Monday, March 12, 2012

Catatan di Pulau Selakan










Seorang wanita sedang membelah `tehe-tehe', sejenis hidupan laut ketika kami tiba di rumah Pakcik Mahamud bin Urugan di Pulau Selakan, kira-kira 20 minit perjalanan menaiki bot dari pekan Semporna.
Hari sudah petang.Pakcik Mahamud, 60, adalah seorang pesara polis. Beliau bersara tahun 2008, dan sejak itu, beliau sering menghabiskan waktu hujung minggunya untuk berehat di pulau Selakan, iaitu kampung halamannya sendiri.
Isterinya, puan Karimah binte Omar Ban, bersusah payah menyediakan masakan tradisi pulau itu untuk menjamu kami. Tidak lama selepas kami tiba, beliau menghidangkan `aggang' iaitu ubi kayu yang dikeringkan, dan digoreng tanpa minyak, selain nasi, ikan rebus, ikan bakar, dan sotong.

Ikan ulapai memang bagus untuk direbus, kata Haji Yusuf Haji Shaari. Ikan ulapai, biasanya pelbagai warna manakala ikan batahan, sejenis dengannya, banyak kelabu. Beliau juga menjelaskan bahawa ubikayu boleh diproses menjadi makanan yang disukai penduduk. Selain aggang, ia juga boleh dibuat putu' -dikukus menggunakan tempurung dan periuk tanah, tumpi, bamban-yang biasanya dibungkus daun pisang atau kelapa muda.

Tehe-Tehe, sejenis hidupan laut berduri, yang biasanya dikorek dan kemudian dimasukkan beras ke dalamnya untuk di masak. Nasinya sedap. Dulu pernah dijual setiap kali bazaar Ramadan. Kini masyarakat lebih kreatuf lagi, kerana beras yang ditanak itu sering dicampur dengan udang kering.

Apa padanan Tehe-Tehe dalam bahasa Melayu ya? Saya bertanya kepada Haji Yusuf. Beliau memberitahu, tidak pasti nama saintifiknya tetapi orang menyebutnya `bulu babi'. Dalam bahasa Inggerinya `sea-urchin'.

Saya tertarik dengan kehidupan masyarakat di pulau itu. Sebenarnya, saya sudah lama mendengar nama pulau Selakan. Saya ingin ke sana. Tetapi hasrat untuk berkunjung ke pulau itu termakbul apabila Haji Abdul Ajan Haji Gurimbang, mengajak saya untuk ke pulau Selakan, melihat kehidupan masyarakat di sana.
Saya rasa gembira. Petang itu, hari minggu, cuaca agak baik.Jadi dapatlah kami menikmati angin laut sambil menikmati makanan tradisi itu.
Pakcik Mahamud memberitahu, anak-anak kampung itu masih sering pulang ke kampung mereka kalau ada majlis kenduri arwah hari raya, majlis keramaian ataupun majlis kahwin. Beliau mempunyai enam anak, tiga lelaki dan tiga perempuan.
"Pesta kahwin di sini, kadang-kadang sampai jam 3.00 pagi," kata Pakcik Mahamud. Biasanya ada band muzik atau mengalai. "Kadang-kadang boleh habis tiga cerek besar kopi o', kata Haji Yusuf.

Jika ada majlis keramaian di pulau-pulau, minuman yang popular pastilah kopi o, kerana ia lebih digemari, apatah lagi kalau ada kuih baulu atau kuih sapit, atau kuih jala.
"Kopi O tahan...mata nda' ngantuk," katanya yang mengaku pertama kali ke pulau itu, sungguhpun nenek moyangnya berasal dari sana, meskipun dia pernah mengelilingi hampir semua pulau di Semporna kerana satu ketika dahulu pernah bertugas sebagai kerani pembahagian saham amanah Yayasan Sabah, yang kemudiannya dikenali sebagai saham amanah Tun Mustapha.

Banyak potensi yang boleh dibangunkan di pulau itu. Selakan terletak sehala dengan pulau Bohey Dulang, iaitu sebuah pulau peranginan yang terkenal di Pantai Timur Sabah. "Di sini, salah satu yang boleh dibangunkan ialah industri inap desa atau homestay," kata Haji Ajan.

Pelancong selalu menginginkan kehidupan kampung yang sebenar. Jika ada satu masakan tradisi, budaya tradisi dengan kemudahan bilik dilengkapi tandas yang teratur, ia sudah cukup untuk membangunkan potensi Inap desa di pulau itu.

Selain nelayan, penduduk juga mengusahakan agar-agar atau rumpai laut. Ia banyak permintaan. Satu ketika dahulu, di pulau itu terdapat banyak balat, atau gamat, tetapi kemudian dengan kedatangan pendatang asing, gamat semakin berkurangan.

Penduduk di pulau itu masih mengharapkan air hujan untuk keperluan harian.Elektrik dibekalkan melalui generator sendiri, kata Ketua Kampung, Haji Rubani Imam Isnin,66.
Terdapat 500 penduduk di pulau itu termasuk kanak-kanak.

"Kalau bukan nelayan, mereka kebanyakannya mengusahakan tanaman rumpai laut dan memancing," katanya. Kehidupan penduduk kampung sangat bersahaja.Kebanyakan mereka mempunyai talian keluarga.

"Kalau malam, biasanya sejuk. Kalau tengahari, panasnya bukan main. Kalau musim angin, suasananya nyaman," katanya.
"Kalau angin kuat penduduk tidak takut?"
"Kami sudah biasa.Kalau adapun angin, tidak begitu kuat. Haji Rubani juga bercerita mengenai anak-anak yang tercicir dari pelajaran, dan hanya menikmati pelajaran setakat darjah tiga. "Jika naik tahun empat, mereka ditempatkan di sekolah berpusat pulau Bumbum," katanya.

Tindakan Jabatan Pelajaran itu dibuat mungkin kerana Semporna menduduki tangga yang tercorot dalam pencapaian peperiksaan, kata Haji Hajan. Selain itu pula, guru-guru enggan ditempatkan di pulau-pulau terpencil menyebabkan masalah kekurangan guru. katanya.Itulah sebabnya kerajaan mengambil langkah untuk menempatkan pelajar tahap dua di pulau-pulau berdekatan di sekolah berpusat di pulau Bum Bum untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

Namun niat baik itu terhalang kerana terdapat ibubapa yang enggan berpisah dengan anak mereka yang relatifnya masih kecil. Berusia awal sepuluh tahun.Selain itu, terdapat juga ibubapa yang kurang mampu menghantar anak-anak mereka bersekolah ke pulau Bum-Bum. Itu menyebabkan ramai kanak-kanak yang tidak meneruskan persekolahan setelah tamat tahun tiga. Mereka menjadi penganggur sebelum waktunya.

Sebelum meninggalkan rumah pakcik Mahamud, saya melihat ada minyak masak, gula tebu, kelapa dan beras yang disimpan dalam besen dan diletakkan dalam rumah.
Beliau menjelaskan ia dipanggil `baumbu', iaitu sejenis adat tradisi yang masih diamalkan oleh golongan tertentu yang mempunyai makna tersendiri bagi mereka.

Sayang sekali kerana ketika itu tiada yang dapat menjelaskan dengan baik asal usul pulau Selakan itu. Apa makna Selakan dalam bahasa Bajau. Kalau pulau Silangau atau Mantabuan, dapat dimengerti mungkin kerana banyak lalat.

Menurut Haji Liyu bin Usop, 75, beliau masih kanak-kanak ketika tinggal di pulau Selakan.Saya masih telanjang, ketika musim Jepun datang. Kami sempat lari ke Pulau Sitangkai untuk mengelakkan kekejaman tentera Jepun, katanya.

Saya tidak sempat bertanya kerana mereka membawa saya ke sebatang jeti sejauh kira-kira 500 meter. Saya melewati anak-anak dan remaja kampung itu yang sedang bermain bola di atas pasir. Saya menyaksikan rumah-rumah penduduk, yang sebenarnya tidaklah jauh ketinggalan. Saya melihat jusri, pelajar SMK Abdullah sedang berdayung di atas kadbod yang dijadikan sampan.

"Kita minta supaya kerajaan memberikan bantuan untuk mempercepatkan pembinaan jeti," kata Haji Rubani. Jeti sepanjang kira-kira 500 meter itu tidak dapat digunakan oleh para nelayan kerana ia terputus selepas roboh. Saya mengambil gambar jambatan yang terputus itu.

Pemandangan senja amat cantik.Matahari sebentar lagi turun dari langit untuk memasuki horizon, dan kami, sebentar kemudian berangkat meninggalkan pulau Selakan yang indah itu.

2 comments:

mariney puasa said...

hi,
Encik jika tidak keberatan boleh tak bantu saya cara-cara nak pergi pulau selakan? Saya amat berminat nak pergi pulau i setelah membaca blog encik tapi pulau ni tak begitu glamour lagi so rasa amat sukar nak pergi sana berbanding pulau mabul,mataking dan yang lain..

abd naddin said...

Jika berminat, hubungi saya melalui abdnaddin@yahoo.com. saya boleh minta bantu rakan-rakan di sana. Tapi jika ingin lebih adventure, saudari hanya perlu ke Semporna, cari jeti dan Tanya mana perahu yang menuju ke pulau Selakan.Terima kasihkerana sudi membaca