Sunday, February 26, 2012

Rahman Dahlan minat lukisan


KETIKA berkunjung ke rumahnya di King Fisher Sulaman, saya agak teruja melihat minatnya yang mendalam terhadap seni lukis. Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Haji Abdul Rahman Dahlan yang juga Setiausaha BN Negeri Sabah adalah seorang pemimpin muda dari Sabah yang mempunyai keistimewaan, malah sebaris dengan pemimpin-pemimpin di peringkat nasional. Beliau seorang yang berfikiran terbuka, rasional, sedia mempertahankan hujahnya dan mampu berdebat dengan sesiapa saja semata mata untuk mencari kebenaran.

"Rupanya Datuk juga minat lukisan," saya berkata sambil memerhati lukisan-lukisan yang tergantung di dinding-dinding rumahnya. Ternyata beliau mempunyai minat terhadap seni yang agak tinggi. Beliau mengajak saya melihat beberapa lukisan lain yang terdapat di rumahnya. Datuk Rahman menyimpan beberapa koleksi lukisan hasil karya para pelukis terkenal tanahair.

Salah satu lukisan yang menarik ialah sebuah lukisan yang dihasilkan oleh seorang pelukis yang menggambarkan suasana 16 September 1963 di Padang Merdeka Kota Kinabalu, iaitu ketika Perisytiharan Malaysia. Sekilas, tak ada yang luar biasa dalam lukisan itu, katanya.Bahkan ia seperti gambar-gambar yang terdapat dalam buku teks sekolah.

"Tetapi cuba perhatikan lukisan itu," katanya. Kita dapat melihat jelingan mata bapa-bapa bangsa kita, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Mustapha, Allahyarham Tun Fuad menjeling kepada seorang kanak-kanak yang sedang menari `break dance.'. Sudah tentu ini hanya sebuah lukisan, tafsiran sang pelukis terhadap pengaruh budaya barat yang banyak mempengaruhi belia-belia kita. Sehinggakan bapa-bapa kita, dalam lukisan itu, menjeling tajam ke arah anak itu. Ia menggambarkan kebimbangan mereka terhadap masa depan negara. Namun ia terpulanglah kepada tafsiran kita masing-masing.

Terdapat banyak koleksi lukisan yang menarik. Di celah kesibukannya sebagai seorang ahli parlimen, Rahman masih sempat menghayati seni.

"Ia membuat saya tenang dan rileks," katanya.

No comments: