Wednesday, March 14, 2012

Pertemuan dengan rakan baru-Sharifudin Shaari

Selepas check in di Lapangan Terbang Tawau, saya menaiki tangga ke tingkat atas, berkira-kira untuk menghantar berita sementara menunggu penerbangan AK6127 ke Kota Kinabalu.
Masih ada lebih satu jam lagi sebelum waktu berlepas. Kemudian saya nampak seseorang yang seperti mengenali saya. Saya terus menyapanya. Dia memberitahu bahawa saya mungkin tidak mengenalinya tetapi dia mengenali saya kerana selalu membaca blog saya.
Beliau sering mengikuti perjalanan dan tulisan saya dalam blog. Itu yang membuat saya terharu.Ia merupakan satu penghargaan apabila ada orang yang membaca tulisan kita.
Dalam perkenalan singkat itu, saya mengetahui beliau bekerja di Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Tawau. Orangnya baik dan ramah.Ketika itu, Sharifudin Shaari, kenalan baru saya itu, menghantar ayah dan ibunya balik ke KL. Kini keluarganya menetap di Felda Jengka Pahang. Sejak umur tiga tahun, beliau dibawa oleh ayahnya ke Felda Jengka dan beliau membesar di sana. Mereka berasal dari Pasir Putih Kelantan.
Sharifudin kini dikurnia lima orang cahaya mata.Mana yang tiga lagi? Saya bertanya kerana melihat hanya dua orang dibawanya. Ada tuisyen, katanya. Isterinya orang Kota Belud, kampungnya dekat pekan.
Saya memberitahu bahawa ada sahabat saya bekerja di LKM juga. Namanya Jasni Yakub. Ooo, kata Sharif, saya selalu menyapanya `saudara'. Dia kan aktif dalam persatuan penulis, katanya.
Selepas perbualan singkat itu, saya menyalami mereka dan mohon diri.
Penghargaan sedemikian mendorong saya untuk terus menulis dan berkarya. Saya juga gembira kerana mengenali seorang rakan baru. Pertemuan seperti itu amat bermakna.

No comments: