Sunday, February 5, 2012

Catatan ketika membuat liputan majlis Perjumpaan Datu Badaruddin di Semporna

Saya sengaja berjalan kaki dari Restoran Ar Rahman selepas makan tengahari. Jam di tangan saya menunjukkan jam 1.00 tengahari. Masih awal lagi, fikir saya.Perjumpaan itu dijadualkan berlangsung jam 2.00 petang di Dewan Sulabayan, Floating.

Tak kelihatan satu pun poster yang menunjukkan adanya program itu.Hanya`bunting' yang mengalu-alukan kedatangan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke Semporna, yang sudahpun berlalu.

Banyak juga kenderaan yang menurunkan penumpang di pintu masuk floating.Ramai juga yang datang berjalan kaki.

Di pintu masuk itu, saya terjumpa dengan Mohd.Abdillah Timbasal,
Ketua Pemuda USNO, Abdul Rahman Yahya, Ketua Penaja USNO Kalabakan, Piramli Barahim, Ketua Penaja USNO bagi kawasan Semporna.

"Bukan mudah mengumpulkan orang begini ramai," kata Piramli. Sesekali terdengar ucapan `ini kali lah' yang merupakan tagline pembangkang dalam usaha mereka menumbangkan kerajaan.

"Orang dengar nama USNO, tak dijemput datang pun, mereka datang," katanya. Sempat juga mereka bercerita mengenai BR1M, dimana ramai orang merungut kerana diperlakukan macam bola ketika memohon untuk mendapatkan bantuan itu.

Antara yang datang itu, ada yang memakai topi Usno, baju USNO. Tetapi saya perhatikan ada seorang tua yang memakai baju "USNO Pembela Rakyat", yang saya fikir baju lama yang masih disimpannya dengan setia, baju yang selalu dipakai sebelum kemasukan UMNO ke negeri ini pada tahun 1991.

Sambulayang, yang menunjukkan tradisi bajau juga dipasang di halaman depan Dewan Sambulayang itu. Kehadiran begitu ramai, sehingga ramai yang terpaksa berdiri.

Mula-mula penganjur hanya menganggarkan sekitar 400 atau 500 orang, tetapi jumlah kehadiran itu jauh melebihi sasaran. Dewan itu penuh malah masih ramai orang berdatangan.

"Jumlah ini lebih ramai berbanding ketika Datuk Seri Anwar datang," kata Basri Juhuri. Waktu Anwar datang, itu pun ramai juga tetapi ini lagi ramai, katanya.

Piramli sibuk mengarahkan sekumpulan pemuda, untuk meneriakkan `Hidup USNO' tiga kali dan hidup STAR, tiga kali sebaik-baik kedatangan Datu Badaruddin Tun Mustapha dan Datuk Dr.Jeffery Kitingan.

Ketibaan mereka disambut dengan laungan hidup USNO dan hidup STAR. Datu Badaruddin berada di hadapan bersalaman dengan orang ramai yang menyambut ketibaan mereka, diikuti Dr.Jeffery di belakangnya dan pemimpin-pemimpin USNO dan STAR.

Selepas menyanyikan lagu USNO, tarian igal-igal dipersembahkan oleh Mariani Marasal. Sebagaimana tradisinya, Piramli menyelitkan wang RM50 ditangan penari itu, diikuti oleh Siti Marsita, isteri Datu Badaruddin dan Datin Cecilia isteri Dr.Jeffery..

Selepas itu, Marasal yang juga Pengerusai Penganjur menyampaikan ucapan, diikuti kemudian oleh Haji Ahmad Awang, Abdul Rahman Yahya,Mohd.Abdillah Timbasal dan Piramli Barahim sebelum ucapan yang disampaikan oleh Abdullah Sani Haji Salleh, Datu Badaruddin yang ditunggu-tunggu hadirin.

Selepas menandatangani kerjasama USNO STAR dalam deklarasi yang dinamakan "Deklarasi Semporna" Dr.Jeffery menyampaikan ucapan.

Pengacara majlis berkata di kalangan masyarakat Semporna, ucapan yang lebih betul ialah kali ini lah dan bukan ini kali lah. Ini Kali lah menjadi semacam slogan keramat oposisi dan menjayakan cita-cita mereka.

Tetapi Abdul Rahman Yahya mengulas bahawa sama ada kali ini lah atau ini kali lah, yang penting bukan lain kali.

Haji Ahmad Awang berkata, beliau sendiri mendengar kata-kata Datu Badaruddin yang mengumpamakan dirinya, kereta yang tiada brek, tiada gear gostan dalam perjuangan maka beliau perlu disokong. Datu Badaruddin mahu menghidupkan perjuangan ayahnya Tun Mustapha. Kita tak ada pemimpin lagi, seperti Datu Badaruddin, kita harus sokong 100 peratus, katanya.

Pemimpin UMNO sekarang sudah lupa jasa USNO. Beliau yakin kalau Tunku Abdul Rahman masih hidup, USNO masih hidup dan tidak diharamkan.

"Sekarang kita mengemis di rumah kita sendiri," kata Haji Ahmad Awang. Apa salah kita sokong STAR, daripada kita sokong parti yang tidak bertanggungjawab, tiada belas kasihan yang menyebabkan rumah kita diranapkan dan perahunya dipecahkan.Bagaimana kita boleh sampai ke seberang?

Jadi kita terpaksa menumpang, di kapal yang katanya besar. Tetapi peraturan menumpang hanya tiga hari. Selepas tiga hari, kita tidak lagi boleh menumpang sebaliknya terpaksa mengundurkan diri,katanya.

Ini kali Lah, teriak hadirin. Ungkapan yang cuba dibetulkan oleh pengacara kepada kali ini.

Tetapi Abdul Rahman Yahya dari USNO Kalabakan mengulas bahawa sama ada kali ini lah atau ini kali lah, yang penting bukan lain kali. Rahman membawa hadirin kepada filem P.Ramlee, kepada satu lagu oi yahu yahu dalam Ali baba Bujang Lapok, lagu penyamun ketika balik dari melakukan rompakan.

Beliau menyebut mengenai tanah-tanah yang sepatutnya menjadi hak rakyat tetapi kini diberikan kepada syarikat-syarikat besar seperti Felda, Tabung Haji, felcra dan Yayasan Melaka.
dalam rangkap terakhir lagu Sabah Tanah Airku, yang menyebut Sabah Negeri Merdeka, Rahman menanyakan makna kemerdekaan yang dikecapi rakyat.

Piramli dalam ucapannya , beliau berucap dalam bahasa bajau semporna, meminta agar Datu Badaruddin mempertimbangkan permintaaan agar bertanding di Semporna. Semporna adalah kubu kuat USNO dulu dan tidak pernah dikalahkan di tempat itu.

UMNO kata Abdullah Sani, tidak mungkin masuk ke Sabah tanpa restu USNO. Tapi UMNO lupa daratan, katanya. Jadi Parti USNO dihidupkan semula untuk memperjuangkan dan mengembalikan hak rakyat Sabah.

Kita tak peduli sama ada USNO lulus atau tidak, yang penting kita dapat ambil balik hak rakyat Sabah.Katanya, Datu Badaruddin akan tetap pimpin USNO. USNO yang mula dihidupkan atas nama kelab, pada mulanya mendapat respon yang baik dari Kuala Lumpur. Tidak lain dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sendiri yang mengundang mereka ke pejabatnya di Putrajaya.

Bagaimanapun, proses pendaftaran Kelab USNO itu mengalami jalan buntuk. Akhirnya setelah beberapa kali ditolak permohonan mereka sebagai NGO, pemimpin-pemimpin mereka menghantar permohonan untuk bergerak sebagai parti politik yang sah pada 26 Nov 2010.

Walaupun USNO tidak diluluskan, ia akan terus berjuang. Sama ada lulus atau tidak, sama ada kita akan terus berjuang, katanya.

Ketika tampil di podium, Datu Badaruddin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada ahli-ahli USNO yang memberikan sokongan padu, sanggup datang dari jauh, Lahad Datu, Kunak, Tawau, Tamparuli, keningau dan sebagainya untuk memberikan sokongan terhadap perjuangan USNO.

Beliau juga berkata, jika tidak diluluskan pendaftaran sebelum pilihanraya ke-13, beliau meminta penyokong dan pendokong setia USNO mengenai semua calon STAR.

Katanya, USNO beri jaminan akan meminta ahli-ahlinya menyokong STAR. Beliau berkata kerjasama antara kumpulan Bajau Suluk dan KDM akan bertambah kukuh.

Beliau sempat mengkritik dasar transformasi Datuk Najib dan reformasi yang dibawa Datuk Seri Anwar, yang katanya tidak menguntungkan rakyat sabah.

Menurutnya, beliau mahu meneruskan kesinambungan perjuangan ayahnya.Katanya 20 tahun lalu, iaitu pada 1992, ketika Tun Mustapha dibelakangi oleh pemimpin sabah, tempat itu iaitu Dewan Sulabayan itu menjadi saksi kepada kehadiran masyarakat Semporna menyokong USNO.

"Saya Datu Badarudin bin Tun Datu Mustapha hari ini berikar meneruskan impian dan perjuangan Tun Mustapha," katanya.

Beliau juga sempat mengulas mengenai Abdulah Sani, yang dituduh senang dibeli kerana pada pilihanraya yang lepas, beliau yang sepatutnya menjadi calon PKR di Bogaya, tidak muncul ketika penamaan calon menyebabkan kerusi itu dimenangi tanpa bertanding oleh Ramli Marhaban.

Tuduhan itu, katanya didengarnya sewaktu cuci kereta di sebuah kedai mencuci kereta. Orang yang berbicara dengannya itu tidak mengenali beliau. Jadi beliau mendakwa Abdullah Sani mudah dibeli.

Datu Badaruddin menceritakan kisah yang sebenar.Bahawa pada malam sebelum penamaan calon itu, Sani meminta restu kepadanya. Tetapi Datu Badaruddin berkata, terpulanglah kepada sani untuk menjadi calon PKR kerana ia adalah haknya. Dia telefon saya lewat malam itu.

Menurut cerita, esok paginya, Sani menyerahkan duit deposit penamaan calon kepada Ansari beserta surat penerimaan wang. Kebetulan pada hari penamaan itu, ibunya sakit kuat dan kembali ke rahmatullah.

Kalau ada orang mengatakan dia senang dibeli, kata Datu Badaruddin sebenarnya dia susah dibeli.Bahkan beliau seorang yang setia.Bahkan beliaulah yang mengumpulkan orang ramai di Dewan Sulabayan itu menyokong pendirian Tun Mustapha ketika beliau menjadi ketua bahagian satu-satunya di Sabah yang mencalonkan Tun Ghafar Baba.

Selepas menandatangani Deklarasi Semporna yang memeterai perjanjian kerjasama antara USNO dan STAR, Datuk Dr.Jeffery berucap kepada orang ramai di Semporna.

Antara lain, beliau berkata, jangan pandang rendah kuasa penentu yang dimiliki UBF-khususnya STAR dan USNO.

Beliau yakin UBF akan menjadi kuasa penentu jika semua rakyat Sabah menyokong perjuangan mereka. "Kita boleh berunding semula hak kita dengan PR atau BN sekiranya berlaku keadaan dimana jumlah kerusi BN dan PR seimbang"

Pada ketika itu, STAR dan USNO akan dapat kuasa berunding dan merundingkan semua hak rakyat Sabah.

"Kalau bukan kita, siapa lagi, kalau bukan sekarang, bila lagi, Ini Kali Lah!". kata Dr. Jeffery sambil menyatakan keyakinan terhadap perubahan positif itu.

Katanya, setiap tahun Sabah menyumbang RM35 bilion hasil negara tetapi hanya RM4 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah. Daripada menjadi negeri kaya, Sabah masih menjadi negeri termiskin.

Jikalau menang, dan kalau kita diberi peluang oleh rakyat,kita akan menuntut sebagai equal partner, tidak kira apa bangsa, apa agama, kita akan urus negeri kita sendiri dan masa depan kita sebagai rakan kongsi yang seimbang.

Katanya, selama ini, rakyat Sabah dihasut supaya saling tidak percaya, saling curiga mencurigai dan dihasut semangat kesukuan. Sekarang ia tidak harus berlaku lagi.

Kita rakyat Sabah ada harga diri, Kita satu hati, rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bergerak satu arah, satu tujuan, satu impian, kembalikan maruah rakyat Sabah.

Perjumpaan itu tamat kira-kira 5.45 petang. Dr.Jeffery dan rombongannya lebih dahulu meninggalkan dewan sambil menyalami orang ramai. Datu Badaruddin keluar kemudian sambil mengajak ahli-ahli JK USNO untuk bertemu dan minum di Hotel Seafest.

Sempat saya mengsms Sani untuk pamit pulang kerana bas terakhir dari Semporna berangkat jam 6.00. Tetapi beliau minta saya tunggu, dan katanya kalau tak ada bas pun, nanti saya uruskan.

Mereka mahu saya datang membuat liputan acara itu, kerana mereka yakin kepada saya sebagai wartawan yang berkecuali, tidak memihak dan menulis dengan benar, apa yang disaksikan. Mereka mahukan saya membuat laporan yang benar dan berimbang.

Sengaja saya melepaskan diri dari kepungan orang ramai yang menyalami pemimpin-pemimpin USNO, parti yang cuba dihidupkan semula, tetapi mempunyai penyokong yang masih ramai.

Saya perlu pulang ke Tawau petang itu. Bas mini sudah tiada. Basri Juhuri, salah seorang rakan yang juga ahli DPBS Semporna menemani saya sehingga bas datang. Ketika ditelefon, bas mini yang ditunggu itu masih di batu 3.

Akhirnya saya terpaksa menumpang kirong-kirong, istilah lain bagi kereta sapu, yang dipandu oleh seseorang yang dikenali sebagai ola la.

No comments: