Sabtu, 23 Julai 2011

Wawancara bersama Datuk Hajah Azizah Mohd.Dun

Tags

KETIKA berada di bangku sekolah rendah, beliau pernah diejek oleh rakan-rakannya. "Azizah makan ubat pil! Azizah makan ubat pil!"" Ejekan itu memang menyakitkan. Pil yang dimaksudkan itu ialah `fail' maksudnya gagal, kerana saya pernah gagal dalam peperiksaan di sekolah rendah," katanya. "Ia menjadi satu cabaran buat saya, bahawa saya boleh membuat sesuatu yang lebih baik" katanya.

Kini ternyata bahawa apa yang menjadi tekadnya puluhan tahun yang silam itu, iaitu `I can be better' menjadi satu kenyataan. Selepas meninggalkan bangku sekolah SRK Mempagar, Datuk Hajah Azizah Mohd.Dun meneruskan pelajaran di St Paul Secondary School dan lulus dalam Form 3 pada tahun 1971 sebelum melanjutkan pendidikan di Maktab Sabah dari tingkatan empat hingga tingkatan enam rendah.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di England di peringkat A Level dan selepas itu mengikuti pengajian undang-undang sehingga mendapat Bachelor in Laws sebelum ditauliah sebagai peguam di Lincoln Inn's England. Sekembalinya ke Sabah, Azizah menjadi wanita pertama dilantik sebagai majistret pada tahun 1981 hingga tahun 1984. Pada tahun 1985, beliau menceburkan diri dalam bidang politik dan menang kerusi DUN Klias pada tahun itu.Bagaimanapun, setahun kemudian beliau kalah dalam pilihanraya tetapi terus bergiat dalam politik. Pada tahun 2004, beliau bertanding Kerusi Parlimen Beaufort dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia. Dalam pilihanraya 2008, Azizah bertanding dan menang kerusi DUN Klias dan kemudian dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna sehingga kini. Beliau berumahtangga dengan seorang ahli korporat,Haji Paiman Abdul Karim dan dikurniakan dua anak.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat mengadakan temubual dengan beliau di pejabatnya untuk mengetahui serba sedikit mengenai pengalamannya, pandangannya terhadap institusi keluarga, kenangan sewaktu berada di bangku sekolah dan sebagainya.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit pengalaman YB Datuk sewaktu berada di sekolah rendah?

DATUK HAJAH AZIZAH MOHD DUN: Terima kasih. Memang banyak pengalaman yang kita lalui di sekolah rendah. Saya teringat sewaktu di sekolah, saya pernah menjadi murid contoh, pernah menjadi pengawas sekolah. Antara cikgu kami waktu itu termasuklah Cikgu Matussin (Datuk Haji Matussin Awang Damit), Cikgu Haji Awang Banani, Cikgu Hajah Rosiah dan banyak lagi. Saya meminati pelajaran sejarah. Waktu itu tidak seperti sekarang, kesedaran di kalangan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak mereka masih rendah, barangkali kerana kemiskinan dan sebagainya.

Saya teringat betapa pada satu hari, rakan rakan sekolah mengejek saya kerana saya gagal dalam ujian. Mereka mengejek `Azizah makan ubat pil! Azizah makan ubat pil!. Pil itu maksudnya bukan ubat sebaliknya `fail' ertinya gagal.Walaupun mereka sebenarnya hanya bergurau tetapi ejekan mereka itu menjadi satu cabaran bagi saya. Saya berkata dalam diri saya bahawa saya boleh menjadi lebih baik. I can be better. Ia menjadi pendorong bagi saya untuk belajar lebih kuat dan lebih tinggi lagi.

UB: Datuk anak keberapa dalam keluarga?

DHAMD: Saya anak pertama daripada 13 adik beradik. Ayah saya Datuk Haji Mohd.Dun Banir pernah menjadi wakil rakyat di Lumadan dan menjadi pemimpin masyarakat di daerah Beaufort.

UB: Apa pengalaman Datuk ketika mula-mula menjadi wakil rakyat?

DHAMD: Cabaran yang dilalui ketika itu cukup sukar.Apatahlagi ketika itu saya menjadi wakil rakyat pembangkang atas tiket USNO. Cabarannya ialah bagaimana memenuhi kehendak rakyat yang memerlukan pembelaan, memerlukan pembangunan dan sebagainya.Membantu menangani permasalahan yang mereka hadapi.

UB: Apa cabaran yang Datuk hadapi ketika berdepan dengan rakyat?

DHAMD: Tapi sekarang, perkara yang paling mencabar ialah merubah minda mereka supaya berfikir lebih maju. ia memang memerlukan kesabaran. Perubahan minda ini penting kerana hanya dengan perubahan minda pemikiran rakhyat bertambah maju menuju Negara maju menjelang 2020. Jika kerajaan dapat mewujudkan infrastruktur, prasarana dan sebagainya, maka pemikiran rakyat juga perlu maju. Semua lapisan rakyat berlu menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan, ekonomi dan sebagainya agar mereka tidak ketinggalan. Kita lihat ada bangsa yang walaupun kecil bilangannya mampu menguasai politik dan ekonomi dunia kerana mereka menguasai ilmu pengetahuan. Oleh itu pemikiran harus diubah.

UB: Bagaimana Datuk melihat potensi masyarakat kita?

DHAMD: Masyarakat kita boleh bersaing dengan orang lain asalkan kita boleh keluar dari kepompong pemikiran yang mengongkong kita untuk maju. Kita sebenarnya mampu menjadi yang terbaik. Misalnya seorang anak muda, Razali Abdul Rahim dari Beaufort telah memenangi Bakat Tv baru-baru ini. Beliau dapat mengangkat muzik tradisi kita ke peringkat yang lebih tinggi. Sebelum itu, beliau pernah memenangi Anugerah di World Performing Arts di Los Angeles. Ini sangat membanggakan kita.

Selain itu kita mesti mengukuhkan lagi kita mesti mengukuhkan aspek-aspek rohani. Dalam membangun masyarakat kita khususnya generasi muda kita mestilah melakukan pendekatan holistik. Nilai-nilai rohani perlu diterapkan dalam jiwa muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa antara tugas sebagai Menteri, wakil rakyat dan ibu dalam keluarga?

DHAMD: Alhamdulillah, saya mempunyai keluarga yanh memahami.Pada mulanya memang sukar tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dan dapat membahagikan masa antara tugas dan tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak.

UB: Selalunya apa hobi datuk di masa lapang?

DHAMD: Soalan itu agak sukar dijawab kerana terlalu kurang masa lapang. Tugas sebagai pemimpin, pentadbir sebagai menteri menyita banyak masa dan kebanyakan masa digunakan untuk berkhidmat untuk rakyat.

UB: Datuk suka membaca buku?

DHAMD: Saya membaca buku selalunya dalam kapal terbang. Kebanyakannya buku buku berunsur sejarah dan motivasi.

UB: Apa pesanan ayah Datuk yang tidak boleh dilupakan?

DHAMD: Pesan beliau yang saya tidak dapat lupakan ialah beliau selalu berpesan bahawa tiada siapa yang dapat merubah nasib kita melainkan diri kita sendiri. Ia sangat berkesan buat saya. Waktu itu saya tidak sedar bahawa itu itu adalah berasal dari ayat al-Quran bahawa nasib sesuatu bangsa tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.

UB: Bagaimana Datuk minat dalam politik?

DHAMD: Minat dari kecil. Ayah saya seolah-olah menyediakan saya sebagai pemimpin.Beliau menggalakkan saya belajar undang-undang kerana kebanyakan pemimpin pada ketika itu terdiri daripada peguam seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul razak, Tun Dr Ismail. Semua mereka belajar undang undang dan kemudian menjadi pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan tanahair. Barangkali beliau mendapat ilham dari sana sehingga menggalakkan saya belajar dalam bidang undang undang.

UB: Apa falsafah atau kata-kata yang menjadi pendorong hidup Datuk?

DHAMD: Let's make different. Mari buat perubahan.

UB: Siapa idola Datuk?

DHAMD: Idola saya Nabi Muhammad SAW kerana beliau dapat menyatupadukan umat pelbagai bangsa, membawa kesejahteraan, toleransi dan sebagainya.

UB: Akhir sekali apa pesan Datuk kepada khalayak pembaca?

DHAMD: Pertama sekali kita mesti kukuhkan institusi keluarga.Keluarga yang baik boleh mewjudkan masyarakat yang baik.Masyarakat yang baik boleh mewujudkan negara yang baik. Jika keluarga rosak, masyarakat jadi rosak dan negara juga rosak. Pelbagai penyakit dalam masyarakat bermula dari institusi keluarga. Kita juga mesti bersedia untuu transformasi agar kita dapat melahirkan masyarakat yang lebih progresif dan berdaya saing. Kita mesti sentiasa prihatin terhadap aspirasi rakyat dan jangan persiakan mereka.

dipanjangkan tapi tak panjang-panjang

Tags
Dipanjangkan. Tapi kawan saya berkata dia tidak berpuas hati dengan perkataan dipanjangkan itu kerana sampai sekarang, sudah lebih lima tahun ia menerima jawapan yang serupa iaitu `dipanjangkan'.

Perkara dipanjangkan tapi sehingga sekarang tidak panjang-panjang itu membuat saya berfikir panjang. Satu ketika dahulu, sewaktu masih di bangku sekolah rendah, saya memang suka mencari tahu mengenai soal-soal berkaitan panjang. Misalnya sungai apa yang terpanjang di dunia? Jambatan yang terpanjang? dan segala persoalan ter, umpamanya terbesar, terkecil, tertinggi, terendah, dan ter ter yang lain.

Saya cuba membuat carian perkataan panjang di enjin carian google.Ternyata terdapat 102 juta entri mengandungi perkataan panjang manakala untuk perkataan dipanjangkan, saya menemui 773,000 kata. Manakala dalam enjin carian yahoo, jumlah entri yang mengandungi perkataan panjang ialah 1,200,000 manakala dipanjangkan terdapat 74,600 kata.

Memang terdapat juga orang yang sukakan panjang, sukakan kepanjangan, suka berpanjang-panjang, suka berpanjangan dan suka juga dipanjangkan. Tapi soalnya bagi kawan saya dari sebuah desa di pedalaman itu, perkataan dipanjangkan yang diterimanya sepanjang lima tahun yang lalu amat menyakitkan hati.

Beliau tidak berpuas hati kerana setiap kali dia menulis surat mengenai masalah tanah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di kampungnya, jawapan yang diterimanya seringkali membuat dia bertanya tanya bahkan tertanya-tanya mengapa dia mendapat jawapan yang serupa.

Dipanjangkan! Oleh sebab itu, beliau menghubungi media untuk mempertanyakan, bukan sekadar menanyakan maksud dipanjangkan yang diterimanya secara berpanjangan itu. Dia tidak mahu berpanjang-panjang lagi sebaliknya dia tidak mahu lagi mendapat jawapan dipanjangkan itu kerana walaupun dipanjangkan, ia tidak panjang-panjang juga.

Sebenarnya saya beraca lucu menerima aduannya itu.Saya meminta supaya beliau membawa semua surat-surat yang berisi perkataan `dipanjangkan' itu kerana saya juga ingin tahu kenapa sampai sekarang perkara itu asyik dipanjangkan. Pemanjangan itu sudah tentulah membuat penduduk desa yang terpencil itu sering bertanyakan akan perkara itu.

Dalam Kamus Dewan edisi keempat, maksud dipanjangkan ialah menjadikan panjang atau melanjutkan atau meneruskan. Satu lagi maknanya ialah menyampaikan. Jika demikian, surat kawan saya tadi itu akan atau sudah disampaikan kepada pihak atasan.

Tetapi kalau begitu, katanya kepada saya, mengapa sesuadah sekian lama dipanjangkan kepada kerajaan, masalah mengenai tanah yang kami hadapi ini belum juga selesai-selesai.

Katanya, beliau banyak kali menulis surat kepada jabatan berkenaan untuk meminta agar masalah itu dapat diberikan jalan penyelesaian tetapi, ia menyatakan dengan kesal, sehingga sekarang jawapan yang diterimanya, selalunya tertulis perkataan `dipanjangkan'.

Beliau mengharapkan satu jawapan yang lain daripada perkataan dipanjangkan itu. Saya dapat menduga bahawa beliau fobia menerima jawapan yang sama, dan menurutnya, beliau berhak mendapat jawapan yang lebih jelas, atau lebih baik daripada perkataan dipanjangkan itu.

Sudah lebih lima tahun, takkan perkara itu asyik dipanjangkan, katanya. Fikiran saya menerawang mencari takrif perkataan dipanjangkan itu untuk dijelaskan kepadanya serta proses-proses dan prosedur prosedur yang perlu ditempuhi sebelum sesuatu keputusan diambil. Risiko-risiko yang perlu ditanggung seandainya sesuatu perkara diputuskan tanpa difikirkan semasak-masaknya terlebih dahulu.

Pokoknya saya menagih jawapan yang lebih baik, katanya.Saya meminta penjelasan yang munasabah mengapa persoalan yang kami hadapi itu belum diambil tindakan sebaliknya pegawai-pegawai itu sering memberikan jawapan yang serupa iaitu dipanjangkan.

Mungkin juga perlukan `ubat panjang', katanya. Saya tertawa mendengar mengenai ubat panjang itu kerana sekarang ramai orang menjual ubat panjang, bahkan dijual secara terbuka di pasar-pasar malam. Bukan yang itu, katanya supaya saya tidak salah sangka. Ubat panjang maksudnya perkara itu tidak diuruskan jika tidak ada semacam pelicin atau ubat panjang. Kalau tidak ada yang diberikan sebagai pelincir atau ubat panjang itu, perkara itu asyik dipanjangkan saja tanpa menjadi panjang.

Setelah meletakkan telefon, saya teringat perbualan kami mengenai perkataan dipanjangkan tetapi tidak panjang-panjang itu. Saya tersenyum mengingatnya. Pada masa yang sama saya turut berasa kecewa kerana sudah lebih lima tahun, beliau sering menerima jawapan `dipanjangkan' itu.

Betapa melelahkan menunggu suatu jawapan.Betapa menghampakan.

Jumaat, 22 Julai 2011

kadangkadang niat baik boleh disalaherti

Tags
Barangkali niat baikpun boleh jadi disalah erti jika tidak disampaikan dengan baik.
Seorang kakitangan wanita yang gembira kerana mendapatkenaikan pangkat agak teruja untuk mengucapkan terima kasih apabila terserempak dengan seorang atasannya di kedai kopi.
Dengan penuh takzim beliau mengucapkan terima kasih.
Atasannya itu sebenarnya sudah melupai peristiwa itu. Tetapi dia bertanya, bila dia mendapat kenaikan itu.
Wanita tadi mengatakan bahawa dia telahpun mendapat kenaikan itu bulan sebelumnya.
Tapi kenapa lambat sangat mengucapkan terima kasih?
Wanita itu menjawab bahawa dia baru terjumpa atasannya itu dan dia mengatakan bahawa dia takut mengganggu atasannya hanya semata-mata datang untuk mengucapkan terima kasih.
"Oh dulu, sewaktu meminta sokongan, kamu datang tanpa tahu sama ada aku sibuk atau tidak," katanya. Kalau benar kamu sungguh-sungguh mengucapkan terima kasih sudah tentu kamu datang ke pejabat saya.Tetapi saya fikir kamu tidak bersungguh-sungguh mahu mengucapkan terima kasih kerana kamu mengucapkannya ha nya apabila terserempak dengan saya.
Wanita yang pada mulanya gembira mahu mengucapkan terima kasih itu akhirnya berasa kecut dan takut kerana dimarahi atasannya serupa itu.

Peristiwa kedua yang singgah dalam minda saya ialah apabila ada orang yang mahubelanja minum. Mereka sebenarnya duduk di meja dalam sementara kami berada di meja luar. "Tolong kira sekali minuman mereka?" katanya kepada pelayan restoran.
Si pelayan pula, yang tak reti bahasa, datang dengan kalkulatornya. "Ini tidak termasuk" katanya kerana dia diminta untuk mengira minuman, padahal maksud kerabat tadi itu dia mahu belanja tak kira apa yang dimakan atau diminum.
Tapi oleh sebab salah terima kerana pelayan salah cakap, maka saudara kami itu berkata, kalau mahu belanja, belanja semua yang di atas meja. Dan tak eloklah kalau ada yang diasingkan misalnya rokok.Oleh kerana itu dia menolak untuk ditraktir.
Padahal niat kerabat itu memang baik.Tapi oleh kerana si pelayan salah cakap dan tak mengerti itu, niat murni mahu `traktir' itu sedikit merosak perbualan kami.

Peristiwa ketiga yang agak melucukan juga apabila ada seseorang rakan kami mengatakan bahawa penulis tertentu tidak tepat lagi dimasukkan dalam klasifikasi penulis muda.Maksudnya penulis-penulis yang disebutkannya itu tidak boleh lagi dianggap penulis muda kerana karya dan penulisan mereka sudah melayakkan diri mereka dipanggil penulis mapan. Akhirnya ulasan itu menuai polemik yang tidak perlu, padahal ia bermula dari suatu yang baik.

Tapi saya kira apapun yang bermula dari niat baik, pasti akan berakhir dengan kebaikan.

Wawancara bersama Datuk Japlin Akim

Tags

BARANGKALI tidak ramai yang tahu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Japlin Haji Akim gemar memukat ikan ketika lapang sebagai salah satu terapi untuk meredakan tekanan kesibukan harian. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan ini sentiasa memastikan dapat bersama keluarga setiap hujung minggu. Sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan denyut nadi masyarakatnya, beliau adalah antara pemimpin muda yang sentiasa turun padang untuk bersama rakyat.

Anak bungsu daripada lapan adik beradik, Japlin memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Jawi-Jawi pada tahun 1973. Kemudian beliau menduduki sekolah menengah rendah di SMK Taun Gusi dan menjadi antara pelajar terbaik dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan empat dan lima di SMK Menggatal, salah satu sekolah terbaik ketika itu. Kemudian beliau memasuki program pendahuluan selama satu tahun di Universiti Pertanian Malaysia (UPM-kini Universiti Putra Malaysia) dan setelah itu, mengikuti pejaran di peringkat diploma pertanian. Tetapi kerana keputusan yang cemerlang di peringkat diploma, beliau ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Perniagaan Tani di universiti yang sama.

Pada tahun 1989, ketika berusia 21 tahun, beliau dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Sumber Manusia di Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Projek KPD. Pada tahun 1994, beliau berpindah kerja di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan dilantik sebagai Ketua Unit Perniagaan Tani sehingga beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya 2004 dan menang kerusi Usukan dengan majoriti 1,750 undi. Pada pilihanraya umum 2008, beliau menang lagi di kerusi DUN Usukan dengan majoriti yang bertambah tiga kali ganda iaitu 4,023 undi.

Dalam bidang politik, beliau terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Kota Belud pada tahun 2001 dan kemudian pada tahun 2004, selepas menang kerusi DUN Usukan, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Sabah. Japlin dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan kemudian pada tahun 2008, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur sehingga sekarang.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk bersembang-sembang dengan beliau sambil minum petang di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, petang kelmarin. Ikuti temubual yang dilakukan secara santai mengenai pengalaman ketika bersekolah, hobinya yang gemar memukat, dan sebagainya.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih Datuk kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga Datuk?

DATUK JAPLIN HAJI AKIM (DJHA): Saya anak bungsu dari lapan adik beradik. Anak kelapan, dalam bahasa Bajau kelapan, hampir sama bunyinya dengan kealapan.Alap ertinya baik. Jadi saya anak kelapan. Ayah saya Haji Akim Awang Hassan adalah bekas imam kariah di Kampung Kesapang Kota Belud manakala ibu saya, puan Atah bte Talib, seorang surirumah. Ayah dan ibu saya bekerja sebagai petani.

UB: Apa perbezaan kualiti pelajar dulu dengan pelajar sekarang, menurut pandangan Datuk?

DJHA: Dulu orang belajar untuk pandai. Apa yang lebih diutamakan ialah kemahiran hidup. Sekarang orang belajar untuk lulus perperiksaan. Dulu seorang pelajar mahir dalam banyak bidang kehidupan. Misalnya mereka boleh bertani, boleh menangkap kerbau, boleh memanjat kelapa, boleh mengetam padi dan sebagainya. Mereka berdikari. Yang paling ketara ialah kemahiran hidup.

Ketika itu kebanyakan ibubapa butahuruf.Jadi jarang kita dengar ibubapa bertanya anak-anak mereka dapat gred berapa? Gred 1? Gred 2? Gred 3? Jadi kejayaan anak-anak bergantung kepada kemahuan mereka untuk belajar. Walau bagaimanapun, dari aspek lain, dimana saja mereka dilepaskan, mereka boleh hidup.Mereka boleh `survive'.

UB: Sebagai anak petani, boleh kongsikan sedikit pengalaman sewaktu menuntut di Universiti?

DJHA: Ketika di universiti, mungkin kami pelajar paling miskin ketika itu. Berkat ketabahan, kegigihan, ketekunan, saya dapat juga menghabiskan pelajaran walaupun datang dari keluarga yang susah. Sewaktu di universiti, kami hanya menerima biasiswa lebih kurang RM4,000. Dengan duit itu, kami membayar yuran pengajian, makan, buku buku dan sebagainya. Kalau cuti, kami menyewa beramai-ramai kerana kadang-kadang tidak dapat balik kampung. Memang waktu belajar, pengalaman paling getir tapi kemiskinan bukan satu halangan untuk kita berjaya dan cemerlang dalam pelajaran. Asal kita punya kesungguhan, kita boleh berjaya.

Terdapat beberapa pelajar dari Sabah di UPM, Saidi Dikam, Milus Shuaib, Justina Inggihon (kini di SEDCO), Ramli Kasin (di Lembaga Koko Malaysia), Zainurin Sahat, Haji Liasin Kaloh juga, adalah rakan satu angkatan dengan saya.

UB: Apa sukan yang Datuk minati sewaktu di Universiti?

DJHA: Sewaktu di Universiti saya aktif dalam bolasepak. Selama empat tahun disana, saya sering menyertai perlawanan bolasepak. Rakan-rakan selalu meminta saya untuk menjadi goalkeeper. Jadi selama empat tahun itu, saya menjadi penjaga gol. Tapi memang posisi penjaga gol itu menjadi kegemaran saya, walaupun tidak banyak bergerak di padang tetapi memainkan peranan penting dalam sesuatu perlawanan.

UB: Pernahkah Datuk terfikir menjadi YB (Yang Berhormat)?

DJHA: Menjadi wakil rakyat langsung tidak pernah terlintas di benak saya. Saya tidak pernah terbayang menjadi YB. Ketika remaja dulu, saya seorang pendiam, tidak banyak bercakap, ada juga unsur-unsur pemalu, jadi saya tak pernah terfikir. Tetapi saya telah menetapkan matlamat bahawa pada usia 35 tahun saya memasuki dunia keusahawanan atau perniagaan. Ketika berusia 21 tahun, saya telah menjadi pegawai divisyen A, antara yang termuda waktu itu. Jadi saya hanya terfikir untuk menjadi peniaga atau pengusaha. Tapi entah bagaimana, saya ditakdirkan menjadi wakil rakyat, memikul amanah untuk berkhidmat kepada rakyat sebaik-baiknya.

UB: Apa cita-cita Datuk sewaktu kecil dulu?

DJHA: Saya tak ingat.saya hanya ingin bersekolah di luar Sabah.Anehnya, tempat yang ingin saya pergi ialah Sarawak.Barangkali itulah keinginan saya ketika kecil. Tetapi saya percaya jika kita memiliki cita-cita, cepat atau lambat kita akan dapat mencapainya.Kalau kita ingin mencapai sesuatu, mungkin tidak sekarang, tapi lambat laun kita akan mencapainya.

UB: Tentu sebagai seorang pembantu menteri, seorang wakil rakyat, Datuk sentiasa sibuk? Apa yang datuk lakukan jika ada masa lapang?

DJHA: Jika difikir betul, hampir tidak ada masa lapang. Kebanyakan masa digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan. Bagaimanapun, saya menentukan bahawa dalam satu minggu saya mesti bersama keluarga. Itu peraturan diri sendiri, satu disiplin agar dapat bersama keluarga.

UB: Ini bermakna setiap minggu Datuk bersama keluarga. Berapa anak Datuk? Yang sulung tingkatan berapa?

DJHA: Anak saya yang sulung, Farwizah Adawiah bersekolah di SMK Kolombong, menduduki SPM tahun ini. Farwizah mendapat 8A dalam PMR dan 5A dalam UPSR. Yang kedua, Mohd.Hafif, 4A dalam UPSR, Syazwani, Tahun 5 dan Hamizah, tahun 4. Saya berumahtangga dengan Datin Wini Ah Chai.

UB: Ada hobi yang lain?

DJHA: Ya, jika ada masa lapang, saya gemar memancing ikan. Itu cara saya untuk berehat. Kalau tidakpun, saya sembunyi-sembunyi `ngeringgi' atau memukat ikan, yang saya minat sejak dulu. Ngeringgi atau memukat ikan, walaupun dapat ikan yang kecil tetapi amat melegakan.

UB: Siapa pemimpin yang Datuk kagumi sewaktu dulu?

DJHA: Antaranya Datuk Seri Utama Dr.Rais Yatim. Saya juga mengkagumi ketokohan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia kerana kepimpinan dan keberaniannya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohammad, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, juga Datuk Musa Haji Aman sendiri kerana kebijakannya mengurus ekonomi negeri, dan banyak lagi yang lain.

UB: Ketika sekolah dulu, siapa cikgu yang menjadi idola?

DJHA: Cikgu yang tidak boleh saya lupa ialah Cikgu Nurajim kerana beliau rajin bercerita. salah satu ceritanya yang menarik ialah cerita awang pantat tajam, awang keras kaki, awang tahi mata segantang menaiki perahu. Cerita itu sangat menarik bagi kami yang waktu itu masih dalam sekolah rendah.Kami tertarik kerana kelucuan dan juga kerana cerita itu, walaupun lucu mengandungi iktibar untuk direnungkan. Itu sewaktu sekolah rendah di SK Jawi-Jawi. Kemudian di Sekolah Menengah Rendah (SMRK Taun Gusi), antara cikgu yang saya ingat ialah arwah Cikgu Matlin Jadi yang terkenal kerana ketegasannya, Cikgu Mansor Daud yang mendidik dengan penuh disiplin dan Cikgu Ricky Soh. Ketika melanjutkan pelajaran di SMK Menggatal, ketika itu antara sekolah terbaik, saya ingat Puan Hamidah, penolong pengetua, juga Dr.Hamdan Haji Mohammad, ketika itu pengetua SMK Menggatal. Di Universiti Pertanian Malaysia, antara pensyarah yang saya ingat ialah Prof.Dr.Kamaruddin Kachar, Dr.Nordin Kardi juga pernah menjadi guru kami.

UB: Apa nasihat ayah Datuk yang masih dipegang sampai sekarang?

DJHA: Beliau menasihatkan agar kami sentiasa berbuat baik pada orang. Jadilah orang yang baik. Jangan cari musuh.

UB: Apa komen Datuk terhadap golongan belia yang memilih kerja?

DJHA: Peluang terbuka luas.Kerja ada dimana-mana.Rezeki bertebaran di bumi Allah ini.Cuma tinggal kita saja untuk mencari jalan dengan berusaha. Mesti ada keinginan, ketekunan, kegigihan mencari peluang yang ada.Jangan cepat berputus asa. Tak semestinya keraja dengan kerajaan.Menerokai bidang keusahawanan, perniagaan, pertanian boleh juga mendatangkan rezeki yang lumayan. Saya tidak percaya tiada peluang kerana kalau tidak ada peluang untuk kehidupan atau masa depan yang lebih baik, takkanlah orang luar atau orang asing datang bekerja dan mencari rezeki di sini.

Khamis, 21 Julai 2011

Mengapa kita gentar dan Surat Tun Said

Tags

Kalau orang lain berani mempertahankan kebatilan dan kemungkaran,mengapa kita gentar mempertahankan yang benar?

Dalam surat bertarikh 25 Jamadilakhir 1400/10 Mei 1980 itu, Tun Datuk Haji Mohd.Said Keruak (ketika itu Tan Sri) bertanya kepada masyarakatnya, mengapa kita gentar mempertahankan yang benar?

Mengapa kita yang mempertahankan yang benar, harus merasa gentar? Kalau orang lain berani mempertahankan kebatilan dan kemungkaran, mengapa kita gentar mempertahankan yang benar? Saya mengulang-ulang kata-kata bijaksana yang diucapkan oleh seorang pemimpin, Tun Said, ketika itu Presiden USNO.

Beliau melihat bahawa banyak kebatilan dan kemungkaran berlaku pada ketika itu. Kebatilan dan kemungkaran yang dipertahankan dengan beraninya oleh kalangan tertentu. Mengapa kita yang mempertahankan kebenaran harus merasa takut atau gentar, tanyanya.

Cuma saya tidak pasti apakah bentuk kebatilan atau kemungkaran yang berlaku pada masa itu. Apakah kebatilan politik atau apakah kemungkaran yang dilakukan pada zaman itu.

Surat yang ditulis kira-kira 31 tahun yang lalu itu ditujukan kepada "Semua masyarakat pendudok Khas-nya dan Kota Belud Am-nya".

Mengapa surat itu ditujukan kepada semua masyarakat? Mungkin kerana pada hari itu atas kapasitinya sebagai presiden sebuah parti USNO, pembangkang di peringkat negeri dan anggota BN di peringkat Persekutuan- membuat lawatan ke Kampung Pantai Emas yang sudah tentu diramaikan oleh kehadiran dari Kg Peladuk, Kg.Bala Liang khasnya dan Kota Belud amnya dan beliau berharap lawatannya itu "Semoga mendapat sukses dalam perjuangan umat Islam dimasa yang akan datang"

"Berjuang untuk agama,berkhidmat untuk negara,kemenangan untuk umat Islam" katanya sambil menyebut bahawa "Li Allah kalimatillah".Demikianlah harapan masyarakat umat Islam Kota Belud amnya.

Saya tidak pasti apa hasil lawatan beliau pada 10 Mei 1980 itu. Menurut cerita, pada majlis perjumpaan yang diadakan pada hari itu, satu persefahaman yang dinamakan Formula 2:1:1 ditandatangani oleh Penasihat Badan Penyelaras Suku kaum Iranun, Sharif Perais Haji Sharif Baba dengan Tun Said Keruak (kini Allahyarham).

Sejauh mana kebenaran cerita itu, boleh dibuat kajian yang lebih banyak lagi .Tetapi Formula 2:1:1 itu itulah yang dikatakandiguna pakai semasa pilihanraya kecil N7 Usukan pada tahun 1982 dan Pandikar Amin Haji Mulia (kini Tan Sri) menjadi calon USNO menggantikan tempat Tun Said.

Sejarah mencatatkan yang selebihnya, Tetapi yang paling menarik bagi saya ialah kata-katanya yang menyeru agar masyarakat tidak gentar untuk memperjuangkan kebenaran. Kalau mereka yang batil pun berani memperjuangkan kebatilan dan kemungkaran mereka, kenapa pula kita kecuttakut dan gentar memperjuangkan kebenaran.

Persoalannya ialah apakah kebenaran 31 tahun lalu itu sama dengan kebenaran pada masa sekarang? Apakah yang benar dulu, benar pada masa sekarang. Tapi nilai nilai benar, adil tidak berubah.Setiap yang benar dan adil, pasti membawa kebaikan, apatah lagi kalau kita berjuang demi Allah semata-mata, demi menegakkan kalimatNya.

Surat beliau ini perlu direnung oleh generasi masa kini.Pengkaji sejarah barangkali belum terlambat untuk mengkaji latar belakang dan suasana zaman pada ketika itu sehingga Tun Said menurut satu surat yang bersifat umum kepada masyarakatnya.

Apapun, paling penting bagi kita, dan ini saya merasa yakin dan pasti bahawa kita hendaklah berani memperjuangkan yang benar. Kalau orang lain berani meperjuangkan kebatilan dan kemungkaran, mengapa harus kita gentar memperjuangkan yang benar?

Rabu, 20 Julai 2011

Catatan di Hotel Courtyard 1Borneo

Tags
Selepas menghadiri Bengkel Kerja Pengumpulan Entri Bahasa Sukuan anjuran DBP Sabah di Hotel Courtyard, 1 Borneo, Sabtu dan Ahad lepas, saya terasa makin banyak yang tak selesai. Tatabahasa bahasa Iranun memang agak kompleks. Saya fikir tidak ramai yang telah membuat kajian yang teliti mengenainya. Selain Prof.Howard Mc Kaughan, Karla Smith, Prof Datuk Dr Asmah Haji Omar, terdapat beberapa kajian yang dibuat, antaranya oleh Ahmad Mushtah Maning, dalam disertasinya yang dikemukakan di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Dalam jawatankuasa penyelidik bahasa Iranun yang saya dilantik pengerusinya itu, anggota jawatankuasa penyelidik ialah Cikgu Ismail Sidik, Saudara Julkhan Haji Arin, Mohd.Isha Jutor, Mabulmaddin Hj Shaiddin dan Sapari Rajun yang tak dapat hadir.

Walaupun kami disebut pakar penyelidik, kami sebenarnya bukan pakar. Kami hanya mengumpul kosa kata dalam bahasa Iranun dan mencari kata yang telah ditentukan domainnya. Domain kali ini ialah mengenai pakaian dan aksesori, muzik dan tarian serta pantang larang. Cara kerja kami ialah mencari dan mengumpul sebanyak banyak entri dalam bahasa sukuan untuk kemudian dicarikan padanan, takrif, ayat dalam bahasa sukuan dan terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Saya sendiri sudah terlibat dalam kajian penyelidikan bahasa Iranun ini sejak tahun 1988, yakni ketika saya masih berusia 18 tahun. Bersama kami dalam bengkel kerja itu ialah JK Penyelidik bahasa Bajausama yang kini dipengerusikan Saudara Radik Taim dan JK Penyelidik Bahasa Kadazandusun yang dipengerusikan Puan Rita Lasimbang.

Sebelum saya, antara pakar penyelidik yang pernah terlibat dalam kajian penyelidikan bahasa ini ialah Allahyarham Dr.Datu Bandira Datu Alang dan Cikgu Alkesah Bidin. Selain itu, satu ketika pada tahun 80-an, Sdr Datu Masdan Nurasin juga pernah terlibat dalam projek pengumpulan kosa kata bahasa Iranun ini.

Kami pernah beberapa kali bersidang di peringkat Sabah dan Sarawak, di Kuching, di Miri dan sebagainya. Berbincang mengenai bahasa memang sesuatu yang amat menarik dan mencabar. Tetapi bahasa adalah satu bidang yang tak akan ada habishabisnya.

Saya merasa memang banyak hal yang perlu diteliti, dicatat, dirakam, didokumentasi, dibukukan dan diterbitkan. Memang terdapat kekangan dari segi dana, misalnya untuk penerbitkan kamus dan sebagainya, tetapi sungguhpun begitu, terdapat beberapa kosakata yang telah dimasukkan dalam kamus dewan, kamus peristilahan, daftar kata dan sebagainya, dan sedikit masa lagi, semua hasil kajian dan penyelidikan itu akan dapat digunapakai secara online di seluruh dunia setelah Projek Pangkalan Data Bahasa Sukuan DBP beroperasi sepenuhnya nanti seperti yang dicita-citakan.

Makin banyak kerja penyelidikan perlu dibuat agar bahasa ibunda kita tidak hilang ditiup angin perubahan yang semakin lama semakin kencang ini.

Khamis, 14 Julai 2011

dimana mahu tanam tembuni? catatan dari pertanyaan seorang rakan

Tags
Dimana mahu tanam tembuni?
Itulah kerisauan seorang rakan kami, yang tiba-tiba dihadapkan dengan persoalan dimana seharusnya menanam tembuni.

Mengikut adat tradisi , tembuni bayi yang baru dilahirkan mesti ditanam dalam tanah. Tetapi saudaranya yang baru melahirkan anak itu, tidak lagi tinggal di kampung sebaliknya menetap di apartmen.

Seluruh keluarga mereka tinggal di apartmen. Sedangkan di apartmen tidak ada tanah untuk dijadikan tempat menanam tembuni.
Bolehkah tembuni itu ditanam di tanah orang lain.

Mengikut kepercayaan orang kampung, tembuni itu tidak boleh ditanam sembarangan kerana dikhuatiri ia boleh mempengaruhi tabiat bayi. Tidak pasti sejauh mana kebenarannya tetapi ia boleh menyebabkan bayi kuat menangis dan sebagainya.

Rakan kami itu dari keluarga sino kadazan. Beliau terpaksa menghubungi sanak saudara dan rakan-rakannya untuk mengetahui bagaimana caranya menanam tembuni sekiranya tidak punya tanah.

Saya tidak lagi bertanya apa kesudahan persoalan yang dihadapinya tetapi saya mulai berfikir betapa tanah, begitu kuat kaitan dan hubungannya dengan kehidupan manusia.
Sekurang-kurangnya kehidupan rakyat di negeri ini. Tanpa tanah seseorang mungkin sukar disebut sebagai orang yang bertanahair? Betapa pentingnya tanah bagi kehidupan seorang rakyat, sehingga mereka sanggup berbuat sesuatu yang diluar akal yang waras.

Misalnya, baru-baru ini ada seseorang yang saya temui di belakang mahkamah, agak kecewa kerana kalah dalam satu kes tuntutan tanah.

Saya begitu terkejut kerana antara solusi yang dipertimbangkannya ialah keluar parti. Beliau kecewa dengan parti yang beliau menjadi ahlinya.Tapi apa hubungan keputusan mahkamah itu dengan parti.

Solusi kedua ialah beliau akan memutuskan imigrasi keluar negara kerana beliau tidak percaya dengan sistem keadilan. Saya masih boleh dapat terima. Tetapi apabila beliau berkata akan meninggalkan keyakinannya kerana hakim yang membuat keputusan itu dilihatnya tidak adil, saya tidak dapat menerima alasannya. Betapa tipisnya iman di dada, betapa beliau tidak lagi dapat berfikir dengan betul setelah merasa dianiaya.

Saya menasihatkan beliau agar segera memfailkan rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.Barangkali dengan menampilkan buktibukti baru, keputusan mahkamah boleh berubah.
Tanah memang mempunyai kaitan yang erat dengan kehidupan manusia, tapi mahu bagaimana lagi jika kita mendapati kita sendiri tidak punya tanah.

Bayangkan jika semua tanah yang ada ditanahair kita yang kita cintai ini bukan lagi milik kita? Namun persoalannya bukan begitu.

Kemodenan juga kemajuan, dan pembangunan semakin hari semakin menghimpit kita, Sekarangpun, kita terpaksa tinggal di apartmen,di flat, dan yang seumpamanya.

Apabila kita tinggal di flat atau apartmen, hampir pasti bahasa dan budaya etnik kita akan terancam. Kita tidak dapat lagi bercakap dalam bahasa ibunda kita kerana kita berhadapan dengan kemajmukan bahasa yang juga membawa kepada kemajmukan budaya. barangkali tradisi kenduri kendara, tradisi budaya kita yang lain terpaksa kita tinggalkan kerana kita tidak lagi tinggal dalam komuniti kita.

Jangan sebut soal bercucuk tanam. Dari segi bahasa, akibatnya kita kehilangan sebegitu banyak kosakata, dari segi budaya ketika kehilangan sebegitu banyak amalan tradisi kita, dan akhirnya kita melahirkan satu bentuk budaya baru, yang tidak pasti bagaimana bentuknya.

Soal-soal asas seperti persoalan jati diri, persoalan bangsa, persoalan tanahair, persoalan patriotisme, dan sebagainya akan terbentur dengan simen simen peradaban.

Saya fikir jika kerajaan tidak menggubal satu dasar yang membolehkan seseorang mempertahankan budaya dan bahasanya, maka identiti kita terancam hilang. Sebab itu sebelum kita kehilangan segalanya, sebelum segalanya pupus, kita hendaklah `ambil tahu' mengenai budaya, mengenai tradisi supaya kita tidak menjadi makhluk yang terlepas daripada akar sejarah dan budayanya.

saya fikir persoalan rakan saya mengenai soal menanam tembuni itu telah menyebabkan saya terfikir betapa pentingnya tanah, dan betapa akrabnya hubungan tanah dan kehidupan kita.

Sabtu, 9 Julai 2011

Sekadar teringat Kahlil Gibran

Tags


Seandainya orang-orang di Tel Aviv mengingati Kahlil Gibran, mereka tidak akan memusnahkan cinta. Seandainya orang-orang di balik runtuhan bangunan di Gaza mempunyai masa untuk berpuisi, mungkin bara dendam, kebencian , kemarahan dapat diredam dan dikurangkan buat seketika.

Kahlil Gibran, penyair yang dilahirkan di Lubnan pada 1833, menulis puisi yang penuh dengan kata-kata yang menyejukkan. Puisinya penuh untaian cinta, yang berbicara tentang kehidupan manusia. Kalimat-kalimat yang penuh muatan spiritual dan penuh pesan kemanusiaan untuk tidak saling bermusuhan.

Roket dan bom jelas tak dapat memusnahkan kebencian dan dendam, dan Palestin yang berdarah dan yang luka sejak berpuluh-puluh tahun lamanya, anak-anak yang menderita dan cedera hatinya dan ibu-ibu tua yang berlari di tengah hunjaman peluru dan pemuda-pemuda yang memanggul senjata dan kita yang kehilangan jiwa, hanya berani menatapnya di kaca tv.

Saya teringat Kahlil Gibran.Beliau tidak pernah kehabisan kata untuk mengungkapkan rasa cinta.Kahlil tak dapat dipisahkan dengan cinta, cinta sesama manusia, kasih sesama manusia dan Gibran berpuisi.

"Sekarang cinta telah menjadi sebuah lingkaran cahaya yang awalnya adalah akhirnya, dan akhirnya adalah awalnya. Lingkaran cinta itu mengelilingi setiap makhluk dan meluas dengan perlahan dan memeluk semua yang hidup", kata Kahlil Gibran dalam salah satu puisinya.

Apakah `lingkaran cahaya cinta yang mengelilingi setiap makhluk dan meluas dengan perlahan dan memeluk semua yang hidup,' seperti yang dikatakan Kahlil Gibran itu, terpadam dalam kegelapan dan kehitaman hati manusia? Apakah lingkaran cahaya cinta kini menemui akhirannya?

Penyair Kahlil Gibran, mungkin tidak ramai yang tidak mengenalinya, menghasilkan sajak-sajak yang indah, yang penuh pesan dan membuka jalan fikiran. Selain puisi-puisi cinta yang diungkapkan dari jiwanya, Kahlil juga pernah menghasilkan puisi yang meratapi nasib bangsanya. Barangkali akan ada manfaatnya jika kita dapat merenungkan puisi bertajuk `kasihan bangsa' ini untuk sekadar instrospeksi diri.

Beliau bercerita ketika negaranya, Lubnan belum merdeka dan masih dijajah kolonialisme. Kata Kahlil, "Kasihan bangsa yang memakai pakaian yang tidak ditenunnya,memakan roti dari gandum yang tidak dituainya dan meminum anggur yang tidak diperasnya.

Saya fikir, untaian katanya dapat difahami dengan jelas. Beliau mengatakan bahawa bangsa yang hanya tahu memakai tanpa tahu membuat, bangsa yang hanya tahu makan tanpa tahu menanam, bangsa yang tahu minum tanpa tahu memprosesnya, perlu dikasihani.

Kahlil seterusnya menulis "Kasihan bangsa yang menjadikan orang bodoh menjadi pahlawan,dan menganggap penindasan penjajah sebagai hadiah.". Beliau menggambarkan situasi di negaranya ketika masih dijajah dan mengkritik sikap orang-orang yang menganggap penjajahan sebagai satu hadiah kepada mereka.

Dalam rangkap ketiga, Kahlil menyatakan keprihatinan terhadap bangsa yang tidak berbuat apa-apa dalam memerangi nafsu walaupun dalam hati mereka mengatakan bahawa nafsu sedemikian tidak baik. Kita boleh tafsirkan sebagai nafsu serakah, nafsu amarah, berahi kuasa dan berbagai-bagai jenis nafsu lagi. "Kasihan bangsa yang meremehkan nafsu dalam mimpi-mimpinya ketika tidur,sementara menyerah padanya ketika bangun," katanya dalam puisinya itu.

Seterusnya, beliau menulis bahawa "Kasihan bangsa yang tidak pernah angkat suara kecuali jika sedang berjalan di atas kuburan,tidak sesumbar

kecuali di reruntuhan,dan tidak memberontak kecuali ketika lehernya sudah berada di antara pedang dan landasan". Kahlil melahirkan rasa kecewanya terhadap sikap orang-orang di zaman ketika Lubnan masih terjajah itu, yang bertindak hanya apabila mereka terancam dan hanya menakuti sesuatu hanya apabila mereka berjalan di atas kuburan.

Beliau juga melahirkan rasa kasihan melihat pemimpin bangsanya yang serakah seperti serigala." Kasihan bangsayang negarawannya serigala,falsafahnya gentong nasi,dan senimannya tukang tambal dan tukang tiru.". Di sini jelas, beliau juga mengkritik sikap seniman yang hanya suka menjadi `tukang tampal dan tukang tiru"

Barangkali pada waktu Kahlil berpuisi itu, Lubnan sedang haru biru. Kahlil yang hidup antara 1833-1931 memiliki pengalaman menyaksikan perpecahan di negaranya.

"Kasihan bangsa;yang menyambut penguasa barunya;dengan trompet kehormatan;namun melepasnya dengan cacian,hanya untuk menyambut penguasa baru dengan trompet lagi." Kahlil bercerita bagaimana satu bangsa yang menyambut pemimpin dengan penuh penghormatan tetapi kemudian setelah itu mencaci dan melupakan jasa bakti. Kemudian meniup trompet lagi, untuk menyambut pemimpin baru kemudian mencaci maki mereka lagi dan demikian seterusnya, tak ada hentinya.

Saya tidak begitu pasti bagaimana situasi yang dilihat Kahlil di negaranya ketika itu, sehingga dia berkata "Kasihan bangsa;yang orang sucinya dungu menghitung tahun-tahun berlalu;dan orang kuatnya masih dalam gendongan.".Beliau sendiri sudah meninggal dunia kira-kira 80 tahun lalu di New York kerana diserang penyakit batuk kering-tuberculosis.

Bagaimanapun, rangkap terakhir sajak Kahlil Gibran itu, saya fikir wajar difikirkan bersama-sama. Beliau menutup puisinya itu dengan satu bait yang sangat mengesankan, dan sudah tentu sajak ini dibuat dengan penuh perenungan. "Kasihan bangsa yang berpecah-belah,dan masing-masing menganggap dirinya sebagai satu bangsa."

Kasihan bangsa yang berpecah belah, kata Kahlil Gibran. Saya fikir beliau benar.