Sabtu, 14 Januari 2012

bang basi' buli' ta, bang dusab bua' ta

Tags

BANG BASI' BULI' TA, BANG DUSAB BUA' TA-

sekadar teringat kenangan di Pulau Mantanani

Banyak perkara yang mengingatkan saya kepada Mantanani.

Segugusan tiga pulau yang terletak di barat daya Kota Belud, kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu. Sebelum ini, pulau yang didiami masyarakat Ubian itu agak terpencil dan terpinggir. Hanya apabila dugong ditemui berenang-renang di perairan pantai pulau itu, Mantanani menjadi terkenal di kalangan pelancong.

Tetapi yang membuat saya terkenangkan pulau itu ialah budi baik penduduk-penduduknya. Satu ketika dulu sewaktu berkunjung ke pulau itu untuk membuat liputan, sambutan orang kampung agak luar biasa. Ketika membuat tinjauan ke rumah-rumah nelayan, saya yang ditemani oleh mantan guru besar, Cikgu Sabli Nanti yang memperkenalkan saya sebagai seorang wartawan yang sedang membuat penyelidikan mengenai kehidupan-sekaligus kesusahan dan kesukaran hidup yang mereka lalui.

Dari satu rumah ke satu rumah, kami yang mulanya berdua, diiringi oleh orang kampung sehingga menjadi ramai, satu pawai kecil hinggalah hari gelap tanpa disedari matahari masuk ke dalam laut pada senja itu.

Begitu sampai malam. Orang kampung datang ke sekolah, tempat kami menginap pada malam itu untuk bercerita cerita mengenai kampung dan masyarakat mereka. Mengenai penderitaan ketika musim Jepun.Mengenai masyarakat pulau yang perlukan perhatian dan bantuan daripada kerajaan.Mengenai ombak yang kadang-kadang menggila, menyebabkan para nelayan tidak dapat turun ke laut.Juga mengenai musim yang tidak menentu. Mereka mengharap agar Pulau Mantanani tidak terlepas dari nikmat pembangunan. Namun mereka tetap optimis kerana dari pulau itu juga, mereka boleh melihat puncak Kinabalu di waktu pagi walaupun samar di kejauhan.

Saya ingat saya pulang agak awal pagi dengan perahu kecil yang sempat mati enjinnya di tengah laut. Tetapi sebelum berangkat pulang itu, orang kampung membekalkan saya satu kotak penuh ikan masin, sebagai rasa terima kasih mereka kerana saya berkunjung ke pulau itu.

Hampir semua penduduk pulau itu terdiri daripada masyarakat Ubian. Selain pulau Mantanani, etnik Ubian juga mendiami pesisir pantai Sabah termasuk di Kudat, Pulau Banggi, Maliangin Besar,Pulau Gaya di Kota Kinabalu, Pulau Sepanggar, Semporna dan beberapa daerah lain di Sabah.

Mereka bukan saya nelayan tetapi satu ketika dulu merupakan pelayar yang hebat. Handal dan tidak takut berjuang melawan musuh. Sejarah mencatatkan bagaimana orang Ubian bangun menentang Jepun, malah salah seorang pemimpinnya, Panglima Ali namanya, turut terkorban dalam peristiwa yang disebut orang kampung sebagai `Kinamono' yang sangat terkenal. Ramai penentang Jepun dipenggal kepalanya di Petagas termasuk Albert Kwok, yang mengetuai Pasukan Gerila Kinabalu.

Masyarakat Ubian terkenal dengan semnagat `magkalasa-kalasa', yang mungkin boleh diertikan sebagai semangat saling sayang menyayangi antara sesama mereka.Jika dahulu, nelayan yang turun ke laut, apabila pulang mendarat di pantai, akan membahagikan ikan-ikan tangkapannya, walaupun sedikit kepada jiran-jirannya.

Ikan-ikan itu akan dibahagikan pakai piring dari rumah ke rumah. Saya teringat kata-kata seorang pemimpin masyarakat Ubian, Enggo Alun. Katanya, masyarakat Ubian terkenal dengan sikapnya yang lemah lembut, dan kasih mengasihi antara satu sama lain. Terdapat juga kata-kata seperti mangan embal mangan, bagpiin magtipun-tipun, yang maksudnya hampir sama dengan peribahasa Bajau-Mangan nya mangan asal kurung-kurung. Falsafah yang hampir sama juga dengan kata-kata orang Jawa, Mangan ora mangan, asal kumpul.

Meskipun kurang dikenali berbanding etnik lain di negeri ini, terdapat ramai orang Ubian yang telah berjaya dalam kerjaya mereka. Antaranya ialah Dr.Mohd.Kassim Haji Ibrahim, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Datuk Abdul Mijul Unaini, ADUN Banggi, Datuk Basre Abdul Gaffar, Salah seorang pegawai kanan di Sabah Energy, dan ramai lagi.

Sebenarnya banyak yang menarik, yang boleh dikaji mengenai masyarakat ini. Bukan setakat makanan Putu' dan tompeh' tetapi falsafah hidup dan budaya mereka. Saya fikir generasi muda perlu mempertahankan bahasa dan budaya ibunda mereka, dan menghidupkan semangat hidup yang positif agar masyarakat marginal ini tidak terus terpinggir dan dilupakan.

Bagi saya, salah satu falsafah hidup yang membawa nilai-nilai positif, antaranya ialah "bang basi' buli' ta, bang dusab bua' ta". Peribahasa ini membawa pengertian yang sangat mendalam. Secara kontekstual, peribahasa ini bermakna jika kita berusaha, kita pasti mendapat hasilnya.Jika kita turun ke laut, pastilah kita mendapat rezeki yang boleh disuap ke mulut. Alam laut tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Ubian, kerana kebanyakan mereka hidup sebagai nelayan dan bergantung kepada sumber laut untuk penghidupan mereka.

"Bang basi' buli' ta, bang dusab bua' ta" atau jika basah punggung kita, basahlah pula mulut kita. Tanpa berusaha, rezeki tidak akan datang berenang begitu saja. Ikan mesti ditangkap, sumber laut mesti diteroka (tanpa merosaknya) agar kita mendapat rezeki atau hasil untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Selain itu, hanya dengan berusaha, masyarakat kita di luar bandar, di pulau-pulau dan kawasan pedalaman akan dapat meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Perumpamaan masyarakat Ubian ini, saya fikir boleh diamalkan oleh semua masyarakat kita, jika mereka mahu membangun dan tidak ingin ketinggalan dari arus kemajuan. Walaupun perumpamaan ini merujuk kepada laut, tetapi maknanya jauh lebih besar daripada itu.Sungguhpun ramai masyarakat kita, mulai terpisah dengan alam kehidupan tradisi mereka tetapi mereka sepatutnya tidak melupakan nilai-nilai yang membesarkan mereka.

Saya fikir antara sebab masyarakat kita goyah ketika berdepan dengan budaya lain ialah kerana kita kurang mengenali budaya kita sendiri. Kita kurang mengenali jatidiri sendiri yang membuat kita kuat. Kita kadang-kadang cenderung memandang hebat orang lain padahal dalam diri kita sendiri juga mengandung kehebatan-kehebatan dan keistimewaan tertentu yang boleh kita gunakan untuk memajukan diri dan keluar dari lingkaran kemiskinan.

Bang basi buli' ta, bang dusab bua' ta. Saya teringat pulau Mantanani, dan betapa baik budi orang-orangnya yang terdiri daripada masyarakat Ubian, sebuah masyarakat yang jarang diperkataka n di negeri ini. Ya,bang basi buli' ta' bang dusab bua' ta.