Jumaat, 27 Mei 2011

Pak Syuaib Asren kini telah meninggalkan kita

Tags
Beliau menyatakan siap terbang.
Hari itu 22 Mei. Pak M.Syuaib Asren terbang ke Beijing China dan berharap mudah-mudahan dapat menjejakkan kaki di Tembok Besar China, karya besar Iskandar Zulkarnain itu.

Itu adalah antara catatan pada hari hari terakhir pemergiannya."Dah puas jadi penghuni Bang Lo,tunggulah jadi penghuni Lo Bang,..kita menuju ke sana kan cikgu?"
Saya tidak tahu siapa orang yang dipanggilnya cikgu itu. Tetapi katanya "kemanapun kita pergi bayangan mengiringi kita.Jangan ada yang merasa dikejar bayang-bayang sendiri".
Tidak dinyatakannya apa bayangan itu, dalam catatan di dinding facebooknya. Tetapi Pak Syuaib menyatakan siap terbang dan membaca `Bismillahi tawakaltu Alallah`.

Beliau seperti tahu tahu dan dapat merasa bahawa beliau akan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Perkenalan saya dengan tokoh ini belumlah lama. Seingat saya sekitar tahun 1996, ketika saya mula-mula mengakrabi gerakan dakwah yang diterajui USIA.

Tidak siapa dapat menyangkalnya bahawa Pak Syuaib merupakan salah seorang tokoh yang berjasa melahirkan pemimpin-pemimpin belia USIA. Bersama-sama tenaga dakwah di USIA, mereka sanggup masuk kampung keluar kampung untuk mengadakan khemah dakwah belia Usia. Tahun-tahun penuh kegetiran itu, mereka melatih dan membimbing belia-belia Islam dan menghidupkan bara api perjuangan di jiwa mereka untuk mengembangkan syiar Islam. Bersama arwah Datuk Mickey (Mohd Edinin Kay)mereka sanggup merempuh ombak, melintasi gunung, berkayuh di sungai, berjalan di lembah-lembah perkampungan untuk menyebarkan syiar dakwah mengajak orang ke arah kejayaan dan hidup yang sejahtera.

Antara tokoh-tokoh yang pernah mengikuti khemah dakwah belia Usia itu ialah Datuk Haji Sairin Karno, Datuk Haji Suhaili Said, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif,Lamsil Hamidsor, Ustaz Kahar Abdul Rahman dan ramai lagi yang pernah mengikuti khemah dakwah Usia.

Pak Syuaib pernah menjadi lokomotif pergerakan dakwah Usia dalam melewati masa masa genting dan getir ketika misi dakwah Usia menghadapi halangan dan goncangan ketika tahun-tahun 70-an dan 80-an sebelum tahun 1994, apabila cuaca politik kita berubah.

Selain bergiat di USIA, Pak Syuaib juga aktif dalam kegiatan-kegiatan sosial dan kemasyarakatan. Beliau pernah memimpin Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Sabah dan menjadi salah seorang ahli jawatankuasanya di peringkat kebangsaan. Beliau juga berjasa dalam misi agar Yadim mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Sebenarnya beliau terdidik dan lulus dalam sebuah sekolah penerbangan di Jakarta. Tetapi nasib melontarkannya ke bumi Sabah sekitar tahun 1973.Sejak itu, beliau memikul tanggungjawab untuk turut bersama mengembangkan syiar dakwah di Sabah. Sebagai seorang yang berpengalaman dan pernah terlibat dalam gerakan mahasiswa di Indonesia yang popular dengan sebutan Angkatan 66,beliau bergabung dengan gerakan PPI dan HMI , pak Syuaib menerapkan segala ilmu dan daya upayanya untuk memperkuatkan dakwah Islam di negeri ini.

"Bapak ada dimana-mana," kata saya kepadanya satu hari setelah mengkaji peranannya dalam Belia USIA. Kelihatan beliau gembira kerana pernyataan saya mengenai penglibatannya itu. Tetapi sebagai seorang yang tidak suka meninggi diri, pak Syuaib menerimanya dengan sikap tawaduk.

Kadang-kadang kami sempat minum selepas menunaikan solat Jumaat dan beliau masih juga prihatin terhadap kemelut yang melanda umat.Malahan beliau masih bersedia untuk menyumbangkan bakti sekiranya diperlukan untuk membimbing belia Islam.

Kami selalu juga bercakap mengenai kepimpinan tokoh-tokoh seperti Dr.Muhamad Natsir dan tokoh-tokoh gerakan dakwah Islam sezaman. Kadang-kadang beliau menyampaikan pesan di antara guyonannya yang segar, di antara jenaka yang membuat kami ketawa.

Sempat juga beliau memberikan pesan dan nasihat kepada saya, mungkin kerana beliau menganggap saya salah seorang rakan dan teman seperjuangan. Bahkan sering juga beliau menelefon mengajak minum untuk sekedar bercerita perkembangan semasa yang dihadapi masyarakat.

Beliau sentiasa membaca segala sesuatu yang poskan di ruang facebook. Kadang beliau memberikan komen yang bernas, kadang yang sengaja membuat kami melihat sesuatu perkara yang serius dengan kelucuan.

Antara catatan akhirnya di ruang facebooknya yang sering juga dipesankannya ialah agar kita sentiasa mengawal emosi."Mengawal emosi lebih baik daripada membiarkannya tidak terkawal,sebab nanti boleh dikawal orang lain.

Kalau orang sudah mengawal emosi kita dan sejumlah kawan ,kita, ianya aboleh digerak kan mnjadi satu kekuatan yang dahsyat.Saat itu kiat tidak tahu kemana emosi kita akan dibawa.Yang ada mungkin hanya keseronokan atau penyesalan.

Satu waktu beliau pernah berkata, kalau masih mahu mengadu domba, baik lagakan kambing dengan kambing.Sungguh satu peringatan dan nasihat yang membuat kita berfikir.

Tapi kalau kita orang bijak, walau 1001 masalah yang kita hadapi, kita tetap senyum menghadapinya.

"Perut maunya diisi, mulut maunya memaki, macam tak adil lama-lama hilang rasa syukur, Masya Allah....Lindungilah kami," Ini salah satu catatan akhir sebelum beliau pergi.

Beberapa hari sebelum terbang, beliau sempat menulis "Kalau orang cemburu kerana kerja kita,kita harap dia buat kerja lebih baik dari kita,dan kita tak perlu tak perlu cemburukan dia,kerana kita dapat juga pahalanya dari kebaikan yang dia buat. Betul kan cikgu?

Bila mendengar berita tak diinginkan rasa sepenuh rasa tak menyenangkan.Walau yang di inginkan yang baik-baik saja,berita yang tak sedap pun terdengar juga. Begitulah,Jangan saja kita berperan dalam membuat keburukan.

Demikian antara nasihatnya sebelum terbang ke Beijing.

Dikira panas di tengah hari, rupanya mendung sampai ke petang.Jangan-jangan terus ke pagi.

Kini semuanya itu bukan lagi hal-hal yang perlu dirisaukannya. Katanya beliau telah bersiap untuk terbang. Beliau telahpun meninggalkan terminal kehidupan ini tanpa disedari dan kini walaupun beliau telah tiada, kita masih tetap merasa dia berada dimana mana di antara kita.

Orang pertama yang mengkhabarkan berita dukacita itu ialah Haji Samin Haji Ungki pada Khamis 26 Mei. Saya agak terpana. Dan selepas itu datang sms dari Ustaz Juatan Muatkan. Dan kemudian mulailah saya menhubungi rakan-rakan mengenai berita pemergian Pak Syuaib ketika dalam lawatannya di Beijing.

Mata saya seperti berpasir. Saya berasa sangat kehilangan. Tetapi saya fikir, negeri ini juga turut kehilangan salah seorang tokoh motor gerakan Islam satu ketika dahulu.

Semoga kekhilafan dan kesalahannya diampuni, dan semoga segala amal kebaikannya diterima dan ditempatkan di sisi orang-orang yang saleh.Al Fatihah.

Encik Zul menulis blog

Tags
Belum tidur lagi?
Sekilas saya melihat jam tangan. Sudah larut malam rupanya. "Saya sedang menulis blog, Cik Zul"
"Oh..samalah," katanya. Beliau juga sedang menulis blog ketika itu, tentang dunia persuratkhabaran dan dunia kewartawanan.
Cik Zul, begitu kami memanggilnya, atau nama sebenarnya Zulkifli Salleh merupakan mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Selepas pulang ke Kuala Lumpur, beliau pernah menjadi Pengarah Penerbitan DBP Malaysia. Beliau seorang yang aktif menulis dan satu ketika dulu, IPS pernah sangat dekat dengannya kerana beliau penyokong kuat gerakan bahasa dan sastera melalui program yang diadakan oleh IPS. Malah beliau juga pernah merasa sangat hairan apabila ada rakan kami yang mengambil sikap `berada di seberang jalan' dengannya.

Kini beliau telah bersara, dan menumpukan banyak masanya dalam perjuangan bahasa. Selain itu, beliau juga menulis blog. Tulisan-tulisannya boleh dibaca melalui blog http://zulkifli-salleh.blogspot.com.

Katanya, beliau baru tiga bulan menulis blog. Saya sekadar membantu mempromosi blognya agar masyarakat berpeluang membaca dan menatap buah fikirannya sebagai salah seorang pemikir dalam gerakan bahasa dan sastera di negara ini.

Rabu, 25 Mei 2011

Catatan pertemuan dengan Prof.Dato' Dr.Baharudin Yatim, satu petang di Restoran Choice,Jalan Pantai

Tags
"Kita minum di bawah ofis kami saja cikgu," kata saya kepada Cikgu Hamid Abu Bakar yang sedang sibuk mencari tempat letak kereta. Kalau minum di Banu di Jalan Gaya, agak jauh tempatnya dan saya rasa agak sesuai kalau kami mengadakan pertemuan itu di restoran, berdekatan pejabat kami, yang letaknya di Jalan Pantai.

Oleh sebab sukarnya mencari tempat parkir, maka Cikgu Hamid terpaksa menurunkan penumpangnya terlebih dahulu. Ketika melihatnya saya berdiri dan menyalaminya. saya berasa sungguh bertuah pada petang itu kerana bertemu seorang ilmuan.

"Apa khabar Dato?" "Khabar baik," katanya. Selepas itu, saya memanggilnya sebentar dengan panggilan dato, sebentar memanggilnya prof, sebentar memanggilnya dr, tapi beliau kelihatan selamba saja dan amat peramah dan baik orangnya.

Tanpa membuang waktu saya terus menanyainya. "Apa potensi biomass di Malaysia Dato?"
Prof.Dato Dr.Baharudin bin Yatim berkata bahawa Biomass adalah satu komoditi atau satu sumber yang ramai orang mahu menceburinya sebab jika diusahakan biomass boleh jadi duit," katanya yang baru kembali dari Sandakan untuk membuat penyelidikan di Seguntor Bio Energy.

Perlu saya akui bahawa sebenarnya saya tidak banyak tahu mengenai biomass.Saya hanya pernah mendengar bagaimana tempurung biji kelapa sawit yang dulunya dibuang begitu saja dan dijadikan salah satu bahan untuk membina jalanraya kini boleh dijadikan tenaga biomass.

"Bahkan minyak sawit CPO yang dieksport dengan nilai berjuta juta ringgit itu dihasilkan dengan menggunakan tenaga biomass yakni dengan menggunakan sabut kelapa sawit sebagai bahan bakar.

Prof.Dato Dr.Baharudin berkata, tenagaa biomass tidak mampu menggantikan minyak untuk menghasilkan tenaga elektrik. Kapasiti tenaga elektrik yang dihasilkan dan dibekalkan oleh stesen tenaga biomass hanya sekitar 10MW dan itu memerlukan kira-kira 200 tan tandan kelapa sawit yang dibakar dalam sehari untuk menghasilkan tenaga elektrik itu.

"10 MW itu hanya mampu memenuhi keperluan tenaga untuk kawasan seluas kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS)," katanya.

Menurutnya, Mr Tan, yakni taukeh pembekal tenaga biomass itu terpaksa mengangkut tandan kelapa sawit dari felda sahabat menggunakan barge selama dua hari pelayaran kerana ternyata bahan bakar yang diperlukan untuk biomass itu tidak mencukupi.

Malah syarikat yang mendapat kontrak daripada SESB itu terpaksa memesan bahan bakar biomass itu daripada 25 kilang kelapa sawit, tapi itupun tidak mencukupi.

Dengan menggunakan tenaga biomass, kita dapat membantu mengurangkan pencemaran dan membantu membekalkan tenaga elektrik tambahan, katanya.

"Bahan yang dulunya bahan buangan, jadi masalah alam sekitar, sekarang jadi duit," katanya sambil berkata syarikat yang mendapat kontrak itu mampu memperkerjakan kira-kira 100 kakitangan dan mencatat keuntungan lumayan setiap bulan.

Seiring dengan kemajuan teknologi, kini biomass dapat dieksport keluar negeri dengan dijadikan brickate dan dijual di Korea dan Jepun.

Jika demikian apa perlunya kita menggunakan tenaga biomass?
Dato Dr Baharudin yang bertugas di Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains Teknologi , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata bahawa tenaga biomass dibuat, pertama untuk menguruskan bahan dan sisa buangan, mengurangkan pencemaran dan mesra alam sekitar dan kedua bagi meembekalkan tenaga tambahan bekalan elektrik yang diperlukan, oleh misalnya kawasan-kawasan di pedalaman yang tidak terjangkau oleh bekalan elektrik.

Apa yang boleh dijadikan untuk menjana tenaga biomass?
Jika diurus dengan baik, sampah yang berlambak setiap hari itu, boleh dikeringkan untuk dibakar dan mampu membekalkan tenaga biomass. Bahkan Singapura telah memulakan program tenaga biomass daripada sampah sarap. Sampah yang dibakar menghasilkan gas metana dan boleh menghasilkan tenaga biomass.

Malah di Brazil, yang luas tanaman tebunya, tenaga biomass dihasilkan daripada hampas tebu. Selain itu, tenaga biomass boleh dijana daripada sekam padi, sisa buangan kayu dan sebagainya.

Perbualan dengan Profesor itu sangat menyeronokkan.Beliau juga tidak kedekut berkongsi pengalaman. Sambil bercerita kami minum.Saya memesan lemon teh panas, juga Helvia, pelajar UMS yang sedang menjalani latihan praktikal, dan Cikgu Hamid Abu Bakar, cikgu di SMK Kinarut yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di UKM.Prof Dr.Baharudin itu merupakan penyelianya.

Selalu datang Sabah?
Satu ketika dahulu, sewaktu UKM Kampus Sabah masih beroprerasi, Prof.Dr Baharudin sering bertandang kemari. Antara rakan-rakannya ialah Prof.Madya Dr.Haleem Haji Radzi, Prof HM Dahlan, Prof.Madya Haji Inon Shaharuddin Abd.Rahman dan ramai lagi.

Namun beliau sudah lama tidak berkunjung ke Sabah.Hanya baru-baru ini, apabila menjadi supervisor kepada Cikgu Hamid yang sedang membuat kajian mengenai tenaga.
Dr.Baharudin dilahirkan di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah Negeri Sembilan pada tahun 1946, iaitu setahun selepas Perang Dunia Kedua.Beliau melanjutkan pelajaran menengah di Tuanku Muhammad School di Kuala Pilah, kemudian King George High School Seremban sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Canterbury dalam bidang Fizik sehingga memperolehi PhD.

Sekembalinya ke tanahair, beliau terus berkhidmat di UKM pada tahun 1970 dan sejak itu mengabdikan dirinya dalam bidang akademik.

Bagaimana dato' boleh berminat dalam penyelidikan tenaga biomass?
Ketika krisis minyak berlaku pada tahun 1973, akibat ketegangan di Asia Barat, Dr.Baharudin bersama rakan-rakannya mencari idea bagaimana untuk mencari alternatif bekalan tenaga sekiranya bekalan minyak tak ada.Ketika itu, banyak usaha dilakukan untuk memperbanyak sumber bekalan tenaga elektrik.

Banyaknya bahan buangan seperti potongan-potongan kayu, berapa tan dalam sehari, hempas padi berapa tan, sisa buangan kelapa sawit, kulit buah koko, hampas tebu, getah dan sebagainya boleh dijana sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga biomass sekaligus membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Kenapa kita tidak gunakan tenaga angin untuk menghasilkan tenaga elekrik? saya bertanya kerana pernah terbaca bahawa kini di Jerman dan UK mulia mencuba menggunakan tenaga angin.

"Kita tak mempunyai banyak sumber angin. Kita perlukan angin yang lebih laju 10 km sejam. Tapi di sini tak ada. Kita pernah cuba di Pulau Layang-Layangan pada tahun 70-an tapi masalahnya masalah selenggaraan,"katanya.

Di Jerman dan di UK juga masalah baru timbul, apabila minyak pelincir yang digunakan untuk menggerakan turbin membeku pada musim sejuk, dan tidak dapat berpusing.

Bagaimana tentang arang batu? Ramai yang tak setuju kita guna arang batu?
Barangkali kerana negara kita masih mempunyai banyak minyak.Kita belum rasa terdesak.Tapi apabila kita tidak lagi mempunyai minyak untuk bekalan tenaga, di situ nanti kita sedari. Penggunaan arang batu tak jadi masalah dengan teknologi terkini malah tak ada asap hitam yang dikeluarkan yang dikatakan boleh mencemar alam sekitar.

Kalau hidro?Saya nampak di Jepun berjaya?
Saya mulai berasa seronok bertanya Prof.Dato' Baharudin. Penggunaan tenaga hidro lebih murah dan boleh menjadi satu alternatif yang baik. Tetapi kita di Sabah tidak mempunyai sungai yang panjang yang mengalir deras.Sungai kita pendek-pendek, katanya. Memang terdapat beberapa projek micro hidro di sabah yang agak berjaya.Selain pikohidro, yang lebih kecil digunakan untuk membekalkan elektrik untuk satu atau dua rumah.
Banyak sumber tenaga yang boleh dieksploitasi untuk menghasilkan tenaga biomass, kata Prof Dato Dr.Baharudin yang juga salah seorang kordinator New Sources of energy Asean.

Apa boleh buat Dr.Baharudin berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada malam ini. Kalau tidak bolehlah bersembang panjang dengan beliau.Banyak pengetahuan yang diperolehi. Tapi sebelum berpisah, saya minta apa bahan yang patut dibaca untuk menambah pengetahuan mengenai biomass.

Kalau mahu tahu lebih banyak, boleh buat carian di internet, cari COGEN atau BIOGEN, dan boleh dapat maklumat yang lebih, katanya.

Saya berterima kasih kepada Cikgu Hamid yang memperkenalkan saya dengan Profesor. Saya bangun lalu menyalaminya sambil mengucapkan terima kasih dan selamat jalan. Ketika sampai di lif, barulah saya teringat bahawa saya terlupa menanyakannya mengenai tenaga suria. Mudah-mudahan lain kali, saya berkata dalam hati sambil menekan lif.
Ke tingkat 5, kata Helvia.

Isnin, 23 Mei 2011

berapa ramai orang putih yang singgah di kedai ini?

Tags
Berapa ramai orang putih yang singgah di kedai ini untuk makan nasi lemak?
Persoalan itu agak mengganggu fikiran saya sehabis sarapan di sebuah kedai di daerah Papar.Nasi lemak yang dijual di kedai makan itu agak menyelerakan. Cuma sayangnya, entah kenapa pemiliknya lebih suka menulis nama kedai mereka itu dalam bahasa `orang putih'.

Saya tidak anti bahasa Inggeris sebaliknya terlintas di fikiran saya mengapa orang-orang kita tidak berani menggunakan bahasa mereka sendiri?

Apakah dengan membubuh nama kedai dalam bahasa Inggeris dan bukan dalam bahasa Melayu melambangkan kehebatan, gaya, cita rasa yang unggul?.

Penggunaan bahasa Inggeris pada papan tanda kedai, waimma di kawasan luar bandar yang jarang dikunjungi orang luar menunjukkan bahawa orang-orang kita masih mengagungkan bahasa asing dan kurang meyakini bahasa mereka sendiri.

Sikap kurang meyakini bahasa sendiri itu membuktikan betapa kita masih berasa rendah diri, kita masih mengalami mentaliti terjajah dimana kita lebih memandang tinggi sesuatu yang datang dari luar.

Kurangnya keyakinan kita menggunakan bahasa kita juga menunjukkan betapa lemahnya jati diri kita. Bagi saya jika kita tidak lagi menghargai bahasa kita, kebudayaan kita, sejarah kita maka kita tidak dapat mengharapkan orang lain untuk menghargai diri kita.

Tanpa jati diri, kepercayaan kepada diri kita akan menjadi lemah.Apabila kita tidak mempunyai jati diri yang kuat maka dengan mudah kita diperkotak katikkan oleh orang lain kerana kita tidak mempunyai kekuatan, kita tidak lagi mempunyai fondasi yang kuat untuk dapat mempertahankan diri dari unsur-unsur luar.

Jika kita tidak menghayati dan menghargai sejarah, bahasa,budaya kita termasuk hasil karya golongan penulisnya maka kita mudah diruntuhkan, dirobohkan atau diranapkan dan dikebumikan secara halus dan kita menjelma sebagai orang-orang yang kehilangan prinsip, kehilangan identiti dan jati diri dan akhirnya kehilangan wibawa kerana tidak lagi dihormati masyarakat.

Apa salahnya jika kita memasang papan tanda sepenuhnya dalam bahasa kita sendiri.Berapa kerat saja pelancong yang tertarik kerana kita menggunakan bahasa mereka dalam produk-produk kita, dalam kedai kedai kita dan sebagainya.

Bahkan orang-orang asing lebih menghargai dan menghormati orang-orang yang mengamalkan budaya mereka sendiri, menuturkan bahasa mereka sendiri, menghayati sejarah mereka dan sebagainya.

Orang putih lebih gemar bertanya pertanyaan seperti`apa nama kampung ini' kenapa ia disebut dengan nama demikian? apa asal usul nama kampung, apa etnik yang paling banyak tinggal di sini dan sebagainya. Semua pertanyaan itu menunjukkan bahawa mereka lebih suka mengetahui, memahami, dan cuba mengerti asal usul kita, supaya lebih mudah mereka berinteraksi dengan kita kerana mengetahui asal usul dan latar budaya dan bahasa kita.

Tetapi kita, entah kenapa,dihinggapi satu perasaan yang ganjil juga kerana kita lebih gemar menggunakan bahasa yang bukan milik kita, dalam hal hal yang remeh sekalipun seperti nama dalam papan tanda kedai dan sebagainya.

Bahkan saya pernah juga berkunjung ke kampung-kampung yang terperosok di pedalaman tetapi papan tanda kedainya bertulis dalam bahasa Inggeris seolah-olah banyak orang putih yang datang membeli belah di kedainya.

Nama-nama seperti Liza Tailor, nasi lemak home made, din's Shop, dan sebagainya, dapat kita temui jika kita datang berkunjung melawat kampung-kampung.Saya terfikir, mengapa berlaku begitu?. Apakah kerana kita kurang kesedaran bahasa dan berbahasa. Apakah kempen yang dilaksanakan tidak berkesan, apakah pihak penguatkuasaan kita lemah, apakah pihak PBT kita lemah atau buta dalam berbahasa sehingga meluluskan penggunaan papan tanda yang tidak melambangkan identiti kita kerana menggunakan bahasa asing.

Walau bagaimanapun, sikap kita sendiri yang mengutamakan bahasa lain dan bukan bahasa kita, bahasa yang akrab dengan kita menunjukkan bahawa jati diri kita, rasa yakin diri kita memang lemah dan dengan yang demikian kita tidak segan atau malu meletakkan bahasa asing dalam papan tanda kedai kita semata-mata agar kita dianggap hebat.

Itulah yang berlegar dalam minda saya sebaik saja selesai bersarapan dan kereta yang dipandu saudara Rashid meluncur menuju Bongawan.

sehari bersama Eskpedisi Dakwah Yadim Sabah 21 Mei

Tags
TIDAK seperti hari-hari lain, Stesen Keretapi Tanjung Aru pada Sabtu, 21 Mei itu, menyaksikan peristiwa yang luar biasa dan istimewa. Buat pertama kalinya dalam sejarah, bukan saja di Sabah malah di seluruh negara, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menganjurkan ekspedisi dakwah sambil berkeretapi. Ekspedisi Dakwah Yadim Sabah 2011 dengan berkeretapi dari Stesen Keretapi Tanjung Aru ke Beaufort dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

"Sepanjang pengetahuan saya, inilah pertama kali Ekspedisi Dakwah menggunakan keretapi diadakan di negeri ini", katanya. Ini satu program yang bersejarah, katanya sambil melahirkan rasa bangga kerana secara kebetulan sebahagian daripada laluan keretapi itu terletak di kawasan DUN Petagas yang beliau wakili.

Program Ekspedisi itu memperlihatkan kreativiti dan inovasi dalam gerak kerja ataupun teknik berdakwah di negara kita, katanya..Masyarakat kita sudah jauh berubah dan selera mereka juga berubah. Badan-badan dakwah tidak boleh lagi selesa dengan cara dakwah tradisi, dan aktiviti dakwah tidak seharusnya hanya tertumpu di masjid, surau dan tempat-tempat tertentu yang biasanya tertutup atau hadirinnya terhad dari kalangan yang dijemput sahaja.

"Apabila Ekspedisi Dakwah Berkeretapi ini dijalankan, maka orang yang berpeluang mengikuti program dakwah ini tidak lagi terhad atau terbatas.Sesiapa saja yang secara kebetulan menaiki keretapi akan berpeluang mengenali YADIM dan mendapat manfaat daripada program yang diadakan," katanya yang turut menaiki keretapi dari Stesen Tanjung Aru ke Putatan.

Ekspedisi dakwah itu turut disertai oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ghulam Haidar Khan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang yang menaiki keretapi itu hingga ke Stesen Kinarut, Datuk Haji Karim Bujang, ADUN Bongawan yang menaiki keretapi hingga ke Stesen Bongawan, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Membakut, Haji Aminuddin Yakub yang mewakili ADUN Membakut hingga ke Stesen Beaufort.

Yang Di Pertua YADIM, Datuk Aziz Jamaluddin Mhd Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Dr.Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Ketua Pegawai Operasi, Dr.Abdul Ghani Mohammad, Pengurus Operasi YADIM Sabah, Haji Samin Ongki, Penerbit di Sabah FM, Maidan Haji Hamzah turut merasai keseronokan dalam ekspedisi yang mengambil masa perjalanan lebih dua jam untuk sampai ke Pekan Beaufort.

Paling menarik ialah kerana di setiap stesen yang menjadi tempat perhentian keretapi, rombongan yang menyertai ekspedisi itu diberikan sambutan meriah dan penuh kejutan. Di Kinarut misalnya, sekalipun singgah cuma sebentar, rombongan diberikan sambutan dengan paluan gong oleh sekumpulan penari tradisi kadazandusun, tentu sekali atas ihsan Datuk Ghulam, manakala di Stesen Bongawan, ekspedisi dakwah itu disambut dengan irama dan nyanyian petikan gambus. Di Membakut, rombongan ekspedisi disambut dengan paluan kompang manakala di stesen Beaufort, rombongan diberikan sambutan meriah dengan titikan kulintangan moden yang menarik.

Di sepanjang perjalanan itu, Sabah FM turut mengadakan siaran langsung dari keretapi yang tengah bergerak melalui perkampungan, sungai, hutan, terowong, sawah padi, dan sebagainya. Datuk Karim Bujang dan Datuk Aziz Jamaludin sempat mengagih-agihkan 500 mangkuk bubur lambuk. Sementara itu, Geng Bubut Sabah FM juga turut mengadakan aktiviti kuiz yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para penumpang keretapi.

Di Stesen Beaufort, ketibaan rombongan ekspedisi itu telah disambut oleh Penolong Pegawai Daerah, Mohd Shaid Haji Othman, Timbalan Ketua Bahagian, Isnin Aliasnih dan Ahli-ahli jawatankuasa bahagian serta orang ramai.

Sementara itu, dalam majlis di Tapak Tamu Beaufort, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin jelas gembira berjumpa kawan lamanya, iaitu Datuk Aziz sendiri. Dalam majlis sambutan itu, Datuk Lajim yang turut menyampaikan sumbangan kepada 23 sekolah agama di Beaufort melahirkan rasa gembira dengan ketibaan rombongan ekspedisi dakwah itu.

Beliau juga menyatakan bahawa gerakan dakwah perlu dipergiatkan lagi kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenuhi keperluan ummah. Katanya, kemudahan asas dan bimbingan agama berterusan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjamin keperluan dan kebajikan umat Islam termasuk golongan saudara baru.

Khusus untuk menangani keperluan saudara baru,Lajim berkata, penyediaan kemudahan asas dan bimbingan agama yang berterusan penting bagi memastikan mereka tidak merasa tersisih dan terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

Selepas itu, rombongan bergegas ke Rumah Anak Yatim Al-Aman, Beaufort untuk mengadakan Kunjungan Amal Yadim. Rombongan telah disambut oleh Pengetua Rumah Anak Yatim Al-Aman, Cikgu Razak Osman. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd.Dun yang juga ADUN Klias turut menghadiri majlis itu. Dalam majlis jamuan makan tengahari selepas itu, Datuk Aziz Jamaludin dan Datuk Azizah turut menyenduk nasi dan melayani penghuni-penghuni rumah anak yatim itu.

Ekspedisi Dakwah Yadim Sabah 2011 itu dianggap sebagai satu program dakwah yang sangat berjaya, diberikan sokongan penuh oleh pemimpin-pemimpin setempat terutamanya wakil-wakil rakyat di tempat-tempat yang dilalui.

Yang di Pertua YADIM, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir ketika ditemui selepas program itu, gembira dengan dukungan san sambutan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin yang begitu prihatin terhadap program yang dijalankan.

Beliau berasa teruja dengan persiapan dan sambutan yang diberikan dan menyatakan bahawa ia merupakan salah satu program Jelajah Dakwah Yadim yang paling berjaya.

Isnin, 16 Mei 2011

memoir seorang geisha serlahkan dunia geisha yang rahsia

Tags
MEMOAR SEORANG GEISHA SERLAHKAN DUNIA GEISHA YANG RAHSIA

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Jika tidak kerana buku Memoirs of a Geisha karya Arthur Golden, yang diterjemahkan dengan baik dalam bahasa Melayu Indonesia sebagai Memoar Seorang Geisha, anggapan saya terhadap dunia geisha mungkin selamanya silap. Geisha bukanlah pelacur, seperti anggapan saya selama ini sebaliknya geisha dilatih untuk memikat laki-laki yang paling berkuasa.

Dunia geisha penuh rahsia, dan kisahnya tidak dengan mudah dituturkan kepada orang lain. Seorang yang menjadi geisha perlu menjaga penampilannya. Dia perlu menghadiri sekolah, dan mempelajari tarian, seni malah sastera untuk bekalnya sebagai seorang geisha.

Memoar seorang Geisha (Memoirs of a Geisha) bercerita mengenai Sayuri yang berasal dari sebuah desa nelayan yang miskin di Yoroido. Ketika ibunya terlantar sakit, dia dan kakaknya terpaksa meninggalkan kampung setelah dijual ke sebuah rumah geisha yang terkenal di Gion, jauh dari tempatnya. Sayuri yang ketika itu, baru berusia sembilan tahun, memiliki mata biru-kelabu yang luar biasa, mencuba melarikan diri. Perbuatan ini menyebabkan Sayuri tidak layak menjadi geisha dan menurut kebiasaan, ia akan menjadi pelayan seumur hidup.

Bagaimanapun, ketika meratapi nasibnya di tepi Sungai Shirakawa, Sayuri bertemu Iwamura Ken yang dipanggil ketua. Lelaki yang terhormat itu menghiburnya dan memberikannya saputangan, sesuatu yang menyebabkan Sayuri membulatkan tekadnya untuk menjadi Geisha agar dapat bertemu lagi dengan lelaki itu nanti.

Kisah ini berlaku dalam tempoh waktu yang panjang iaitu 1929, ketika Sayuri masih kanak-kanak sembilan tahun sehinggalah selepas tamat Perang Dunia Kedua yang turut meluluhlantakkan Jepun, menyebabkan ekonominya lumpuh, sehingga ramai orang terpaksa berbaris dengan kopun makanan kerana semakin sukar diperolehi, dan kemudian menyaksikan rumah-rumah geisha di Daerah Gion ditutup.

Melalui watak Sayuri, kita menyaksikan suka duka seorang wanita mempelajari seni geisha yang berat, menari dan menyanyi, belajar memakai kimono, makeup tebal dan dandanan rambut yang rumit.Mereka juga belajar cara menuang sake dengan cara yang paling menarik, bersaing sesama mereka untuk merebutkan lelaki lelaki kaya.

Dalam buku ini, Sayuri sebagai seorang gadis kampung, sering diperlakukan secara tidak baik dan selalu dibuli oleh geisha yang lebih senior seperti Hatsumomo. Mujurlah Mameha mengambilnya sebagai adik. Menurut tradisi geisha, Mameha harus membimbing Sayuri menjadi geisha yang terkenal dan memberikan pulangan hasil kepada okiya, iaitu rumah geisha.

Setelah lulus daripada latihan geisha, Sayuri mendapati dirinya diperebutkan antara Nobu dan Doktor Kepiting. Dalam dunia geisha , keperawanan seorang gadis diberikan kepada pembida yang paling tinggi. Setelah itu, selepas mizuagenya dilepaskan kepada Dr Kepiting, Jenderal Tottori menjadi `danna' Sayuri dalam satu upacara di Rumah Minum Teh Ichiriki. Selepas upacara ini, Sayuri menjadi `isteri simpanan' kepada Jenderal Tottori. Selepas perang, Sayuri yang mahu diambil oleh Nobu kemudian di bawah ke Amerika oleh Iwamura Ken.

Berbanding kedatangan Sayuri ke Gion pada 1929, jumlah geisha ketika ialah 800 orang, tetapi kemudian selepas perang menurun kepada sekitar 60 orang sahaja.Tradisi geisha pun yang telah berlangsung turun temurun pun terancam. Geisha bukanlah pelacur, meskipun ada juga yang disebut `hot spring geisha' yang jelas pelacur. Geisha sebenar bukan seperti itu.

Geisha sebenar mahir bermain shamisen, dan mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai upacara minum teh yang membolehkan mereka layak dipanggil geisha. Penulis buku ini, Arthur Golden dilahirkan dan dibesarkan di Chattanooga, Tennesse. Selepas lulus dari Harvard College dalam bidang sejarah kesenian pada tahun 1978, beliau memperolehi gelar sarjana dalam bidang sejarah Jepun dari Universiti Columbia. Kemudian beliau belajar di Universiti Beijing dan bekerja di sebuah majalah di Tokyo. Gelar Sarjana dalam bahasa Inggeris diperolehi dari Universiti Boston. Selepas bekerja di Jepun, beliau kemudian mengajar bidang penulisan dan kesusasteraan di Boston.Kini beliau menetap di Brookline, Massachussetts bersama isteri dan anak-anaknya.

Buku Memoar Seorang Geisha (Memoirs of a Geisha) ini tidak semata bercerita mengenai dunia geisha yang penuh rahsia sebaliknya ia juga bercerita mengenai kehidupan di Jepun pada akhir tahun dua puluhan sehinggalah beberapa tahun selepas perang dunia berakhir.

Sejenak bersama Pa'Min

Tags
Bagi yang tidak mengenalinya secara peribadi, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, 53,Yang di-Pertua Dewan Rakyat mungkin kelihatan garang. Sebenarnya disebalik perwatakannya yang tegas itu,beliau seorang yang suka berjenaka, baik hati, toleransi,suka mendengar pendapat orang lain, prihatin dan sebagainya.
Pandikar menceburi bidang politik pada tahun 1982 apabila bertanding di kawasan Parlimen Kota Belud tetapi tewas. Beliau kemudian bertanding dalam pilihanraya kecil Usukan dan berjaya memenangi kerusi itu atas tiket USNO.
Selepas itu, beliau menubuhkan parti BERSIH dan bertanding dalam pilihanraya 1986 di Lahad Datu tetapi sekali lagi kalah. Bagaimanapun, beliau diberi kata-kata semangat oleh gurunya, Haji Muda dengan mengatakan "Pandikar, sungguhpun kau kalah tapi sebenarnya kau menang".. Tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 1986, dan beliau yang ketika itu berusia 31 tahun, dianggap sebagai Speaker termuda di negara-negara Komanwel.
Selepas itu, beliau menjadi Ahli Dewan Negara dan kemudian turut mengasaskan Angkatan Keadilan Rakyat Sabah (AKAR). Selepas menang kerusi Tempasuk pada 1994 atas tiket BN-AKAR, beliau dilantik menganggotai Kabinet Negeri sebagai Menteri kebudayaan Belia dan Sukan. Dalam tempoh 1994-1999, beliau pernah menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Perikanan, Menteri Kerjaya dan sebagainya. Pada 1999, beliau tidak bertanding kerusi DUN, sebaliknya dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1999-2002.

Dalam kegiatan NGO, Pandikar, merupakan Timbalan Presiden Pertubuhan Sabah Bajau Bersatu (USBO) dan penaung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) sejak ditubuhkan 15 tahun lalu.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN menemui beliau dirumahnya untuk mengadakan temuramah. Bagaimanapun, Pandikar yang lebih mesra dipanggil Pa' Min bercerita mengenai pelbagai tajuk, yang sebahagiannya dapat dirakamkan dan sebahagian lagi dilanjutkan melalui soalan melalui internet,sms dan sebagainya.

UB: Apa persediaan yang Pa'Min lakukan sebelum mempengerusikan Persidangan Dewan Rakyat?
Pa'Min: Setiap kali parlimen bersidang, saya sentiasa membuat persediaan pada malam sebelumnya.Jika giliran saya pada sebelah pagi, malam sebelum itu, saya akan membaca semua soalan yang akan ditanyakan dalam sesi soal jawab. Daripada semua soalan itu, saya dapat menjangka jawapan yang diberikan, mana yang akan memicu kontroversi dan sebagainya.Pokoknya, saya mempersiapkan diri secara mental.

UB: Apa pandangan Pa'Min terhadap sikap wakil rakyat ketika berbahas di Parlimen yang ada kalanya mengajukan perkataan yang tidak sepatutnya?
Pa'Min:Wakil rakyat di negara ini perlu membudayakan adab sopan, budi bahasa dan nilai murni ketimuran ketika menyampai suara rakyat pada sesi perbahasan di Parlimen.Sebilangan wakil rakyat berkenaan tidak menunjukkan sikap sebagai “Yang Berhormat” apabila mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit-jerit sehingga berlakunya pembaziran masa ketika sesi perbahasan.Perlukah anggota-anggota Parlimen bersikap kasar seperti di Korea Selatan dan Taiwan yang menyaksikan anggotanya saling bertumbuk dan membaling kerusi untuk menjadikan Parlimen Malaysia bertaraf dunia?,”
Parlimen Malaysia boleh menjadi sebuah parlimen bertaraf dunia pada masa depan sekiranya wakil rakyat bersikap lebih matang dalam perilaku mereka dan tidak melanggar peraturan mesyuarat yang ditetapkan oleh speaker Dewan Rakyat.
Sebagai perbandingan, beliau berkata anggota-anggota House of Commons di England pernah bersikap kasar ketika era 1940-an tetapi kini, mereka lebih matang dan tidak membuang masa dengan bergaduh sebaliknya membahaskan isu-isu yang sangat menarik.
Selain itu, wakil rakyat tidak seharusnya mendakwa bahawa Parlimen bertindak zalim sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu peraturan yang ditetapkan oleh speaker Dewan Rakyat.
Wakil rakyat juga tidak harus mempolitikkan sesuatu isu untuk kepentingan peribadi atau sekadar mencari publisiti tetapi menghujahkan sesuatu isu secara rasional dan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Wakil rakyat perlu menjaga imej mereka, kerana sesi perbahasan di Parlimen kini dapat disaksikan orang ramai menerusi televisyen dan pada masa yang sama gelagat mereka juga akan diperhatikan juga

UB: Bagaimana Pa'Min melihat kedudukan Pa'Min sebagai Speaker Parlimen?
Pa'Min: Saya menganggap diri saya sebagai Speaker Parlimen, bukan sebagai Speaker mana-mana parti atau kelompok tertentu. Apapun keputusan yang saya buat, sama ada di dalam atau luar parlimen, saya lakukan untuk kepentingan Parlimen malaysia.

UB: Kita beralih ke soal lain.Apa pandangan Pa'Min mengenia kontrak sosial?
Pa'Min: Kontrak sosial adalah persafaham dan persetujuan awal di antara pemimpin-pemimpin dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya, yang telah dijadikan asas untuk menggubal satu perlembagaan sebuah negara baru, Negara Malaysia.
Pada yang tersurat dan tersirat, Malaysia adalah negara yang diwujudkan oleh empat wilayah yang mempunyai entiti dan autonomi kuasa sendiri. Itulah pemikiran “founding fathers” Negara Malaysia.
Makna 1Malaysia yang menjadi gagasan Perdana Menteri Keenam adalah selaras dengan apa yang telah diilhamkan dan dipersetujui oleh “founding fathers” negara tercinta, Malaysia.
Saya begitu teruja dengan slogan 1Malaysia, cetusan minda Perdana Menteri keenam. Semoga makna slogan ini adalah menyamai bait-bait yang telah digariskan oleh "founding fathers" negara Malaysia iaitu, "membangun bersama sebagai satu bangsa Malaysia". Dalam masa yang sama, semangat kontrak sosial (bagi Sabah) seperti isu ‘20 Perkara’ (hak-hak rakyat Sabah dalam Malaysia) yang di aktifkan semula, akan terus subur di jiwa rakyat jelata, sama seperti pemikiran ‘founding fathers of Malaysia’, di antaranya Datu Mustapha Datu Harun dan Donald Stephens untuk diabadikan selama-lamanya.

Jika sekiranya makna 1Malaysia adalah sama seperti yang diilhamkan dan dipersetujui oleh “founding fathers of Malaysia” termasuk pemimpin-pemimpin dari Sarawak dan Sabah, maka tidak ada alasan yang munasabah kenapa dan mengapa rakyat jelata di Sabah dan Sarawak harus terpengaruh oleh "janji manis" dari pihak tertentu.

UB: Apa pandangan Pa'Min terhadap generasi muda?
Pa'Min: Dahulu, walaupun ibu bapa buta huruf, namun mereka dihormati oleh anak-anak yang berpengajian tinggi. Anak-anak tidak tergamak atau berani menempelak atau mengaibkan ibu bapa dikhalayak ramai kalau pendapat atau pandangan mereka bercanggah. Anak-anak dengan rela mengalah, bukan kalah mempertahankan hujah tetapi berpegang pada suatu etika, "hormat" ibu bapa dan takut tulah. Tetapi, mereka yang bersikap sedemikian rupa, rata-rata berjaya di dalam perjuangan hidup mereka.

UB: Bagaimana pula sikap pemimpin dahulu dan sekarang?
Pa'Min: Dahulu, demi kepentingan rakyat jelata, pemimpin-pemimpin pelbagai bangsa berunding, berpakat dan berkerjasama. Mereka mengenepikan kepentingan diri jauh sekali menuding jari. Sikap ikhlas itu berbaloi. Mereka telah dapat mengisi kemerdekaan negara dengan dasar dan polisi yang kejayaannya dapat kita nikmati bersama dizaman kita. Akan tetapi, pemimpin-pemimpin dizaman ini walaupun berbekal pelbagai pengalaman dan ilmu di dada, asyik bersengketa, menuding jari dengan tidak memperdulikan sasarannya.

UB: Baru-baru ini Pa'Min ada mengulas pasal bunyi katak? boleh ulas sedikit?
Pa'Min:Baru-baru ini penyelidik (Indraneil Das dan Alexander Haas, Universiti Hamburg) menemui sejenis katak di Taman Nasional Kubah Sarawak yang terkecil di Asia, Africa dan Eropahpa. Saiz katak - berwarna merah-dan-oren - ini cuma sebesar biji kacang Pis (Peas). Katak ini ditemui bukan kerana mereka ternampak badannya dahulu tetapi terdengar suaranya yang unik berbanding dengan suara katak-katak yang lain yang terdapat di persekitaran kawasan tersebut.
Dalam konteks penemuan ini, "suara" nya yang nyaring jika dibandingkan dengan badannya yang amat kecil telah menyebabkan katak yang terkecil ini ditemui dan dikenal pasti spesisnya ( Microhylid ) yang kini diberikan nama Microhaylanepethicola.
Suara yang kedengaran nyaring/bising itu tidak semestinya dicetuskan/berasal dari badan yang bersaiz besar atau bilangan yang ramai.Sebesar-besar suara yang dicetuskan oleh badan yang kecil, lebih besar suara yang dicetuskan oleh badan yang besar.

UB: Kalau tidak lagi menjadi speaker, apa yang Pa'min mahu lakukan?
Pa'Min: Saya mungkin menulis blog seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir dengan blognya Che' Det. Barangkali juga saya akan meneruskan hobi memancing di tengah laut, menulis buku dan sebagainya.

UB: Setahu saya, Pa'Min juga menulis blog. Apa topik yang selalu menjadi topik perbincangan Pa'Min? Apa definisi blog bagi Pa'Min?Apa pandangan Pa'Min terhadap bloggers? Boleh ceritakan sedikit?
Pa'Min: Bagi saya, Bloggers adalah kumpulan individu yang mempunyai kebolehan memaparkan buah fikiran untuk disebar luaskan ke lapangan siber yang tidak bersempadan. Mereka ini sungguh berbakat dalam bidang yang mereka pilih dan mereka paparkan tajuk yang dapat memberi kepuasan kepada mereka masing-masing.
Latar belakang mereka pula dari pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang ilmuan, cendikiawan, pengamal politik, usahawan dan sebagainya. Semuanya "bersatu minat", menulis mengikut citarasa, kemahuan hati, minat dan kehendak mereka.

Ada Bloggers yang profesional, cuma menulis perkara yang masuk akal; ada Bloggers yang suka berfikir maka tulisannya pula menjemput rakan sama memikir; ada Bloggers yang ilmuan dan berpelajaran tinggi tetapi memperlihatkan tulisan kebudak-budakan menggelikan hati; ada Bloggers pengamal politik maka sudah tentu tulisannya mengenai kegiatan politiknya setiap detik. Tidak ketinggalan juga bloggers yang di dalam paparannya mempamerkan dirinya sebagai pengkritik. Seolah-olah dia maha mengetahui serba-serbi serta mencerminkan keperibadian diri yang sempurna dan tiada cacat celanya.....dan sebagainya....dan sebagainya....

Yang melucukan, hampir semua Bloggers menggunakan nama semaran dan jolokkan. Ada yang memilih nama yang elok dan cantik, kalau disebut sangat menarik; ada pula yang memilih nama makanan dan tulisan dan komennya sungguh menggiurkan; bermacam-macam lagi nama ciptaan yang menjadi pilihan termasuklah nama serangga, benda, manusia dan binatang.

Ada Bloggers yang serius dan ikhlas mereka menggunakan nama sendiri. Paparan dan tulisan mereka berkualiti tinggi. Ia mencerminkan bahawa si penulisnya mempunyai budi pekerti dan jati diri. Mereka ini bertanggungjawab pada pendapat yang mereka sebarluaskan, sebab itu mereka tidak berselindung pada nama yang direkacipta dan samaran.
Bagi saya berblog dengan satu tujuan, ingin berkongsi pengalaman dengan rakan Bloggers yang lain. Semoga pendapat dan pandangan dihargai. Kalaupun tidak janganlah dikeji dan diberikan komen yang bukan-bukan.

UB: Pernahkah Pa'Min rasa terguris kerana dikritik dalam blog?
Pa'Min: Seperti kata pepatah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelombang. Saya tidak terkecuali dari melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Untuk itu,kadang kita tidak terlepas dari bahana dan bebanan dosa mengumpat, mengeji dan mencerca.
Bagi saya berblog adalah salah satu senaman minda. Sekiranya digunakan dengan niat yang baik, ternyata ianya sungguh berfaedah kepada seluruh umat manusia dimuka bumi ini.

UB: Apa nasihat Pa'Min terhadap rakan-rakan bloggers?
Pa'Min:Rakan-rakan di lapangan cyber, berbloglah dengan sesukahati dan niat yang bersih. Ingatlah bahawa Yang Maha Berkuasa sentiasa memerhati apa jua yang anda lakukan dan di mana jua anda berada.

UB: Bagaimana Pa'Min berkomunikasi dengan generasi muda?
Pa'Min:Saya sentiasa mengikuti perkembangan, aspirasi dan perjuangan generasi pelapis melalui twitter, facebook, blog, dan sebagainya.

Sabah, seperti rumah kedua saya, kata Soepeno Sahid

Tags
SABAH, SERUMAH KEDUA SAYA, KATA SOEPENO SAHID

SEJAK bertugas sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid telah memainkan peranan untuk meningkatkan hubungan baik antara Kota Kinabalu dan Jakarta. Sebagai seorang diplomat yang memiliki visi dan wawasan yang luas, Soepeno telah mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan imej dan citra negaranya di Sabah.

Soepeno Sahid dilahirkan di Blora, Jawa Tengah pada 12 Oktober 1956 . Anak ketiga dari lima adik beradik ini memperolehi pendidikan rendah dan menengahnya di kota kelahirannya sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Diponegoro, Semarang sehingga lulus dalam bidang hukum (Undang-Undang) pada tahun 1980.

Sebelum bertugas di Kementerian Luar pada tahun 1982,Soepeno pernah berkhidmat di Departemen Agama dan Departemen Tenaga Kerja. Ayahnya, Bani Sahid merupakan seorang tokoh masyarakat yang dihormati di kampungnya manakala ibunya Sumiyaton, seorang ibu yang pengasih. Soepeno telah berumahtangga dengan Ibu Hardinih Budi Sulistyo dan dikurniakan dengan lima anak iaitu Hardityo Mahendra Sahid,Berrindo Risqianandha Sahid,Dionne Puspita A Sahid,Cindy Ramadhani Sahid,Cinthya Ramadhanti Sahid.

Selepas Asar Jumaat lepas, Bapak Soepeno Sahid (SS) mempersilakan wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Hj Shaiddin masuk ke ruang kerjanya untuk menemuramah beliau mengenai pengalamannya sepanjang berkhidmat di Sabah, hobi di masa lapang, kenangan masa kecil dan sebagainya.

UB: Terima kasih kerana bapak sudi meluangkan waktu untuk diwawancara. Sebelum bertugas di Kota Kinabalu, anda pernah bertugas di mana?

SS: Sebelum bertugas sebagai Konsul Jenderal di Kota Kinabalu, saya pernah bertugas di Kedutaan Besar Indonesia di Canberra pada tahun 1986-1990. Kemudian pada tahun 1992-1997, saya ditugaskan pula di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Nanamu, Papua New Guinea. Selepas beberapa tahun di Jakarta, saya ditugaskan pula di Kuala Lumpur sebagai Kepala bahagian Konsuler Kedutaan Besar Indonesia di pada 2000 hingga 2005.

UB: Apa pengalaman sepanjang yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di Kuala Lumpur?
SS: Anda mungkin masih ingat kes pembantu rumah, Nirmala Bonat yang mendapat layanan yang tidak berperikemanusiaan daripada majikannnya. Sewaktu kes itu, saya yang menanganinya. Itu sebabnya ketika itu, wajah saya sering kelihatan di media dan tv kerana sering diwawancara wartawan mengenai kes Nirmala Bonat itu. Perlakuan terhadap Nirmala itu amat tidak manusiawi, wajahnya, badannya disterika dan sebagainya.

UB: Bagaimana layanan terhadap warga Indonesia di Sabah? Apakah KJRI pernah mendapat aduan serupa?
SS: Alhamdulillah, di Sabah keadaannya amat baik sekali. Sepanjang bertugas di negeri ini, saya tidak pernah mendapat laporan mengenai layanan kasar terhadap pembantu rumah Keadaannya amat baik di sini. Kalau di KL, setiap hari saya menerima sehingga 10 aduan satu hari tetapi di Sabah, saya hampir tidak menerima laporan mengenai adanya kekasaran terhadap pembantu rumah.

UB: Berapa jumlah pembantu rumah warga Indonesia di Sabah?
SS: Mengikut statistik pada 2010, terdapat seramai 400,000 warga Indonesia yang bekerja di Sabah. Kebanyaknnya pekerja dalam sektor sektor perladangan perkilangan dan pembinaan. Hanya 1.5 peratus atau 1,500 bekerja dalam pekerja pembantu rumah. Kita belum menerima aduan mengenai perlakuan kasar terhadap pekerja Indonesia di sabah, Sehingga shelter yang ada di KJRI nyaris kosong.

UB: Kelihatan anda sering sibuk.Kapan ada masa lapang? Apa yang anda lakukan jika ada masa lapang?
SS: Jika ada masa waktu terluang, saya suka bermain bowling, main golf, membaca buku dan sebagainya. Kadang-kadang saya menggunakan waktu hujung minggu untuk membuat kunjungan silaturrahim ke ladang-ladang. Jadi saya libur selama dalam perjalanan.

UB: Saya tertarik dengan nama anda. Jika tidak keberatan, apa maksud Soepeno dalam bahasa Jawa?
SS: Soepeno maksudnya impian. Ketika dilahirkan ayah saya, Bani Sahid menamakan saya Soepeno kerana beliau menginginkan anak laki-laki.Kebetulan saya anak ketiga. Dua kakak saya perempuan.Bila saya lahir, almarhum ayah saya memberikan nama Soepeno. Orang tua saya mengimpikan saya menjadi orang yang berhasil. Itu sebabnya, saya diberi nama Soepeno.

UB: Apa hal yang menarik di Sabah, kalau menurut pendapat anda? Apakah anda merasa asing di sini?
SS: Sejak bertugas di sini, lebih satu tahun lalu, tepatnya pada 23 Januari 2010, saya merasa agak gembira. Saya menganggap Malaysia rumah kedua saya kerana kesamaan bahasa dan budaya. Bahkan hampir semua anak saya di Malaysia dan bersekolah di Kuala Lumpur. Dari segi bahasa dan budaya, Sabah hampir sama dengan Kalimantan. Bahkan perayaan pesta menuai iaitu selepas panen juga di sambut masyarakat di Kalimantan iaitu sama seperti Pesta Menuai atau Gawai di Sarawak.

UB: Apa program-program yang dilakukan oleh KJRI untuk mengeratkan hubungan Sabah dan Indonesia dalam bidang seni?
SS: Setiap tahun kita mengadakan pertunjukan kesenian, peragaan busana (fashion show) untuk memperkenalkan budaya masing-masing. Pada tahun ini kita merancang untuk mengadakan pertunjukan busana muslim, yang kini semakin banyak mendapat sambutan.

UB: Siapa idola anda? Apa yang menarik pada mereka?
SS: Kalau sebut mengenai idola, saya suka Bung Karno, Presiden Indonesia yang pertama.Beliau merupakan seorang negarawan yang pro rakyat.Saya juga meminati Nelson mandela, yang berjuang melawan aparthied. Walaupun terpenjara, beliau tetap bersemangat berjuang sehingga dasar Aparthied dapat dimansuhkan.
Saya juga meminati Tun Dr.Mahathir Mohammad. Saya suka kata-katanya, makmurkan jiran anda. Bagi saya beliau merupakan seorang negarawan yang berkaliber.

UB: Anda suka membaca? Apa jenis buku yang ANDAsuka baca?
SS: Saya suka membaca buku politik, psikologi, undang-undang dan sebagainya. Sesuai dengan latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang saya suka membaca buku yang berkaitan dengannya. Saya baru saha habis membaca buku Memoir Dr.Mahathir yang bertajuk Doctor in A House.

UB: Siapa penyanyi yang anda minati?
SS: Sewaktu di kampung, saya suka mendengar radio. Saya suka mencari siaran luar negeri, BBC, RTM, ABC dan sebagainya. Antara penyanyi yang saya minati ialah Sharifah Aini, Broery Marantika, Koes Plus dan sebagainya. Saya juga meminati Ebiet G.Ade kerana lirik-lirik lagunya yang memiliki ajaran hidup.
Selain itu, saya juga minat wali Band, kerana lagu-lagunya juga membawa pesan kebaikan dan sebagainya.

Sementara itu, minat saya terhadap seniman P.Ramlee pula muncul ketika saya bertugas di Kuala Lumpur. saya memiliki semua cdnya.

UB: Apa nasihat anda kepada generasi muda?
SS: Belajarlah dengan lebih banyak.Setiap manusia tak pernah sempurna.

Kamarlin, dari seorang guru menjadi YB

Tags
KAMARLIN,DARI SEORANG GURU MENJADI YB

Kamarlin Haji Ombi dilahirkan di Kampung Lupak Beaufort pada 3 Mac 1959. Beliau merupakan anak kedua daripada lapan adik beradik. Anak kepada Imam Haji Ombi Haji Tinggal dan Puan Andi binte Asin ini pada mulanya bercita-cita menjadi seorang juru ukur. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Lupak dan melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di SMK Gadong, Beaufort. Selepas itu, Kamarlin memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Pernah ditugaskan di Sekolah Kebangsaan Kubang Piring, Semporna, SK Melalap tenom, SK Padas Damit sebelum melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University (SIU) Carbondale sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Geografi pada 1989-1991. Beliau memperolehi ijazah sarjana dalam Pengajian Bahasa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Bidang Sains Sosial. Kamarlin mendirikan rumah tangga dengan seorang pendidik, Puan Sariah@Saridah Abdullah dan dikurniakan 6 orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan

Sekembalinya ke tanahair, Kamarlin mengajar di Sekolah Menengah Gadong dari tahun 1991 sehingga dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort pada tahun 1994. Beliau kemudian dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang sehingga 2008. Pada tahun itu, Kamarlin terpaksa meletakkan jawatan apabila dipilih oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kawasan DUN Lumadan. Beliau juga adalah Timbalan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN menemui YB KAMARLIN HAJI OMBI (KHO) pada satu petang yang jernih di sebuah hotel terkemuka di ibu negeri untuk berkongsi pengalamannya sebagai guru dan kini sebagai wakil rakyat di DUN Lumadan.


UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang YB sebelum menjadi wakil rakyat?
KHO: Saya dilahir dan dibesarkan di Kampung Lupak Beaufort. Saya mendapat pendidikan awal di SK Lupak dan kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SMK Gadong, Beaufort. Sebaik menamatkan persekolahan, saya pernah bertugas sebagai `budak pejabat' di Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Selepas itu, saya memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran dan kemudian menjadi guru. Sesudah itu, saya melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University di Carbondale. Kemudian mengajar lagi setelah balik ke Sabah.Pada tahun 1994, saya dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Beaufort dan beberapa tahun kemudian, dilantik pula sebagai Pegawai Pelajaran Sipitang. Dalam pilihanraya umum 2008, saya terpilih sebagai calon di kawasan DUN Lumadan.

UB: Sebelum menceburkan diri dalam politik, pernah YB terfikir untuk menjadi seorang wakil rakyat?
KHO: Sebenarnya saya bercita-cita untuk menjadi seorang juru ukur. Minat saya kepada bidang geografi agak mendalam sehingga saya melanjutkan pelajaran dalam bidang itu di universiti. Sebenarnya saya tidak terfikir menjadi YB, hanya saja saya pernah mengimpikan menjadi ketua dalam sesebuah organisasi. Di Universiti, saya pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Sabah di SIU Carbondale.

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga? Berapa anak?
KHO: Saya berumahtangga dengan Sariah @ Saridah Abdullah, seorang guru. kami dikurniakan enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan. Anak pertama, Mohd.Asraf kini sedang menuntut di UiTM. Anak kedua, Nor Aliah Asyikin kini dalam tingkatan 5. Anak ketiga Nor Alinah Akila dalam tingkatan satu, Anak keempat Mohd Asri dalam tahun enam.anak kelima Mohd.Ashar kini dalam tahun 3, manakala anak keenam, Nor Elina, dilahirkan pada 2008, ketika itu musim pilihanraya. Waktu tengah berkempen, Nor Elina Lahir di Papar.

UB: Setelah menjadi wakil rakyat, bagaimana YB membahagikan masa untuk berkhidmat kepada rakyat?
KHO: Walaupun agak sibuk tetapi saya boleh menggunakan masa sepenuhnya untuk turun padang. Apatah lagi, saya tinggal di kampung halaman iaitu Kampung Lupak dan mudah ditemui oleh rakyat.
Saya punya cara tersendiri untuk turun padang,yang agak berbeza dengan yang lain. Berbeza kerana saya boleh datang berkunjung ke rumah penduduk kampung di kawasan saya tak kira masa. Saya datang ke rumah mereka dan mereka boleh datang ke rumah pada bila-bila masa, tanpa banyak protokol. Bahkan kadang-kadang hampir tengah malam pun, saya biasa menerima tamu di rumah.

UB: Biasanya apa yang diadukan oleh rakyat kepada YB?
KHO: Kebanyakan yang diadukan berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh mereka termasuk masalah kemudahan asas, jalan raya, bekalan air dan sebagainya.Juga masalah dan cadangan-cadangan untuk meningkatkan lagi hidup rakyat.

UB: Sebagai wakil rakyat, apa impian YB?
KHO: Sebagai wakil rakyat, saya mengimpikan agar orang-orang kampung, rakyat yang saya wakili mendapat segala kemudahan asas dan sebagainya, Saya suka melihat masalah orang kampung dengan mata kepala saya sendiri.Kalau saya dapat menyelesaikan masalah rakyat, saya berasa bangga. Masalah jalan raya, bekalan air dan elektrik, ini masalah yang terdapat di kampung-kampung. Jika masalah ini dapat diselesaikan, tanggungjawab sebagai YB akan terlaksana.

UB: Apa antara perkara yang menjadi fokus YB di kawasan Lumadan?
KHO: Salah satu perkara yang menjadi fokus Kita ialah bidang pendidikan.Saya yakin hanya melalui pendidikan yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup.

UB: Apa cabaran yang diterima sepanjang menjadi YB?
KHO: Memang banyak cabaran yang dihadapi tetapi itu merupakan asam garam dalam politik. Walaupun banyak yang kita lakukan, kalau ditanya kepada yang bukan sehaluan kita, apa jenis kebaikan pun yang kita buat, semuanya dianggap tidak baik. Kecuali mereka yang betul-betul tahu menghargai usaha yang kita lakukan. Tetapi sebagai seorang ahli politik, kita tidak boleh give-up atau mengalah. Kita perlu berjuang bagi membela dan memperjuangkan nasib rakyat apapun cabarannya. Saya yakin, apa saja yang kita lakukan dalam politik lambat laun boleh juga diterima oleh rakyat walaupun lambat.

UB: Saya difahamkan YB juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS). Boleh ceritakan apa pengalaman yang boleh dikongsi dalam persatuan?
KHO: Sebenarnya banyak perkara yang saya belajar dalam persatuan. Dalam persatuan, saya dapat belajar memimpin dan mengurus organisasi.Melalui persatuan juga, kita dapat belajar kemahiran untuk memimpin.

UB: Oh ya.Ketika mengajar dahulu, tentu YB ada banyak pengalaman manis.Boleh kongsikan?
KHO: Ketika mengajar dahulu, saya lebih suka mengajar budak-budak yang lemah dalam mata pelajaran tertentu. Kalau sebelumnya dia tidak dapat membaca, kemudian dia dapat membaca, ia satu kejayaan bagi seorang guru. Saya memberi tumpuan kepada membaca, menulis, mengira

UB: Apa yang YB boleh ceritakan mengenai ayah.Tentu beliau banyak mencorakkan keperibadian YB?
KHO: Ayah saya seorang yang tegas. Garang. Kami memang takut. Beliau sangat mementingkan disiplin. Jadi kami anak-anaknya belajar untuk mendisiplinkan diri. Disiplin adalah salah satu kunci kejayaan.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai makanan kegemaran YB?
KHO: Saya meminati ubi manis, pisang rebus, ikan rebus masak kunyit amat selesa dengan makanan kampung

UB: Apa yang YB lakukan untuk mengisi masa lapang?
KHO: Saya suka bermain golf, Kadang seminggu sekali. Selain itu, saya juga suka membaca buku berunsur akademik, apatah lagi ini bagi memudahkan saya untuk membuat penyelidikan kerana saya sedang mengikuti pengajian di UMS.

UB: Saya pernah terbaca majalah mengenai golf. Sebenarnya saya tak begitu faham mengenai sukan ini.Boleh YB ceritakan apa keistimewaan bermain golf?
KHO: Kalau ada masa lapang, saya suka bermain golf.Bagi saya, permainan golf adalah cara untuk mendisiplinkan diri. Kita boleh menterjemahkan disiplin golf dalam kerjaya kita, dalam cara mengurus organisasi. Dalam permainan golf kita tidak boleh menipu, kita harus bermain dengan jujur. Kalau bola jatuh ke kawasan semak, kita mesti tahu menggunakan kayu pemukul yang sesuai. Begitu juga kalau jatuh di pasir, kita gunakan kayu pemukul yang sesuai. Semakin kurang kita buat kesalahan, maka semakin cantik keputusan kita.Sama juga dalam masyarakat, semakin kurang kita lakukan kesalahan, semakin kita disenangi. Semakin jujur semakin baik kehidupan kita.

UB: Apa sukan lain yang YB minati?
KHO: saya juga minat bermain takraw. malah sewaktu remaja dahulu, saya pernah menjadi wakil sekolah dalam sukan takraw.

UB: Bagi pendapat YB, bagaimana kita boleh mendekati generasi muda?
KHO: Banyak cara pendekatan yang boleh kita gunakan. tapi kita mesti berinteraksi dan bergaul dengan mereka.Apa yang penting kita mesti mengetahui aspirasi mereka.Fahami apa yang mereka mahu. Kita galakkan mereka dalam aktiviti-aktiviti sukan, kegiatan persatuan dan sebagainya, kegiatan yang boleh mencetuskan keadaan sihat dan harmoni.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah dalam ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Konsepnya memang agak santai, rileks.Kami berasa bertuah kerana YB sudi meluangkan masa ditengah kesibukan untuk ditemubual.
KHO: Saya juga berterima kasih kepada Utusan Borneo kerana sudi menemuramah saya.

Angels That Came karya Sheena James terbit di Amerika

Tags
KHABAR mengenai terbitnya sebuah buku `Angels That Came' karya seorang penulis dan sarjana tempatan, Sheena James yang berasal dari Penampang oleh sebuah penerbit dari Amerika Syarikat sangatlah menggembirakan.

Buku baru itu pasti menarik. Buat pertama kalinya, seorang pengkaji tempatan menghasilkan buku mengenai orang utan.Keprihatinannya terhadap kelangsungan hidup orang utan dilengkapi dengan pengetahuan saintifik, informasi sejarah, kebudayaan dan diskusi sosio ekonomi menjadikan buku `Angels That Came' ini mampu menempati kedudukan tersendiri dalam dunia perbukuan bukan saja di Sabah malah di seluruh dunia.

Penulisnya, Sheena James merupakan graduan dalam bidang Biologi Konservasi daripada UMS dan lulus dengan kepujian Kelas Dua Atas. Sheena kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Ekologi Molekul dengan biasiswa penuh daripada Darwin Initiative di Cardiff, Wales. Beliau lulus Sarjana pada tahun 2007. Beliau pernah bekerja dengan Habitat For Humanity dan pernah membantu sukarelawan dari Dubai pada tahun 2010.

Kini Sheena sedang mempersiapkan diri untuk mengikuti pengajian di peringkat kedoktoran di Universiti Malaysia Sabah pada Jun ini. Penerbitan bukunya, Angels That Came ini tidak syak lagi merupakan salah satu sumbangan yang bererti.

Salah satu objektif penerbitan buku ini ialah mempromosi Konsep evolusi dan penemuan biomass. Adunan antara Indian mythology yang menyentuh aspek kebudayaan dan kehidupan di Sabah dimana orangutan ditemui juga sangat menarik. Tidak ramai orang yang mengenai konservasi alam sekitar di negeri ini .Buku Angels That Came ini memberikan pencerahan mengenai sejarah, kebudayaan juga status sosio ekonomi. Orang utan sudah diperakui sebagau spesies yang dilindungi dan berpotensi untuk menarik pelancongan dan konservasi alam. Semoga Angels That Came mampu mendidik masyarakat untuk mencintai dan menyayangi alam sekitar.

Untuk keterangan lanjut, buku ini boleh dilihat melalui www.Xlibris.com.

Rahim Bakri, akrab dengan kehidupan kampung

Tags
SAMA seperti anak-anak kampung yang lain, ketika kecilnya Datuk Abdul Rahim Bakri gemar bermain bola, mandi sungai, mandi hujan bersama rakan-rakannya. Pada waktu yang lain, Rahim suka memancing atau memukat ikan di Teluk Marudu atau di sungai. Selain itu, beliau juga suka melastik burung atau memanjat mangga yang banyak di kampungnya di Kampung Rosob, Pitas. Jika tidak ada kelas mengaji,Rahim juga suka mengikut kawan-kawannya menangkap ketam di waktu malam. Pengalaman-pengalaman yang dimilikinya ini menjadikan beliau begitu akrab dengan kehidupan masyarakat kampung dan membuat beliau lebih mengerti kehendak dan keperluan masyarakat akar umbi di luar bandar.

Pahit manis kehidupan rakyat, dengan segala keperitan, kemiskinan yang mereka hadapi, menjadikan Rahim yang kini Ahli Parlimen Kudat mampu bercakap bagi pihak rakyat di Dewan Rakyat.Rahim terpilih sebagai calon Barisan Nasional dalam pilihanraya 2004 dan memenangi kawasan Parlimen Kudat dengan majoriti 7,000 undi. Selepas itu, dalam PRU 2008, Rahim sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Kudat dengan kelebihan undi yang meningkat iaitu 9,989 undi. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri luar pada tahun 2008 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2009 hingga sekarang. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Faridah Wasli dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Edlee, 21, Nabilah 18 dan Ahmad Haikal,13.

Abdul Rahim Bakri dilahirkan di Kampung Rosob Pitas pada tahun 1961.Beliau merupakan anak keenam daripada lapan adik beradik. Ayahnya, Bakri Sukur bekerja sebagai kakitangan Jabatan Pertanian dan ibunya Dessy Edward Walker, seorang suri rumah. Kedua-dua ibu bapanya mempunyai pandangan jauh terhadap kepentingan pendidikan. Rahim menduduki sekolah rendah di SK Rosob dan melanjutkan pelajaran di SMK Kudat pada tahun 1974-1978. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan Enam di SMK Menggatal pada tahun 1979-1980. Selepas lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan HSC, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dari tahun 1981-1985. Setelah itu, beliau bekerja dalam sektor perbankan, sektor korporat sebelum menceburkan diri dalam bidang politik. Beliau pernah menjadi Presiden of Malaysia Friendship Trade Centre di Taiwan sebelum bertanding dalam pilihanraya 2004.

Wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Haji Shaiddin menemubual beliau di celah-celah kesibukan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Kudat dalam satu pertemuan di salah sebuah hotel terkemuka, di ibu negeri untuk berkongsi mengenai pengalaman beliau sebagai pelajar di sebuah sekolah di luar bandar hingga pengalamannya sebagai Timbalan Menteri.



UB: Boleh Datuk ceritakan sedikit mengenai latar belakang Datuk sebelum menjadi Timbalan Menteri?
ARB: Selepas mendapat segulung ijazah dari Universiti Sains Malaysia, saya pulang ke Sabah. Dua minggu selepas itu, saya menghadiri temuduga dan ditawarkan kerja sebagai pegawai bank dan kemudian di tempatkan di Tawau. Selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai pegawai bank, saya bekerja pula dalam sektor korporat. Saya pernah menjawat jawatan sebagai pengarah Sabah Energy Corporation, Pengarah Asian Supply, Synergy Marine, Pengarah Sabah Berjaya dan kemudian menjadi Presiden Malaysia Friendship Trade Centre di Taipei, Taiwan.UB: Siapakah yang banyak memberi galakan kepada Datuk?
ARB: Orang yang banyak memberi galakan kepada saya ialah ayah saya . Beliau berpandangan jauh.Beliau percaya bahawa hanya dengan pendidikan, nasib masyarakat boleh diubah. Beliau banyak memberi galakan agar saya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Malah apabila beliau kembali ke rahmahtullah pada tahun 1981, antara yang dipesankannya ialah agar memastikan pelajaran saya tidak terganngu.Waktu itu saya masih belajar di USM Pulau Pinang. Dia pesan kepada keluarga agar `jangan kamu ganggu' takut pelajaran saya terganggu. Hanya selepas kenduri 20 hari, barulah saya mendapat surat yang menyatakan bahawa ayah saya sudah pergi buat selama-lamanya. Beliau seorang yang banyak memberikan inspirasi. Beliau menasihatkan supaya untuk berjaya lebihkan usaha, utamakan integriti dan menghormati orang lain.


UB: Setahu saya, jarak antara Pitas dan Kudat agak jauh juga. Apa pengalaman Datuk yang boleh dikongsikan bersama pembaca?
ARB: Selepas menamatkan sekolah rendah, saya menduduki sekolah menengah di SMK Abd.Rahim Kudat, ketika itu namanya masih SMK Kudat. Saya menumpang bot nelayan untuk merentasi Teluk Marudu dalam perjalanan kira-kira dua jam. Kadang-kadang ada ombak kuat tetapi kami tak ada pilihan, terpaksa juga melaluinya. Demi untuk mendapatkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

UB: Jadi Datuk tinggal di asrama? Ada pengalaman menarik?
ARB: Memang banyak pengalaman menarik juga. Ketika tinggal di asrama, banyak hal yang dapat dipelajari. Makan nasi berlauk ikan masin, ikan sardin, sayur kangkung dan sebagainya. Walaupun begitu, pelajar luar bandar tidak kurang hebatnya.

UB:: Apa pandangan Datuk mengenai pelajar luar bandar?
ARB: Jika diberi peluang, pelajar luar bandar juga mampu mencatat kecemerlangan. Walaupun dalam kekangan, mereka masih boleh berjaya jika diberikan peluang bersaing.

UB: Bagaimana situasi pembelajaran ketika itu?
ARB: Ketika zaman kami, kemudahan infrastruktur tudaj ada. Buku teks tidak ada.kalau adapun tidak mencukupi.Surat khabar tidak ada. Keadaan sekarang memang jauh berbeza kerana pelajar mudah akses terhadap internet dan sebagainya. Ketika kami sekolah, apakan lagi komputer, kemudahan bukupun tidak ada.


UB: Selepas SMK Abdul Rahim, di mana destinasi datuk selanjutnya?

ARB: Selepas mencapai keputusan peperiksaan yang baik dalam SPM, saya melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SMK Menggatal. Antara rakan sekolah saya ialah Prof Dr.Kassim Haji Mansor, Haji Sairin Ibrahim, Jilid Kuminding sekarang Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong, Datuk Awang Buhtaman, Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin, dan ramai lagi. Selepas lulus dalam peperiksaan STPM, saya melanjutkan pelajaran di USM pada tahun 1981-185.


UB: Siapa idola Datuk?
ARB: Idola saya ialah Tun Dr.Mahathir Mohammad dan Tun Razak. Sebagai anak yang dilahirkan di kampung, kami mendapat manfaat daripada dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) orang-orang seperti saya, yang tinggal di ceruk kampung, mampu melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.



UB: Difahamkan Datuk juga menguasai bahasa tamil dan bahasa mandarin. Boleh ceritakan sedikit bagaimana dan dimana datuk mempelajari kedua-dua bahasa itu?
ARB: Ketika di universiti dulu, daripada 42 rakan sekelas, hanya lapan orang Melayu selebihnya orang Cina dan India. Saya belajar dan bergaul bersama mereka. Lama kelamaan kerana minat terhadap bahasa, akhirnya saya mampu menguasai bahasa tamil dan bahasa mandarin. Sewaktu bertugas di Taipei, saya mengambil kelas malam untuk belajar mandarin.Selain itu, saya juga belajar mandarin daripada pemandu teksi. Akhirnya saya mampu menguasai bahasa mandarin.


UB: Berapa ramai pelajar dari Sabah ketika itu?
Daripada kira-kira 10,000 pelajar di USM ketika itu, hanya terdapat 26 pelajar dari Sabah. Antaranya arwah Datuk Ismail Abbas, sasterawan negeri yang lebih dikenali sebagai Amil Jaya. Arwah Datu Bandira Datu Alang, penulis, pernah menjadi pegawai di Felda, pengurus besar SAFMA dan pernah juga menjadi Pesuruhjaya PAS Sabah. Selain itu, Datu Basrun Datu Mansur, kini Pengurus Besar Korporasi Pembangunan Desa (KPD). Itu antara rakan saya di Universiti.

UB: Dalam tulisan-tulisan Datuk yang tersiar di suratkhabar, Datuk suka menulis perkara yang ada kaitannya dengan sejarah?
ARBL Saya minat kepada sejarah kerana melalui sejarah, kita dapat merancang masa depan dengan baik. Dengan belajar sejarah, kita tidak akan mengulangi kesilapan masa lalu. Kita melihat betapa tamadun seperti Latin, Greek dan sebagainya mempunyai ketamadunan yang tinggi tetapi kemudian mereka jatuh. Kita lihat tamafun Cina yang membina Tembok Besar Cina,kira-kira 200 tahun sebelum masihi. Mereka membuat ubat bedil dan sebagainya untuk mempertahankan negaranya. etapi kemudian sejarah menunjukkan bahawa kerana perpecahan, dan sebagainya, Hong Kong di perintah Inggeris, Macao oleh Portugis malah Cina pernah dikalahkan Jepun. Ini semua dapat kita pelajari dengan baik suapay tidak mengulangi kesilapan.

UB: Apa yang datuk dapat dengan membaca? Apa jenis buku yang Datuk minati?

ARB: Saya membaca untuk mendapatkan pengetahuan baru, maklumat baru, pendapat baru,pengalaman baru.Itu sebabnya saya suka membaca. Buku yang saya minati ialah buku mengenai hubungan antarabangsa dan ekonomi.

UB: Sesuai dengan tugas Datuk, sudah tentu datuk banyak melawat ke luar negara. Boleh kongsikan sedikit pengalaman datuk?
ARB: Saya pdernah berkunjung ke seluruh negara Asean, Negara China dari Beijing, Shanghai, Xian, Nanjing.Guangdong, Macao, Hong Kong. Saya pernah melawat India, menyaksikan denyut kehidupan di New Delhi, Kazahkstan, Timur tengah,Saya pernah ke Mongolia, Korea Utara, Korea Selatan, Iran dan sebagainya.

UB: Apa yang kita dapat pelajari daripada perjalanan itu?
ARB: Banyak yang kita boleh pelajari sepanjang perjalanan itu. Di Pyongyang misalnya, kita menyaksikan betapa kota itu begitu menitikberatkan soal kebersihan dan alam sekitar. Sikap rakyatnya yang begitu prihatin terhadap soal kebersihan dan sebagainya. Di Melbourne Australia, pihak kerajaan tempatan menyediakan pengangkutan awam percuma dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih berkesan.

UB: Sepanjang empat tahun di Taiwan, apa yang boleh kita contohi dari negara itu?
ARB: Kita boleh mencontohi betapa negara yang mempunyai penduduk kira-kira 25 hingga 26 juta orang itu, dengan kawasan seluas setengah daripada Sabah memajukan diri dalam bidang pertanian, produk dan sebagainya. Taiwan merupakan antara pengeluar komputer yang terbesar di dunia. Kita dapat lihat kesungguhan rakyatnya memajukan diri dan membantu negaranya untuk maju. Walaupun, negara itu padat, masih perang dingin dengan Cina, mengalami bencana alam seperti gempa bumi dan sebagainya, tak ada sumber asli tetapi negara itu boleh maju .

UB: Bagaimana pandangan Datuk mengenai pengangkutan awam di negara kita?
ARB: Sebenarnya masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam. Ketika ini, hanya terdapat 16 peratus pengguna pengangkutan awam.Kita mahu meningkatkan kepada 25 peratus menjelang tahun depan dan 40 peratus menjelang 2020. Kita mahu meningkatkan sistem pengangkutan awam supaya ia lebih efesien lagi.
UB: Apa pandangan Datuk mengenai sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu?
ARB: Saya fikir, Bandaraya Kota Kinabalu mulia dari sekarang membuat perancangan. PBT harus menyediakan tanah jika ingin membangunkan sistem pengangkutan awam seperti MRT pada masa depan. Tanah semakin mahal dan pihak berkuasa tempatan harus bersedia mulai dari sekarang.

UB: Bagaimana kita mengurangkan kemalangan Datuk?
ARB: Sebagaimana yang kita ketahui, jumlah kemalangan setahun ialah 6,800 kes. Sebanyak 4,000 daripadanya melibatkan kemalangan motosikal. Seramai 19 orang sehari maut kerana kemalangan, 11 daripada penunggang motosikal. Untuk mengurangkan kadar kemalangan, kita mestilah memperhebatkan penguatkuasaan, buat pemeriksaan yang ketat dan sebagainya.melaksanakan pendidikan pengguna jalan raya dan mengajarkan mengenai keselamatan dan kurikulum sekolah. Selain itu, kita haruslah memperhebatkan kempen melalui media elektronik, media massa dan sebagainya.

Jumaat, 13 Mei 2011

kinin

Tags
sewaktu masih kanak-kanak dahulu, di kampung kami yang permai itu, bermain guli merupakan sejenis permainan yang mendatangkan keasyikan tersendiri.Mungkin kerana permainan itu yang paling mudah, maka ramailah kanak-kanak seperti kami yang bermain guli. Permainan guli boleh dimainkan dua orang, tiga orang, empat orang atau lebih, dan hanya memerlukan ketepatan.Tepat untuk memasukkannya dalam lubang dan tepat pula untuk melorongkannnya ke arah guli lawan, akan menberikan kelebihan dan kemenangan kepada si pemain.

Apabila guli itu berada di luar garis, atau memerlukan seorang pemain mengubah kedudukn gulinya untuk memudahkannya, seseorang akan mengambil langkah yang disebut `kinin'.

Saya tidak tahu perkataan `kinin' ini berasal dari mana, apakah ia berasal dari perkataan orang putih `can in' atau boleh masuk, saya tidak pasti.Tetapi perkataan ini difahami (dan diterima) oleh hampir semua bahasa pertuturan di Sabah.

Kinin? Apakah maksud sebenar perkataan ini? Kinin boleh saja bermaksud menyatakan sesuatu atau mengenakan sesuatu secara `indirectly'. Mungkinkah ada persamaan antara `kinin' ini dengan perumpamaan `pukul anak sindir menantu'. Bolehkah dikatakan bahawa dia memarahi seseorang, menjadikan sesorang `punching bag'nya sebenarnya ditujukan untuk orang lain. Misalnya, kerana sesuatu yang berlaku itu negatif, kita menyebutnya berlaku di tempat lain, padahal ia berlaku di tempat sendiri. Misalnya, ada seorang tokoh yang marahkan sikap rakyat yang jumud, acuh tidak acuh dan sebagainya maka lebih mencontohkan perkara itu berlaku di negeri antah berantah.

Kinin. Boleh jadi ia menggambarkan sikap orang-orang kita yang berbudi pekerti, mengucapkan sesuatu dengan beralas, tidak suka mencederai seseorang secara langsung tetapi `kinin' mengurangkan tahap keterusterangan atau ketelusan kita dalam menangani sesuatu perkara.

Si anu mengatakan begini begitu sebenarnya dia mahu `kinin' si polan agar menyedari kesilapannya. Dia menegur secara tidak langsung, mungkin untuk menjaga keharmonian.

Apakah kinin boleh digunakan dalam ungkapan orang-orang tua seperti `kutembak gajah, rusa yang kena, bila kulihat pelanduk yang mati'.

Setelah saya amat-amati, banyak sekali perbuatan `kinin', langkah kinin atau ucapan kinin yang berlaku dalam hidup seharian kita.

Kinin itu adakalanya bagus malah diperlukan tetapi orang-orang kita sekarang amat sukar mengerti `kinin' sehingga memerlukan kita bercakap terus terang, tetapi bercakap terus terang itupun mereka tidak mengerti.

Selasa, 10 Mei 2011

Kisah seorang pesara, yang dianiaya dan teraniaya

Tags
Seorang rakan memberitahu bahawa tidak lama lagi beliau akan memasuki usia pencen.
Tinggal menghitung hari. Saya mengucapkan kepadanya ucapan selamat bersara dan bertanya bagaimana beliau nanti mengisi masa lapangnya. Apa perancangannya?
Beliau berkata, adalah juga tawaran kerja untuknya dan sedang memikir mikir untuk menerimanya.
Beliau merasa cemas memasuki usia pencen. Beberapa hari lagi beliau akan pencen tetapi beliau tidak dapat menikmati usia persaraannya.Beliau, sebutlah namanya M merasa teraniaya kerana tidak lama lagi beliau terpaksa menghadapi hakikat diisytihar bangkrap. Saya berasa terharu mendengar kisahnya dianiayai kawan yang kurang bertanggungjawab.

Kesian kerana sepanjang usia telah digunakannya untuk berbakti kepada negara, sebagai pendidik, tetapi sebaliknya kerana terlalu percaya kepada seorang kawan baiknya, beliau terpaksa menanggung derita menjadi muflis.
Satu ketika dahulu, kerana ingin membantu kawan, kawan baik pula tu, namanya digunakan untuk membeli kereta. Beliau mahu agar proses tukar nama dipercepat tetapi belum sempat beliau berbuat apa-apa, kawannya itu tadi engkar janji, tidak membayar kereta, tidak dapat pula dihubungi, sehinggalah namanya disenarai hitam oleh pihak bank.
M telah berkali kali cuba menghubungi kawan baiknya itu tetapi selalu diberitahu bahawa orang yang dicari bepergian di KL.Lama kelamaan cikgu yang baik itu rosaklah namanya hanya kerana ulah kawannya.
Bagaimana beliau akan membayarnya. Duit pencen hanya sedikit dan tidak lama lagi pula seorang anaknya akan melangsungkan majlis pernikahan, sudah tentu perlu belanja yang banyak.

Kisahnya ini hampir sama dengan seorang lagi rakan, bekas guru besar, yang terpaksa hidup dalam kesempitan kerana tertipu dalam skim pelaburan.Selepas bersara, isterinya pula sakitsakitan.Bagaimana akan membayar kos rawatan sedangkan wang simpanan lesap semuanya.

Jangan terlalu cepat mempercayai orang, katanya.Akibatnya, ya tentu banyak akibatnya.

Isnin, 9 Mei 2011

antara buah cempedak, buah keranji dan pisang emas-mencari makna pantun

Tags
Katakanlah ada sebuah pulau musnah terbakar dimakan api, kata rakan penulis dari Labuan. Tetapi ada tiga jenis buah tidak dijilat api. Sebutkan tiga jenis buah itu? Ans Suili Bakar bertanya setengah berteka teki setengah berjenaka.
Saya pernah dengar teka teki seperti ini sewaktu kecil dahulu.
Apa ya?
Tiga jenis buah itu ialah buah cempedak, buah keranji dan pisang emas, kata Ans Suili, penulis yang telah menulis sejak 60-an lagi tetapi agak terlambat melibatkan diri dalam Perwila. Tapi kami tidak berada di pulau Labuan ketika itu, tetapi di City Park, berdepan DBKK, minum sambil bersembang sembang tanpa tajuk tertentu, hanya kerana kami lama tidak berjumpa.
Memang betul tiga jenis buah itu terselamat kerana buah cempedak diluar pagar, buah keranji dalam perahu manakala pisang emas dibawa belayar.

Tiga jenis buah itu sebenarnya agak signifikan dalam budaya masyarakat kita sekarang.
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan. Buah cempedak di luar pagar, tidak di dalam pagar. Tentu ada beza di dalam pagar dan di luar pagar. Pokok yang tumbuh atau ditanam di dalam pagar tentulah milik perseorangan, tentu ada pemiliknya tetapi buah cempedak itu berada di luar pagar. Kemudian,walaupun sudah berada di luar pagar,masih juga kita meminta orang untuk tolong menjolok buah itu. Tidak dinyatakan untuk siapa buah cempedak itu.Untuk kita atau untuk orang lain. Tapi yang jelas, kita minta orang mengambil galah untuk tolong menjolok, mungkin kerana kita tidak tahu menjoloknya sendiri atau kita telanjur menganggap diri kita sebagai tuan, sehingga membiarkan orang lain menjolokkan buah untuk kita.Kita tahu bahawa buah cempedak di luar pagar, yang bermakna buah itu bukan milik mutlak kita.
Namun itu semua sekadar pembayang, kerana maksudnya sebenarnya ialah bahawa `saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan'. Ini perakuan kita sebagai orang yang baru belajar dan meminta petunjuk agar jika ada kesalahan tolonglag perbetulkan. Pantun ini dengan jelas menggambarkan kedudukan ilmu, dalam pemikiran Melayu, bukan milik perseorangan, yakni tidak berada di dalam pagar, tetapi ia boleh dijolok atau dituntut oleh semua kerana ia berada di luar pagar, yang bermakna sesuatu yang dimiliki oleh umum.

Buah keranji dalam perahu, itulah bunyi sebait pembayang pantun. Saya perlu mengakui bahawa saya belum pernah makan buah keranji, saya hanya pernah melihat gambarnya. Tetapi buah keranji itu berada dalam perahu. Setelah sorong papan tarik papan, mungkin menyebabkan kita keletihan.Tapi jangan risau kerana ada buah keranji dalam perahu.Perahu identik dengan perjalanan, tidak kira jauh atau dekat, perahu sangatlah penting untuk digunakan bagi menyeberangi sungai, tak peduli sama ada sungai yang lebar atau yang dalam, yang deras arusnya atau yang tenang airnya.

Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu. Suruh makan engkau makan, suruh mengaji engkau tak tahu, atau suruh mengaji engkau tak mahu.Suruh mengaji, pada ketika itu ertinya mengaji quran, yang mengandungi segala macam ilmu di dalamnya.Jangan hanya tahu mengisi perut, mengisi hati dan jiwa dengan sikap qurani kita tak mengetahui bagaimana caranya.Mengaji, maknanya membaca, mempelajari, memahami, menghayati dan sebagainya.Tapi itulah, orang tua kita selalu menemukan cara untuk menyindir kita yang pemalas dan tak tahu diri.Hanya tahu makan, hanya tahu soal perut yang kelaparan, hanya tahu nafsu nafsi tapi tak tahu mengisi soal hati nurani.

Walaupun sekadar pembayang, entah kenapa dalam banyak-banyak bekal, hanya pisang emas dibawa belayar.Syukurlah dalam pelayaran itu-pelayaran sudah tentu memakan masa yang panjang , pisang emas masak sebiji demi sebiji.Kalau ia masak sekaligus, sudah tentu ia cepat habis tapi kerana masak sebiji di atas peti, maka yang sebji pisang emas itulah yang dibahagi-bahagi, dimakan berdikit dikit agar tidak kelaparan sepanjang perjalanan.Tapi kenapa pisang emas itu masak di atas peti, tidak di dalam peti. Apa yang disimpan dalam peti itu? Saya tak sempat bertanya pencipta pantun ini, kerana yang pertama saya tidak tahu siapa yang menciptanya kerana ia telah dicipta beratus tahun lamanya walaupun pantun itu tetap diucapkan hingga kini.Kalaupun saya bertanya, tentu hanya orang yang ikut berlayar saja yang mengetahui isi peti. Jadi kalau mahu tahu apa yang disimpan di dalam peti itu, maka marilah sama-sama kita berlayar.

Hutang emas boleh dibayar.Betapa mahal emas, betapapun sukar bagi kita untuk mendapatkan emas, tetapi ia tetap boleh dibayar, kecuali kalau kita melupakan bahawa kita pernah berhutang. Hutang emas, ialah hutang yang paling tinggi kerana emas adalah barang yang paling berharga.Sungguhpun begitu, kita masih tetap sanggup untuk membayarnya. Namun hutang budi dibawa mati. Jika kita berhutang budi, tak dapat kita membayarnya kerana apabila kita berbudi kepada seseorang misalnya, tentulah kita melakukannya dengan ikhlas.Dan kita tak mahu dibayar, dan selamanya hutang budi dibawa mati.

Betapa dalamnya pemikiran orang dulu-dulu.Mencipta sesuatu tanpa ingin menyebut nama.Mereka sekadar mencipta untuk jadi teladan, untuk jadi ingatan, jadi panduan bagi kita generasi sekarang.
Buah cempedak di luar pagar menunjukkan betapa kita suka berbudi dan memanfaatkan tanah, bertanam bukan saja dalam pagar tapi juga di luar pagar, sungguh rajin orang-orang dulu kala tidak seperti sekarang, banyak tanah terbiar.Kerana kerajinan itu, buah keranji dalam perahu. Hasil mahsul itu dimuatkan dalam perahu untuk diperdagangkan dan diniagakan untuk meningkatkan ekonomi negeri. Jika permintaan dalam negeri mencukupi maka pisang emas bawalah belayar. Terokai suatu wilayah yang baru, pasaran yang baru, dunia yang baru, kerana kalau kita tidak berlayar, dan hanya duduk diam di kampung sendiri dan tidak cuba menerokai dunia luar, sudah tentulah serba serbi ketinggalan.

Nasib baik ada buah cempedak di luar pagar, buah keranji dalam perahu dan pisang emas dibawa belayar kerana kalau tidak tentulah kita selama-lamanya berada di dalam pagar, masih tidak menaiki perahu untuk memulakan pelayaran yang jauh.

Jumaat, 6 Mei 2011

Catatan 5 Mei di Kampung Payas-payas

Tags
Sebelum pulang ke rumah di Kampung Tamau, saya menyempatkan diri untuk singgah di rumah cikgu Ismail Sidik di Kampung Payas-Payas Kota Belud untuk menyaksikan persiapan akhir majlis perasmian Bangunan TASKA Bahasa Iranun,Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI)yang dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr.Haji Mohd Puad Zarkashi, sebelum solat Jumaat.

Yang Di Pertua BKI, OKK Haji Masrin Haji Hassin sedang bersembang sembang di bawah khemah bersama rakan-rakan lain. Antaranya Juarah Asoi, Haji Abd Muar, Samdin Edam, Iskandar, dan beberapa rakan lain termasuklah Bai Carina S.Sinsuat, CEO, Strategic Action of Mass Based Alliances for Social and Agro-Industrial Progress SAMASA Inc. dari Datu Odin Sinsuat, Maguindanao, juga suaminya, Ather N.Sajid Ph.D, NE Chairman EOil & Gas Company.Inc, juga berpejabat di Datu Odin Sinsuat.

Percakapan dengan mereka amat menarik.Bai Carina dari keluarga besar Datu Odin Sinsuat, seorang yang berminat soal budaya dan juga berminat untuk mengadakan semacam kerjasama dan hubungan yang erat dalam bidang budaya antara orang Iranun di manca negara.

Tetapi Ather N.Said Ph.D, seorang ahli ekonomi yang berasal dari Punjab Pakistan. Beberapa ketika saya hanya menikmati goreng pisang yang dihidangkan cikgu Ismail. Namun kemudian percakapan kami semakin menarik apabila tiba-tiba saja saya teringat akan penyair Maulana Iqbal, seorang penyair besar di anak benua Asia itu. Ather agak tertarik, terlebih lagi apabila juga turut meminati puisi Iqbal.Saya katakan bahawa kami juga suka membaca Jalaludin Rumi, Sa'di Shirazy dan bukunya Gulistan dan sebagainya.

Dari profesor Ather juga saya mendapat hujahan yang menarik betapa perlunya membangun kerjasama antara masyarakat Iranun di Sabah dan masyarakat Iranun, Maranao dan Maguindanao di Mindanao, yang mempunyai kesamaan bahasa, budaya, kepercayaan dan sebagainya.

Beliau melihat betapa Sabah boleh menjadi negeri yang penting dalam dunia perdagangan antarabangsa pada masa akan datang. Dr.Ather melihat betapa Lahad Datu, khususnya POIC, mampu menjadi Rotterdam of the East.

Ini kerana Lahad Datu boleh menjadi pelabuhan yang strategik menghubungkan Malaysia, Indonesia, Filipina, untuk membangunkan ekonomi di rantau ini.

British benar, katanya ketika satu ketika dahulu mengadakan perjanjian Inggeris Belanda 1824, yang hasilnya antaranya menyebabkan munculnya kota-kota semacam Hong Kong dan Singapura.

Mrenurut pengamatannya, terdapat perbezaan layanan antara penjajah British di anak benua India-Pakistan dan India berbanding dengan negeri misalnya Sabah. Di Sabah, yang dipentingkan penjajah ialah `quick money' kerana Sabah diperintah oleh North Borneo Chartered Company, yang mementingkan perdagangan dan melupakan aspek pendidikan dan lain-lain.

Usaha penyelidikan dan pendidikan tidak dihargai, katanya oleh penjajah ketika itu.Sehingga Stanford Raffles, sepulangnya dari Asia Tenggara, meninggal dalam keadaan miskin dan tidak mendapat pencen hanya kerana mendirikan sekolah di Singapura.

Menarik sekali hujahnya mengenai bagaimana hubungan budaya, bahasa, sosial juga pada gilirannya mampu menumbuhkan potensi ekonomi yang tidak sedikit dan membawa impak besar terhadap BIMP-EAGA dan Sabah Development Corridor.

Juga satu hal yang menarik, apabila Dr.Ather memuji program realiti tv Imam Muda, yang menurutnya menjadi ikutan negara-negara Islam lain kerana mengubah persepsi masyarakat terhadap imam.

Katanya, jika dahulu pendidikan agama-antara produknya menjadi imam, dianggap sebagai perkara kedua jika tidak berjaya dalam akademik, malah belajar agama dianggap sebagai pilihan kedua dan tersisih, tetapi program realti tv Imam Muda itu meletakkan persespi masyarakat Islam di seluruh terhadap imam berubah, menjadi satu yang prestij malah glamour.

Beliau juga memberitahu seorang penulis dari Jepun yang pernah menulis mengenai dunia maritim pada abad-abad yang lalu di Asia Tenggar dan peranan yang dimainkan orang Iranun dalam perdagangan, tetapi kemudian diganggu oleh kewujudan penjajah, yang datang untuk menguasai rempah-rempah.
Bai Carina S.Sinsuat juga mengkhabarkan mengenai kewujudan Iranun Development Council (IDC) di Mindanao. Saya teringat mengenai Barok Mangutara, salah seorang penggerak utamanya. Percakapan mengalir mengenai tokoh-tokoh Iranun seperti Alex Tomawis, yang meninggal. Juga mengenai kemenangan Samira Gutoc-Tomawis, Amirah Ali Lidasan, yang masih anak saudaranya dan sebagainya.

Dr.Ather teringat pula Nash Maulana, wartawan di sana yang katanya ada iras saya. wartawan mempunyai peranan besar. saya teringat juga mengenai seorang rakan saya, Naguib Sinarimbo, Excecutive Secretary ARMM, yang meskipun pendiam tetapi mempunyai pemikiran yang `articulate'.

OKK Haji Masrin berharap agar bangsa serumpun ini mampu membina kerjasama yang kukuh melalui seminar, hubungan budaya, people-to-people contact, dan sebagainya. Orang Iranun di Sabah, Maranao, Iranun dan Maguindanao di Mindanao, keturunan Iranun di Indonesia juga dapat bersama untuk memikirkan pelestarian budaya sebagai satu bangsa besar dan perkara yang sama pernah dibincangkannya dengan Aleem Basher Manalao, yang pernah menjadi Mayor di Marawi City.

BKI sedang dalam usahanya untuk memperkasa bahasa dan budaya Iranun. BKI dibawah naungan Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, setakat ini telah menghasuilkan lebih 300 buku dalam bahasa Iranun, mempunyai tiga sekolah Taska, enam guru termasuk guru penolong yang digaji persatuan.

"Kehidupan berterusan bahasa ibunda sebenarnya bergantung kepada masyarakat itu sendiri sebagai penuturnya, tetapi apabila bilangan penuturnya semakin berkurangan, menyebabkan bahasa ibunda semakin terhakis," kata Cikgu Ismail Sidik, tenaga penting BKI merangkap Setiausaha Agung BKI dan Penyelia Taska bahasa ibunda (Warisan).

Sebagai langkah awal, BKI memulakan program untuk mendidik anak-anak bahasa ibunda melalui taska.Matlamat program pendidikan bahasa ibunda membolehkan anak-anak mengetahui warisan, asal usul dan kesedaran identiti, katanya.

Selaras dengan kewujudan Taska bahasa ibunda ini,anak-anak juga diberi pendidikan berdasarkan kurikulum yang disediakan sebelum melangkah ke pra sekolah dan sekolah rendah.

Bai Carina dan Dr.Ather agak kagum melihat usaha BKI itu. Malam sudah larut, dan kami bersalaman sambil menyatakan kegembiraan kerana sempat bertemu.

Rabu, 4 Mei 2011

Ketika terkenang kata-kata AR Fakhruddin

Tags
"Saudara-saudara bisa berdoa lima kali sehari, namun kalau akhlakmu tetap buruk, tidak ada gunanya.Saudara-saudara bisa berdoa dengan teratur tetapi bilamana saudara tetap rakus,kikir, tidak mempunyai rasa prihatin terhadap orang miskin dan berkekurangan, maka doamu tidak akan diterima oleh Allah."

Sekonyong-konyong teringatlah saya kata-kata yang pernah dilontarkan oleh AR Fakhruddin, salah seorang tokoh pimpinan Muhammadiyah yang terkenal pada awal tahun 70-an sebagaimana yang dikutip oleh Dr.Mitsou Nakamura dalam satu artikelnya yang ditulis dalam majalah Prisma Ogos 1980.

"Saudara tidak akan masuk surga akan tetapi neraka.
Saudara bisa memyelesaikan tugas puasa.Namun bilamana saudara tetap berbicara buruk tentang orang lain, tetap berdusta, bohong atau menipu orang-orang lain, masih berlaku sombong,tidak ada gunanya berpuasa.Puasamu tidak akan diakui Allah.

Nabi berkata:Saya diutus kepada kamu untuk memperbaiki akhlakmu.Kerana itu,mari kita melakukan doa,puasa,naik haji,membayar sedekah, dan di atas segala-galanya itu, mari kita memperbaiki akhlak, budi pekerti kita.

Sudah berakhlakkah kita? Kamus Dewan mengertikan akhlak sebagai budi pekerti, kelakuan, tabiat. Bila disebut kehidupan yang berakhlak ertinya kehidupan yang mempunyai akhlak.

Akhlak boleh dimiliki, meskipun dalam dunia sekarang, tatkala kita mempersoalkan akhlak orang lain, tatkala kita sibuk memperkatakan soal akhlak orang lain, tatkala kita mengulas mutu akhlak orang lain, tatkala kita mengatakan orang lain tidak berakhlak, apakah kita telah memperbaiki akhlak kita?

Saudara-saudara bisa berdoa lima kali sehari, kata AR Fakhruddin di tahun 1971.Namun, katanya kalau akhlakmu tetap buruk tetap tak akan ada gunanya.

Kita boleh berdoa dengan teratur, meminta segala sesuatu untuk diperkenankan dan dimakbulkan Allah. Tetapi kalau kita tetap rakus, tamak, membiarkan orang-orang miskin, menderita dan melarat, doa kita, menurut AR Fakhruddin tetap tidak diterima Allah.

Begitu juga kalau kita menunaikan ibadah puasa, tetapi pada masa yang sama,kita masih tetap berdusta, berbicara sesuatu yang tidak baik tentang orang lain,apatahlagi kalau kita tidak pasti mengenainya,sombong terhadap orang lain, maka puasa kita tidak ada gunanya.

Kerana itu, nabi diutus untuk memperbaiki akhlak umatnya.Apakah yang dikatakan akhlak? Kepada seorang Ustaz, saya menanyakan makna akhlak itu kerana saya kurang mengerti mengenai maknanya kerana saya tidak boleh berbahasa Arab.

Dalam bahasa Arab, katanya, Akhlak adalah bentuk plural daripada perkataan Al-khuluq. Antara makna akhlak ialah almuruah yakni berperikemanusiaan. Seorang yang berakhlak pastilah berperikemanusiaan. Akhlak juga maknanya al a'da yakni beradat, ertinya seorang yang berakhklak itu seorang yang baik, yang beradat dan tidak merosak tatanan masyarakat dan ketiga as sajiyyah ertinya tabiat atau kelakuan. Akhlak maknanya kelakuan yang baik. Akhlak boleh juga bermakna kita sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah, kita sendiri rendah hati, kita sentiasa ikhlas, kita sentiasa bersabar dan mempunyai kesabaran yang tinggi.

Sambil merenung dan bertanya kepada diri sendiri, apakah saya telah memperbaiki akhlak sebagaimana yang diperintahkan Nabi, tidak putusputusnya saya menyesali diri.
Kalau akhlakmu tetap buruk, saudara-saudara, masih suka membicarakan keaiban dan keburukan orang lain, masih suka berbohong dan berdusta dan sebagainya, barangkali ada baiknya kita mengenang AR Fakhruddin.

walaupun tersebar di nusantara, orang Bajau suku terasing di Indonesia?

Tags
Menulis sebuah sejarah mengenai masyarakat Bajau, dengan segala variasi dan sub etniknya, mungkin agak menarik tapi juga sangat mencabar. Bagi kita di Malaysia,khususnya di Sabah masyarakat Bajau dapat dibahagikan atau dikategorikan mengikut lokaliti-Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur. Dialek Bajau Pantai Barat mengandungi antaranya Bajau Kota Belud, bajau Tuaran, Bajau Kawang, Bajau Inanam,Bajau Kudat, bajau Kota Marudu,dan sebagainya.Mereka ingin dikenal sebagai masyarakat bajausama. Sementara di Pantai Timur, terdapat bajau Semporna dan tidak kurang 14 dialek lagi,Bajau kubang, bajau derawan, bajau sikubung, bajau banaran, bajau ubian, bajau simunul, bajau sibutu, dan banyak lagi. Selain itu, ada Bajau Kolapis, Bajau Kaniogan, bajau Semawang, yang dekat hubungannya dengan Bajau Pantai Barat walaupun terletak di pantai Timur Sabah. Ini sangat menarik untuk dikaji kerana kekayaan khazanah Bahasa dan budayanya. Jelas sekali,Bajau adalah sebuah bangsa besar dalam dunia Melayu nusantara yang luas ini. Maka adalah menjadi tanggungjawab para pengkaji dan sarjana untuk melihat dan mengkaji sejarah dan peranan orang bajau di Nusantara.
Masyarakat Bajau terdapat di Malaysia, Filipina dan Indonesia malah di Burma dan Selatan Thailand khususnya berdekatan Pulau Tarutao.

Bagaimanapun, peranan dan perantauan orang-orang Bajau mungkin kurang dikenal orang, seperti kata seorang sejarawan Indonesia, AB Lapian. Beliau merupakan seorang sejarawan yang paling banyak menulis mengenai sejarah dunia maritim di nusantara.

Di Indonesia, katanya adalah sesuatu yang ironis sekali kerana orang Bajau digolongkan sebagai suku terasing padahal mereka tersebar di seluruh nusantara.
Dalam satu tulisannya di Majalah Prisma 8, Ogos 1980, dengan tajuk Memperluas Cakrawala melalui Sejarah Lokal, AB Lapian menulis mengenai orang Bajau ini.

"Tidakkah merupakan suatu ironi bahawa orang Bajau pernah digolongkan sebagai suku terasing, padahal mereka ini tersebar di seluruh Nusantara? di kepulauan Riau dan Lingga,pantai Timur kalimantan, di pulau-pulau Sulu (Filipina Selatan) di Pulau Nain (Teluk Manado) dan Torosihaje (Gorontalo) di pulau-pulau Banggai dan Teluk Bone (Pulau Bajo-e) dan pulau Alor.Tetapi wilayah penyebarannya lebih luas lagi. Buktinya? dapat kita lihat pada beberapa toponim, seperti pulau Bajau di Laut Cina Selatan (kepulauan Anambas), Pulau Bajo di kepulauan Batu (sumatera Barat),Pulau bajo di Selat Sumbawa, Pulau bajo di Kalimantan Timur, Pulau Bajo di Teluk Bima (Sumbawa) dan juga pada nama Labuanbajo di Sulawesi Tengah dan Labuan Bajo di Pantai Flores Barat."

Tulisan AB Lapian ini sepatutnya mampu menggalakkan para penyelidik, peneliti, para sarjana, sejarawan, budayawan terutamanya dari masyarakat Bajau sendiri untuk mengkaji lebih mendalam lagi mengenai penyebaran orang-orang Bajau di Nusantara.

Saya fikir sudah sampai masanya bagi masyarakat Bajau terutamanya golongan terpelajarnya untuk mengkaji, meenyelidik, menulis, merakam, menafsir, mendokumentasi mengenai masyarakat Bajau di seluruh nusantara untuk kepentingan generasi akan datang.

Jika di Indonesia, orang bajau pernah dikategorikan sebagai suku terasing, maka ia lebih terasing lagi, jika tidak ada pihak yang mengambil inisiatif untuk memartabat bangsa bajau ini.

Maka adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin dan orang-orang kita yang cintakan bangsanya, untuk membuat sesuatu sebelum bahasa dan budaya Bajau karam dan tenggelam dan buku sejarah.

Ahad, 1 Mei 2011

Cerita Haji Ahmad mengenai anjing kampung

Tags
Saya tiba-tiba teringat cikgu Haji Ahmad Abdul mengenai ceritanya perihal anjing kampung.
Anjing kampung?
Saya mulanya tidak mengerti apa maksud ceritanya mengenai anjing kampung itu, tapi setelah diceritakannya, maka tertawalah kami semua kerana leluconnya itu.
Anjing kampung, kata Haji Ahmad, sangat kuat menyalak.Terlihat garang, dan tentu saja menakutkan.
Dalam kepala saya, muncul kawanan anjing-anjing kampung yang berkeliaran di kampung-kampung di daerah kami.
Berbanding anjing import, yang pelbagai jenisnya,walaupun berbahaya, tetapi tuannya tidak membiarkannya merayau-rayau sebaliknya hanya berkuasa di halaman rumah dan cepat pula mendengar kata tuannya.
Tapi anjing kampung, dianggap berbahaya lebih kerana liar, tidak bertuan dan dengan itu, tindakannya tidak terduga.
Bagaimanapun, Haji Ahmad mengalih persepsi saya mengenai anjing kampung itu.
Katanya, jika ada kenderaan lalu, anjing kampung akan menyalak sekuat kuat dan segalak-galaknya.
Ia akan mengejar kenderaan itu. Jika kenderaan itu berhenti,kata Haji Ahmad, anjing kampung yang kuat salakannya itu tadi, paling-paling berani pun, akan menghidu-hidu tayar kereta.
Melihat mimik mukanya bercerita, kami ikut tertawa kerana merasa lucu terkenang anjing kampung.