Friday, February 3, 2012

Pertemuan dengan Ustaz Abdullah Mahdi Villar

Sebaik ternampak Ustaz Abdullah Mahdi Villar, baru saya teringat janji saya untuk singgah ke rumahnya mengambil buku.

Saya berjanji akan ke rumahnya, bila ada yang terluang. Tapi sampai sekarang, setelah beberapa ketika berlalu, saya belum mendapat waktu yang terluang untuk ke rumahnya.
Beliau merupakan salah seorang Ustaz, tempat saya selalu bertanya, jika ada kemusykilan. Pemikirannya sentiasa segar.

Malah pernah satu ketika ketika kami bertanya apa maknanya amal shalih, beliau mengumpamakan amal shalih seperti kita memperbaiki kereta yang rosak. Kerja memperbaiki kereta sehingga ia berjalan itulah yang boleh kita katakan amal shalih. Kita memperbaiki, meningkatkan amal kita, itulah yang kita katakan amal shalih. Sungguh menarik, walaupun saya mengambil masa yang sedikit lama untuk memahaminya.

Ustaz Abdullah Mahdi turun KK untuk mencari ramuan tradisional madura, keluaran PJ Nyior koneng yang katanya baik untuk kesihatan. Pinggangnya yang selalu sakit, sebelum ini, beransur baik selepas dia mengambil ubat itu.

Sejarah hidup Ustaz Abdullah Mahdi ini ternyata menarik dan panjang. Nama aslinya Leonardo Villar, dilahirkan di Ibisan, Kapis, Pulau Panay di Filipina pada 4 Disember 1935. Beliau mengembara untuk mencari Tuhan dan makna kehidupan. Dari seorang penganut katolik yang kuat, beliau mengembara untuk mencari dimana Tuhan sebenarnya. Beliau kemudian merantau hingga tinggal di Marawi City selama empat tahun. Kemudian kerana dahagakan ilmu dan mengisi kekosongan jiwa beliau ke Mekah dan tinggal di sana selama dua tahun, belajar bahasa Arab kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Madinah selama 13 tahun.

Beliau kemudian dilantik sebagai salah seorang mubaligh oleh Darul Iftah Arab Saudi dan ditugaskan di pejabat Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sejak 1980. Selain bahasa Tagalog, beliau mahir berbahasa Ilongco, Tausug dan Iranun. Kini penguasaannya dalam bahasa Melayu semakin baik sehingga berjaya menghasilkan kitab Kewajiban yang kita tidak peduli.

Hingga kini, Abdullah Mahdi terus menjalankan kerja-kerja dakwah dan menjelaskan mengenai pengertian Islam yang sebenar kepada mereka yang mahu belajar mengenainya.

1 comment:

Samir bin Abdullah said...

Ustaz Abdullah mahdi L.Villar baru sahaja pulang ke rahmatullah pada ahad lepas bersamaan 24 September 2017 di HQE II. Dan selamat dikebumikan pada hari yang sama di tanah perkuburan islam likas..