Thursday, June 30, 2011

Pertemuan dengan Dato' Hisham di Inanam

Sebaik-baik saja Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak selesai menyampaikan ucapan di pekan Inanam pada petang 30 Jun, saya tercari cari Rashid, rakan wartawan yang turut sama membuat liputan acara lawatan PM itu.
Ketika sedang mencari-cari Rashid itu, saya ternampak Dato' Hisham. Saya terus menyapa beliau, dan ternyata bila ternampak saya, beliau terus menyalami dan bertanya khabar.
Tentu sibuk hari ini, katanya. Ya, saya mengiakan. Petang sebelum ke Inanam itu, saya sempat membuat liputan di Kampung Likas, di rumah Haji Yahya NC Asai, yang juga menantu kepada OT Bakar bin Boso, iaitu orang yang ditemui Allahyarham Tun Razak ketika beliau melawat Likas pada tahun 1965.
Walaupun hujan lebat, tapi orang begitu ramai, kata Dato Hisham lagi. Memang ramai orang datang ke Inanam, lebih 5,000 barangkali dan di Kampung Likas juga, lebih 300 orang meskipun hujan kurang bersahabat.
Bila Dato' balik? ada acara lain? Katanya, beliau mengikuti rombongan PM yang melawat dua hari ke Sabah.
Jadi apa isu di sini? Saya kata isunya begitu begitu saja.Jawapan yang saya sesali kemudian. Sebenarnya saya agak terkejut terserempak dengan Dato' Hisham itu. Kalau saya tahu, tentu saya akan bertanya isu-isu seperti Perhimpunan Bersih 2.0, dan sebagainya. Saya terlupa, sepatutnya saya boleh dapat berita scoop keranaa beliau Menteri Dalam Negeri.
Tiba-tiba Kohadie datang menggambar kami dengan handphonenya. Saya baru teringat untuk merakamkan gambar pertemuan di Pekan Inanam itu. Setelah menggambar Kohadie dan Dato' Hisham, kereta yang membawanya sampai. "Kereta sudah sampai," kata Dato Hisham tapi sempat meminta kakitangannya untuk mengambil gambar kenangan kami.
"Asalkan niat kita baik," katanya ketika saya mengatakan rasa teruja dapat bertemu itu.Saya agak kagum kerana beliau masih mengenali saya, walaupun seingat saya, hanya tiga kali saya sempat menemuramah beliau secara dekat.Yang pertama di Magellan Sutera Harbour ketika beliau mengumumkan niat bertanding Naib Presiden dan yang kedua di rumah Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Haji Idris selepas beliau menang Ketua Bahagian. Dalam kesempatan lain, beliau sering dikerumuni wartawan dalam interview.
Saya tak sangka dapat berjumpa dengan Dato Hishammuddin dalam keadaan tidak bersedia itu, keranaa sepatutnya sebagai wartawan, saya mengutarakan soalan terutama kerana beliau seorang yang bertanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri.
Memang hari ini agak letih juga kerana terpaksa berpacu dengan waktu. Setibanya di pejabat, saya sempat menyiapkan interview dengan Haji Yahya, dengan Haji Minin Mantamin, dengan Pakcik Surat Taam.
Likas dulu tak ada jalanraya seperti ini, kata mereka merujuk lawatan Tun Razak itu. Dalam lawatan itu, Tun Razak menyumbangkan RM25,000 untuk membaiki Masjid Jamik Kampung Likas. Ketika itu, 1965, hanya terdapat lebih 100 buah rumah, kebanyakan dari suku kaum Bajausama yang menghuni Kampung Likas.
Mujurlah saya dapat menyiapkan artikel, kerana saya teringat pertemuan tak disangka-sangka dengan Dato' Hisham di pekan Inanam itu.

Monday, June 27, 2011

PM Dato'Najib lawat Sepanggar 30 jun

Saya tidak pasti berapa usia Dato' Seri Najib Tun Razak pada tahun 1965.
Waktu itu saya belum lahir.
Tetapi kalau lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Kampung Likas dalam kawasan Parlimen Sepanggar pada 30 Jun ini menjadi kenyataan, penduduk Likas terutamanya yang veteran, pasti tidak dapat melupakan tahun 1965.
Ketika itu, Allahyarham Tun Razak mengadakan lawatan secara mengejut ke Kampung Likas, hanya ditemani pemandu dan pegawai keselamatan tanpa pengiring lain.
Dalam lawatan kira-kira 46 tahun lalu itu, beliau menuju rumah Ketua Kampung Likas yang pertama,Bakar bin Boso (kini Allahyarham). Pada ketika itulah beliau meluluskan RM25,000 untuk membina Masjid Jamek Kampung Likas seperti yang dipohon oleh Ketua Kampung pada masa lawatan itu.
Kunjungan PM Dato Najib kali ini juga menjejaki lawatan yang dibuat oleh ayahandanya, kata Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Haji Idris yang juga mewakili Allahyarham ayahandanya, Haji Idris Bakar yang menerima sumbangan Tun Razak pada tahun 1965.
Menurutnya, Dato' Najib dijangka tiba jam 3.00 petang di pekan Inanam dan akan disambut kira-kira 6,000 penduduk Sepanggar. Beliau kemudian akan dibawa melawat kediaman allayarham Bakar bin Boso dan dijangka disambut oleh anggota keluarganya dan 300 warga Likas Lama.
Aturcara sambutan akan dimeriahkan dengan sambutan penuh adat istiadat suku Kuam Bajau, lengkap dengan panjipanji dan tarian limbai serta persembahan betitik. Selepas itu, beliau akan ke Pekan Inanam dan akan mengadakan kunjugan mesra di pasar Pekan Inanam dan minum petang bersama rakyat sambil dihiburkan dengan muzik bambu dan beberapa kumpulan kebudayaan tempatan.
Orang ramai dijemput hadir bagi memneriahkan kunjungan PM itu pada hari Khamis ini 30 Jun bermula jam 2.00 petang.
Ketua Menteri sendiri, Datuk Musa Haji Aman dan Mayor DBKK, Datuk Abidin Madingkir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman, wakil rakyat Karambunai, Datuk Hajah Jainab DSP Haji Ahmad Ayid, wakil rakyat Inanam, Datuk Johnny Goh telah meninjau tapak atur cara sambutan, dan Ketua Menteri berpuass hati dengan persiapan yang sudah disusun atur dan sempat bermesra dengan peniaga sekitar pekan Inanam.

di kedai Lilok bercakap tentang Bersih 2.0

Tak ada ikan lain.Hanya yang ada ikan tulai dan ikan baulu sementara ikan yang selalu dirujuk dengan nama seorang penyanyi 80-an, itu sudah habis dibeli orang.
Saya makan sendirian.Kebetulan semua rakan dan taulan yang dihubungi, kalau tidak berada di rumah, pulang kampung.
Si Asam sedang berada di rumah dan malas keluar KK, sementara Amai Shafiq pulang KB manakala si Ineng pula masih berada di kampung.

Selepas menyiapkan beberapa artikel, saya sengaja ke Lilok untuk mencari ikan bakar, sementara fikiran saya masih tetap mengarah kepada peristiwa kehilangan segenggam kunci pada sebelah paginya.

Sambil minum lemon tea panas, baru saya ternampak rakan yang bertugas di JASA. Beliau bertanyakan saya mengenai kalau-kalau ada perhimpunan Bersih yang diadakan di Sabah.

Saya memberitahunya saya kurang maklumat mengenainya. Tapi saya memberitahunya bahawa reaksi berlebihan oleh pihak-pihak tertentu terhadap Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijangka diadakan pada 9 Julai depan di Kuala Lumpur telah menyebabkan perhimpunan itu mendapatkan perhatian pro dan kontra di seluruh negara.

Oleh kerana sering disiarkan di kaca tv dan media perdana, dan hampir kesemua berita yang tersiar itu anti bersih, maka ia menimbulkan rasa ingin tahu orang ramai, tentang apakah salahnya Bersih itu. Kalangan yang berada di pihak pembangkang, mempunyai sebab yang munasabah mengapa mereka mahukan perhimpunan Bersih itu antaranya menuntut pilihanraya yang adil, menuntut akses terhadap media, tempoh berkempen yang lebih lama, penggunaan dakwat hitam dan sebagainya. Sementara itu, di pihak yang satu lagi, mereka menyifatkan perhimpunan itu bakal menimbulkan gangguan terhadap perniagaan, mampu menimbulkan situasi yang tidak diingini dan mengganggap bahawa perhimpunan itu tidak perlulah diadakan, atau kalau diadakan pun, mungkin dibuat di tempat atau lokasi lain misalnya stadium.

Beberapa perkara menimbulkan kelucuan, atau mungkin gangguan bagi pihak yang lain. Seseorang yang berbaju kuning bersih bahkan tidak dibenarkan solat maghrib di masjid bandaraya Likas, bahkan di ibu negara, ramai yang ditahan kerana memakai baju yang dianggap mampu menimbulkan keadaan yang tidak gembira kepada pihak yang menentang perhimpunan itu.

Bahkan Pak Samad juga disoal kerana menulis puisi, mengenai keresahannya terhadap demokrasi yang lara.Sayang sekali kerana keresahan orang tua ini tidak ditanggapi dengan bijaksana.

Kepada seorang teman yang bertanya mengenai Bersih itu, saya memberitahu bahawasanya, situasi politik di Sabah dengan di semenanjung agak berlainan.Suasananya berbeza.Isu yang diperjuangkan pun berbeza. Tapi saya fikir, reaksi dan respon yang berlebihan, sehingga kita mendapati ramai orang membuat laporan polis, itulah yang menyebabkan Bersih 2.0 itu mendapat sorotan, bahkan terpaksa kita soroti kerana banyak yang bertanya dan menyorotinya-secara berlebihan.

Sunday, June 26, 2011

Catatan peribadi kehilangan kunci

Tiga jam cari kunci, yang entah dicuri orang atau terpelanting ke mana-mana. Saya agak hairan juga mendapati mengapa seluar terletak dekat tingkap, padahal biasanya tidak diletak di tempat itu. Dompet yang biasanya di letak di poket kanan, tiba-tiba dialihkan ke poket belakang.Walaupun kelihatan seperti diselongkar, tapi duit yang ada di dalam tak diambil, mungkin dia orang tak nampak.

Saya tak menghiraukannya. Kemudian mandi dan cuci kain. Selepas itu bersiap-siap untuk kerja. Ketika hendak menutup pintu, barulah saya sedar kehilangan anak-anak kunci itu.

Saya masih berharap anak kunci itu salah letak,atau tercicir dalam bilik yang berantakan seperti cocoon itu. Kalau diambil orang, tentulah menggunakan kayu pengait dari tingkap itu.

Tapi kenapa pula diambilnya anak-anak kunci. Mungkin difikirkan almari yang berkunci itu berisi barang berharga. Padahal kalau dibukanya nanti pastilah ddia terkejut kerana almari itu hanya berisi pen dan buku-buku.

Saya masih berharap anak-anak kunci itu tercicir atau salah letak dalam bilik.Walaupun saya telah menyelongkar bilik hampir tiga jam untuk mencarinya.Pulang nanti,sudah pasti saya terpaksa mengemas bilik semula.

Kehilangan kunci membuat saya tak selesa.

Wednesday, June 22, 2011

Bila rakan-rakan tertawa kerana sesuatu yang lucu

Tentu ada orang bertanya bagaimana kami mengatasi tekanan ketika menyiapkan sesuatu tulisan atau berita. Tatkala waktu yang kami sebut `deadline' semakin hampir, biasanya pada waktu itu, wajah semakin berkerut untuk berlumba dengan waktu.

Di Utusan Borneo, kami dimestikan menghantar berita kepada editor sebelum jam 5.00 petang.Hanya jikalau ada berita penting, kami dibenarkan menghantar jam 7.00 atau sebelum jam 8.00 malam. Pastilah pada waktu genting itu, mahu atau tidak mahu, berita atau rencana yang kami tulis semestinya sudah siap.

Kadang-kadang editor datang menanyakan sama ada artikel sudah siap atau belum.Kadang-kadang ada intercom dari tingkat 6 kerana kami di tingkat 5.

Mujurlah editor kami adalah orang-orang yang sentiasa sporting dan memahami. Memberi sepenuh kebebasan untuk kami berkarya dan menulis. Tapi pada waktu-waktu tertentu, seperti ketika fikiran tegang atau buntu, atau berada dalam tekanan untuk menyiapkan artikel, ternyata apabila ada perkara lucu dan kawan-kawan pecah perut kerana ketawa, suasana yang `tension' itu hilang dan ia menjadi semacam `ubat penyembuh'.

Entah apa tajuk yang menyebabkan satu pejabat riuh ketika itu. Itu menjadi tak penting lagi, kerana selepas mereka ketawa terbahak-bahak, tiba-tiba saya menulis setelah menemukan intro.

Ketawa merupakan sejenis ubat untuk membolehkan kita berumur panjang. Mungkin anda tak percaya, tapi cubalah satu hari, anda tak usah senyum sebaliknya cubalah bermuka masam atau moyok sepanjang hari. Anda juga boleh mencuba marah sejak bangun pagi hingga tengah malam. Mungkin anda boleh rasakan betapa jauh beza antara ketawa dan marah, senyum dan bermuka masam.

Monday, June 20, 2011

Zubaidi Abas komited perjuang bahasa dan sastera di Sabah

SEJAK bertugas sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sejak enam tahun lalu, Zubaidi Abas telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan berterusan dalam usaha mengembangkan bahasa dan sastera di negeri ini. Sebagai seorang yang aktif, Zubaidi bersama pegawai dan kakitangannya di DBP Sabah telah mengelilingi dan merentasi hampir seluruh negeri untuk menyempurnakan tugas mereka mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan di Negeri di Bawah Bayu ini. Di celah-celah kesibukannya sebagai Ketua Jabatan, Zubaidi masih sempat menulis setiap minggu untuk ruangan Ujana DBP di Utusan Borneo.



Zubaidi Abas dilahirkan di Jerantut, Pahang pada 10 April 1959. Sebelum bertugas sebagai Pengarah DBP Cawangan Sabah sejak 3 Januari 2005, beliau pernah bertugas sebagai Pengarah DBP Wilayah Selatan pada 2001-2004. Berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Moden, Zubaidi pernah memulis beratus-ratus makalah yang pernah disiarkan di akhbar dan majalah tanahair. Sejak makalahnya bertajuk "Isu-isu di Sebalik Perubahan Istilah tersiar di Berita Harian pada 12 Disember 1985, beliau terus menyumbangkan buah fikirannya kepada khalayak pembaca melalui tulisannya yang tersiar di Berita Harian, Jurnal Dewan Bahasa,Utusan Malaysia, Harian Tamil Osai,Thinamani,Mingguan Famili, Berita Peristilahan,MASSA,Pelita Bahasa, Jendela Selatan, Utusan Borneo, Etnik dan sebagainya. Beliau juga menulis kolum Ujana DBP dalam akhbar Utusan Borneo sejak 2008 hingga sekarang.

Wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Haji Shaiddin sempat menemui Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas (ZA) untuk menemubual beliau mengenai isu-isu sekitar bahasa dan sastera sambil minum pagi di Kantin DBP Cawangan Sabah di Teluk Likas pagi kelmarin.


UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu. Saya nampak tuan kelihatan agak sibuk juga. Apa perancangan pihak tuan untuk menyemarakkan lagi kegiatan bahasa dan sastera kita?

ZUBAIDI ABAS: Tahun ini kita merancang untuk melaksanakan pelbagai kegiatan bahasa dan sastera. Antara yang terdekat ialah Perkampungan Sasterawan 2011 yang akan diadakan di Teluk Likas pada 18 dan 19 Jun ini. Perkampungan ini akan menghimpunkan penulis, sasterawan, budayawan dan aktivis sastera dari seluruh Sabah untuk berkampung di DBP Cawangan Sabah sebagai satu wadah untuk mempertemukan golongan sasterawan untuk mengadakan perbincangan dan percambahan minda untuk memartabatkan sastera tanahair. Selain itu kita merancang untuk mengadakan Pertandingan Lagu Puisi Berkumpulan, Konsert Perdana Lagu Puisi dan sebagainya. Kita juga mengadakan apresiasi sastera di setiap bulan, di setiap daerah di seluruh Sabah. Dengan cara ini kita dapat mendekatkan sastera kepada masyarakat.

UB: Sejak akhir-akhir ini, kegiatan sastera semakin rancak. Apa yang pihak tuan harapkan daripada program-program seperti ini?
ZA: Kita menggalakkan agar ada pertemuan, perbincangan dan percambahan minda di kalangan penulis, sasterawan, karyawan di negeri ini untuk memartabatkan lagi sastera kita. Sebab itu kita menganjurkan pelbagai kegiatan dalam usaha pengembangan dan pembinaan bahasa dan sastera. Kehadiran ramai penulis juga menunjukkan minat terhadap sastera di kalangan penulis dan aktivis sastera tidak pernah luntur.Tetapi kita mengadakan program itu untuk mengukur sejauhmana pencapaian kita, hala tuju kita. Apa sebenarnya yang kita cari? Semua ini memerlukan keterlibatan semua pihak, pengurus sastera, persatuan penulis, penulis, aktivis dan sebagainya.

UB: Dalam bidang bahasa, mungkin ramai juga yang ingin tahu mengenai sumbangan DBP Sabah. Boleh ceritakan sedikit mengenainya?
ZA: Program dan kegiatan bahasa dilaksanakan untuk memenuhi matlamat mengembangkan bahasa kebangsaan dan melestarikan bahasa sukuan di Sabah.
Antara yang telah kita laksanakan ialah pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN)2008 di Padang Merdeka Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan Yang Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia.
Di peringkat negeri, kita mengadakan Program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada setiap tahun.

UB: Bagaimana kaedah yang dijalankan DBP untuk meningkatkan citra bahasa kebangsaan di tempat awam?
ZA: DBP juga berusaha meningkatkan citra kebangsaan melalui pemaparan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul di tempat-tempat awam. Program ini melibatkan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Sabah.

UB: DBP juga terlibat dalam memartabatkan tulisan jawi?
ZA: Pengembangan tulisan jawi melalui pemaparannya pada papan tanda nama dilaksanakan di Lahad datu, Semporna, Sipitang, Beaufort, Kinabatangan dan Membakut.

UB: Bagaimana tentang jalinan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan?
ZA: Kita juga mengadakan Ziarah bahasa ke Pihak Berkuasa Tempatan di Seluruh Sabah untuk meningkatkan kerjasama khusus dalam pemaparan bahasa kebangsaan di tempat-tempat awam.

UB: Apa perkembangan mengenai pemetaan bahasa sukuan?
ZA: Pemetaan bahasa sukuan melalui Program Jejak Etnik untuk mengenal pasti tahap penguasaan dan penggunaan bahasa sukuan dalam kalangan penutur asli serta mengambil pelbagai langkah untuk melestarikannya. DBP Sabah juga menerbitkan penerbitan Glosari Budaya Tempatan sabah, Penerbitan Kamus Bahasa Sukuan Sabah.

UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai bengkel dan kursus bahasa anjuran DBP?
ZA: DBP Sabah juga menganjurkan bengkel, kursus dan ceramah bahasa untuk pelbagai golongan dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan pemahaman, penguasaan, dan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan anggota masyarakat.

UB: Bolehkah tuan ceritakan sedikit mengenai sumbangan DBP sabah dalam bidang sastera?
ZA: Program dan kegiatan sastera dilaksanakan untuk memenuhi matlamat memajukan bakat kesusasteraan, memantapkan kesusasteraan Melayu sebagai teras kesusasteraan kebangsaan, menjadikan kesusasteraan Melayu dapat diterima oleh masyarakat berbilang kaum, meningkatkan mutu penulisan kreatif dan memelihara sastera rakyat.

ZA: Antara kegiatan yang kita adakan ialah pementasan Teater Perdana sebagai pengisian Sambutan Hari jadi Rasmi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah, yang dijalankan setiap tahun sejak 2004.Kita juga pernah mengadakan malam Dondangan Kasih, dengan puisi tradisi pelbagai kaum untuk tontonan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Selain itu kita mengadakan Hadiah Sastera Sabah yang diadakan sebagai penghargaan kepada penulis Sabah dan sumbangan karya dalam pembangunan minda masyarakat. Sebelum itu, DBP Sabah pernah juga mengadakan Sendait Ria: Dendangan Puisi Tradisi selama 50 jam tanpa henti di Pitas. Acara yang menghimpunkan kira-kira 20 suku kaum di sabah ini telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai dendangan puisi tradisi tanpa henti yang paling lama pernah diadakan di negara ini.

UB: Wah, ini menarik ya. Seterusnya apa lagi kegiatan yang diadakan DBP Sabah dalam bidang Sastera?
ZA: DBP Sabah juga mengadakan Syair Ria: Dendangan Syair selama 50 jam tanpa henti di DBP cawangan Sabah. Acara yang melibatkan seluruh anggota masyarakat ini telah dicatatkan dalam Malaysia Book of records sebagai dendangan syair tanpa henti paling lama pernah diadakan di negara ini.

UB: Dalam bidang puisi, tak ada rekod?
ZA: Bacaan sajak dalam acara Puisi Ria selama 50 jam tanpa henti di DBP Cawangan Sabah juga mencatat rekod dalam Malaysia Book of Record sebagai acara bacaan sajak paling lama pernah diadakan di negara ini.

UB: Apa kegiatan lain DBP Sabah?
ZA: DBP Sabah juga mengadakan pengembangan teater di sabah melalui Program Anjung Apresiasi, mengadakan pengumpulan dan penerbitan cerita rakyat suku kaum di Sabah. Kita juga mengadakan bengkel dan kursus penulisan untuk pelbagai golongan sebagai usaha menggalakkan, mengembangkan dan memajukan minat, bakat dan semangat penulis di Sabah. Selain itu, DBP Sabah juga mengadakan ceramah dan apresiasi sastera di sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah.

UB: Mungkin baik juga kalau tuan ceritakan sedikit mengenai bidang penerbitan?
ZA: Kita telah menerbitkan lebih 350 buah buku hasil karya penulis Sabah dalam pelbagai bidang sama -ada kreatif dan bukan kreatif. DBP Sabah juga menerbitkan majalah Wadah, Etnik, karya serta Buletin Jendela Sabah untuk menampung karya penulis Sabah. Penerbitan majalah dan buletin ini sebagai usaha menggalakkan perkembangan pengkaryaan di Sabah.

UB: Bagaimana tentang kerjasama dengan pihak lain dalam mengembangkan bahasa dan sastera di Sabah?
ZA: DBP sentiasa berusaha meningkatkan dan memantapkan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Badan-badan penulis, media cetak dan elektronik dan pertubuhan-pertubuhan lain di negeri ini.

UB: Kita beralih ke soalan lain. Apa yang menarik sepanjang perkhidmatan tuan sebagai Pengarah DBP Sabah sejak enam tahun lalu?
ZA: Saya merasakan suasana keakraban, suasana kemesraan yang tidak ada di negeri lain. Itu yang saya rasa seronok. Jika bertugas di kampung-kampung yang jauh, kita disambut dalam suasana akrab dan mesra. Kemesraan dan keakraban itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

UB: Apa harapan tuan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan?
ZA: Kita berharap sepertimana yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin agar setiap majlis-majlis rasmi yang bakal kita laksanakan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, harus menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Kita tahu kadang-kadang ada seminar antarabangsa yang dihadiri oleh seorang dua orang asing, kita gunakan bahasa Inggeris padahal kita boleh menggunakan bahasa Melayu.
Kalau boleh pemimpin-pemimpin negara dalam lawatan mereka ke luar negara juga menggunakan bahasa Melayu kerana biasanya ucapan mereka diterjemahkan oleh penterjemah. Pemimpin kita mestilah menunjukkan teladan yang baik.

Kisah Tun Sakaran di Zaman Jepun

MEMANG banyak perkara yang boleh diteladani daripada kisah-kisah menarik yang dialami oleh Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai, Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Beliau yang juga mantan Yang Di Pertua Negeri Sabah yang kelapan (1995-2002), pernah menjadi Ketua Menteri Sabah daripada 17 Mei 1994 hingga 27 Disember 1994, Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi 1990-1994. Sebelum itu, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Semporna 1967-1994.Ketika pemeintahan USNO, Beliau pernah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah (1971-1974), Menteri Pertanian dan Perikanan (1974-1976).

Lahir pada 15 April 1930, Tun Sakaran belajar di Sekolah melayu Semporna 1937-1941 dan ketika pendudukan Jepun, beliau belajar di Sekolah Jepun pada 1942-1945. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau belajar di Government Vernacular School Semporna. Kemudian beliau dilantik sebagai Keranai Anak Negeri di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948. Pada tahun 1950-an, beliau pernah ditugaskan di Pulau Tambisan,dan pada 1958, beliau bertugas sebagai Kerani Besar Semporna pada 1960.Tidak lama kemudian pada tahun 1962-1967, beliau dilantik sebagai Ketua Daerah Semporna. Kerjaya politiknya bermula ketika menyertai rundingan Pembentukan Persekutuan Malaysia 1962-1963. Beliau pernah menjadi Ketua Pemuda USNO Semporna 1964-1967, Timbalan Presiden USNO 1984 dan menjadi Ketua Penaja UMNO Bahagian Semporna 1991.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berkesempatan untuk menemuramah beliau di Hotel Hilton, Kuching ketika menghadiri majlis perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 13 hingga 17 Jun lepas.Dalam temuramah yang berlangsung kira-kira dua jam itu,Tun Sakaran menceritakan kisah-kisah ketika zaman persekolahan, pendudukan Jepun, penjajahan kolonial, dan soal dedikasi dan komitmen dalam perjuangan.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah oleh Utusan Borneo. Kami ingin berkongsi pengalaman Tun ketika zaman persekolahan dahulu yang sudah tentu berbeza dari sekarang.Boleh ceritakan sedikit keadaan dan suasana pada ketika itu?
Tun: Keadaan pada masa sekarang berbanding dengan zaman penjajahan dahulu memanglah jauh berbeza.Kemudahan infrastruktur sekolah pada zaman sekarang jauh lebih baik.Dulu zaman kami tidak seperti ini. Kita patut mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita perolehi. Ketika pemerintahan British, sistem pelajaran pada masa itu lebih menitikberatkan agar pelajar menguasai menulis, membaca dan mengira. Bagaimanapun, pelajaran saya terganggu ketika pencerobohan tentera Jepun pada tahun 1941.

UB: Bagaimana pula sistem pendidikan yang diajarkan ketika zaman pemerintahan Jepun?
Tun: Ketika zaman Jepun, mereka cuba menerapkan nilai-nilai patriotik dalam jiwa pelajar. Pembelajaran lebih tertumpu kepada pembelajaran bahasa Jepun. Sekolah Jepun memang agak berbeza dengan `vernacular school' di zaman British. Walau bagaimanapun, pemerintahan Jepun lebih keras. Mereka cuma menyerapkan budaya dan semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah dan penduduk tempatan. Pendekatan dan sistem pemerintahan yang mereka amalkan itu menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

UB: Apa pengalaman Tun semasa bersekolah itu?
Tun: Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mendayung perahu kecil yang diberi nama kaya-kaya.Kira-kira jam 7.00 pagi kami sampai di sekolah. Ada kalanya dari Tinagayan itu, kami diiringi oleh buaya. Ada masa kami nampak buaya.Walaupun kami takut, tapi itu tidak menghalang kami untuk pergi ke sekolah. Setelah sampai, perahu kami tambatkan di satu tempat yang jauh. Supaya kalau air surut kami boleh limpas. Selepas itu kami berjalan di tengah hutan. Kadang-kadang kami dikejar beruk yang pendek ekornya itu.Malah ada rakan kami pernah digigit beruk. Banyaklah kesusahan yang dialami ketika itu.Pernah pula satu ketika kena sengat ikan sembilang. Ada juga ikan kapu' ikan berbisa yang boleh menyerupai pasir, boleh menyerupai batu.

UB: Berapa ramai rakan-rakan sekolah Tun ketika itu?
Tun: Kami ada lapan orang. Antaranya Haji Gidek Ibnu Hassan, Abdul Basah Keruda, Haji Bakti Anuali,, Haji Rumaling Janalullah, Ibno Baddiri Ibno Salleh, Samsula Janalullah, Ma' Alullah.

UB: Apa bekal ke sekolah?
Tun: Ketika itu bekal kami ke sekolah hanyalah sebiji ketupat dan ikan goreng. Bekal ini biasanya kami simpan di satu tempat.Kini berdekatan hospital. Kadang-kadang bekalan kami yang kami sangkutkan atau gantungkan itu diambil orang.Ketika pendudukan Jepun itu, kehidupan terasa lebih teruk.Sampai tiada makanan, tiada ubat. Peperangan itu telah memberi kesedaran mengenai makna penderitaan dan kesengsaraan hidup.
Kami terpaksa mengangkat air sendiri, Bahkan kami pernah makan ubi kayu mentah semasa kami berjalan mencari bahan-bahan makanan. Waktu itu umur saya kira-kira 12 tahun. Kehidupan sekarang berbeza dengan masa dijajah dahulu. Seperti bumi dan langit.

UB: Boleh ceritakan sedikit suasana pemerintahan Jepun?
Tun: Pemerintahan Jepun terkenal dengan kekerasan dan kekejamannya. Ramai penduduk Semporna yang ditangkap oleh tentera Jepun kerana mereka disyaki membantu Alliance (Tentera Bersekutu) yang ketika itu berpengkalan di Bongao. Ramailah ketua-ketua kampung yang ditahan kerana disyaki bersubahat.Padahal mereka hanya menjalankan kegiatan tukar barang di pekan Semporna. Jepun menyangka mereka menghantar barang untuk membantu Amerika. Sebab itu mereka menangkap penduduk tempatan. Sebahagian mereka diseksa dengan pelbagai bentuk penyeksaan. Ada yang diberi minum air sabun, dikasari, ditendang, dipukul dan diseksa sedemikian rupa. Antara mereka yang ditangkap itu ialah pakcik Amat Jamli yang berkahwin dengan makcik saya. Yang lain termasuklah Panglima Habibuddin bin Sekati, Hani bin Jahaludin, Jabilan bin Jahaludin. Nasib ketiga-tiga bapa saudara saya ini gaka begitu malang. Panglima Habibbudin meninggal semasa dalam tahanan Jepun, Hani bin Jahaludin dan Jabilan bin Jahaludin pula oleh tentera Jepun ke Tawau dan sehingga kini pusara mereka tidak ditemui.
Selain itu, beberapa ketua kampung dan dua peniaga Cina juga telah dibunuh oleh tentera Jepun.

UB: Selain itu apalagi kekejaman Jepun?
Tun: Kekejaman tentera Jepun bukan hanya menangkap orang dan menyeksa mereka. Mereka juga melakukan rampasan binatang-binatang ternakan yang dipelihara oleh orang kampung.Makanan penduduk juga dirampas. Apa saja yang mereka nampak semuanya dirampas. Sebab itu, penentangan dan kebencian penduduk kampung juga semakin menebal terhadap Jepun. Tentera Jepun sentiasa memburu orang-orang kampung. Ramai diantara mereka terpaksa bersembunyi di pulau-pulau dan beberapa buah kampung berdekatan seperti Kampung Tinagayan, Kampung Bubul, Tampi-Tampi, Pulau Menampilik, Kampung Lihak-Lihak, Pulau Timbun Mata dan Melanta Tutup. Oleh sebab itu orang-orang kampung berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Di kalangan mereka yang diburu Jepun itu termasuklah pakcik yang juga mertua saya, Datu Panglima Haji Abdullah bin Panglima Uddang. Beliau diburu Jepun kerana beliau merupakan bekas kakitangan British sebelum penjajahan Jepun ke Semporna. Oleh sebab itu, ramai ahli keluarga beliau yang turut bersembunyi daripada turut dikesan oleh tentera Jepun.

UB: Tun pernah menyaksikan pertempuran Jepun dengan pasukan tentera Bersekutu?
Tun: Saya pernah menyaksikan pertempuran antara tentera Jepun dengan Tentera Bersekutu di Semporna. Antaranya ialah pengeboman oleh tentera Amerika ke atas kapal tentera laut Jepun yang bersembunyi di Tagasan, Menampilik dan Nusa Tengah. Selain itu, saya pernah juga menyaksikan bagaimana pasukan tentera Bersekutu menggunakan 'Petty Boat' yang sangat laju, dilengkapi dengan senjata perang seperti mesingan (machine gun) dan lain-lain lagi untuk menyerang tentera Jepun di laut. Ketika itu, peluru-peluru pasukan tentera Bersekutu dilepaskan ke arah Tentera Jepun telah dapat menembusi beberapa perkampungan di kampung Bubul dan Bogaya. Walaupun tempoh pemerintahan tentera Jepun cuma sebentar, hampir lima tahun tetapi ia telah meninggalkan kesan besar terhadap kehidupan masyarakat. Dimana mereka sentiasa teringat kekejaman Jepun. Kesan penindasan dan kekejamam Jepun itu telah menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada diri saya sendiri.

UB: Apa yang dapat kita pelajari daripada peristiwa ini?
Tun: Peristiwa ini boleh menjadi iktibar kepada generasi muda anak bangsa kita. Peristiwa ini perlu direnungi kerana banyak pengajaran daripadanya. Betapa sukarnya hidup di zaman penjajahan.Makanan tidak ada, sampai ubat pun tidak ada. Bahkan kami sempat makan ubi mentah, biji jagung tua yang direbus dan sebagainya. Semua ini boleh menjadi p0engajaran kepada kita semua. Kita hendaklah mensyukuri nikmat kemerdekaan ini. Jika dibandingkan dahulu dan sekarang, amatlah jauh berbeza. Cuma masyarakat dahulu, suku tolong menolong, suka bergotong royong dan suka menbantu antara satu sama lain. Nilai-nilai itu sekarang semakin pupus dan itu patut dihidupkan semula, semangat gotong royong dan tolong menolong itu.

satu catatan di perkampungan sasterawan ke-8

SEORANG rakan penulis dari utara terpaksa berhenti di perhentian bas di Tuaran kerana tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Ketika itu beliau dalam perjalanan untuk menghadiri Perkampungan Sasterawan ke-8 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada 18 dan 19 Jun 2011.

"Kali ini saya menunggang motosikal," katanya. Jika tidak silap, kali terakhir Perkampungan Sasterawan diadakan di Beringgis Resort pada 2004, beliau datang menaiki lori.

Walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai imam di kampungnya, beliau tetap meluangkan masa untuk menghadiri perkampungan sasterawan yang dianggap penting itu. Sejak kali pertama Perkampungan Sasterawan itu diadakan pada 10 hingga 12 April 1981, ramai penulis dan peminat sastera telah menyertai program yang menghadirkan penulis terkenal, sarjana, sasterawan dan budayawan negeri dan nasional untuk sama-sama berkampung membincangkan perkembangan sastera mutakhir.

Saya sendiri hadir Perkampungan Sasterawan kedua yang diadakan pada 7-9 Disember 1986 di Sandakan iaitu kira-kira 25 tahun yang lalu. Ketika itu baru berusia 17 tahun, masih dalam semangat menggelora, ghairah berhujah, perkampungan itu meninggalkan banyak kesan terhadap diri saya kemudiannya.Seingat saya, Mumin Mail dari RTM sempat menemuramah saya untuk rancangan radio nasional dan disiarkan beberapa kali di radio.

Saya tidak pasti kenapa saya dipilih untuk ditemuramah tetapi yang saya ingat, saya sentiasa berdiri untuk mengajukan soalan dan menghujah pendapat dan penjelasan daripada ahli panel termasuklah Prof.Dr.Nik Safiah Karim, Dr Othman Puteh (kini Allahyarham) dan sebagainya. Perkampungan Sasterawan dengan tema `Profesionalisme Dalam Penulisan' itu memang menyeronokkan bukan saja kerana membincangkan mengenai profesionalisme dalam dunia penulisan tetapi juga menjadi satu wadah yang mempertemukan penulis-penulis baru dengan penulis dan sasterawan terkenal tanahair, yang kemudiannya turut membantu membina dan mematangkan diri dengan segala aspek dunia kepenulisan.

Sejak 1986,saya berkesempatan hadir dalam hampir kesemua Perkampungan Sasterawan yang diadakan selepas itu. Perkampungan Sasterawan yang Ke-3 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 1990,Perkampungan Sasterawan ke-4 di Tawau pada tahun 1992, Perkampungan Sasterawan ke-5 di Kota Kinabalu pada 1996, Perkampungan Sasterawan ke-6 di Kota Belud 1999 dan Perkampungan Sasterawan yang ke-7 di Beringgis Papar.

Ketika hadir dalam Perkampungan Sasterawan ke-8 kali ini, saya teringat nostalgia ketika pertama kali menghadiri Perkampungan Sasterawan di Sandakan kira-kira dua puluh lima tahun yang lalu. Seperti yang turut diakui Ag Karim Kadir, yang juga pertama kali hadir dalam perkampungan sasterawan pada masa itu, semangat dalam bidang sastera memang tinggi. Karim teringat ketika pertama kali bertanya Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad dalam satu sesi dalam perkampungan itu.

Saya teringat kata-kata Dr.Othman Puteh yang menyatakan kalau acara seperti Perkampungan Sasterawan itu dapat melahirkan enulis `janganlah ramai, sepuluh orangpun sudah memadai', program itu dianggap berjaya.

Kami menginap di Asrama Majlis Perbandaran Sandakan. Ketika itu ada masalah bekalan air, jadi ada juga di antara kami tak dapat mandi. Pada sebelah malamnya, saya dan Cikgu Alkesah Bidin mencari telur penyu, yang ketika itu bolrh didapati di pasar Sandakan. Antara nama-nama yang ikut serta dalam perkampungan sasterawan ketika itu yang masih saya ingat ialah Hajah Zaiton Ajamain,Hasyuda Abadi, Azmah Nordin, Ag Ramlee Gati, Abu Masykur Nasution, Obasiah Haji Osman, Jaliha Jaman,Sitti Rahmah G.Ibrahim, Bob Sarman Ali, Bakri Lumundaya,Allahyarham Dr. Datu Bandira Datu Alang, Sabri Haji Ahmad, Rosni Dullah,Hasnah Anjam, Azlan Dayukan, Jamaludin Moksan,Iriansyah Yunus, Mahmud Jahar,ABM Fajeer,Sainah Mustakim, Saripudin Kanda,Bob S Nean,Zieck,Shaama Erda,Inzura Haji Kosnin, Tawil Beddu,Sarudi Samali, Bitan Jamani, dan ramai lagi.

Kali ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah meneruskan tradisi untuk mengadakan Perkampungan Sasterawan bagi edisi yang ke lapan. Masih terdapat beberapa rakan yang mengikuti perkampungan sasterawan 86 hadir dalam perkampungan kali ini. Antaranya Sitti Rahmah G.Ibrahim, Hasyuda Abadi, A.Karim Kadir, Bob Sarman Ali dan lain-lagi. Khabarnya ada juga yang pernah mengikuti perkampungan sasterawan yang pertama yang hadir dalam perkampungan sasterawan kali ini tetapi saya kurang maklumat mengenainya.

Paling menarik dalam perkampungan kali ini adalah sejumlah besar penulis-penulis muda berbakat besar. Antaranya Ruhaini Matdarin, Faridah Abd.Hamid, Pena Alam, Ara Aranam,Aloy,Kunia Gilong dan ramai lagi. Juga kehadiran penulis-penulis seperti Siba Nita AS, Saibil Madun, Asmuin Satri, Nandra Hitong, Jair Sulai,Mabulmaddin Shaiddin, Norawi Haji Kata,Katherina Tati, Ony Latifah Osman, Jasni Yakub,Suli8 Bakar ANs, Hajah Hasnah Sambas,penulis-penulis dari Sandakan, Kota Belud, kudat, Keningau juga turut meramaikan lagi perkampungan sasterawan yang mempertemukan penulis untuk berkongsi dan bertukar-tukar fikiran demi kemajuan sastera Sabah.

Perkampungan Sasterawan kali ini juga diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh Ketua Pengarah DBP Malaysia, Dato Termuzi Abd.Aziz, Kertas kerja olehProf.Datuk Dr Zainal Abidin Borhan Setiausaha Satu GAPENA, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas, Ahli Kehormat IPS, Laliman Haji Ahmad, Dr.Chacho Haji Bulah, Siti Aisah Murad, Dr.Asmiaty Amat (UMS) dan sebagainya.


Hidup adalah perulangan-perulangan, catat Hasyuda Abadi ketika saya minta autografnya pada tahun 1986. Demikianlah, Perkampungan Sasterawan kali ini tak dapat dipisahkan dengan hayat kepenulisan dan kepenyairan kami, mungkin kerana kami adalah antara `sepuluh orang-mungkin lebih ramai lagi' yang dapat dilahirkan setelah perkampungan sasterawan 86 itu.

Bayangkan kalau setiap Perkampungan Sasterawan yang diadakan itu dapat melahirkan sekurang-kurangnya 10 penulis, setiap program sastera yang diadakan dapat membina seorang atau dua orang penulis, sejak berpuluh-puluh tahun lalu, atau katakanlah sejak DBP ditubuhkan tahun 1977 di Sabah, berapa agaknya jumlah penulis yang kita miliki sekarang?

Walaupun demimian, jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan Penduduk Sabah yang berjumlah lebih tiga juta sekarang. Kalau sepuluh peratus saja penduduk Sabah menulis alangkah baiknya. Atau mungkin sepuluh peratus daripada jumlah sepuluh peratus itupun sudah cukup memadai bagi memartabatkan dunia penulisan dan industri perbukuan kita.

Monday, June 13, 2011

Catatan dari Kuching ke LTAKK 14 Jun

Selepas majlis perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Dewan Majlis Agama Islam Sarawak berakhir, kami terus balik ke hotel.
Kerana sudah lewat malam, Haji Yusof memesan nasi lemak dari hotel kerana merasa agak kelaparan. Mujur saya sempat makan di kedai KFC berdekatan selepas pameran. Majlis Perasmian itu disiarkan secara langsung dari dalam dewan ke skrin di luar. Jadi selepas selesai mengambil gambar, saya dan Rsyad Hussin keluar dari dalam dewan.
Saya berharap akan dapat bertemu rakan-rakan di Kuching. tapi tak nampak kelibat mereka kecuali Dr.Adi Badiozzaman Tuah yang berada di kerusi yang disediakan untuk tamu kehormat dan Abang Padlee, yang saya nampak dari jauh.

Saya fikir mahu menulis blog tetapi tak larat.Kemudiannya kami ke Tebingan Waterfront untuk minum milo panas. Balik semua ke Hilton setengah jam kemudian.

Setelah itu bangun awal pagi untuk ke Airport Kuching.Flight jam 9.00 pagi, tapi kami dah check in lebih awal. Haji Yusof Kahar mengaturnya dengan cekap. Kami pergi lebih awal kerana ada luggage.

Kami menunggu di Bilik VIP. Saya sempat menanyakan Tun YDP Usia mengenai pengalamannya dikejar monyet, disengat ikan sembilang dan sebagainya. Setelah urusan imigres diselesaikan kami bergegas ke balai berlepas.

Saya melihat jam tangan.Sudah jam 9.03 minit. Rupanya kami saja yang ditunggu.Langit agak cerah. dari atas kapal terbang kami melihat sungai sungai yang berliku, awan yang berarak, telukan yang indah, dan bingkai kenangan yang tertinggal di Sarawak.

Satu jam setengah kemudian, kami mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Terpaksa berlari kerana terpisah dari rombongan, dan sekali lagi terpaksa melalui laluan VIP kerana mengikuti rombongan Tun.

Jam 11.00 pagi sudah sampai di ofis dan megsms rakan-rakan di Kuching, meminta maaf kerana tak sempat berjumpa mereka.

Catatan di Kuching 13 Jun

Sebenarnya saya terbangun lambat sedikit pagi ini.Padahal saya sudah berjanji untuk berada di bawah ofis jam 7.45 pagi. Mujurlah, sebaik keluar dari bilik, sepupu saya Asam sedang membaca buku.
Penerbangan jam 10.00 ke Kuching, tapi tiket yang ditempah belum dibayar lagi.Sepatutnya perlu ada di Terminal satu jam 8.00 pagi.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.Tak ada kesesakan. Kami sampai jam sebelum jam 9.00 pagi dan terus ke kaunter pejabat Mas.
"Okey, jam 10.00 pagi ke Kuching dan balik esok jam 9.00 pagi dari Kuching". Semuanya RM730.
Malam ini perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam Kuching.
Kebetulan hari ini off day, dan apabila saya diajak Ketua Belia USIA, Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan untuk ikut serta rombongan Tun Yang DiPertua USIA saya tidak menolak.
"Kalau kau okey, saya belikan tiket," katanya.
Tepat jam 11.15 pagi, pesawat MAS mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Setibanya di lapangan terbang, kami disambut oleh pegawai-pegawai dari bahagian ptrotokol. Satu penerbangan dengan kami ialah Datuk Haji Nasir Tun Sakaran Menteri di Jabatan Ketua Menteri. Tiga buah kenderaan disediakan untuk rombongan kami. Satu kereta untuk Tun Datuk Seri Panglima Tun Sakaran, satu kereta untuk Datuk Nasir dan satu kereta lagi untuk pegawai pengiring. Kami diiringi dengan rider hingga ke Hotwl Hilton sementara Datuk Nasir di Hotel Pullman kerana Hilton penuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Majlis Tilawah ini.

Saya sempat menembual Tun mengenai zaman persekolahan, betapa susahnya hidup orang dulu, malah pernah dikejar monyet ambok dan sedikit lagi dibaham buaya, kisah zaman Jepun dan soal-soalk berkaitan keikhlasan, hati yang buta dan sebagainya.Saya berhasrat untuk menulisnya kemudian.
Selepas makan, kami ke Pasar Satok untuk membeli ikan terubuk. Sayangnya, Bustari orang Tungku Lahad Datu yang telah lama berjual ikan terubuk di pasar satok tidak berjualan hari ini. Jadi kami membela ikan terubuk dengan harga tiga ekor RM20.00 dan dibungkus, katanya boleh tahan lima hari.

Selepas itu kami ke Kek Lapis Dayang Salhah di seberang sungai sarawak.Pemandu kami, Nero, yang bekerja di jabatan berkaitan lada hitam,telah sudi membawa kami ke satok dan kedai kek lapis yang terkenal. Ada selebriti yang pernah melawat ke kedai itu, antaranya Siti Norhaliza, Senario, dan ramau lagi artis dan selebriti yang pernah ke sana.

Bila kaki terasa letih kami pulang ke Hotel. Tak terasa sekarang sudah jam 6.18 petang, dan kami perlu bersiap untuk ke majlis Tilawah malam ini.

Wednesday, June 8, 2011

Hasrat naik keretapi Beaufort-Tenom tidak kesampaian

Ketika bangun pagi ini,kami mendapati sebahagian pekan Beaufort digenangi air.Walaupun hujan turun dengan agak lebat semalam, kami berharap agar ia tidak sampai mengakibatkan banjir.
Di daerah itu, banjir memang perkara biasa bagi penduduknya.Kejadian banjir bukan lagi satu peristiwa besar kerana ia sudah menjadi lumrah, setiap kali hujan turun, air yang mengalir di Sungai Padas akan melimpahi tebing dan melumpuhkan sebahagian kegiatan ekonomi masyarakatnya.
Tetapi banjir bukan yang kami harapkan.
Namun apa boleh buat, hasrat untuk menaiki keretapi dari Beaufort ke Tenom tidak tertunai dengan alasan, enjin keretapi itu diservis dan tiada perkhidmatan keretapi pada hari ini (8 Jun).
Sebelum ini, perkhidmatan keretapi dari Beaufort ke Tenom tiga kali sehari dan begitu sebaliknya. Jarak antara Beaufort dan Tenom mengambil masa kira-kira tiga jam dengan tambang RM2.70.Ada juga perkhidmatan railcar dengan penumpangnya sekitar 10-15 orang dan dikenakan tambang RM8.00 seorang.
"Saya pernah menggunakan railcar," kata Rainus Sagulau, 39, rakan seperjalanan dari Tenom.Beliau agak hairan bagaimana perkhidmatan keretapi dari Beaufort ke Tenom, bukan meningkat bahkan menurun walaupun barangkali berjuta-juta wang kerajaan digunakan untuk mwnaiktaraf perkhidmatan keretapi.Sedangkan kualiti perkhidmatan dari Stesen Tanjung Aru ke Beaufort agak memuaskan, keretapi berpenghawa dingin dan penumpang berasa selesa menaikinya.Rainus mengatakan menurun kerana jumlah perkhidmatan berkurangan berbanding dulu. Beliau juga mengatakan bahawa memang dulu wujud perkhidmatan troli haram kerana perkhidmatan keretapi tidak mencukupi, katanya yang pernah berkhidmat di Beaufort selama enam tahun.
Nampaknya harapan untuk menaiki keretapi dari Beaufort ke Tenom tidak kesampaian.
Mahu berpatah balik atau meneruskan perjalanan?
Akhirnya Rainus mencadangkan agar kami menaiki teksi dari Sipitang ke Tenom, kalau tidak mahu menunggu sehingga esok sementara menunggu perkhidmatan keretapi akan dipulihkan. Tapi bagaimana kalau hujan turun lagi dan air naik lebih tinggi?
Mahu tidak mahu kami check-out dari MelDe Hotel(terima kasih kepada ADO Mohd Shaid Othman yang menempah hotel)dan kemudian sarapan di Restoran Rahmat sebelum menaiki teksi melalui jalan Sipitang-Tenom yang mengambil masa kira-kira satu jam 15 minit.
Teksi Ah Liew, nama sebenarnya Liew Fui Kong atau lebih dikenali dengan Teksi Liew 2070, memang orang kelahiran Beuafort. Beliau bercerita mengenai tanah milik keluarganya yang sering dinaiki banjir. "Sudah cuba tanam macam-macam tetapi musnah apabila banjir datang,"katanya.
Liew bercerita mengenai keluarganya yang dulu memiliki ladang getah. Tapi harga getah waktu itu hanya 0.90 satu kilo hingga 1.05 satu kilogram. Jadi getah itu ditebang dan kayunya dijual. Tetapi sekarang harga getah meningkat RM11.00 sekilogram, dan lebih menguntungkan dari harga kelapa sawit.
Dengan itu, perjalanan kami tak terasa jauhnya.Sampai di banjaran gunung,pemandangan agak mengasyikkan.Kelihatan ada air terjun, dari jauh. Tempat itu, saya diberitahu kemudiannya tempat helikopter pernah jatuh.
Kami tiba di hadapan Hotel Sri Perdana kira-kira jam 10.55 pagi.Tambang teksi RM140 rupanya telahpun dibayarkan Rainus. Namun hotel itu penuh sehingga 12 Jun, kerana Sukan Saga yang sedang berlangsung di Keningau dan sebahagian acara diadakan di Tenom dan Tambunan. Kebanyakan hotel penuh.Hotel Perkasa yang terletak di atas bukit juga penuh.
Kami terpaksa mencari hotel lain. Tidak lama kemudian, Rainus memberitahu ada kosong di Orchid Hotel tetapi selepas jam 12 tengahari.
Kami bergegas ke sana untuk menyimpan beg. Saya teringat Jamawi Jaafar yang lebih mesra dipanggil JJ. Saya bertanya sama ada beliau di Tenom? Beliau menjawab sedang berada di KL tetapi beliau telah menempah bilik di Hotel Orchid atas nama saya. Ketika itu kebetulan saya berada di Hotel Orchid. Saya cepat-cerpat bertanya di kaunter, dan kebetulan pula, rupanya Jamal sedang menempah bilik untuk kami sekeluarga.
Saya tak putus-putusnya bersyukur atas kurnia Tuhan seperti ini. Bagaimana akan membalas budi baik mereka?

Tuesday, June 7, 2011

dari stesen keretapi ke hotel Melde

Dari stesen keretapi Beaufort, kami berjalan kaki saja ke MelDe Hotel.Hari masih pagi.Cuaca agak cerah walaupun pagi tadi di ibu kota hujan turun dengan lebatnya.

Perjalanan dengan keretapi jam 7.45 dari Stesen Tanjung Aru juga agak selesa. Keretapi bergerak dengan kelajuan yang sederhana di atas landasannya yang baru.Perhentian pertama di Putatan, kemudian Kinarut, lalu Kawang, Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Kemudian Beaufort.Jika tak silap, perkhidmatan keretapi ini dimulakan sekitar tahun 1906, mulanya untuk mengangkut hasil getah dan tembakau.

Sepanjang perjalanan itu kita dapat melihat pemandangan yang mengasyikkan. Kita melihat pekan-pekan lama Kinarut, Kimanis,Bongawan, Membakut, yang sebentar lagi mungkin luput oleh arus kemodenan.

Keretapi berjalan melalui kampjung-kampung, rawa-rawa, terowong, sawah padi, sungai,tepi pantai dan sempat pula kami menyaksikan orang berkebun sayur, menjemur ikan bilis di Bongawan dan sebagainya.

Tidak hairanlah ramai yang tertarik menaiki keretapi.Ia boleh dijadikan satu sarana pengangkutan yang baik, dan boleh digunakan oleh pelancong untuk menikmati keindahan alam negeri ini.

Rupanya dalam perjalanan itu, ramai juga yang menaiki keretapi itu buat kali yang pertama. Memang perjalanan itu berbaloi kerana mutu perkhidmatan keretapi Tanjung Aru-Beaufort yang boleh dibanggakan.

Alangkah baiknya kalau perkhidmatan keretapi ini merangkumi perjalanan dari Tanjung Aru ke Beaufort, Tanjung Aru ke Kudat, Kudat ke Pitas, Pitas ke Sandakan, Sandakan ke Lahad Datu, Lahad Datu ke Tawau, Tawau ke Kalabakan, Kalabakan ke Nabawan, Nabawan ke Keningau,Keningau ke Tenom dan seterusnya. Barangkali 20 atau 30 tahun lagi, sekiranya kerajaan mahu menyediakan sistem pengangkutan awam yang terbaik.

Mungkin, baik juga barangkali kalau hal ini ditanyakan kepada Datuk Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan yang articulate itu.Apa rancangan kerajaan untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam khususnya keretapi. Mungkinkah kalau perkhidmatan itu diberikan kepada syarikat swasta dan diberi konsesi 40 hingga 50 tahun, asalkan rakyat dapat menggerakkan roda ekonomi mereka dengan lebih cepat dari sati tempat ke satu tempat yang lain.

Akhirnya kami tiba di MelDe hotel. Dalam perancangan kami, hanya mahu berehat sebentar. Tapi kemudian anak-anak tertidur dan kami keletihan.Terbangun tengahari itu, melihat hujan yang semakin melebat. Kami sempat ke G-Mart di Pasar Am Beaufort, melihat jalan yang dinaiki air dan padang sekolah Kung Ming yang juga dinaiki air.

Malam itu, Ah Chong, taukeh Worshop kawan si Rainus membawa kami ke seberang dan minum di warung di hadapan CNF Hypermarket Beaufort Jaya fasa Dua. Ah Chong, juga rupanya rakan baik kepada Cikgu Hajat Kota Belud, "macam abang adik,"katanya.

Kami makan sup tulang. Saya teringat di Beaufort selalunya sup kerbau kerana mereka jarang makan daging sapi dan lebih sukakan daging kerbau.

"Hujan macam ini, biasa di sini," kata Ah Chong sambil meminta kami agar jangan risau. Saya tahu, hasil perbualan dengan beberapa kawan termasuk YDP PBTM, Abd.Sanon Sapri, yang mengatakan, di kampungnya di Lupak sudah dinaiki banjir.

Sebelum naik ke hotel, kami ke restoran mamak untuk mengambil bubur yang dipesan.Agak lucu juga apabila taukeh kedai itu memberikan satu belanga kepada kami.
Takkanlah pula belanga itu kami bawa ke hotel.Akhirnya kami minta tapau saja. Sebaik tiba, Fawzan dan farhan bermain pencil warna yang membuat mamanya geram.

Johawalia mengsms yang ketika itu berada di KK untuk bertanya sama ada kami sempat mengelilingi Beaufort atau tidak? banjir ka di sana?

Wednesday, June 1, 2011

catatan pertemuan dengan Cikgu Sabli Mohiddin

Saya gembira Cikgu Sabli datang dan mengajak minum.
Cikgu Sabli Mohiddin ialah Setiausaha Agung USNO yang pertama ketika masih diperingkat penaja.
Saya mengembalikan gambar Dollah Sarawak ketika berkunjung ke Sabah. Dollah Sarawak ialah bapa kepada Siput Sarawak dan atuk kepada Anita Sarawak.Dollah Sarawak bersaudara dengan Lutter atau Luttah.Gambar lama itu menunjukkan gambar Dollah yang ketika itu Sri Nooran Opera Indra Bangsawan bergambar dengan Mohd.Mohiddin Luttah dan Idris Luttah, Dollah dan nenek Luttah sendiri.
Baru-baru ini, Tan Sri Alfred Jabu datang tapi saya tak sempat menemuinya, katanya.Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang masih saudara jauh kepada Cikgu Sabli.
Dari sana percakapan kami beralih kepada Mesyuarat Alumni Kent pada 29 Mei lepas.Pada dasarnya semuanya sukses cuma beliau sedikit terkilan atas satu pendapat perwakilan yang menyebabkan bekas-bekas penuntut Kent dari Brunei pulang tanpa pamit lagi.
Itu yang membuat beliau berasa tidak tenteram dan cuba menelefon untuk meminta maat atas kejadian yang berlaku yang timbul ekoran salah faham.
Tapi telefon tutup, katanya.Beliau berkata, memang dalam perlembagaan Alumni Kent, tidak membenarkan warga luar spt dari Brunei memegang jawatan, tetapi perkara itu sudahpun mereka ajukan untuk pertimbangan pendaftar pertubuhan.Bagaimanapun, belum lagi mendapat pengesahan, sudah timbul pula pertikaian, yang menyebabkan bekas bekas guru dari Brunei itu pulang.Itu yang agak mendukacitakan kerana Alumni yang ditubuhkan, salah satu tujuannya untuk perjumpaan dengan rakan-rakan lama, agak kurang menggembirakan.

Kemudian Cikgu Sabli bertanya sama ada beliau telah menceritakan kepada saya peristiwa dua tahun selepas perang Jepun tamat.
Belum, kata saya.
"1947,itu musim baru lepas perang dunia kedua.Kami tinggal di kawasan Karamunsing.Ketika itu, panggung Capital dekat laut. Ada satu bangunan dimiliki koperasi orang-orang Melayu. Disitu berkumpul Seruji Haji Yaakub, Imam Sarbini Haji Yaakub, Donald Stephens, OT Laiman Diki,Mohiddin Luttah, Datu Mustapha, Apong dan lain-lain mendirikan persatuan Angkatan Barisan Pemuda (BARIP) yang diluluskan pendaftarannya oleh Kerajaan British North Borneo ketika itu.Melalui persatuan ini, mereka bergerak bawah tanah untuk meneentang penjajah. Apabila diketahui Britis, maka mereka mengharamkan persatuan itu. Itulah antara cikal bikal semnagat perjuangan menentang penjajah.Donald menubuhkan UNKO dan Datu Mustapha menubuhkan USNO.


Ketika itu di sepanjang tebing kampung Air, orang Cina menjual sotong."Kami suka makan sotong.Arwah pakcik saya Aslie Luttah sering membawa kami makan sotong.Di sepanjang tebing itu kelihatan orang Cina menukul nukul sotong.Itulah antara suasana kampun Air ketika itu.
Semangat perjuangan menentang penjajah memang telah lama menyala di kalangan anak-anak muda.

Banyak hal menarik yang boleh dikorek daripadanya, tetapi masa cepat berlalu.Cikgu sabli sedang ditunggu isterinya, saya pula terpaksa meneruskan kerja yang belum siap di pejabat.
Betapa banyak jasa orang tua yang bersahaja ini, kata saya dalam hati, dan patutlah kerajaan untuk menghargai.Hanya bangsa berjiwa besar mampu menghargai para pejuang dan pahlawannya.
Cikgu Sabli Mohiddin salah seorang pejuang itu.