Thursday, January 19, 2012

Penduduk kampung Perapat Laut takut dipukul ombak

Kalau takut dipukul ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Demikian kata pepatah Melayu.Tetapi bagi penduduk kampung Perapat Laut, Kudat yang terletak di tepi pantai, setiap kali ombak memukul pantai,setiap kali itulah mereka diserang rasa takut.
Sedikit demi sedikit, pantai terhakis, dan sudah banyak rumah yang terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Situasi itu sudah berlangsung agak lama.Menurut penduduk kampung, permohonan untuk membina tembok atau benteng bagi menghalang berlakunya hakisan telah lama dikemukakan, tetapi tidak mendapat tindakan yang memuaskan.
Kerajaan juga pernah bagi peruntukan, tapi berapa sangatlah yang boleh dibuat untuk membina tembok gabian dengan peruntukan kira-kira RM40,000?, tanya seorang penduduk kampung.
Masalah hakisan itu telah dibawa ke pengetahuan kerajaan beberapa kali tetapi tidak ada tindakan konkrit untuk menangani masalah hakisan itu.
Penduduk yang dianggarkan 860 orang di 72 buah rumah itu merasa terancam kehidupan mereka.Kerana bila-bila masa saja, jika ombak besar melanda, rumah mereka boleh dihanyutkan.
Bukan saja rumah-rumah, malah sekolah, balai raya dan sebagainya berdepan dengan ancaman bahaya jika kerajaan tidak mengambil langkah untuk mengatasi masalah hakisan di kampung Perapat Laut itu.
Malah kalau tiada tindakan untuk membina benteng penghadang hakisan, dalam masa antara lima ke sepuluh tahun, kampung Perapat itu mungkin hilang dari pandangan.
Itulah yang menjadi kebimbangan penduduk kampung.

No comments: