Saturday, January 21, 2012

Catatan ringkas mengenai mikorot, satu pandangan peribadi

MUJURLAH adik saya hanya dikenakan denda atau sogit dua ekor ayam dan sebilah pisau.

Kesalahannya kerana ia berkahwin dengan isterinya, yang rupa-rupanya masih kerabat keluarga Pindingan. Sedangkan Pindingan sudah mengaku saudara dengan arwah ayah saya. Mereka menjalani upacara `mikorot' iaitu satu upacara akujanji yang dijalankan mengikut adat istiadat sukukaum Dusun Tobilung.

Arwah ayah saya yang berketurunan Bajau dan Pindingan dari suku kaum Dusun Tobilung menganggap diri mereka bukan lagi sekadar kawan tetapi sebagai saudara kandung. Mereka melarang anggota keluarga atau keturunan mereka untuk berkahwin kerana mereka dianggap bukan orang lain sebaliknya dikira mempunyai hubungan keluarga. Mereka yang didapati melanggar `perjanjian saudara' atau mikorot itu dikatakan akan menghadapi pelbagai kendala dalam hidup mereka kecuali jika mereka membayar sogit.

Jadi apabila adik saya berkunjung ke kampung Sarang Kota Belud dan setelah diketahui bahawa dia dan isterinya sebenarnya masih mempunyai hubungan keluarga melalui `adat mikorot' itu, mereka akhirnya dikenakan sogit. Adik saya kemudian digelar `Dumaring' manakala isterinya `Kindaman', sempena nama tokoh legenda dalam masyarakat Tobilung, yang menurut cerita, seorang yang kaya dan berharta.

Saya tidak begitu pasti bagaimana ceritanya sehingga Pindingan dan arwah ayah saya itu menjalani upacara mikorot itu. Tetapi yang jelas, inilah salah satu bentuk pertautan saudara yang dilakukan bukan oleh sembarang orang sebaliknya dibuat oleh mereka yang mempunyai hubungan yang akrab sehingga mereka akhirnya mengaku bersaudara.

Hubungan `saudara' ini cuba dipertahankan dari generasi ke generasi. Mereka saling memperkuat hubungan yang sedia terjalin itu dengan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain, sama ada ketika musim perayaan, majlis perkahwinan dan sebagainya.

Filosofi `aku saudaramu, kau saudaraku' itu menjadikan mereka kuat, kerana mereka saling bekerjama, bantu membantu antara satu sama lain.

Sebenarnya terdapat beberapa keluarga dari suku kaum Dusun yang mempunyai hubungan dengan keluarga ayah saya melalui adat Mikorot ini. Jika tidak silap saya, atuk kami dahulu mempunyai hubungan saudara mikorot dengan Mendongot. Selain itu, banyak lagi keluarga Dusun lain, yang kini tidak lagi kami ketahui susur galur keturunan mereka.

Menurut adat, cucu keturunan mereka tidak dibenarkan berkahwin antara satu sama lain kerana mereka dianggap seperti layaknya adik beradik. Arwah ayah saya pernah bercerita, betapa dia beberapa kali terpaksa putus cinta dengan gadis Dusun kerana tidak dibenarkan berkahwin oleh atuk kami kerana setelah diteliti, mereka masih mempunyai kaitan keluarga melalui `mikorot' itu tadi.Kerana itu ia dianggap taboo.

Menurut cerita yang berkembang di kalangan masyarakat kami, tidak diketahui sejauh mana kebenarannya, arwah Tun Datu Mustapha dan arwah Tun Fuad pernah menjalani upacara `mengaku bersaudara' ini. Mereka mestilah bersatu dan tidak boleh mengkhianati satu sama lain. Jika sesiapa melanggarnya, mereka dikhuatiri akan ditimpa sesuatu malapetaka.

Upacara `mengaku saudara' ini terdapat juga dalam etnik-etnik lain di Sabah, dengan nama upacara yang berbeza-beza. Ada yang melakukannya dengan memotong ayam,kambing, kerbau atau apa saja jenis ternakan. Orang yang mengaku saudara itu pula memberikan cenderamata atau hadiah berupa gong dan sebagainya. Dalam masyarakat Iranun, adat ini dipanggil `migkeret' manakala di kalangan masyarakat Dusun Tindal, kalau tak silap disebut `minum daraha'.

Orang-orang dahulu membina persaudaraan, perpaduan dan persatuan sesama mereka melalui pelbagai cara. Walaupun mereka menyedari perbezaan kaum atau bangsa di kalangan mereka tetapi jalinan persahabatan antara mereka melintasi batas-batas perkauman. Kerana itu, kita melihat betapa akrab, betapa dekat hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini, antara etnik Bajau dan Dusun, antara komuniti Iranun dan bangsa-bangsa lain.

Tidak siapa dapat menafikan bahawa hubungan kaum di kalangan masyarakat Sabah boleh dikatakan sangat baik.Sangat istimewa. Bahkan kita boleh lihat bahawa walaupun mereka berbeza fahaman, politik atau agama, mereka masih boleh duduk semeja, menikmati minuman di kedai apek tua, kadang-kadang kerana aroma kopi yang luar biasa.

Jauh sebelum ini, jika kita menelusuri sejarah, semua kaum di Sabah, sama ada Bajau, Dusun, Iranun, Suluk, Sungai, dan sebagainya boleh bersatu di bawah kepimpinan Datu Paduka Mat Salleh untuk menentang penjajah. Kalau bukan kerana kerjasama yang utuh dan kukuh di kalangan mereka, mana mungkin perjuangan Mat Salleh mendapat sokongan pelbagai kaum di negeri ini, pada waktu itu.

Orang-orang tua kita dahulu disebalik kekurangan dan keterbatasan mereka, tetap menjaga persatuan dan perpaduan di kalangan mereka. Ketika itu, tidak ada jalan perhubungan yang baik. Orang mengambil masa berhari hari berjalan kaki untuk sampai ke sesuatu tempat, kadang berdayung mudik ke kuala, menggunakan sampan atau perahu, berakit, menaiki kerbau atau kuda, dan sebagainya.

Tetapi mereka tetap mementingkan persatuan dan perpaduan. Orang tua kita dahulu tidaklah mempunyai taraf pendidikan yang tinggi seperti kita sekarang tetapi mereka tetap mengerti betapa perlunya kita memelihara persefahaman dan bukan perbezaan-perbezaan.

Jika ditakdirkan orang-orang tua kita dahulu hidup semula di dunia ini, barangkali mereka akan terkejut jika membuka internet, blog, facebook, twitter dan sebagainya, yang setiap hari menyebarkan kecurigaan,iri hati dan kedengkian, menyebarkan dendam dan kebencian, dan kata-kata nista yang tidak berguna.

Alangkah indahnya jika kita saling mengasihi, saling menyayangi, saling menghormati, toleransi, saling bantu membantu dan sebagainya. Alangkah baiknya jika kita semua, saling mengaku sebagai saudara dan bersikap benar-benar sebagai saudara.

No comments: