Friday, February 10, 2012

Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu


TIADA kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu, kata Najion Jamil, tokoh yang menjadi tamu ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo kali ini. Kejayaan yang manis hanya dapat dikecapi jika kita sanggup berkorban walaupun pahit. Beliau telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil selagi kita berusaha dan sedia berkorban untuk mencapainya.

Najion Jamil dilahirkan di Kampung Tudan, Ranau pada 13 Februari 1957. Beliau adalah anak kedua daripada empat adik beradik.Ketika masih kecil, ayahnya Jamil bin Suman meninggal dunia. "Ibu saya, Sinong bte Majun dan pakcik saya, Haji Moksin Suman lah yang mengurus dan membesarkan saya hingga bersekolah," kata Najion yang juga penulis yang telah menghasilkan tujuh buah buku, puluhan rencana-rencana agama, teks khutbah dan sebagainya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor pada tahun 1965.Kemudian beliau melanjutkan persekolahan menengah di sekolah yang sama dalam tingkatan satu hingga tiga.Selepas itu, Najion melanjutkan pelajaran tingkatan empat dan lima di Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur dan Tingkatan Enam Rendah dan Atas di St.John Institution, Kuala Lumpur. Pada tahun 1978 hingga 1981, Najion meneruskan pengajian di Universiti Malaya, universiti tertua di negara ini, sehingga lulus dengan kepujian dalam bidang pengajian Melayu.

Kariernya bermula apabila berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.Kemudian beliau bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Bahagian Penerbitan dan Sebaran Am MUIS sejak tahun 1986. Apabila penstrukturan semula MUIS, beliau berkhidmat pula sebagai Penolong Pengarah Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) Negeri Sabah dari tahun 1996 hingga sekarang.

Ikuti petikan wawancara wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN dan pelatih UMS,MOHD.NURAZWAN BIN AUGUSTINE dengan NAJION JAMIL di pejabatnya di Tingkat 9, Blok A, Wisma MUIS, awal minggu ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar pendidikan tuan?

NJ: Saya bersekolah rendah di Sekolah Princess Elizabeth di Johor Bahru. Sekolah itu adalah sekolah pendidikan khas tetapi ketika itu ia tidak disebut sebagai sekolah pendidikan khas. Setelah tamat darjah enam di sekolah itu, saya memasuki sekolah menengah dalam tingkatan satu hingga tiga di sekolah yang sama. Sekolah biasa, sekolah bersepadu. Tingkatan empat dan lima, saya tempuhi di Sekolah Tinggi Setapak.Selepas itu saya melanjutkan persekolahan di St.John Institutiion, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu.

UB: Bagaimana tuan belajar dan mengulangkaji belajaran ketika berada di sekolah biasa?

NJ: Alhamdulillah, saya banyak mendapat bantuan rakan sekelas. Saya membaca dan mengulang kaji pelajaran dengan bantuan mereka. Selain itu, saya juga belajar lebih gigih untuk mencapai cita-cita dan mengatasi kekurangan saya.Berkat kegigihan dan pengorbanan, saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading hingga mendapat kelulusan BA Hons dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Malaya.

UB: Waktu itu, siapa pensyarah yang pernah mengajar tuan?.Masih ingat?

NJ: Antara pensyarah yang pernah mengajar saya ketika di universiti ialah Prof.Dr.Nik Safiah Karim, Dr.Hashim Awang, Dr.Umar Junus, Prof. Datuk Dr Asmah Haji Omar.

UB: Apakah tuan orang yang pertama dari Sabah menjejakkan kaki ke universiti dari kalangan tuna netra?

NJ: Bukan.Ada lagi orang sebelum saya, iaitu Chok Swee Lee, orang tionghua dari Semporna. Kalau tak silap saya, kini beliau sudah berhijrah ke Semenanjung. Sebenarnya, kami sama-sama masuk sekolah di Johor Bahru tetapi kerana umurnya lebih tua, di sekolah beliau lompat kelas. Itulah sebabnya dia lebih dulu masuk Universiti.

UB: Siapa agaknya guru yang tuan yang minati sewaktu di sekolah dulu?

NJ: Di sekolah rendah? Ada beberapa orang guru Sntaranya Cikgu Raja Azidin. Saya minat pendekatannya ketika mengajar.Dia melayan kita seperti pelajar normal yang lain. Dia marahkan kita seperti dia marahkan yang layan.Saya masih ingat dia berkata `dig your own funeral', gali kubur anda sendiri ketika dia menegur kita.

UB: Dulu di sekolah, belajar pakai braille?

NJ: Ya, kami pakai braille.Waktu itu buku teks tiada. Nasib baik kerana ada rakan-rakan yang membantu.

UB: Tentu ketika pengajian di universiti lebih mencabar? Apa komen tuan?

NJ: Kejayaan hanya dicapai apabila kita gigih berusaha. Tapi waktu di UM saya belajar gigih melebihi orang lain. Banyak rakan-rakan mahasiswa yang membantu. Antaranya Datuk Samsu Bahrun, mantan Ahli Parlimen Lahad Datu. Dia selalu tolong saya, tumpangkan saya kalau pergi kuliah.

UB: Siapa lagi rakan seuniversiti dari Sabah?

NJ: Antaranya Mohd.Hikam Terimo, Sapri Mohd.Noor, Awangku Ali. Musli Oli, itu junior saya. Dulu di sewaktu di Universiti, beliau ada motosikal scrambler, selain itu ada ramai lagi. Datuk Jenar Lamdah, itu senior saya sewaktu di UM.

UB: Selepas keluar Universiti, tuan kerja dimana?

NJ: Saya bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebagai Pegawai Penyelidik Bahasa. Ketika itu taraf jawatan secara sambilan. Antara rakan yang saya ingat ialah Hajah Zaiton Ajamain, Muziat Yusof dan beberapa yang lain.

UB: Kenapa berhenti?

NJ: Waktu itu saya memohon untuk membuat MA. Pendaftaran sudah dibuat tetapi pihak jabatan tolak kerana ada masalah teknikal.

UB: Kerja dimana selepas itu?

NJ: Saya bertugas di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 1986 sebagai pegawai penerbitan. Apabila MUIS distruktur semula pada 1996, saya bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) .

UB: Tuan orang pertama di kampung Tudan masuk Universiti?

NJ: Sebenarnya, walaupun saya dilahirkan di Kampung Tudan, Ranau tetapi kami berpindah ke Kampung Tudan Baru Keningau untuk membuka tanah. Mungkin kalau di Kampung Tudan baru, saya orang pertama masuk ke universiti.

UB: Bagaimana tuan ke Kota Kinabalu ketika itu? Naik apa?

NJ: Saya menaiki kapal terbang dari Keningau ke Kota Kinabalu. Kalau tak silap saya tambang kapal terbang RM28.00. Waktu itu tahun 1965, masih terdapat perkhidmatan kapal terbang dari Keningau ke Kota Kinabalu. Selain pengangkutan udara, terdapat juga perkhidmatan keretapi dari Tenom ke Kota Kinabalu pada ketika itu.

UB: Oh maaf ya. Sejak bila tuan menjadi seorang tuna netra. Sejak kecil?

NJ: Saya kehilangan penglihatan ketika masih berusia 3 atau empat tahun. Ketika itu saya diserang demam panas. Kemudian mata sakit, mula-mula sebelah kiri, kemudian sebelah kanan. Arwah bapa saya membawa saya ke Kota Kinabalu untuk berubat.Mula-mula kami jalan kaki dari Kampung Tudan ke Tamparuli. Kemudian dari Tamparuli, naik land rover ke Kota Kinabalu.

UB: Masih aktif menulis? sudah berapa banyak buku yang dihasilkan?

NJ: Saya telah menulis tujuh buku. Tuga siri buku tawawwur. Antara tajuk buku ialah Pengurusan Masa dari Perspektif Al-Quran, Perkembangan Islam di sabah Selepas Merdeka, Bila Ababil Menyerang, Bala Jangan diundang. Saya juga menulis teks-teks khutbah, rencana agama dan sebagainya.

UB: Saya tertarik dengan perpindahan dari Kampung Tudan di Ranau ke Kampung Tudan baru di Keningau? Bagaimana itu ya?

NJ: Kami berjalan kaki tiga hari dua malam dari Tudan ke Keningau.Saya masih ingat tempat pertama yang kami berhenti ialah Garas di Tambunan, tempat ini merupakan tempat asal Dr.Yusuf Jasmin. Kemudian kami berhenti lagi ke Babagon sebelum meneruskan perjalanan. Kami berpindah itu, kalau tak silap tiga empat keluarga untuk ke Keningau, untuk meneroka tanah kerana ada pembahagian tanah. Alhamdulillah, penghijrahan penduduk itu juga telah membantu menyebarluaskan lagi dakwah Islam di Keningau

UB: Apa hobi di masa lapang?

NJ: Kalau masa dulu saya suka bermain muzik, jamming,main pingpong, main bola, main catur dan sebagainya. Sekarang tidak banyak masa

UB: Tuan minat muzik juga?

NJ: Sewaktu di sekolah dulu, saya ikut pancaragam sekolah.Saya minat muzik sejak kecil. Malah di Johor Bahru kami pernah mengiringi band Nirwana dalam satu pertunjukan di Padang bandaran Johor bahru.Malah kami pernah mengiringi penyanyi Datuk Sharifah Aini. Juga kami pernah mengiringi penyanyi Frankie Chia yang amat popular pada tahun 70-an.

UB: Permainan catur pula?

NJ: Sewaktu tingkatan 1-3, saya pernah menjadi johan catur menentang orang-orang normal

UB: Oh ya, sewaktu di universiti dulu, tuan buat kajian apa ya?

NJ: Saya mengkaji buku tajus salatin.

UB: Nampak ada komputer.Tuan ada emelkah? Bila tuan semak email?

NJ: Saya menyemak emel sewaktu pagi, mula sampai ke pejabat dan petang sebelum pulang ke rumah. Enel saya najion.jamil@sabah.gov.my

UB: Apa komen tuan terhadap masyarakat kita hari ini?

NJ: Masyarakat kita hari ini, saya fikir sangat terpengaruh budaya hedonistik. Terlalu memikirkan hiburan.Kita jangan hilang fokus, jangan terlalu `enjoy'. Empayar Abbasiyah, hancur lebur kerana pemimpin mereka kehilangan fokus, lupa tanggungjawab kepada rakyatnya, itu sebabnya empayar mereka jatuh.

UB: Apa nasihat tuan kepada generasi baru sekarang?

NJ: Dengar cakap ibu bapa dan guru-guru dan kita ikutlah apa kata pemimpin yang baik.

UB: Apa kata-kata hikmat atau kata-kata pendorong, yang barangkali boleh jadi panduan bersama?

NJ: Saya suka kata-kata ini.Tiada Kejayaan semanis madu tanpa pengorbanan sepahit hempedu.

No comments: