Saturday, February 25, 2012

Sambil menghirup kopi di Kampung Likas

SAYA sedang menghirup kopi di sebuah restoran yang terkenal dengan nasi lemaknya di Taman Kemajuan Likas ketika tiba-tiba teringin untuk menulis sesuatu mengenai Kampung Likas. Saya teringat ketika pertama kali tiba di kampung ini pada tahun 1986, tidak berapa lama selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Ketika itu saya menumpang di rumah abang sepupu, yang terletak di kampung yang diberi nama Kampung Seranti.

Tetapi Kampung Seranti itu lebih dikenali sebagai Kampung Kandang Ayam, kerana ia terletak bersebelahan dengan lokasi penternakan ayam Jabatan Haiwan. Apabila kampung itu terbakar seluruhnya pada tahun 1997, Ketua Menteri ketika itu, Datuk Yong Teck Lee dan Jumat Idris (kini Datuk) yang pada ketika itu Ahli Majlis MPKK, telah berusaha untuk menimbus kampung yang mulanya berstatus setinggan itu, menjadi sebuah perkampungan baru yang kini diberi nama Kampung Cenderamata Dua Likas.

Kampung itu diberi nama Kampung Cenderamata Dua Likas mungkin kerana ia merupakan cenderamata daripada kerajaan kepada penduduk kampung yang telah kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang memusnahkan lebih daripada seribu buah rumah.

Barangkali ramai juga yang berasa aneh mengenai kewujudan kampung dalam kampung.Misalnya, jika ada orang yang bertanya, di mana letaknya Kampung Cenderamata Dua? Jawapan yang selalu kita dengar ialah ia terletak di kampung Likas.

Kenapa ia dinamakan Kampung Cenderamata Dua? Kerana sebelum itu sudah ada kampung di dalam kampung Likas yang dinamakan Kampung Cenderamata Satu.

Sambil minum itu saya terfikir alangkah baiknya jika ada satu buku sejarah ditulis mengenai sejarah Kampung Likas. Setakat ini, sepanjang yang saya tahu, belum ada sejarawan yang menulis secara tuntas mengenai sejarah kampung itu.

Banyak cerita yang kita dengar. Umpamanya, ada yang mengatakan bahawa kampung Likas dulunya dipenuhi hutan pokok bakau. Ada yang mengatakan sejurus selepas pendudukan Jepun, Kampung Likas sudah diduduki, mulanya oleh beberapa orang. Ketika proses urbanisasi bermula, ramai penduduk yang pada asalnya bermastautin di Api-Api atau Jesselton ketika itu berpindah ke Likas. Ramai pula penduduk dari luar ibu kota seperti dari Kota Belud, Kudat, Tuaran, dan sebagainya, yang tinggal di perkampungan nelayan di kampung Likas kerana kebanyakan mereka adalah pekerja di ibu negeri, ada yang bekerja sebagai buruh pelabuhan, dan bermacam pekerjaan lain di ibu negeri.

Sejak itu, kampung Likas memiliki sebuah masyarakat yang heterogen. Keanekaragaman budaya, kepelbagaian suku dan latar belakang menjadikan kampung Likas sebuah kampung yang lain daripada yang lain.

Di Kampung Likas, selain kampung yang dikenali sebagai Kampung Likas Lama, kerana dikatakan itulah kampung Likas yang asal, terdapat juga Kampung Jawa, Kampung Nelayan, Kampung Suluk, Kampung Seroja, Kampung Gusung, Kampung Cempaka, di samping Rumah Murah Peringkat satu hingga tiga.

Kampung Likas mendapat namanya dari perkataan masyarakat bajau yang bermaksud likus, atau sepemeluk kerana disana kononnya terdapat kayu sebesar pemeluk yang menjadi tempat rujukan bagi orang-orang yang berpindah ke sana dari Api-ApiMasyarakat Iranun menyebut Likas sebagai Likes, yang bermaksud lingkaran, dilingkari atau terhimpunkan.

Sementara itu, kampung Jawa mendapat namanya daripada orang-orang keturunan Jawa yang bermastautin di sana. Sehingga sekarang, kampung yang sebenarnya kecil itu dinamakan Kampung Jawa.

Sebelum itu, terdapat juga kampung yang diberi nama kampung Nelayan, kerana ia menjadi penempatan nelayan.Masyarakatnya campur baur, daripada penduduk asal atau imigran dari Kota Belud, Kudat dan sebagainya, bahkan juga apabila pembangunan datang melanda, ia juga ditempati oleh pekerja-pekerja bangunan, pekerja kapal dan sebagainya.

Sebelum jalan Tanjung Lipat itu ditimbus kira-kira tahun 76, kampung itu terkenal dengan nama kampung nelayan.Tetapi setelah kebanyakan mereka dipindahkan ke Kampung Warisan di Inanam, diberikan rumah dan tempat tinggal yang selesa, kampung itu, entah kenapa, dipanggil pula dengan nama Kampung Suluk, kerana ramainya orang-orang Suluk yang menetap di sana, iaitu sebelum mereka dipindahkan pula ke Telipok dan sebagainya.

Kita juga mengenal nama Kampung Seroja, yang namanya diambil sempena nama pokok seroja yang tumbuh di sana. Demikian juga Kampung Cempaka, kerana di kampung itu terdapat banyak pokok cempaka yang tumbuh memandangkan ia berada dekat tanah perkuburan.Di Kampung Likas juga terdapat kampung Bakau, yang mulanya ditempati oleh kalangan imigran yang menebang pokok bakau atau tinggal di celah-celah pokok bakau satu ketika dahulu.

Fikiran saya menerawang lagi kepada orang-orang yang mendiami Likas dan ikut berpengaruh dalam kehidupan masyarakatnya. Saya teringat pakcik Surat, saya teringat arwah Haji Latif, saya teringat pakcik Madindi, yang satu waktu pernah jadi penyelia pembinaan rumah murah, saya teringat arwah Haji Kadis, Imam Mantamin, Haji Idris dan ramai lagi.Sebahagian daripadanya telah mendahului kita.

Bahkan saya agak terkejut juga ketika diberitahu Awang Lamin, bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) sudah kembali ke rahmatullah. Kelmarin sudah masuk kenduri tujuh hari, kata Laliman Ahmad, salah seorang orang lama di Kampung Likas. Selain beliau, Haji Amat Telijar juga sudah meninggal dunia. Beliau pernah menjadi Ketua kampung Likas. Sebelum ini, sudah ramai orang-orang yang pernah berjasa dan berbakti kepada kampung Likas dan masyarakatnya telah kembali ke alam baqa.

Kampung Likas terletak hanya kira-kira 5 Km dari bandaraya Kota Kinabalu. Ia memiliki kedudukan yang penting dalam proses pembangunan bukan saja di ibu negeri malah di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Sudah sewajarnya sejarah mengenai Kampung Likas itu ditulis dan didokumentasikan. Kampung yang dulunya pernah dikunjungi oleh Allahyarham Tun Razak Hussain, Perdana Menteri Malaysia bahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah melawat kampung bersejarah itu.

Semakin ramai tokoh, semakin ramai personaliti, semakin ramai orang-orang yang pernah menorehkan jasa mereka pergi mendahului kita. Saya menjadi agak sedih dan pilu, hampir lupa membayar minuman sebelum meninggalkan kedai itu.

No comments: