Sunday, January 15, 2012

gara gara utusan borneo, wartawan sulawesi dimarahi saudara

Gara-gara Utusan Borneo, saya dimarahi, kata Muhammad Nasri Aboe sambil tertawa. Wartawan Harian FAJAR, Sulawesi itu dimarahi saudara sepupunya, yang sudah lama bermastautin di Kota Kinabalu.
"Kamu anggap apa saya di sini?" Begitu kira-kira kata kata sepupunya seperti yang ditirukan Muhammad Nasri, 54, yang berada di Sabah untuk membuat liputan program 5P.
Salah saya juga, katanya kerana tidak memberitahu kedatangannya ke Sabah. Kerana urusan tugas, beliau tidak sempat mengkhabarkan dan tidak sempat pula menjenguk keluarganya yang sudah jadi warga Malaysia.
Jadi apabila foto Muhammad Nasri berkunjung ke Kota Kinabalu tersiar di akhbar Utusan Borneo, berita itu tersebar dengan cepat di kalangan pemandu teksi, dan ada diantara mengabarkan berita itu kepada abang sepupunya.
Akhirnya beliau dicari keluarga dan mujurlah mereka berpeluang bertemu. Muhammad Nasri sempat ke Keningau melihat mengenai kondisi tenaga kerja Indonesia di daerah pedalaman itu, dan juga sempat berkunjung ke Sekolah Indonesia disana. Selain memantau pelaksanaan program 5P, Muhammad Nasri sempat bertemu dengan Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid dan pegawai-pegawai lain. Beliau juga telah berkunjung ke pejabat Utusan Borneo, akhbar terbesar di Sabah dan Sarawak. Berita kunjungan itulah yang disiarkan beserta fotonya di Utusan Borneo.
Setelah terbaca oleh keluarganya, ternyata Muhammad Nasri dimarahi saudara kerana tidak mengabari mereka sewaktu berada di Sabah.
Walau bagaimanapun, Muhammad Nasri berterima kasih kepada Utusan Borneo, terutama kepada Editor Eksekutifnya, Lichong Angkui kerana sudi menerima kunjungannya untuk membina hubungan antara dua suratkhabar itu.
Malah ketika menaiki bas Sida dari KK ke Sandakan, beliau ditegur oleh seorang wanita, Thresia Mathias, TKI yang sempat membaca kisahnya menjadi wartawan yang tersiar di Utusan Borneo.
Ini merupakan cebisan pengalaman terbaik saya sepanjang berada di Kota Kinabalu, katanya.

No comments: