Sunday, January 8, 2012

Menjejaki diaspora Iranun2-komuniti Iranun di Tawau

Barangkali tidak salah jika dikatakan bahawa komuniti Iranun di Tawau mulai dirasakan kehadirannya ketika era arwah Dr.Haji Datu Bandira Datu Alang pada pertengahan 80-an dan awal 90-an.
Ketika itu, arwah Datu Bandira yang bertugas sebagai Pegawai Turus Felda dan Pengurus Sumber Manusia di Felda Sabah memainkan peranan yang amat penting dalam melonjakkan nama masyarakat Iranun sehingga mendorong penubuhan cawangan Persatuan Iranun Sabah Bersatu (PISBA) di Tawau.
Antara langkah yang diambilnya ketika bertugas selama 13 tahun di Felda ialah menjelajah negeri Sabah untuk memberi penerangan mengenai kebaikan menjadi peneroka. Tumpuan utama program pengambilan peneroka itu ialah penduduk-penduduk miskin di luar bandar.
Kebetulan antara yang menyahut cabaran menjadi peneroka itu ialah orang-orang Iranun yang sampai kini menjadi peneroka di Felda Umas-Umas Tawau dan Felda Sahabat di Lahad Datu.
Anggota komuniti Iranun di Tawau semakin bertambah dengan kehadiran golongan peneroka ini.
Sementara itu, di luar komuniti peneroka ini, terdapat juga orang-orang Iranun yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan swasta di Tawau.
Salah seorang penggerak utama komuniti Iranun di Tawau ialah Jaya Dallah, pesara Jabatan Hutan yang menetap di Tawau kira-kira tahun 1975 dan Sabri Haji Ahmad, yang bertugas di Jabatan Pertanian Tawau sejak 1979.
Sejak itu masyarakat Iranun banyak melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan, malah pada Perayaan 100 Tahun Sabah 1881-1981 Peringkat Daerah Tawau, masyarakat Iranun telah mengambil bahagian dalam program itu.
"Saya naik kuda sariau ketika itu," kata pakcik Jaya mengenang penglibatan mereka ketika kami minum di Restoran Yassin petang kelmarin.
Sabri pula memberitahu mengenai hasrat menyertai Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang akan diadakan pada 28 Januari ini. Melalui platform Komuniti Masyarakat Iranun Tawau (KMI), mereka akan mempersembahkan tradisi usunan dan upacara perkahwinan masyarakat Iranun untuk diketengahkan dalam festival itu.

Mungkin ada 150 hingga 200 anggota masyarakat Iranun yang terdapat di Tawau kini. Antaranya Sharif Masuhor Sh Kautoh, yang menjadi guru di SK Tanjung Batu, Saibol Majid, Kaldan Jamair,Pegawai Promosi di Jabatan Kesihatan Sailun Aris, Pegawai Jabatan Hidupan Liar,Kibin Haji Samad, Pengarah OUM, Dr Haji Rusdi Ramli,Sarimah Ekong, Penolong Pegawai Pertanian di Tawau, Rusdan Jamas, usahawan di Felda,Norbin Haji Wahab dan ramai lagi.

Selepas minum teh tarik, pakcik Jaya membawa kami -Saya dan Sabri,berkeliling Tawau sambil bercerita mengenai diaspora Iranun di Nusantara, dan juga mengenai keberadaan komuniti Iranun yang kini semakin berkembang di Tawau.

Saya memberitahu mereka mengenai angkatan perang Iranun dari Tempasuk yang berangkat ke Tanjung Pinang Riau pada tahun 1787 setelah Sultan Mahmud III memohon bantuan untuk menghalau Belanda seperti yang tercatat dalam Tuhfat Al Nafis karya Raja Ali Haji.

Jumlah komuniti Iranun di Tawau mungkin ramai lagi daripada yang dijangka. Menurut Pakcik Jaya beliau pernah bertemu dengan orang Iranun di Ranggu tapi sudah lama tidak ketemu selepas itu. Selain itu, terdapat juga orang Iranun yang agak terpisah dari orang Iranun yang lain sehingga lokasi mereka tidak dapat dijejaki.

Untuk itu, tanpa banyak berharap kepada pihak lain, Saudara Sabri dengan dukungan Pakcik Jaya, dan rakan-rakan Iranun lain di Tawau sedang berusaha menubuhkan Komuniti Masyarakat Iranun Tawau (KMI), sebuah persatuan yang akan memayungi dan menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Iranun di Tawau.

3 comments:

LAN said...

menurut james warren iranun kat sulawesi lebih ramai dari tempasuk,tapi sampi skrg tak nampak pun kewujudan iranun di sulawesi....banayk da info sya cari pasal tribe kat sulawesi satu pun tak menyebut iranun.....james wareen buat2 cerita

LAN said...

james warren kata iranun kat sulawesi lebih ramai dari tempasuk....tapi sampai skrg pun tak nampak bayang kewujudan tu

abd naddin said...

sdr LAN, teruskan mengkaji dan menyelidik.jangan cepat putus asa.mari kita samasama mencari