tahu sama ada nelayan nelayan kecil itu mempunyai lesen menjual ikan.Setahu saya, nelayan yang menjual ikan untuk sara diri tidak memerlukan lesen.Saya tidak pula bertanya mereka, kata Asam. Setahu saya, mereka menjual ikan hanya untuk keperluan harian dan belanja dapur mereka.

Mungkin mereka boleh memohon lesen untuk menjual itu sekiranya belum memiliki. Pihak berkuasa perlu prihatin terhadap nasib nelayan-nelayan kecil yang memerlukan pembelaan daripada kerajaan.
Kalau memohon lesen menjual ikan tidak diluluskan, saya khuatir mereka memohon lesen mencuri kerana kalau tidak dibenarkan menjual ikan, bagaimana mereka boleh menghidupkan anak isteri.

Kasihan nelayan-nelayan kecil itu. Mereka terpaksa mengadu kepada Datuk Jumat sambil merungut betapa susahnya hidup di zaman sekarang. Jika kerajaan tidak mengambil langkah bijak untuk menangani masalah nelayan kecil itu, sudah tentu mereka akan terus dibelit oleh kemiskinan. Saya seteju dengan Datuk Jumat bahawa isu kemiskinan bandar ini perlu ditangan secara bijaksana dan tuntas.

Saya tidak tahu sama ada mereka mempunyai persatuan untuk memperjuangkan nasib mereka. Setahu saya, Kajat yang mengetuai para nelayan itu, berjuang agar mereka dibenarkan menangkap ikan dan menjualnya di pantai Likas tanpa diganggu oleh pihak berkuasa.

Sebenarnya, saya kasihan kepada mereka kerana terpaksa menjual ikan di bawah jambatan. Padahal ikan yang dijual setakat dua tiga kilo sahaja. Cuma sejak tiga hari lalu, mereka menjual lagi di pantai Likas seperti biasa.

Mungkinkah satu ketika kelak, kita dapat lihat cadangan mewujudkan pasar terapung di Sungai Likas dapat direalisasikan seperti di Sungai Chao Phraya. Saya pernah dengar Jumat menyuarakan impiannya untuk menyediakan prasarana untuk nelayan kecil meningkatkan taraf hidup mereka.

Selasa, 12 April 2011

Sebut nama Taib Mahmud, ibu saya teringat perihal kelambu

Tags

Setiap kali mendengar nama Tan Sri Taib Mahmud, ibu saya serta merta akan teringat kelambu kami.

Peristiwa itu, meskipun telah berlalu 31 tahun lamanya,masih segar dalam ibu, dan setiap kali mendengar nama Taib Mahmud, beliau akan secara automatik menagih janji saya.

Janji yang sampai sekarang belum dapat ditunaikan.

Saya berjanji-ketika itu-untuk menggantikan kelambu yang terbakar dengan yang baru iaitu setelah saya mendapat kerja.

Ketika itu saya masih berada dalam tingkatan satu.

Saya ingat betul pada waktu itu malam sudah larut.

Keputusan demi keputusan pilihanraya DUN Sarawak diumumkan melalui radio kerana ketika itu kami belum memiliki tv.

Dengan berlampukan pelita minyak tanah, saya mencatat kemenangan BN itu dalam buku saya. Setiap kali juruhebah radio mengumumkan keputusan, setiap kali itulah saya mencatatnya.

Tidak seperti sekarang, waktu itu, keputusan pilihanraya amat lambat diumumkan.

Menjelang tengahmalam BN berjaya membentuk kerajaan. Ada beberapa keputusan lagi belum diumumkan tapi saya berasa lega kerana Datuk Patinggi Taib Mahmud menang dalam pilihanraya itu.

Sebelum itu, beliau merupakan seorang menteri kabinet kerajaan pusat.

Selepas Tun Rahman Yaakub, bapa saudaranya tidak bertanding dalam pilihanraya itu, Taib Mahmud kembali bertanding bagi kerusi DUN.

Bukan main gembiranya saya apabila beliau menang. Ibu yang terbangun bertanya, siapa menang, saya menjawab bahawa Taib Mahmud telah menang.

Entah kenapa saya terlelap sedikit.Ketika itu beberapa keputusan belum diumumkan dicorong radio.

Saya terbangun ketika api sedang menjilat kelambu.Kelambu itu baru dibeli.Maklum ketika itu banyak nyamuk aedes dan musim demam denggi.Jadi kami tidur berkelambu. Saya bersama adik memasang kelambu di tengah rumah sementara ibu dan bapa saya di tepi sedikit.

Saya agak panik juga seketika. Mujurlah api itu dapat dipadamkan.Kalau tidak sudah tentulah, rumah kami yang baru dibina ketika itu akan turut musnah terbakar.

Ibu saya marahkan saya kerana terlelap sehingga kelambu terbakar hanya kerana menunggu Taib Mahmud menang.

Apa untungnya kamu dengar keputusan itu? Kamu bukan orang Sarawak? Kita di sabah belum mengundi lagi, katanya.

Saya sendiri tidak mengerti mengapa dalam usia sebegitu, 13 tahun, saya berminat untuk mengetahui segala hal politik yang berlaku di sekeliling saya.Apatah lagi,menurut cerita bapa, beliau pernah bertemu Taib Mahmud kerana pernah bertugas sebagai Polis di Sarawak dahulu.

Entah apa yang membuat saya tidak tidur untuk menunggu keputusan pilihanraya itu, sehingga terlelap yang menyebabkan kelambu baru itu terbakar.

Itulah sebabnya beliau meminta saya agar mengganti kelambu yang baru dibelinya itu bila sudah bekerja.Saya tahu beliau tidaklah sungguh-sungguh ketika itu, hanya kerana marahkan saya yang terleka.

Jadi setiap kali beliau menonton tv dan melihat gambar Tan Sri Taib, secara automatik beliau akan mengusik saya dan marahkan saya yang hanya pandai berjanji beli kelambu tetapi sudah 31 tahun, kelambu yang dijanjikan itu belum ada lagi.

Kini ketika kempen pilihanraya Sarawak sedang rancak dijalankan dan gambar Ketua Menteri selalu dilihatnya, maka beliau mengingatkan saya tentang janji membeli kelambu.

Sudah 31 tahun janji beli sampai sekarang belum terbeli, seperti janji pilihanraya yang belum ditunaikan.

Ahad, 10 April 2011

dari soal pinggan kepada perkara pelik tetapi benar

Tags

DARI SOAL PINGGAN KEPADA PERKARA PELIK TETAPI BENAR

KETIKA berbual dengan seorang rakan di facebook, seorang kenalan dari Kuching memberikan informasi mengenai sikap orang kita.Pelik tapi benar, katanya, beli pinggan mahal mahal tapi hanya disimpan dalam almari. "Dah tu, bila makan pakai pinggan plastik RM2.00".

Perkara itu banyak juga berlaku di kampung kami. Saya ingat begitulah jawapan saya kepada berita `pelik tetapi benar' yang disampaikannya itu. Saya mulai berfikir fikir mengapa hal seperti itu berlaku dalam masyarakat.Meskipun kelihatan remeh tetapi ia mencerminkan sikap sebilangan anggota masyarakat kita terutamanya di kampung-kampung kita di luar bandar. Mereka sanggup menggunakan pinggan plastik untuk makan walhal mereka memiliki pinggan yang mahal harganya.

Kenapa pinggan yang mahal disimpan dalam almari?. Saya fikir, itu mungkin disebabkan pinggan itu dibeli untuk digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti kenduri kendara atau dikeluarkan hanya bila ada orang datang bertamu di rumah. Masyarakat kita seboleh-bolehnya mahu memberikan penghormatan kepada tamu yang baru tiba dengan menjamu mereka menggunakan pinggan mahal.Mereka sanggup makan di pinggan plastik berharga dua ringgit semata-mata untuk memastikan pinggan mahal yang dibeli itu tidak pecah atau retak.

Ada diantara orang kampung saya yang membeli pinggan hanya untuk dijadikan pameran dan tontonan. Ada pula yang membeli pinggan-pinggan, mangkuk,kuali, periuk,belanga dan sebagainya untuk persediaan sekiranya ada kenduri yang diadakan sekali sekala. Kalau boleh, mereka tidak ingin bersusah susah meminjam barangan milik orang lain. Mereka mahu memilikinya sendiri.

Mungkin kerana itu mereka lebih rela menggunakan pinggan plastik untuk makan. Bagi mereka, ia tidak menjadi isu kerana makanan hanya sedap sebelum memasuki kerongkong.Sesudah itu, makanan sedap atau tak sedap, tetap sama rasanya.

Sikap mengutamakan orang lain seperti yang tercermin dalam masyarakat kita, khususnya dalam soal pinggan mangkuk tadi, telah menyebabkan kita banyak kehilangan. Barangan milik kita yang mahal diserahkan kepada orang lain untuk kegunaan mereka sementara kita sendiri berpuas hati dengan hanya makan di pinggan pinggan plastik.

Akibatnya, banyak perkara yang sepatutnya menjadi kepunyaan kita menjadi milik orang lain kerana sikap kita sendiri yang lebih suka mengutamakan orang lain dan membelakangkan diri kita. Di sisi lain pula, barangkali ini disebabkan kerana budaya kita yang menekankan soal menghormati sehingga ada waktunya kita melupakan kepentingan kita sendiri.

Pelik tetapi benar. Hal hal sedemikian banyak berlaku dalam masyarakat kami. Bila difikir-fikirkan, sebenarnya banyak juga perkara pelik tapi benar dalam masyarakat kita. Ada diantara perkara `pelik tetapi benar' itu menyebabkan masyarakat kita ketinggalan dalam hal mengejar kemajuan ilmu pengetahuan.

Misalnya, saya pernah berjumpa dengan orang kampung yang menghadapi masalah kerana tidak dapat membeli buku buku pelajaran untuk kegunaan anak-anak mereka di sekolah. Alasannya ialah kerana mereka merasa miskin dan dibelit oleh kemiskinan.

Tetapi apabila kita berkunjung ke rumah mereka, kita akan terkejut kerana mereka mempunyai set tv yang mahal. Malangnya mereka mampu membeli televisyen yang mahal.Malang kerana pada masa yang sama mereka tetapi tidak mampu membeli buku-buku atau menyekolahkan anak anak mereka dengan baik.

Ini adalah antara berita `pelik tetapi benar' yang berlaku di kampung kami. Selain itu, ada juga yang boleh kita kategorikan sebagai miskin kerana rumahnya yang kelihatan seperti gubuk dan mengaku kais pagi makan pagi.Namun demikian mereka masih tetap mampu memasang dan membayar bil Astro. Agak mengejutkan juga sebenarnya apabila sebilangan anggota masyarakat tidak dapat menentukan mana satu yang patut menjadi keutamaan mereka.

Kenalan saya di facebook itu juga memberitahu saya, satu lagi perkara `pelik tetapi benar'. Ada orang yang mengaku hidupnya miskin namun mampu pula memakai telefon genggam yang harganya beribu-ribu.

Saya berkata bahawa saya juga pernah menyaksikan peristiwa `pelik tetapi benar' ketika berkunjung ke rumah-rumah untuk rakyat termiskin.Rakyat termiskin tetapi memiliki kereta prado. Bagaimana dia boleh memiliki rumah PPRT sedangkan ada kereta mewah parkir di rumahnya.

Bila difikir-fikirkan, banyak perkara `pelik tetapi benar' yang berlaku dalam masyarakat kita. Misalnya ada kakitangan kerajaan yang mendapat peruntukan enjin untuk menangkap ikan sedangkan ada nelayan yang sepatutnya dapat tetapi tak dapat pula peruntukan itu. Akhirnya, mereka menjual enjin sangkut itu kerana mereka sendiri tidak memiliki bot.

Sebenarnya banyak topik yang kami percakapkan pada hari itu.Perbualan kami dalam facebook itu mengenai perkara-perkara `pelik tetapi benar' itu meleret-leret pula kepada soal seperti orang-orang yang mengambil kesempatan ditengah kesempitan.

Misalannya bila berlaku kebakaran, ada orang yang sempat mencuri barang-barang mangsa.Jika dahulu, perkara-perkara seperti ini jarang terjadi kerana masyarakat kita dipelihara oleh adab susila, ada sopan dan akhlak atau kalau mengikut arwah bapa saya, `ada siviknya.'

Jika digunakan tak apalah, kata kenalan saya itu. "Tetapi beli pinggan mahal-mahal, bila makan pakai pinggan plastik harga dua ringgit". Inilah pokok pangkal perbincangan kami mengenai perkara `pelik tetapi benar' yang akhirnya meleret leret ke soal-soal perkara pelik tetapi benar yang lain.

Walau bagaimanapun, saya merasa belum dapat menjawab persoalan mengapa masyarakat kita lebih suka menyimpan pinggan-pinggan yang mahal dalam almari tetapi bila makan menggunakan pinggan plastik!

Sabtu, 9 April 2011

Cikgu Sabli, berjuang tanpa mengharap bintang

Tags

CIKGU SABLI, BERJUANG TANPA BINTANG

KAMI tiba di rumahnya yang sederhana di Taman Telipok Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi. Cikgu Sabli Mohiddin, Tokoh Guru Negeri Sabah 1984 ini telah menyumbangkan begitu banyak jasa dan bakti kepada bangsa dan negara.Beliau merupakan Setiausaha Penaja USNO ketika penubuhan USNO pada Jun 1961. Beliau memainkan peranan besar untuk memberikan kesedaran nasionalisme di kalangan rakyat Sabah. Ramai orang yang tidak tahu bahawa Cikgu Sablilah orang yang mula-mula mencadangkan penukaran nama Bandau kepada nama barunya Kota Marudu. Cadangan itu kemudian dikemukakan oleh Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Haji Idrus Matakim kepada kabinet dan disetujui pada tahun 1974.

Sabli Mohiddin dilahirkan pada 16 Januari 1936 di Pekan Tuaran.Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Tuaran dan lulus dalam darjah lima pada tahun 1952. Cikgu Sabli kemudian menerima latihan perguruan di Maktab Kent Tuaran pada tahun 1954. Sebelum itu, beliau pernah bertugas di beberapa daerah, bermula sebagai guru pelatih di GPS Gadong Beaufort pada 1953. Selepas lulus dari Maktab Kent pada 1955, beliau bertugas sebagai penolong kanan di GPS Rampazan Papar pada 1957 dan kemudian di GPS Nunuyan Laut Sandakan. Tidak lama kemudian beliau dipindahkan ke GPS Berhala Darat sebelum bertukar ke GPS Pekan Kudat pada 1 Jun 1959. Ketika bertugas di Kudat, beliau terpilih sebagai Setiausaha Penaja USNO yang pertama, dan pelantikannya itulah yang kemudian menghantarkannya memasuki gerbang pengalaman yang pelbagai dalam perjuangan membela anak bangsa.


Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN ditemani Abd.Nazir Maning sempat menemui Cikgu Sabli Mohiddin (SM) di rumahnya pada pagi Jumaat kelmarin untuk berkongsi pengalaman beliau menjadi guru, terlibat dalam penubuhan USNO, sehinggalah kepada cabaran perjuangan, minatnya dalam bidang seni muzik dan sebagainya.

UB: Boleh ceritakan bagaimana cikgu terlibat dalam penubuhan USNO?

SM: Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka. Pada ketika itu, suatu hari dalam bulan Jun tahun 1961, Tun Datu Mustapha Datu Harun telah menganjurkan satu perjumpaan dengan pegawai dan kakitangan kerajaan di Kudat Recreation Club. Ketika itu saya bertugas sebagai guru di GPS Kudat sebagai Penolong Kanan. Ramai anggota masyarakat dari seluruh Kudat, Sikuati, Matunggong, Pitas, Banggi, Bandau (kini Kota Marudu) menghadiri perjumpaan dengan Datu Mustapha itu. Tujuannya adalah untuk menubuhkan United Sabah National Organization (USNO). Tun Mustapha dipilih sebagai Presiden secara automatik manakala arwah Datu Aliuddin dipilih sebagai Timbalan Presiden. Bila sampai pemilihan untuk jawatan Setiausaha, banyak orang kerajaan kena tunjuk tapi mereka tidak sanggup.Bukan kerana mereka tidak boleh tetapi mereka takut dengan orang putih. Tun Mustapha berkata, kalau takut lebih baik mereka keluar dari perjumpaan itu. Ketika itu, saya duduk , tak berani keluar, kerana arwah isteri saya, masih anak saudara kepada Tun Mustapha. Bila nampak saya, Tun Mustapha terus menyatakan `kita minta tolong Cikgu Sabli'. semua orang angkat tangan menyokong. Saya serba salah. Kalau saya tidak bersetuju, saya takut kena tengking...saya tidak mahu dia teriak. Jadi saya duduk sajalah. Itulah mulanya saya terpilih sebagai Setiausaha Penaja. Ketika itu ramai anggota Special Branch (SB) tapi mereka tidak berani ganggu kerana takutkan Datu Mustapha.

Tun Mustapha seorang yang berani, itu sebab pegawai orang putih takutkan beliau.

UB: Sebelum itu bagaimana Tun Mustapha mendapat idea untuk menubuhkan USNO?

SM: Ketika belajar di London pada tahun 1959, Datu Mustapha telah berjumpa dengan almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mereka menjadi kawan baik. Pada masa itu timbul kesedaran untuk membawa negeri Sabah merdeka. Tunku mahu membawa Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura untuk membentuk Malaysia bersama Malaya. Ketika itu sudah timbul idea untuk membawa UMNO ke Sabah tetapi ia tidak begitu disetujui Datu Mustapha kerana mungkin UMNO tidak diterima kerana tidak seperti di Semenanjung, di Sabah tidak terdapat Orang Melayu.Yang ada orang Dusun,Orang Bajau dan pelbagai etnik lain dan ini tentu sukar. Jadi Datu Mustapha akhirnya buka parti. Kalau begitu, apa namanya yang bagus?...Jadi timbullah cadangan nama United Sabah National Organization (USNO). Kata Tunku, itu nama yang bagus dan beliaupun memberi sokongan. Beliau menubuhkan parti USNO supaya semua golongan pelbagai kaum di negeri Sabah dapat menyertai USNO.

UB: Apa yang berlaku setelah cikgu dipilih sebagai Setiausaha penaja?

SM: Setelah perjumpaan itu, maka timbul cadangan untuk mengadakan Kongres USNO yang pertama. Siang malam kami bekerja untuk persiapan kongres.Satu minggu sebelum kongres yang diadakan pada 24 Disember 1961, Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah datang membuat lawatan ke Kudat. Saya ingat betul, jam 7.20 pagi 18 Disember 1961, dia datang pagi-pagi sekali ke kelas. Saya tidak dapat mengelak lagi.Dia melihat fail-fail persiapan kongress USNO di atas meja saya.saya tidak sempat menyembunyikannya. Apabila beliau melihat fail-fail itu, beliau kelihatan seperti singa yang menerkam. Dia memukul-mukul meja.Kemudian sambil berteriak, beliau bertanya `apa kau buat ini?" Saya buat kerja, kata saya. Kau kerja sama perintah (kerajaan).Saya berkata ya, saya bekerja untuk kerajaan, tapi saya menolong untuk persiapan kongres. Tolong pun tak boleh, katanya. Oleh sebab itu, saya dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang daerah ke Tawau. Saya menjawabnya, terima kasih tuan. Orang Putih itu tambah marah lagi. Guru Besar ketika itu, Cikgu Said, orang Perak, sampai ditengking-tengking kerana membiarkan saya membuat kerja-kerja USNO.

UB: Jadi, bagaimana persiapan kongres selepas cikgu diarahkan pindah?

SM: Saya terpaksa berpindah, padahal satu minggu lagi Kongres akan diadakan. Kemudian saya beritahu Datu Mustapha. `Pakcik saya minta maaf kerana saya sudah habis tempoh di Kudat kerana sudah kedapatan. Oh iyakah, kata Tun. Apa dia orang mahu buat? Saya dipindahkan ke Tawau. Tak apa , katanya, kalau kita sudah merdeka nanti, baru berkhidmat di sini semula. Sebab itu, kerja Setiausaha Penaja saya serahkan kepada penolong setiausaha Abdul Salam Mohd.Noor. Beliau masih hidup. daripada 27 orang Jawatankuasa Penaja USNO yang ditubuhkan pada bulan Jun 1961, hanya dua orang masih hidup, manakala selebihnya telah pergi mendahului kita.

UB: Setelah dipindahkan ke Tawau, apakah Cikgu masih bergiat dalam USNO?

SM: Bila saya sampai ke Tawau, di sana sudah ada gerakan USNO. Pemimpin USNO di Tawau, Datuk Haji Abu Bakar Titingan merasa senang hati kerana saya berpindah ke Tawau. Setelah saya pindah ke Tawau dan bertugas sebagai Penolong Kanan di GPS Tawau, jawatan Setiausaha Agung USNO disandang oleh Datuk Habib Abd.Rahman. Saya fikir tidak terlibat lagi kerana sudah ada cop di dahi saya. Tapi Datuk Abu Bakar mendesak saya juga untuk untuk membantu gerakan USNO. Akhirnya saya berkata, waktu siang tak boleh,saya hanya boleh menolong pada waktu malam. Dalam pada itu, saya sempat mengajar Datuk Ahmad Bahrom Titingan yang ketika itu masih dalam darjah enam. Saya tidak lama di Tawau

UB: Kemana Cikgu selepas itu?

SM: Saya ditukarkan ke GPS Suan Lamba sebagai Guru Besar. Waktu itu masih dipenuhi hutan kayu balak. Ketika itu, arwah Datu Pengiran Galpam sering mengambil saya setiap hari enam, memakai speed boat (bot laju) untuk ke rumahnya di Jalan Labuk untuk menolong gerakan USNO. Ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, saya berada di Suan Lamba. Dari Suan Lamba, saya ditukarkan pula ke GPS Berhala Darat, Sandakan dari tahun 1964-1966.

UB: Berapa lama Cikgu bertugas di Sandakan?

SM: Saya bertugas di Sandakan dari tahun 1964 hingga tahun 1966. Kemudian saya terpilih sebagai salah seorang guru yang dihantar berkursus Bahasa Inggeris di Sydney Teachers College, Australia selama sembilan bulan. Sekembalinya ke Sabah pada tahun 1967, saya bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di GPS Sikuati. Setahun kemudian, saya dilantik sebagai Pengetua di Goverment Junior Secondary School Bandau yang ketika itu menumpang di GPS Bandau.

Selepas l4 tahun bertugas di SMK Bandau, saya kemudian dipindahkan SMK Abdul Rahim Kudat sebagai Pemangku Pengetua. Selepas itu, Pengarah Pelajaran Sabah, ketika itu, Dr.Isa Ramli meminta saya menjadi pengetua di SMK Tenghilan yang baru dibuka pada tahun 1984. Pada tahun 1985, saya dilantik sebagai Jemaah Nazir. Tidak lama kemudian, saya minta dipindahkan ke sekolah. Jabatan mahu memindahkan saya sebagai Pengetua di Kuala Penyu, tapi saya beritahu saya sudah tua, dan mahu berkhidmat di sekitar Kota Kinabalu saja. Kemudian saya dipindahkan sebagai Penolong Kanan di SMK Tamparuli hingga bersara pada tahun 16 Januari 1991.

UB: Melihat begitu banyak jasa Cikgu, sepatutnya Kerajaan Negeri memberikan anugerah sekurang-kurangnya gelaran Datuk kepada Cikgu. Apakah cikgu tidak terkilan kerana tidak diberikan pingat?

SM: Sebenarnya saya dua kali menolak anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Pertama sewaktu Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai menjadi TYT, beliau menawarkan pingat Datuk kerana dia tahu perjuangan saya.Begitu juga ketika Tan Sri Datuk Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri, beliau juga menawarkan bintang PGDK kepada saya. Tapi saya dengan baik menolak tawaran itu.Saya minta maat kerana terpaksa menolak pingat itu.

UB: Kenapa Cikgu menolak tawaran gelaran Datuk?

SM: Sebenarnya saya tidak mengharap gelaran. Paling tinggipun saya minta pingat ASDK. Gelaran Datuk tidak sesuai kerana kita orang biasa. Kalau ada orang minta derma, datuk ini derma RM1,000. Datuk kedua derma RM1,000.Datuk ketiga pun derma RM1,000.Kemudian bila tiba nama kita, Datuk ini derma RM20. Dia mungkin tidak mengata depan kita tetapi setelah keluar dari pintu pagar rumah kita, dia akan mengutuk, datuk ini kedekut, nama saja datuk tapi menderma dua puluh ringgit. Saya berterima kasih kerana ada juga yang menghargai perjuangan saya.Bagi saya, ini sudah memadai kita merdeka.

Saya melihat sebaik kita merdeka, orang-orang berduyun-duyun mahu jumpa Tun, minta kayu balak, minta rumah. Tapi saya tidak pernah.Bahkan pernah satu ketika saya diminta menyampaikan pesahn Datuk Idrus Matakim untuk menanyakan sesuatu kepada Tun, yang menyebabkan saya terpaksa berbisik kepadanya, saya malu kerana tibatiba Tun tanya saya datang naik apa...saya katakan saya datang naik kereta sendiri.Lalu dia menyeluk poket dan memberikan RM1,000 untuk saya dan isteri. Beliau memang seorang yang pemurah.Saya tidak pernah minta kerana itu bukan prinsip saya, malah tangga bangunan Sekretariat pun tidak pernah saya pijak sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri.

UB: Pernahkah cikgu ditawarkan menjadi calon dalam pilihanraya oleh almarhum Tun?

SM: Saya pernah ditawarkan menjadi calon pilihanraya pada tahun 1981. Tun Panggil saya minta saya jadi calon USNO. Tapi saya menolaknya. Tun kelihatan marah. Jadi apa yang kamu hendak? Saya mengatakan saya hanya ingin bekerja saja. Saya tidak minat menjadi orang politik. Saya bahagia begini saja.

UB: Selama cikgu mengajar di sekolah, mungkin cikgu ingat berapa orang yang berjaya dalam karier mereka?

SM: Saya bersyukur kerana ramai diantara murid saya yang berjaya.Tapi saya tidak ingat nama-nama mereka semua. Antaranya yang saya ingat pernah jadi murid saya ialah Datuk Ahmad Bahrom Titingan,mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk George Sangkin,mantan Ahli Parlimen Bandau, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, Senator Datuk Maijol Mahap, Haji Hashim Paijan, Datuk Awang Samat dan sebagainya.

UB: Oh ya. Bagaimana Cikgu terlibat dalam bidang muzik?

SM: Saya meminati seni muzik, apabila terlibat menubuhkan Pancharagam Persaudaraan pada tahun 1954 di Tuaran. Kami adik beradik dan saudara saudara lain terlibat dalam pancharagam.Kemudian pada tahun 1962, saya menganggotai Pancharagam Aneka Warna di Tawau. Selepas bertugas di Sandakan, saya bermain dalam Pancharagam Seri Sabah pada tahun 1964-1965.

UB: Ada keluarga Cikgu yang terlibat dalam muzik?

SM: Sebenarnya, adik atuk saya, Luttah Mubuk berasal dari Sarawak dan adik beradik dengan Dullah Sarawak.Dullah Sarawak ialah bapa kepada seniwati Siput Sarawak dan Siput Sarawak ialah ibu kepada Anita Sarawak. Di Sarawak masih ramai keluarga kami kerana ayah saya keturunan iban.Malah saya masih ada kaitan pupu tiga kali dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang.

UB: Tentu ada pengalaman manis sepanjang bermain muzik?

SM: Ya, antaranya ialah bermain muzik ketika mengiringi Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ketika membuat persembahan di Padang Sandakan bersama Alfonso Soliano Orkestra. Saya bermain akordion.Ketika melihat saya bermain muzik itu, P.Ramlee memandang saya kemudian mendekati saya sambil berkata, `Cik Sabli, boleh saya ikut main bersama'. Silakan Cik Ramlie kata saya kepadanya. Jadi saya bermain Piano, dan Biduanita Saloma yang menyanyi. Kemudian ketika berpindah ke Kudat, sekali lagi saya berpeluang untuk bermain muzik bersama Tan Sri P.Ramlee apabila beliau dijemput oleh Datuk Abd. Salam Datu Harun ketika itu. Kami menjadi kawan baik, dan beliau meminta kalau saya datang ke Kuala Lumpur, dia meminta saya menghubunginya. saya amat menyesal kerana tidak sempat menghubunginya kerana tidak lama kemudian, beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1973.

UB: Terima kasih Cikgu kerana sudi ditemuramah oleh Utusan Borneo.Kami merasa amat bertuah sekali kerana berkesempatan untuk menemubual cikgu yang memiliki banyak pengalaman, dari seorang guru, menjadi seorang pejuang kemudian pula terlibat dalam banyak aktiviti seperti muzik, bidang dakwah, pengakap dan sebagainya. Terima kasih banyak.

SM: Terima kasih.Tak ada apa-apa yang dapat saya berikan.

UB: Cikgu telah memberikan banyak jasa dan bakti untuk anak bangsa dan negeri ini.


Utusan Borneo 9 April 2011

Khamis, 7 April 2011

Alfan Alfian bicara tentang buku

Tags

Saya tertarik dengan tulisan Bapak Alfan Alfian yang tersiar dalam Antara News dengan tajuk Ribuan Buku Satu Jumlahnya.

http://www.antaranews.com/berita/252034/ribuan-buku-satu-jumlahnya.

Bapak Alfan Alfian, merupakan seorang pengamat politik yang tidak asing lagi di Indonesia. Beliau adalah Director, The Akbar Tanjung Institute, dan dosen FISIP di Universitas Nasional Indonesia.Tulisan-tulisannya boleh dikuti di pelbagai media dan dalam blog http://www.alfanalfian.blogspot.com. Tulisan beliau juga boleh dibaca melalui http://alfanakfian.multiply.com.

Saya membaca banyak tulisannya, dan ini merupakan salah satu tulisan terkini yang menarik perhatian saya. Tambah menarik bagi saya kerana sehari dua yang lalu saya mendapat pertanyaan dari seseorang yang amat dekat dengan saya, yang secara lembut menanyakan untuk apa saya membaca buku-buku kalau aktiviti sedemikian tidak dapat memberikan keuntungan memandangkan hakikat bahawa terdapat banyak kekurangan dalam hidup kami.

Tulisan Pak Alfan Alfian ini, saya berterima kasih sekali kepadanya, amat berharga buat saya, sehingga saya berasa perlu untuk memuatkannya dalam blog, dengan permintaan maaf yang sebesarbesarnya kerana ia dimuatkan tanpa izin pak Alfan sendiri.

Saya kira tulisan beliau ini amatlah bermanfaat untuk kita hayati.


RIBUAN BUKU SATU JUMLAHNYA

Jakarta (ANTARA News) - Ketika saya dikelilingi tumpukan buku-buku di ruang serba guna rumah saya, saya ingat nasib Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jasin yang sedang terpuruk. Bagi saya buku merupakan benda ajaib, dimana pembacanya bisa berpetualang secara intelektual. Karenanya, buku-buku saya itu sangat berharga.

Tetapi, sangat boleh jadi tidak berharga bagi orang lain yang tidak tersambung oleh keasyikan berhubungan dengan buku. Mereka pandang buku hanya tumpukan kertas yang membuat ribet. Kalau dijual kembali buku-buku itu prosesnya lama. Mungkin karena pertimbangan itulah tak satu pun buku yang diambil pencuri yang pernah membobol rumah saya beberapa waktu lalu.

Keajaiban buku juga terletak pada keunikannya: ketika dibutuhkan, buku yang kertasnya sudah lecek-lecek sekalipun, kita buru, harganya mahal. Ketika kita merasa tidak penting dengan sebuah buku tertentu, maka dicetak luks pun kita tolak. Kata orang rumah, buku apa sih ini, menuh-menuhin tempat aja.

Saya suka baca buku apa saja yang saya suka. Saya juga suka menyimpan buku-buku itu di rumah, sampai-sampai di mana-mana tercecer-cecer buku-buku. Padahal hampir separuh dinding rumah saya sudah dipenuhi rak-rak buku. Bahkan meja makan rumah saya dikelilingi buku. Begitu buka pintu dari toilet pun langsung ketemu buku-buku.

Tentu saja koleksi buku saya masih jauh di bawah kolega-kolega saya yang lain, yang juga penggemar buku, Fadli Zon misalnya. Sementara saya masih punya keterbatasan soal genting-genting rumah saya yang bocor : Fadli Zon Library sudah berdiri dengan megahnya.

Suatu saat, pada Februari 2007 banjir besar menimpa perumahan saya. Ribuan buku saya tak terselamatkan. Mereka mengambang kian kemari dipenuhi air berlumpur, yang setelah kering bukunya jadi keras seperti bata merah. Yang terselamatkan segera saya hijrahkan ke rumah kolega senior saya yang rumahnya lebih layak.

Walaupun, karena ia juga suka buku-buku, ia larang saya untuk mengambilnya kembali. Saya cuma mengambil beberapa. Anda bisa membayangkan rumah saya pasca-banjir itu tak ada lagi buku, kecuali beberapa. Tapi empat tahun sesudahnya: jumlah buku saya sudah menumpuk lagi. Bahkan lebih banyak daripada sebelum banjir.

***
Tamu-tamu yang datang ke rumah saya sering berkomentar: ini rumah apa perpustakaan. Guru mengaji anak saya sempat meminta permintaan khusus ke saya supaya diajari bagaimana bisa membaca cepat, setelah melihat ribuan buku saya di dinding-dinding itu.

Anak saya juga pernah protes: kok kalau pergi-pergi selalu ke toko buku sih Pak? Bapak punya banyak buku: kapan membacanya? Pertanyaan anak saya itu, sering saya temui. Saya bilang, Nak, buku-buku ini adalah sumber inspirasi bagi Bapak untuk menulis. Lagi-lagi, ia bertanya: inspirasi itu apa sih?

Pernah ibu-ibu tetangga saya khusus datang ke rumah, untuk menanyakan apakah saya punya buku teknik mesin untuk keperluan kuliah anaknya, siapa tahu bisa dipinjam. Sayang sekali, saya tak punya: buku-buku saya itu rata-rata buku-buku ilmu-ilmu sosial, buku-buku agama, dan fiksi-fiksi.

Pernah juga seorang teman yang sudah lama tidak ketemu datang ke rumah dan geleng-geleng kepala. Ia bertanya kepada saya soal apa guna buku-buku itu. Baginya, yang penting adalah membaca Al Qur’an. Kemudian saya bilang, adapun rupa-rupa buku saya ini juga karena saya mencoba menuruti anjuran Al Qur’an, sesuai ayat pertama yang diturunkan kepada Kanjeng Nabi Muhammad SAW, iqra, bacalah!

Bagi saya, tidak usahlah dibatas-batasi kita mau baca apa, apalagi harus didikhotomikan antara Al Qur’an dan koran. Bahkan dalam lagunya Rhoma Irama pun, ia tidak bermaksud melarang orang membaca koran. Ia hanya mengingatkan, jangan lupa Al Qur’an.

Kalau kita dilarang membaca fiksi: bukannya peradaban Islam tempo dulu, sastranya maju sekali? Bukankah karya-karya fiksional Ibnu Thufail, misalnya mengilhami sastra Barat? Bukankah syair-syarir Omar Khayam atau Jalaluddin Rumi mempesona banyak kalangan, diapresiasi sedemikian rupa jauh melampaui dunia Islam?

Bagi saya, buku-buku apapun pasti ada manfaatnya, asal kita bisa memilih buku-buku yang bermanfaat. Ribuan buku, tetap saja satu jumlahnya: peradaban!

Beberapa hari yang lalu tetangga saya bilang bahwa atap rumah saya melengkung. Ia ajak ke tempat yang lebih tinggi dan menunjukkannya. Ia menyarankan coba dicek, jangan sampai tiba-tiba roboh.

Ketika saya bicara sama istri saya, ia bilang sudah tahu. Soal merombak rumah, tentulah saya tak punya uang yang mencukupi. Istri saya menyarankan agar saya tidak sering-sering membeli buku. Bagaimana mungkin Mas, kita hidup di belantara buku, tapi ujug-ujug rumah kita roboh?

***
Mengoleksi dan memelihara buku-buku itu jelas tidak mudah. Tak semua kalangan punya hobi atau keterpanggilan untuk memiliki banyak buku dan merawatnya. Tapi H.B. Jasin tidak.

Jasin tak diragukan ketelitiannya dan ketekunannya mengumpulkan dokumen-dokumen sastra dan merawatnya. Apa yang ia lakukan bersifat bottom up, inisiatif dari bawah, inisiatif non-pemerintah.

Apa yang dilakukan Jasin jelas penting: menegaskan bahwa kita pernah dan masih punya peradaban sastra. Jasin sendiri sangat dikenal dengan sebutan paus sastra kita. Memelihara sastra berarti memelihara peradaban. Pak Jasin karenanya pahlawan peradaban.

Tapi, siapa yang peduli dengan peradaban? Siapa yang peduli dengan penulis, dengan sastrawan? Barangkali, dari seribu cuma satu. Mungkin saya terlalu sinis. Tapi coba sekali-kali kita sewa Lembaga Survei Indonesia yang dikomandoi kolega saya Mas Dodi Ambardi dan Bung Burhanuddin Muhtadi untuk melakukan riset dengan pertanyaan khusus: seberapa jauh kepedulian Anda terhadap sastra?

Apresiasi masyarakat terhadap sastra, tentu tak dapat kita salahkan. Kita berada dalam wilayah budaya yang penuh gempuran dan kepungan budaya pop (selera rendah, bukan budaya pop selera tinggi). Saya ingat gurauan guru sastra saya Emha Ainun Nadjib: coba sampeyan jawab, kalau misalnya buku puisinya Si Burung Merak W.S. Rendra dilelang sama-sama dengan bulu ketiaknya Kris Dayanti, lebih laku mana?

Saya setuju dengan pernyataan bahwa sastrawan itu pejuang. Pejuang itu yang berjuang karena keterpanggilan. Yang diperjuangkan para sastrawan tentu bukan materi. Kalau materi: mana mungkin Presiden Penyair kita Soetardji Calzoum Bachry, beli gorengan di pinggir jalan dengan santainya?

Tidak perlulah kita terlalu kaku memperdebatkan apakah urusan sastra itu urusan rakyat, atau urusan negara. Sebab, kalau kita ngotot sastra itu urusan rakyat, kok enak betul negara. Kalau sastra kaku hanya dikerangkeng sebagai urusan rakyat, urusan civil society, maka negara punya alasan untuk tidak mengucurkan anggarannya.

Tapi kalau sastra itu urusan negara, ya tidak benar juga. Mana mungkin negara bisa bersastra? Sebab yang bisa bersastra itu, kita, rakyat: seperti salah satu bait syair Hartojo Andangdjaja “Rakyat adalah kita”.

Kita perlu banyak buku, perlu penyangga peradaban. Kita perlu banyak sastrawan, penyangga peradaban, penyangga budaya tinggi. Sastrawan yang, meminjam Chairil Anwar, “biar peluru menembus dadaku, aku tetap meradang menerjang…”. Wallahua’lam. (***)

*M Alfan Alfian, Dosen Pascasarjana Ilmu Politik Universitas Nasional, Jakarta