Monday, August 29, 2011

catatan malam raya 1432 1

Dalam kamar yang digelapkan, saya cuba menulis entri ini.Di sebelah saya, ialah anak perempuan kesayangan saya, Sitti Mehran Yasmine sedang memerhati dan membetulkan ayat dan ejaan. Dua orang lagi wira, Ahmad Fawzan dan Ahmad Aliff Farhan cuba ditidurkan oleh ibu mereka, isteri saya yang seharian ini agak sibuk dan kelihatan letih. Tapi esok AidilFitri.Emak mertua saya sedang sibuk memasak,sementara isteri sebentar lagi bangun untuk menjahit langsir.

Saya sengaja menulis blog. Buku Novel Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan itu telahpun selesai dibaca. Saya sebenarnya ingin menyiapkan sebuah esei mengenai signifikan Hari Malaysia dengan Pembangunan Negara Bangsa, tajuk yang diberikan oleh editor eksekutif kami untuk disiapkan untuk siaran hari Rabu tapi talian broadband tersekat sekat.

Saya teringat betapa sukarnya mencari bas untuk pulang ke Tawau ketika musim perayaan. Saya tak menempah lebih awal kerana sudah berjanji dengan Haji Hakim untuk pulang bersama ke pantai timur tetapi entah kenapa saya tergamit untuk ke terminal utara awal pagi itu selepas subuh.

Sesampainya di sana, semua bas yang akan ke Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan semuanya penuh. Tapi saya tetap optimis dan yakin dapat tempat pada pagi itu
Dan benar, sewaktu tauke bas itu mengatakan semua bas penuh,saya bertanya juga jikalau-manalah tahu ada orang yang tak jadi berangkat.

Alhamdulillah, kebetulan ada kerusi, no.43, di belakang sekali, yang entah kenapa orangnya tak datang.
Setelah membayar tambang RM75, kemudian saya menaiki bas Manis Liner jam 7.30 pagi menuju Semporna.
Semporna? Kerana bas ke Tawau dah penuh, saya berfikir sesampainya saya di Semporna, saya akan menyambung perjalanan lagi ke Tawau.

Dalam separuh masa perjalanan itu saya sengaja tidur. Jarang sekali saya memilih waktu pagi hari untuk ke Tawau. Biasanya saya suka perjalanan malam atau kalau tidak pun penerbangan akhir Air Asia. Saya terlepas melihat puncak gunung Kinabalu, yang tersergam, luar biasa indahnya itu.

Setibanya di Telupid, dan setelah bas berhenti, saya mengambil kesempatan ke tandas. Biasanya ada makan tengahari untuk penumpang, tetapi kebanyakan orang berpuasa. Selepas itu, dalam sisa perjalanan itu saya menghabiskan novel Naratif Ogonshoto itu.

Orang sentiasa mencari api walaupun api panas.Orang sentiasa mencari mawar walaupun tangkainya berduri. Itu adalah antara kata-kata dalam novel Dr.Anwar Ridhwan, novel sasterawan negara yang memenangi tiga hadiah itu.

Friday, August 19, 2011

Datuk Harman berperahu untuk temui rakyat di Sulabayan



DATUK HARMAN BERPERAHU TINJAU MASALAH RAKYAT DI SULABAYAN

Datuk Haji Harman Mohammad dilahirkan di Kampung Igang Igang Melanu, sebuah kampung nelayan di Pulau Bum Bum. Beliau bersekolah rendah di SK Sisipan, yang terletak kira-kira satu jam berjalan kaki dari rumahnya. "Kadang-kadang sampai rumah, sudah masuk waktu Isyak", katanya mengenang. Anak ke-12 daripada 15 adik beradik ini kemudian meneruskan pelajaran di SMK Abdullah dalam aliran Inggeris hingga lulus MCE. Selepas itu, beliau pernah bertugas di Telekom Malaysia sebelum berkecimpung dalam bidang politik. Beliau pernah terpilih sebagai Exco Pemuda USNO ketika parti itu menjadi pembangkang di peringkat negeri dan anggota BN di peringkat persekutuan. Di Zaman pemerintahan PBS, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) selama tujuh tahun. Ketika UMNO mengembangkan sayapnya di Sabah, Haji Harman meletakkan jawatan untuk menyertai UMNO. Beliau pernah menjadi AJK Bahagian UMNO Semporna. Selepas itu, pada tahun 2008, atas komitmen dan sikap konsisten dalam perjuangan, beliau terpilih sebagai calon BN bagi DUN Sulabayan dan berjaya memenangi kawasan itu dengan selesa. Selain tugasnya sebagai ADUN Sulabayan, beliau juga adalah Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).

Sejak zaman persekolahannya, beliau berkecimpung dalam bidang kebudayaan, seni dan tarian, drama dan syair dan seorang yang aktif dalam Kelab Bahasa Melayu.Haji Harman juga seorang pembahas dan pemidato yang handal.
"Dalam satu pertandingan pidato di peringkat daerah, saya pernah menjadi johan dan mengalahkan bekas guru saya," katanya dalam temubual dengan wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri. Ikuti temubual Utusan Borneo bersama beliau mengenai tugasnya sebagai wakil rakyat, sebagai ketua keluarga, hobi dan harapannya terhadap generasi muda.


UB: Pernahkah Datuk terfikir menjadi YB?
DHHM: Sejak dibangku sekolah lagi, saya memang mengikuti perkembangan politik. Setiap kali ada perjumpaan politik, saya akan hadir. Ketika itu zaman pemerintahan USNO. Saya sering mendengar ucapan-ucapan Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun dan Tun Sakaran ketika itu. Saya tertarik dengan isi-isu ucapan dan pidato yang mereka sampaikan, yang meniupkan semangat untuk membela nasib rakyat dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Dari situlah timbul minat saya dalam politik. Bila saja ada perjumpaan politik di Semporna, saya pasti akan menghadirikan diri.Waktu itu saya masih di sekolah menengah Form 4-Form 5 (Tingkatan 4-Tingkatan 5).

UB: Apa kegiatan Datuk selepas tamat sekolah?
DHHM: Saya bekerja di Telekom. Kemudian aktif politik, waktu itu masih pembangkang. Saya pernah menjawat jawatan Exco Pemuda USNO Pusat selama dua penggal. Saya berjuang bersama rakyat, walapun ketika itu kita masih pembangkang, tetapi ia tidak melunturkan semangat saya. Apabila PBS memerintah, saya dilantik pula sebagai Ketua Anak Negeri (KAN). Tujuh tahun saya menjadi Ketua Anak Negeri. Apabila UMNO bertapak di Sabah, saya terus meletak jawatan dan aktif dalam UMNO sehingga sekarang. Mula-mula saya menjadi AJK Bahagian, pernah tanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian tetapi kurang bernasib baik. Walaupun nama saya disebut-sebut menjadi calon sejak 1994, tetapi saya terpilih menjadi calon pada tahun 2008. Saya amat menghargai dan berterima kasih dengan keyakinan Presiden UMNO dan Pengerusi BN, juga kepercayaan yang diberikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Musa Haji Aman yang memungkinkan saya, dengan kehendak Allah, menjadi wakil rakyat di Sulabayan.

UB: Saya melihat Datuk seorang yang family-oriented. Seorang yang rapat dengan keluarga. Saya fikir ia suatu menarik.
DHHM: Saya rapat bukan saja dengan keluarga yang dekat, malah kerabat yang jauh. Saya rapat dengan seluruh lapisan masyarakat,belianya..., hajinya..., orangtuanya..., semua saya cukup rapat. Itu memang budaya masyarakat di Semporna, yang rapat dengan keluarga mereka, sebagai unit yang tak dapat dipisahkan.Apatahlagi sebenarnya tidak ada orang lain di Semporna, kerana kebanyakan mereka mempunyai pertalian keluarga dan sebagainya.

UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa sebagai ahli politik, wakil rakyat dan ketua keluarga?
DHHM: Saya menetapkan dalam sebulan, dua minggu saya berada bersama rakyat di kawasan saya di Sulabayan. Satu minggu dengan keluarga dan satu minggu lagi adalah masa yang saya peruntukkan untuk berurusan, sama ada di KK atau di KL, yang berkaitan dengan urusan dan kepentingan rakyat. Tiap minggu saya berada di kawasan saya untuk bersama rakyat yang saya wakili.

UB: Bagaimana pula kesibukan dalam bulan Ramadan ini?
DHHM: Sepanjang bulan puasa ini, memang kesibukan saya bertambah.Saya mengunjungi rakyat di enam zon di kawasan saya. Dalam masa yang sama, saya menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak yatim, ibu tunggal, golongan fakir miskin...Kira-kira seribu orang.Sebahagiannya merupakan sumbangan Baitulmal . Saya berusaha untuk memastikan semua rakyat yang memerlukan bantuan diberikan bantuan.Mungkin ada yang tercicir tetapi saya cuba untuk memberikan bantuan yang terdaya untuk meringankan bebanan mereka.

UB: Sebagai wakil rakyat, apakah Datuk tidak rasa tertekan dengan pelbagai masalah rakyat?
DHHM: Tanggungjawab sebagai wakil rakyat memang berat, tapi saya tidak pernah merasa tertekan sebaliknya saya berasa seronok melayan mereka. Mereka boleh menghubungi saya 24 jam. Telefon saya sentiasa terbuka.Saya seronok bersama rakyat.

UB: Mungkin Datuk boleh ceritakan apa program-program yang Datuk jalankan di kawasan?
DHHM: Saya telah mengadakan program jelajah kampung. Semua kampung di kawasan saya, saya kunjungi dengan tujuan untuk mendekati rakyat, menyelami masalah-masalah rakyat dan cuba menangani permasalahan yang mereka hadapi. Selain itu, saya dapati rakyat di kawasan saya menerima kepimpinan kerajaan BN.Hasil dari lawatan saya di kawasan Sulabayan, saya mendapati rakyat sepenuhnya menyokong kerajaan yang sedia ada.

UB: Saya difahamkan kawasan Sulabayan adalah kawasan DUN yang terdiri daripada pulau-pulau? Sejauhmana kebenarannya Datuk? Datuk tidak takut jika ada ombak?
DHHM: Saya sudah biasa dengan ombak kerana kawasan Sulabayan adalah sebuah kawasan DUN yang terdiri daripada lebih 100 pulau, yang hanya boleh dihubungi menggunakan perahu atau bot. Ia mungkin satu-satunya kawasan di Malaysia yang terdiri daripada pulau-pulau.Naik bot satu atau dua jam untuk melawat kawasan adalah perkara biasa. Tiada jenis pengangkutan lain kecuali dengan perahu atau botHanya bila ada program di pulau waktu malam, saya meminta bantuan pasukan keselamatan untuk mengiringi rombongan.

UB: Oh ya. Berapa orang anak Datuk? Sudah punya cucu?
DHHM: Dari isteri pertama, Datin Hajah Kamariah bte Sappal, saya dikurnikan enam orang anak, tiga daripadanya sudah berumahtangga. Saya memiliki 10 cucu daripada anak-anak saya. Dengan isteri kedua, Ustazah Nik Norhusnawati Wan Yusof saya dikurniakan seorang anak.

UB: Apa hobi Datuk jika ada masa kelapangan masa?
DHHM: Saya sebenarnya suka bersiar-siar bersama-sama sahabat.Saya membawa sahabat dan rakan-rakan terdekat, berkunjung ke pulau-pulau, berkelah dan sebagainya. Kedua, saya suka membawa keluarga berjalan, melancong ke suatu tempat dan ketiga saya suka membaca buku.

UB: Apa jenis buku yang Datuk suka baca?
DHHM: Saya suka membaca buku buku berkaitan agama, sosio politik dan kemasyarakatan.Saya sentiasa membaca untuk menambahkan pengetahuan jikalau ada masa.

UB: Bagaimana Datuk melihat kepimpinan hari ini?
DHHM: Saya melihat kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan rakyat. Beberapa perubahan yang diperkenalkan mendapat tanggapan positif, sesuai dengan kehendak masa dan keadaan. Manakala kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman pula telah memperlihatkan kemajuan dari segi perkembangan ekonomi. Banyak pembangunan yang telah dibawa. Selain itu, ia juga telah berjaya menanamkan rasa muhibbah, persefahaman, perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini. Semua ini penting untuk memastikan pembangunan yang berterusan. Rakyat di kawasan Sulabayan menyambut kepimpinan Datuk Najib dan Datuk Musa.

UB: Apa komen Datuk terhadap generasi muda sekarang? Apa harapan Datuk kepada mereka?
DHHM: Generasi muda sekarang berbeza dengan generasi terdahulu.Bagaimanapun, saya yakin mereka peka melihat keadaan. Mereka dapat membezakan mana pemimpin yang betul-betul beramanah dan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat. Saya juga yakin mereka akan terus menyokong kerajaan.


Thursday, August 18, 2011

catatan di malam resepsi diplomatik


Sebaik memberi salam akhir solat maghrib,telefon berdering.Saya perlu bergegas untuk menghadiri Malam Resepsi Diplomatik Hari Ulang Tahun ke-66 Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia di Magellan Sutera.

Sebagai wartawan, sudah tentulah undangan untuk menghadiri majlis seperti ini tidak wajar dipersiakan. Saya menghargai undangan dari rakan-rakan dari KJRI Kota Kinabalu, bahkan Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid mengundang kami hadir sambil membuat liputan.

Bagi saya sendiri, peluang hadir ini bukan saja untuk mengucapkan selamat atas ulangtahun kemerdekaan Indonesia kepada rakan-rakan warga Indonesia tetapi juga peluang untuk bertemu dengan orang-orang kenamaan, yang boleh menjadi sumber berita dan boleh diinterviu berkenaan sesuatu perkara.

Saya sempat berbual dengan Prof Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman, seorang tokoh akademik yang telah lama mencurahkan khidmat baktinya di Sabah. Tahun ini adalah tahun akhir bagi beliau berkhidmat kerana tahun depan beliau mencapai usia 65.

Lama juga tidak bertemu Wan Shawaluddin.Kali terakhir ialah ketika beliau membuat kajian mengenai PTI di Sabah. Selain itu saya agak terkejut juga ketika bertemu Suhaimi Magi. Saudara Suhaimi, tokoh tari Sabah ini rupanya sudah menjadi pensyarah di Sekolah Pengajian Seni UMS.

Banyak persembahan kebudayaan Indonesia yang dipersembahkan pada malam itu. Angklong, tari dan sebagainya. Selepas saja acara minum kehormatan, Sabah diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai dan Indonesia diwakili oleh Bapak Konjen sendiri, dan lagu Indonesia Raya dikumandangkan juga lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, hadirin menjamu selera yang disediakan.

Pertemuan dengan Datuk Dr.Zaki haji Gusmiah pula menghimbau kenangan beliau ketika menjadi pemimpin belia. Kini beliau membuka pejabatnya di Tanjung Aru Plaza, dan menekuni bidang perniagaan.

Saya juga sempat meminat nombor Kol.Datuk Haji Ghani Rashid untuk menginterviewnya. Mantan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu ini setuju untuk ditemubual, "kalau masih relevan".Datuk amsih relevan, kata saya kerana ramai yang ingin tahu apa kegiatan Datuk selepas bersara.

Bapak Rudhito Widagdo, Minister Counselor yang akan berpindah ke Jakarta Oktober depan menanyakan sama ada saya sudah mendapat alamatnya di Jakarta. Saya berhasrat untuk menemubualnya sebelum beliau pulang ke Jakarta mengenai pengalamannya di Sabah.

"Bawa Pak Kamarudin sekali, kita buka puasa di rumah," katanya. Mungkin September nanti, selepas Lebaran, saya akan menginterviewnya.

Rupanya Kapten Chin Kui Foh, Pengarah Jabatan Dermaga Labuan itu berasal dari Kota Belud. Beliau bertanya saya mengenai orang KB, rupanya beliau satu kelas dengan Jenar lamdah. Kapten Chin sudah bertugas di WP Labuan sejak 1972.

Syukurlah, kerana lama berkecimpung dalam dunia kewartawanan, hampir sebahagian staff KJRI KK menjadi sahabat dan rakan baik saya. Mereka semuanya baik baik belaka. Pak Iman Rohadi, Pak Munadi Roslani, Pak Sanjaya dan lain-lain.Pak Arnanto, Pak Hassan, Pak Darmin, semua mereka telah memberikan kerjasama yang baik untuk melicinkan tugas kami sebagai wartawan.

Berbicara dengan Pak Sanjaya, orang Jawa yang dilahirkan di Makassar dan pernah bertugas di Yaman itu membuka lagi cakerawala pikiran terutamanya dari aspek antropologi. Kami bicara mdengenai filem lasykar Pelangi, mengenaai bagaimana kerajaan Islam pasai, perlak, Aceh hingga Demak memyebarkan Islam di Nusaantara.Juga mengenai kewjudan penganut Hindu di Bali, mengenai sejarah orang Arab, mengenai betapa Sultan Ternate ternyata begitu toleransi kepada mubaligh Kristian yang terdampar dan kemudian menyebarkan Kristian di Papu dan sbagainya. Semua ini input yang sangat berharga.

Sempat juga berbincang dengan pak Anto mengenai kemungkinan mengundang penulis atau budayawan dari Indonesia, penulis, novelis dan sebagainya untuk pertukaran budaya dan bedah karya.

Malam Resepsi Diplomatik Hari Ulang Tahun ke 66 itu berlangsung dalam suasana santai dan bermakna. Sempat juga menyapa dengan ramai tokoh masyarakat, tokoh politik dan sebagainya. Selepas majlis selesai kami bertiga, saya, kamarudin dan Rashid meninggalkan rakan rakan lain yang menanti masa untuk interview.

Mujur kami sudah membuat interview sehari lebih dulu.

Tuesday, August 16, 2011

Haji Baharuddin Ab Wahid dan 31 AKMA


SETIAP hari, sejak 1 November hingga 1 Disember tahun lalu, Tuan Haji Baharuddin Ab.Wahid rajin berfacebook. Setiap malam beliau mencatat dan menulis di dinding fisbuknya.

Saya diantara orang yang sentiasa mengikuti catatannya di facebook, yang meskipun pendek tetapi amatlah bermanfaat untuk direnung bersama.

Sepanjang bulan itu, beliau menulis 31 AKMA. AKMA yang dimaksudkan bukanlah nama wanita yang jelita tetapi ia adalah kependekan Antara Kesilapan Mendidik Anak.

Haji Baharuddin mencatat sebanyak 31 antara kesilapan mendidik anak, untuk direnung oleh rakan-rakan facebooknya.

"Ini adalah antara kesilapan yang pernah saya lakukan termasuk juga kesilapan ibubapa yang saya perhatikan dan fahami," katanya.

Harus difahami bahawa menjadi ibubapa yang baik itu juga bukanlah satu pilihan, katanya. Ia merupakan satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebaik mungkin sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah bahawa isteri dan anak-anak itu adalah amanah yang wajib dipatuhi oleh hamba-hambaNya.

Rupanya Haji Baharuddin yang saya kenali itu bukan sekadar pakar perbankan. Beliau pernah bekerja selama 28 tahun dalam industri perbankan dan pengurusan kewangan sejak 1983. Selain mahir dalam bidang kewangan, Haji Baharuddin juga mahir dalam bidang keibubapaan.

Beliau memiliki ijazah Bachelor in Marketing dan ijazah Master in Business Education daripada Southern Illinois University USA. Selain itu, beliau juga pernah mengajar di UiTM Sabah sebagai pensyarah sambilan selama lapan tahun 1995-2003.

Sejak 2000, beliau menumpukan perhatian terhadap amalan tadbir urus korporat dimana beliau mengelolakan seminar bersama syarikat GLC dan syarikat swasta. Beliau telah melatih lebih 1,000 pengarah syarikat dan syarikat berhad di Sabah. pada tahun 2005, beliau diberi kepercayaan untuk menyusun semula Baitulmal Negeri Sabah yang kini dikenali sebagai Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, ringkasnya PBNS.

Selepas tiga tahun, PBNS mencapai taraf empat bintang dalam Indek Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara Malaysia.

Untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang adalah harapan semua insan yang berkeluarga, katanya seperti yang dikuti Buletin Al-Jariah Buletin- Semi Tahunan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

"Namun tidak dinafikan untuk mencapai tahap yang cemerlang bukan mudah.Beberapa rintangan, cabaran dan permasalahan yang di luar jangka akan berlaku," katanya sambil menambah bahawa menjadi ibubapa yang baik adalah tanggungjawab yang diperintahkan Allah SWT, yang wajib dilaksanakan sebaik-baiknya.

Tujuan memaparkan 31 Akma ini adalah untuk perkongsian maklumat dengan harapan agar kita sama-sama dapat mendidik anak-anak sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, katanya.

31 Akma itu dikumpulkan dan ditulisnya semula daripada catatan-catatan facebook selama satu bulan iaitu sepanjang November tahun lalu.

Akma1
Tidak mengambil kesempatan untuk menjadi kawan kepada anak-anak terutama sekali apabila mereka meningkat dewasa

Akma2
Tidak banyak berdoa untuk kejayaan anak

Akma 3
Tidak mendidik anak-anak untuk menghormati bukan saja ibu bapa mereka tetapi juga kepada semua orang yang lebih tua dari mereka

Akma4
Tiada masa untuk bermesra dan berjenaka dengan anak-anak terutama sekali jika mereka sudah meningkat dewasa

Akma5
Tidak bersama-dama anak ketika anak ada aktiviti di sekolah

Akma6
Tidak banyak berbincang dengan anak-anak mengenai hal-hal agama

Akma7
Tidak suka mendisiplinkan anak-terlalu memanjakan walaupun dalam keadaan yang salah

Akma8
Tidak mengarah untuk bersolat

Akma9
Tidak konsisten dalam memberi teguran atau hukuman kepada anak-anak

Akma10
Tidak menasihatkan anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan

Akma11
Tidak membawa anak berbincang dengan perkara yang berkaitan dengan isu-isu moral dan kekeluargaan

Akma12
Tidak bertolak ansur dengan anak-anak walaupun mereka telah melakukan kesilapan yang remeh

Akma13
Tidak melarang anak-anak jika mereka ingin bermalam di rumah kawan-kawan mereka

Akma14
Tidak memberi motivasi tetapi hanya memarahi anak-anak jika mereka memperolehi keputusan penilaian sekolah yang tidak memuaskan

Akma 15
Tidak menggalakkan anak-anak untuk melancong, jika berkemampuan

Akma16
Tidak membuat persediaan atau perancangan berhubung dengan pendidikan anak-anak ke peringkat yang lebih tinggi-kolej atau universiti

Akma17
Tidak memantau pergaulan sosial anak-anak

Akma 18
Tidak memantau sepenuhnya perkembangan anak-anak di sekolah

Akma19
Tidak menghargai sumbangan anak-anak

Akma20
Tidak memberi peluang kepada anak-anak untuk menjelaskan jika mereka telah melakukan kesilapan

Akma21
Tidak bersalaman dengan anak-anak setiap kali dan setiap hari bertemu dan berpisah

Akma22
Tidak memahami budaya anak-anak dan pada masa yang sama tidak mengajar anak-anak untuk memahami budaya dan adat resam keluarga dan orang-orang lama

Akma23
Tidak merestui anak-anak untuk membuat pilihan sendiri

Akma24
Tidak menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak

Akma25
Tidak memantau kerja dan kegiatan pembantu rumah yang menjaga anak-anak di rumah

Akma26
Tidak menggalakkan atau mengajak anak-anak untuk menghadiri program atau aktiviti-aktiviti agama

Akma27
Tidak menepati janji yang telah dibuat dengan anak-anak

Akma28
Tidak menjadi pendamai yang baik jika anak-anak berkelahi sesama sendiri

Akma29
Tidak bertegas dengan anak-anak jika mereka banyak membuang masa di rumah

Akma30
Tidak mendidik anak-anak tentang kebaikan menabung atau membuat simpanan

Akma31
Tidak menjelaskan kepada anak-anak sekiranya berlaku kesilapan di pihak ibu bapa

Ketika menuliskan semula 31 Akma, idea daripada Haji Baharuddin ini, saya teringat seperti menulis enakmen. Ini adalah antara kesalahan mendidik anak, yang sepatutnya dapat elakkan sekiranya kita ingin menjadi ibu bapa yang baik dan cemderlang, katanya.

Wallahu'alam



Saturday, August 13, 2011

rukun rukun Ur hingga makan-makan bubur

Sambil menunggu waktu berbuka puasa bersama pelajar-pelajar miskin dalam satu majlis anjuran Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) di Beverly Hotel, saya sempat mencatatkan sedikit nota tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd.Zul Fauzi dari JHEAINS.

Barangkali inilah pertama kali saya mendengar tazkirah yang disampaikannya. Saya tertarik dengan penyampaian ustaz muda itu yang menyampaikan tazkirahnya secara sederhana, tidak menghukum, tidak mengeraskan suara malah gaya khas loghat Sabah yang lembut, dan tenang itu agak ketara.

Saya tidak pasti beliau berasal dari daerah mana. Tapi itu tidaklah penting. Bagi saya, perkara yang telitikan dalam tazkirah yang disampaikan ialah apa agaknya yang disampaikannya untuk santapan minda kami pada ketika itu.

Hujah hujah beserta dalil yang disampaikannya agak bernas, dan juga segar.Nasihat-nasihat dan pesan yang disampaikannya kepada hadirin, juga ketika dia mengkritik sikap sebilangan umat yang tidak teratur menunaikan solat, atau tidak serius menunaikan ibadah, beliau mampu membuat orang tersenyum di sebalik kritikannya itu.

Perkara yang paling menarik bagi saya ialah apabila beliau menjelaskan mengenai `rukun-rukun ur' yang mahu tidak mahu terpaksa dijalani setiap insan. Oleh sebab itu, beliau mengingatkan kita agar sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menjalankan ibadah kepadanya.

Rukun ur yang pertama, katanya ialah apabila mata mulai kabur. Apabila mata mulai kabur itulah petanda-petanda yang jelas bahawa usia semakin sampai ke penghujungnya. Apatahlagi jika rukun ur yang kedua, iaitu uban mulai bertabur. Rambut yang dulunya hitam kini memutih kerana uban yang mulai bertabur.

Rukun ur yang ketiga ialah apabila kulit mulai kendur. Tubuh yang dulu gagah perkasa kini mulai kendur. Itulah rukun ur yang ketiga, manakala rukun ur yang keempat apabila gigi mulai gugur.
Gigi yang dulunya boleh digunakan apa saja, kini tidak kuat lagi sebaliknya mulai gugur.
Rukun ur yang kelima ialah makan-makan bubur. Jika skita sudah mencapai tahap makan-makan bubur, itu maksudnya kita akan sampai ke rukun ur yang berikutnya iaitu masuk ke liang kubur.

Pabila mata mulai kabur, pabila uban mulai bertabur, pabila kulit mulai kendur, pabila gigi mulai gugur, pabila sudah makan-makan bubur, itu bererti kita sudah dipanggil-panggil ke liang kubur.

Sungguh satu tazkirah yang menarik dan menginsafkan.

Tuesday, August 9, 2011

Masih banyak `rumah aspalela' di Semporna, kata haji rahman



Jika banyak agensi kerajaan prihatin terhadap usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat di pulau-pulau di Semporna seperti pulau Larapan, sudah tentu tidak lama lagi kita tidak akan melihat lagi `rumah aspalela'.

Apa `rumah Aspalela' tu tuan haji?. Saya bertanya begitu kepada Haji Abdul Rahman Labatan seorang kontraktor terkenal di Semporna.

Beliau tersenyum. Katanya sebutan `rumah aspalela' itu sekarang popular di Semporna. `Rumah Aspalela' itu maksudnya rumah yang dindingnya nipah, atapnya nipah.
Oh begitu!. Bagaimana pula asal muasal hingga ia disebut `rumah aspalela'?.


Pernah tengok filem `Duyung?". Saya sebenarnya hanya menonton sekilas filem yang diarahkan A.Razak Mohaideen itu. Saya lebih tertarik kerana sebahagian filem itu menggambil latar penggambaran di Pulau Sipadan,Mataking, Bohey Dulang dan Tampi-Tampi.

Ya, Saiful Apek terjumpa duyung yang dilakonkan si cantik jelita Maya Karin.Filem tahun 2008 itu bercerita mengenai kehidupan Jimmy (Saiful) menghabiskan masanya membersihkan sampah di kampung mereka. Beliau mencintai Aspalela separuh mati tetapi Wan Pagek , bapa Aspalela (yasmin hani) enggan merestui kecuali kalau dia memiliki tanah.

Kerana kecewa, beliau membuat pulau terapung dengan mengumpul segala macam sampah sehingga membuat penduduk kampung hairan.

Perbuatan Jimmy mengumpul sampah-sampah itu diperhatikan oleh Puteri (Maya Karin)..Bagaimanapun setelah kampung heboh kerana Jimmy mengatakan terjumpa sang duyung, Puteri tidak muncul lagi.

Saya tak begitu ingat lagi apa ceritanya. Puteri muncul kemudian dengan mengingatkan bahawa persahabatan mereka itu mestilah dirahsiakan. Jimmy dibawa ke kedalaman lautan untuk melihat khazanah harta yang kaya. Jimmy mengatakan bahawa memang dia mencintai Aspalela tetapi kerana tidak mempunyai wang, beliau gagal mendapatkan cinta Aspalela.

Cerita berlanjut dengan Jimmy yang enggan menerima pemberian harta Puteri, terbangun keesokan paginya dengan mendapati peti yang penuh berisi harta. Jimmy mendadak kaya.

Kordi (Awie) yang keheranan, kemudian berjaya menangkap duyung dan serta merta mengutip bayaran daripada orang-orang yang ingin melihat Puteri. Pada saat itulah,penduduk kampung percayakan cerita Jimmy yang sebelum itu dianggap hanya cakap kosong.

Kisah berlanjut dengan Jimmy, Orix, Apalela, keluarganya dan keluarga Jimmy berusaha melepaskan si puteri duyung yang malang itu. Setelah terlepas dari bencana, Puteri mengharapkan Jimmy bahagia dengan Aspalela sebelum menghilangkan diri dalam birunya lautan.

Mengikut Haji Rahman, sejak itu entah kerana teringatkan filem itu, atau ada sebab lain, semua rumah yang atapnya nipah dan dindingnya nipah, selalu disebut sebagai `rumah aspalela'.

Masih banyak rumah aspalela di Semporna tuan haji? Kata haji Rahman, masih banyak lagi rumah sebegitu di kampung-kampung tradisi di Semporna.

Tapi kalau semua jabatan dan agensi kerajaan bekerjasama dan memberikan bantuan, semua `rumah aspalela' ini diyakini boleh diperbaiki dan dibina yang baru dan masyarakat menikmati tarah hidup yang lebih selesa di daerah itu.

Saturday, August 6, 2011

Pertemuan di Narita dan Prospek perdamaian di Mindanao

Pertemuan itu memang diluar jangkaan.Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Al Haj Murad Ebrahim sanggup terbang kira-kira 20 jam untuk bertemu empat mata di Ana Crowne Hotel Narita, di pinggir bandaraya Tokyo untuk membincangkan mengenai proses perdamaian yang berkekalan di Mindanao.

Hampir semua kalangan terkejut dengan perkembangan terbaru itu, dengan reaksi positif dan negatif. Bagaimana mungkin pertemuan itu terjadi tanpa diketahui media di Filipina yang suka membuat bising mengenai proses damai yang tersendat sendat sejak 14 tahun lalu. Bagaimana mungkin seorang Presiden sanggup melepaskan segala protokol untuk bertemu dengan seorang pemimpin pejuang Islam di selatan Filipina, yang telah berjuang berpuluh tahun untuk membela maruah dan menuntut keadilan bagi bangsamoro.

Apapun,Kehadiran Noynoy itu membuktikan komitmen yang tinggi untuk mencari penyelesaian dan perdamaian yang berkekalan di Mindanao. Di pihak MILF pula, kehadiran pemimpin tertinggi Filipina itu, sedikit banyak mengubati keraguan mereka kerana selama ini mereka mendakwa proses damai itu banyak terhalang oleh kerenah birokrasi di Manila. Sejak berdekad lamanya, proses damai yang kini difasilitator oleh Malaysia, mengalami pasang surut, bahkan sempat terhenti ketika perjanjian damai hampir ditandatangani beberapa tahun lalu ketika pemerintahan Presiden Arroyo.

Kini Benigno Aquino III, yang ayahnya ditembak mati sebaik keluar dari perut pesawat China Airlines pada 21 Ogos 1983, dan ibunya, Cory, pernah bertemu Nur Misuari di Sulu pada 1986 untuk membuka jalan kepada rundingan damai dengan MNLF. Kini anaknya, Presiden Aquino III meneruskan jejak ayah dan ibunya, yang prihatin terhadap nasib dan masa depan masyarakat Islam dan mencari jalan bagi perdamaian yang berkekalan di Mindanao yang telah berdarah itu.

Apa yang dapat kita harapkan dalam pertemuan selama dua jam pada Khamis malam itu?.Ketika Haji Murad bertemu buat pertama kalinya dengan Presiden Aquino III dalam suasana yang mesra. Mereka bersalam-salaman sebelum kemudian berbincang dengan hanya disertai oleh Marvic Leonen sebagai pencatat untuk Aquino dan Mohagher Iqbal untuk Haji Murad, kedua-duanya merupakan ketua perunding bagi GPH dan MILF.

Perbincangan satu campur satu di pinggir bandaraya Tokyo itu pada Khamis 4 Ogos itu pastilah sangat bermanfaat untuk mempercepatkan lagi perundingan damai antara kedua pihak yang kini sedang berlangsung antara Kerajaan Filipina dan MILF. Bagaimanapun pertemuan yang diaturkan oleh Jepun, yang menjadi anggota International Contact Group (ICG) diwakili oleh Hitoshi Ozawa dari Kedutaan Jepun di Manila dan dibantu Yoshihisa Ishikawa dari Kementerian Luar Jepun di sebuah hotel berdekatan Lapangan Terbang Narita, bukanlah sebahagian daripada perundingan formal tetapi sebaliknya lebih kepada usaha untuk melicinkan lagi perjalanan proses rundingan itu.

Malah kehadiran fasilitator Malaysia, Tengku Dato Ab' Jaafar Tengku Mohammad di Narita memperkuatkan andaian bahawa semua pihak sedang bersungguh-sungguh untuk mencari jalan perdamaian di wilayah yang bergolak tetapi kaya dengan khazanah alamnya itu.

Tanpa kedamaian yang berkekalan, juga tanpa keadilan bagi masyarakat Islam, tanpa penyelesaian tuntas terhadap segala isu dan permasalahan yang dihadapi, sudah tentu Mindanao akan tetap ketinggalan, mundur serba serbi. Yang akan terbina adalah dendam, amarah, kebencian, jiwa yang terluka dan kecewa di kalangan masyarakat yang sebenarnya amat rindukan keamanan dan ketenteraman untuk membangun kesejahteraan.

Pertemuan empat mata itu, Benigno Aquino III dan Haji Murad, diyakini dapat meleraikan beberapa persoalan yang belum terungkai. Perbincangan mereka itu, yang menurut media, berlaku dalam dalam suasana yang mesra, diharap dapat menghasilkan solusi terhadap masalah yang dihadapi oleh bangsamoro di selatan Filipina. Buah kedamaian itu akan dinikmati setiap orang, bukan saja masyarakat Islam, malah masyarakat Filipina keseluruhannya. Dengan adanya kedamaian, sudah pastilah Mindanao akan membangun maju dan sejahtera dan berpotensi untuk menjadi hub perdagangan yang terkemuka di rantau ini.

Walaupun pelbagai reaksi diberikan terhadap pertemuan yang jarang jarang berlaku itu, tetapi banyak pihak yang menyambut baik langkah yang dibuat oleh Presiden Benigno Aquino III dalam menyelesaikan masalah Mindanao khususnya berkaitan dengan Bangsamoro. Langkah penyelesaian di luar kotak yang diambil oleh Aquino itu mendapat pujian meskipun hasil yang akan diperolehi belum nyata setakat ini.

Apakah penyelesaian masalah Mindanao oleh Filipina sama dengan model penyelesaian Aceh dalam perundingan di Helsinki? Kedua-duanya Mindanao dan Aceh, mempunyai sejarah perjuangan panjang yang hampir sama. Kedua-dua wilayah berjuang dengan gigih untuk melawan penjajahan dan kolonialisme. Tetapi kini dengan adanya pertemuan di Narita itu, barangkali kita boleh mengimpikan bunga-bunga perdamaian berkembang dengan mekar di Mindanao.

Friday, August 5, 2011

Abdullah Sibil, PSS dan setemu serati-rati

ABDULLAH,PSS DAN SETEMU SERATI-RATI

SETEMU SERATI-RATI, DEMBUA KITI, adalah kata-kata keramat yang selalu meniti dibibir ahli-ahli Persatuan Sama Sabah (PSS), sebuah persatuan yang dianggotai masyarakat bajausama di Pantai Barat Sabah seperti Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Papar dan sebagainya. Ungkapan Setemu serati-rati, dembua kiti membawa makna yang mendalam. Dengan adanya pertemuan dan saling kenal mengenal, maka kita dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan persatuan. PSS yang bergerak dalam bidang kebudayaan, sosial, ekonomi dan pendidikan ini dipimpin oleh Datuk Haji Abdullah Haji Sibil, seorang tokoh korporat dan aktivis masyarakat yang tidak asing lagi di negeri ini.

Haji Abdullah Sibil lahir di Kampung Kesapang tetapi dibesarkan di Kampung Gunding Kota Belud dari sebuah keluarga petani yang berjaya. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Tempasuk dan SK Taun Gusi pada tahun 1961 hingga 1965. Kemudian beliau menempuh pendidikan menengah di SMK Kota Belud pada tahun 1966 hingga 1972. Selepas itu, beliau menduduki tingkatan enam rendah di Sabah College (Maktab Sabah) pada tahun 1973. Setelah itu, Abdullah melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam sehingga memperolehi diploma dalam bidang pengurusan dan industri perladangan pada tahun 1976. Beberapa tahun selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti of Southwestern Louisiana Amerika Syarikat sehingga memperolehi ijazah sarjanan muda dalam bidang Pertanian (Perniagaan Tani). Ijazah Sarjana Sains Perniagaan Tani dan Pentadbiran Perniagaan diperolehinya dari Sam Houston State University, Texas. Beliau juga memiliki Sijil Kepujian dalam bidang Pengurusan dan Penilaian Pelaburan (PIAM) dari Universiti Harvard.

Beliau kini beliau menjawat jawatan sebagai perunding korporat di Perbadanan Pinjaman Sabah sejak Januari 2010. Beliau bertanggungjawab dalam bidang kewangan, akaun, Pembiayaan pinjaman, Sumber Manusia, Pentadbiran dan hartanah. Sebelum itu, beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pinjaman Sabah (1995-2009). Beliau juga pernah berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Tanah (ALDO) Jabatan Pertanian 1976-1979, Pegawai Latihan Kanan di Kementerian Pembangunan Perindustrian 1979-1981, Pengarah Tugas Khas Belia di Kementerian Pembangunan Perindustrian, 1981-1983 dan Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian 1987-1995 dan memiliki 35 tahun pengalaman dalam perkhidmatan kerajaan dan korporat.

Selain jawatan Presiden Persatuan Sama Sabah (PSS) yang dipegangnya sejak 2004, Haji Abdullah juga memegang jawatan sebagai Club Service Director, Rotary Club Luyang (2009-2012), Pengerusi Lembaga, SASS Plantation Sdn Bhd (2010-2012), Ahli Majlis Society Agricultural Scientist of Sabah (SASS) sejak 1998, Timbalan Pengerusi Yayasan Kota Belud, Pengarah Lembaga Koperasi Khidmat Bhd, Bendahari Majlis Gabem (Gagasan Badan Ekonomi Melayu Sabah (2009-2011) dan Bendahari Persatuan Bekas Pelajar Maktab Sabah (OSCA) 2010-2012

Sebelum itu beliau pernah menjadi Presiden Rotary Club Luyang (2006-2007), Yang di Pertua PIBG SK Sri Gaya (2003-2007), Presiden Society Agricultural Sceintist of Sabah (SASS)- 2006-2009, Pengerusi Koperasi Perbadanan Pinjamam Sabah (2000-2007), Ahli Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sabah 2003-2007 dan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) 1979-1985.

Sebagai Ahli Korporat, beliau juga memegang banyak jawatan lain termasuklah Pengerusi Greentech Outlook (Sabah) Sdn.Bhd (pengurusan sisa buangan), Pengerusi Rafflesia Medical Centre (hospital), Pengerusi Weston Wetland Sanctuary Sdn.Bhd (pelancongan), Pengerusi Ask Victory Sdn.Bhd (Perubatan dan Bekalan Peralatan). Beliau juga Timbalan Pngerusi Permodalan Capital Bhd (kewangan) Penasihat Korporat Syarikat Serimas Sabah Sdn.Bhd, Penasihat Telakbana Sdn Bhd. Penasihat Alapbana Sdn.Bhd (pembinaan) dan Alternate Director-Rejoice Tours & Travel Services Sdn.Bhd. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Hajah Rusnah Ariffin dan dikurniakan enam orang anak.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemui beliau untuk meninjau pendapatnya mengenai usaha-usaha melestarikan dan memulihara Budaya bajausama seterusnya menjadikannya sumber ekonomi pendapatan masyarakat luar bandar khususnya masyarakat Bajausama Pantai Barat yang lebih suka dikenali sebagai Sama.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan ini. Bolehkah Datuk jelaskan mengenai tujuan penubuhan PSS?

DHAS: Terima kasih denakan. Tujuan penubuhan Persatuan Sama Sabah (PSS) lebih kepada usaha untuk mengumpulkan masyarakat kita, orang-orang kita dalam satu wadah. Dalam satu persatuan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim di antara kita.Pada masa yang sama kita juga berusaha untuk memelihara seni budaya kita supaya tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain di negara ini.

PSS juga lebih fokus kepada pendidikan, kegiatan-kegiatan sosial dan kemasyarakatan serta kegiatan pembangunan ekonomi.

UB: Apa pendekatan yang diambil oleh PSS dalam mencapai matlamatnya?

DHAS: Sebagai sebuah NGO, kita mengambil pendekatan dengan masyarakat.Kita menggalakkan mereka untuk mengenal potensi-potensi yang boleh dimajukan dalam bidang budaya. Kita menanamkan bahawa pemuliharaan budaya itu bermula daripada kita. Kita haruslah menunjukkan bahawa kita mampu sebelum kita boleh memimpin orang lain. Seperti kata orang putih `everything must begin with you'.

Selain itu, kita juga bekerjasama dengan NGO-NGO dan badan-badan lain untuk kepentingan masyarakat. Sebagai contoh kita mengadakan kerjasama dengan Rotary Club untuk kerja-kerja komuniti seperti pembinaan air graviti di kampung-kampung, dan banyak lagi bentuk kerjasama lain yang kita buat semata-mata untuk kepentingan masyarakat.

UB: Apa yang ingin dicapai oleh PSS?

DHAS:Kita mahu supaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara kita saling kenal mengenali antara satu sama lain.Jika kita saling kenal mengenali, sudah tentu kita dapat membina satu masyarakat yang bersatu padu. Dengan masyarakat yang bersatupadu itu kita dapat pula membina negara yang kukuh.

UB: Selain jawatan sebagai Presiden PSS, kami difahamkan bahawa Datuk juga terlibat dalam banyak persatuan NGO. Apa yang menyebabkan Datuk tertarik dengan kegiatan sukarela?

DHAS: Saya memang berminat menyertai gerakan-gerakan sukarela. Semangat kesukarelawanan ini amatlah baik dan bermanfaat.Misalnya saya banyak bergaul dengan golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera, akauntan dan sebagainya, ketika menyertai kelab Rotary. Dalam kelab ini, selalunya yang dibincangkan ialah bagaimana membantu orang lain yang tidak berkemampuan, yang kurang bernasib baik. Kemudian kita dapat melihat betapa ahli-ahli kelab, walaupun mereka terdiri daripada golongan yang telah berjaya, kaya mewah dan sebagainya, tetapi mereka masih sanggup memikul guni beras, gula dan bantuan lain untuk diberikan kepada penduduk-penduduk luar bandar yang tersisih walaupun dengan berjalan kaki. Semangat sukarelawan seperti ini wajar dicontohi. Menyertai banyak persatuan sukarela ini membawa banyak manfaat untuk kita. Jika kita mempunyai ramai kawan, ramai kenalan, kehidupan akan menjadi lebih gembira dan sebarang cabaran yang kita temouhi akan menjadi lebih mudah.

UB: Berbalik kepada PSS. Apa perancangan untuk memajukan masyarakat Sama?

DHAS: Kita mempunyai banyak perancangan untuk memajukan sukukaum sama agar sebaris dengan sukukaum lain di negeri ini.Kita mempunyai perancangan masa depan, bukan saja dalam pembangunan budaya malah dalam pembangunan ekonomi untuk membangunkan masyarakat kita.

UB: Tidakkah PSS dilihat akan menimbulkan persaingan dengan persatuan suku-suku kaum lain?

DHAS: Kita tidak bersaing, bahkan kita saling melengkapi. Baru-baru ini kita telah menghimpunkan persatuan-persatuan Majlis Gabungan Sukukaum Bumiputera Sabah (GPSBS) dimana saya kordinatornya. GPSBS itu dianggotai oleh 13 persatuan antaranya USBO, Persatuan Kedayan Sabah, Pertubuhan Sama Sabah, Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Persatuan Bumiputera Iranun Sabah, Persatuan Ubian Sabah, Persatuan Murut Sabah, Persatuan Rungus, Persatuan Tobilong, Persatuan Bugis, Persatuan Bangsa Brunei Sabah dan lain-lain. Kita bergerak seiring untuk mencapai matlamat kita.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai Pesta Seliu-Liu yang dijangka diadakan Oktober ini?

DHAS: PSS bercadang untuk menganjurkan Pesta Seliu-Liu, yang dijangka akan diadakan pada Oktober depan. Pesta Seliu-Liu itu akan menjadi satu pesta yang menghimpunkan seluruh masyarakat untuk menyaksikan budaya Sama, antaranya Usunan, kuda berhias, sepak manggis, betitik, pelamin dan sebagainya. Kita akan menganjurkan pesta itu sebagai acara tahunan. Buat permulaan, kita akan membuatnya secara kecil-kecilan dahulu. Kita juga mahu menjadikan pesta itu mendapat pengiktirafan kerajaan, sama seperti Pesta Gasing (GATA) di Sipitang, sama seperti Pesta Kaamatan, Pesta Kalimaran, Adau Janang Gayuh, Pesta Jagung, Pesta Bengkoka dan sebagainya.

Pesta ini dibuat semata-mata untuk menghidupkan dan melestarikan budaya Sama.

UB: Oh ya. Bercakap mengenai budaya Sama ini, apa komen Datuk mengenai generasi muda kita yang kurang meminati budaya?

DHAS: Mereka harus didekati supaya lebih mencintai budaya. Saya sendiri sejak kecil lagi sudah pandai `titik' (betitik-bermain kulintangan). Saya fikir kita harus memulihara dan memelihara budaya kita. Kekayaan budaya menunjukkan ketinggian bangsa. Malahan dahulu, kebolehan atau kemahiran seseorang dalam masyarakat kita itu dinilai sama ada beliau itu boleh bermain betitik atau pencak silat. Jadi dengan menguasai seni budaya ini memberikan kelebihan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.Bahkan untuk mencari menantu pun, dalam masyarakat Sama pada masa dahulu, diukur dengan kepandaian bersilat dan juga betitik itu. Sekilas memang kelihatan agak remeh tetapi ini menunjukkan masyarakat kita dahulu betul betul menjaga budaya, kerana tinggi budayanya maka tinggi tamadunnya, tinggi peradabannya.

UB: Saya tertarik dengan idea Datuk mengenai gagasan untuk membina rumah kebudayaan dan kampung budaya itu? Boleh Datuk jelaskan serba sedikit?

DHAS: Kita berhasrat untuk mewujudkan kampung budaya Sama. Kita akan perkenalkan budaya Sama (bajausama) seperti cara hidup, kesenian, makanan dan sebagainya. Misalnya sebaik memasuki kampung budaya itu, kita akan pelawa pengunjung atau pelancong untuk menunggang kuda, menunggang kerbau. Mereka akan dibawa berkeliling ke satu kampung orang Sama (bajausama) yang dipilih dan mereka kemudian akan dibawa melihat cara hidup mereka seperti menanam padi dan sebagainya. Kemudian mereka akan dihidangkan dengan makanan, seperti `buas pinoyot diom saging' (nasi dibalut daun pisang). Selepas itu mereka akan dibawa mnenyaksikan persembahan kesenian seperti tarian limbai, tarian kuda pasu. Mereka juga akan dibawa melihat kekayaan budaya seperti usunan, kuda berhias dan sebagainya. Rumah-rumah tradisi kita, boleh dibina dan dibangunkan.

Ini semua akan menjadikan tarikan pelancong. Berdasarkan pengalaman saya, pelancong luar negeri suka dengan keunikan budaya kita. Di sini juga kita akan dapat memperlihatkan mengenai adat budaya Sama yang santun, tuturkatanya sopan dan sebagainya. Semua ini menjadi satu pakej untuk mempelihatkan ketinggian peradaban kita, tamadun kita. Semua ini berpotensi untuk kita membangunkan budaya kita,melestarikannya. Dengan sendirinya kelak, jika budaya kita dapat dilestarikan, ekonomi orang-orang kita, masyarakat kita akan turut dapat dibangunkan.

Sudah tentu dengan adanya kesungguhan masyarakat kita, Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk membantu melestarikan budaya dan membantu segala prasarana yang diperlukan kerana ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

UB: Oh ya. Bercakap mengenai budaya Sama ini, apa komen Datuk mengenai generasi muda kita yang kurang meminati budaya?

DHAS: Mereka harus didekati supaya lebih mencintai budaya. Saya sendiri sejak kecil lagi sudah pandai `titik' (betitik-bermain kulintangan). Saya fikir kita harus memulihara dan memelihara budaya kita. Kekayaan budaya menunjukkan ketinggian bangsa. Malahan dahulu, kebolehan atau kemahiran seseorang dalam masyarakat kita itu dinilai sama ada beliau itu boleh bermain betitik atau pencak silat. Jadi dengan menguasai seni budaya ini memberikan kelebihan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.Bahkan untuk mencari menantu pun, dalam masyarakat Sama pada masa dahulu, diukur dengan kepandaian bersilat dan juga betitik itu. Sekilas memang kelihatan agak remeh tetapi ini menunjukkan masyarakat kita dahulu betul betul menjaga budaya, kerana tinggi budayanya maka tinggi tamadunnya, tinggi peradabannya.

Tuesday, August 2, 2011

Sejenak bersama Datuk Jainab DSP Ahmad

SEBENARNYA tidak pernah terlintas di hati saya untuk menjadi seorang wakil rakyat. Walaupun lahir dalam keluarga pejuang dan pemimpin, tetapi saya hanya bercita-cita untuk menjadi peguam yang baik yang dapat membela mereka yang teraniaya dan perlukan nasihat undang-undang. Tetapi kita merancang, Tuhan yang menentukan, kata Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat. Beliau tidak menyangka, penglibatannya yang aktif dalam politik sejak kembali ke Sabah pada tahun 1994 setelah membina kerjaya yang membanggakan di Kuala Lumpur telah membawanya ke satu destinasi yang menyebabkan beliau memikul tugas dan tanggungjawab yang lebih besar. Sejak terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, beliau merupakan seorang wakil rakyat dan tokoh wanita yang sering turun padang untuk menemui rakyat.

Jainab menduduki bangku sekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Tawau. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SM St Patrick Tawau dan selepas tamat tingkatan lima, beliau bersekolah di Sabah College selama tiga bulan sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat A-Level di Walthamstow, sebuah kota yang terletak di timur laut London. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang sehingga mendapat BA Law dan kemudian

Barrister At law di Lincoln Inns, London. Beliau ditauliahkan sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1982. Selepas itu beliau diterima sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1986. Pada tahun 1994, beliau diterima sebagai Peguam Syariah. Jainab juga memiliki ijazah MBA dari UiTM. Beliau merupakan anak kedua daripada tujuh adik beradik.

Selain tugasnya sebagai wakil rakyat,Jainab juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar dan menjawat jawatan Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Sabah

Walaupun jadualnya agak padat, tetapi Datuk Hajah Jainab sedia untuk ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Satu jam sebelum solat Jumaat kelmarin, wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN menemui beliau untuk bersembang-sembang dan sedia berkongsi sedikit kisah hidupnya. Ikuti temuramah beliau:

UTUSAN BORNEO: Pernahkah Datuk terfikir menjadi seorang Ahli Yang Berhormat?

DATUK HAJAH JAINAB AHMAD: Walaupun saya dibesarkan dalam keluarga yang bergiat dalam politk, tidak pernah di lintas dalam fikiran saya untuk menjadi Wakil Rakyat. Bapa saya, Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid adalah orang kuat USNO di Tawau, ibu saya Alahyarhamah Hajah Nikmah, juga seorang aktivis USIA dan Kaum Ibu. Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang menitikberatkan komitmen untuk membantu masyarakat.

UB: Siapa yang selalu memberi galakan kepada Datuk?

DHJA:Bapa saya menggalakkan untuk kami menimba pelajaran dan ilmu pengetahuan, walaupun zaman itu, anak perempuan kurang diberi galakan untuk bersekolah hingga ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi bapa saya seorang yang berpandangan jauh. Katanya, harta yang paling paling baik ialah ilmu pengetahuan. Sebab itu beliau menyekolahkan adik beradik hingga ke luar negeri, dengan belanja sendiri, walaupun bapa saya seorang peniaga yang menjual kain. Saya hanya mendapat biasiswa sewaktu berada di tahun akhir di London.

UB: Kenapa YB tak begitu minat dalam politik pada mulanya?

DHJA: Saya nampak bapa saya sibuk. Saya fikir sukar untuk menjadi orang politik kerana sering berjumpa orang. Saya hanya minat belajar untuk menjadi peguam yang baik. Sebaik balik dari london, saya mencari kerja. Saya ingin menjadi majstret. Tetapi kerana tiada kekosongan, saya dapat bertugas di SINAR, sebagai tenaga pengajar selama enam bulan.

UB: Apa yang Datuk lakukan selepas itu?

DHJA: Pada tahun 1982, saya ditauliahkan sebagai peguam `called to the bar' di Mahkamah Tinggi Borneo. Kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Undang-undang dan Setiausaha Syarikat Permodalan Bumiputera Sabah Berhad. Setelah bekerja selama kira-kira dua tahun setengah di Kota Kinabalu, saya berasa ingin untuk mengamalkan kerjaya guaman. Kawan-kawan saya menggalakkan untuk saya bekerja sebagai peguam di Kuala Lumpur. Rakan-rakan saya mengatakan di KL, kalau praktis di KL boleh berlawan dengan Karpal Singh.

UB: Jadi kemudian Datuk memutuskan untuk membina kerjaya di KL?
DHJA: Ya. Waktu itu saya bertanya pandangan Razak Rouse, seorang peguam yang terkenal mengenai pandangannya. Katanya bagus mengamalkan kerjaya guaman di Kuala Lumput untuk mengambil pengalaman. Jika kita mempunyai pengalaman satu tahun di KL, ia seperti 1o tahun pengalaman di KK, katanya waktu itu. Apatah lagi saya masih muda ketika itu. Saya kemudian masuk bekerja dengan Cecil Abraham dengan elaun kira-kira RM500. padahal sewaktu bekerja di Permodalan, gaji saya sudah lumayan. tetapi kerana ingin mengamalkan bidang guaman, maka saya sanggup untuk menimba pengalaman di KL. saya jual kereta saya. Di KL saya menyewa rumah sekitar RM250 dan naik teksi untuk ke pejabat.

UB: Selepas itu?

DHJA: Pada Mac 1986, kami menubuhkan firma dengan Vernon Ong Jainab @ Partners. Kami tiga orang, satu Cina, satu Melayu dan satu India. Konsep Satu Malaysia sudah diamalkan ketika itu. Di KL, saya tinggal serumah dengan Mariany Mohd Yit. Di sanalah saya tertarik dengan UMNO. Saya menyertai UMNO tahun 1985. walaupun pada masa itu, saya hanya ikut-ikutan saja.

Walaupun pada mulanya saya hanya merancang untuk berada di Kuala Lumpur selama kira-kira satu tahun sahaja, tetapi hanya dapat balik ke Sabah pada tahun 1994. Bapa saya sudah bising-bising, buat apa lama lama di sana. Saya pun balik untuk menubuhkan Jainab @ Associates.. Saya mulai aktif bergiat dalam politik semula. Saya memasuki UMNO cawangan Seroja Likas. Pada tahun 1995, saya menjadi Naib Ketua Wanita UMNO Gaya. Kemudian saya menjadi Ketua Wanita pada 1998. Selepas persempadanan semula, saya dipilih menjadi Ketua Wanita UMNO Sepanggar pada tahun 2003.

UB: Apa pengalaman yang tak dapat Datuk lupakan sepanjang menjadi Ketua wanita?

DHJA: Sesuatu yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika menjadi Ketua Wanita UMNO, hampir tiap-tiap tahun diadakan pilihanraya. Selepas pilihanraya umum, diadakan pilihanraya kecil, pilihanraya DUN, pilihanraya Parlimen dan sebagainya.

Pada tahun 2004, saya terpilih sebagai wakil rakyat N12 Karambunai. wakil rakyat yang pertama di DUN Karambunai yang baru diwujudkan itu. Saya kemudian dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian. Pada tahun 2000, saya diberi kepercayaan pula untuk menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan KemajuanTeknologi Maklumat.

Apapun yang kita buat adalah satu amanah yang harus dilaksanakan sebaik-baiknya.

Ibu saya Datin Hajah Nikmah, tiga bulan sebelum kembali ke Rahmatullah pernah meramalkan bahawa saya akan menjadi pemimpin. Oleh sebab itu apabila pertama kali bertanding sebagai calon BN bagi DUN Karambunai, saya memakai baju ibu saya, yang telah banyak memberi galakan. Yang telah banyak mendoakan saya.

UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa antara tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sebagai pembantu menteri, ketua wanita

DHJ: Saya bertuah kerana mempunyai suami yang prihatin, selain sokongan daripada anggota keluarga. Selain itu keluarga kami agak rapat, jadi saling bantu membantu. Saya sentiasa mempunyai buku nota yang selalu saya bawa dalam beg. Saya juga meletakkan buku nota di meja di bilik dan membacanya sebelum tidur.saya sentiasa memastikan untuk menziarahi rakyayt yang menjadi pengundi saya. Kalau ada orang sakit, ada orang yang menghadapi musibah, majlus kahwin dan sebagainya, saya pastikan agar dapat datang. Apalagi kalau ada masalah rakyat di kawasan saya.Saya sentiasa memasyikan untuk dapat hadir.

UB: Apa yang Datuk lakukan jika ada masa lapang?

DHJ: Saya suka baca buku. Selain itu saya suka menyemak check list tugas saya. Saya juga menyempatkan diri untuk melihat facebook, dan memuat turun gambar-gambar ketika bersama masyarakat turun padang, walaupun tidak semua gambar. Jika ada peluang saya suka membawa anak-anak saya Adam Iskandar dan Jane Noorlina untuk keluar bersiar-siar. Selain itu, kalau ada trip ke luar negeri dan kebetulan pula cuti sekolah, saya suka membawa mereka berjalan-jalan.

Saya juga memastikan setiap ada peluang balik kampung untuk membawa anak-anak saya bersama, agar mereka mengenal sepupu-sepupu mereka.

UB: Kalau boleh bertanya, apa falsafah Datuk?

DHJ: Hidup ini sementara.Kita harus lakukan yang terbaik.Do the best you can.tapi sebagai manusia biasa ada kelemnhana. Bukan semua yang kita buat orang sukla. Tapi saya jenis orang yang suka berkawan, tidak suka bermusuh. Cuba memperbaiki kerana pengorbanan orang lain