Sabtu, 7 April 2012

Catatan di kantor LenteraTimur, Jalan Sawo Manila no.10

Tags








CATATAN DI KANTOR LENTERATIMUR, JALAN SAWO MANILA NO.10

SETELAH bertanya kesana kemari, akhirnya sampailah kami ke Jalan Sawo Manila, no.10 Jatipadang, Jakarta Selatan, tiga minit selepas jam 9.00 malam waktu WIB. Seorang pemuda berambut gondrong menyongsong kami.

Tengku Muhammad Dhani Iqbal namanya.Orangnya ramah dan bersahabat. Kami bersalaman. Beliau kemudian membawa kami ke ruang redaksi LenteraTimur.com, sebuah media online yang agak berpengaruh di Indonesia.

“Maaf agak berantakan,” katanya. Mulanya kami mahu duduk bersila saja tetapi rakannya menyarankan agar kami masuk ke dalam.

“Ini Ken, dari Kepri,” katanya. Saya memberitahu bahawa saya dua tahun lalu saya pernah ke Tanjung Pinang. “Ini Chris Pailo, dari Gorontalo” katanya memperkenalkan seorang pemuda di ruangan itu. Kawan-kawan dari Borneo, baru saja pulang, katanya.

Di atas meja, terdapat longgokan buku.Pelbagai tajuk. Kami duduk di beberapa kerusi yang ada di ruang kecil itu.

Di sini rupanya lokasi dimana sejarah dan makna berbangsa dan bernegara ditafsir ulang. Di ruang kecil inilah pengertian nasionalisme, patriotisme, diperdebatkan. Di sinilah perjalanan sejarah diteliti, makna persatuan, kesatuan, diberikan erti yang sesungguhnya. Di ruang ini peranan bapak-bapak bangsa, tokoh-tokoh sejarah, dengan segala tetek bengeknya, segala hitam putihnya didiskusikan.

LenteraTimur.Com adalah satu tempat dimana idea-idea intelektual muda Indonesia bergulat. Selain penerbitan media LenteraTimur, di premis itu juga terdapat toko buku dan warung, yang dilengkapi wifi.

Anggota-anggota lentera timur datang dari semua penjuru di kepulauan Melayu. Ada dari Riau, ada dari Sulawesi, ada dari Borneo, ada dari Gorontalo, ada dari Sumatera, ada dari Jawa.

“Kami menyebutnya Liga Bangsa-Bangsa,” kata Tengku Dhani sembari tertawa.

Tengku Dhani sendiri lahir di Langkat, kota yang selalu mengingatkan kita dengan penyair dan pujangga Amir Hamzah yang mati digilis roda revolusi.

Beliau mendapat pendidikan sekolah menengah di Medan dan kemudian menempuh pendidikan S1 di Universiti Islam Bandung (UNISBA) dalam bidang jurnalistik.

Apa kata Tengku Dhani tentang dirinya? Dalam tengkudhaniiqbal.wordpress.com, beliau menulis;

“Saya jurnalis yang pernah bekerja di media cetak, televisi, dan online. Mengamati dari dekat berbagai proses sosial-politik nasional Indonesia, yang kerap diwarnai konflik, dan mendalami isu-isunya. Dengan pekerjaan ini pula saya berkeliling ke hampir seluruh kawasan Indonesia.

Dalam waktu tertentu, saya menulis esai, feature, dan cerita pendek tentang berbagai hal: filsafat, kebudayaan, kedukaan, studi media, jurnalisme, riwayat kemanusiaan, gerakan massa, juga romantika platonik, dan dimuat di beberapa media, seperti Harian Kompas, Harian Media Indonesia, Harian Sinar Harapan, dll.

Pada kesempatan lain, saya menuliskan dua buah buku yang masing-masing bergulat dengan filsafat, pencarian jati diri, perjuangan, serta diskursus metode mencari pengetahuan kepemirsaan dalam dunia televisi.

Dan atas permintaan sejumlah kawan, saya juga mendirikan dan mengajar Kelas Penulisan Buku Fiksi dan Kajian dengan lokasi pembelajaran yang bergerilya dari satu kafe ke kafe lainnya.

Kini saya bersama kawan-kawan mendirikan dan mengelola media LenteraTimur.com yang bernaung di bawah Perkumpulan Lentera Timur. Karena kegelapan tak layak dilanjutkan, media dan perkumpulan ini berdiri untuk berpihak pada marjinalitas.

Selebihnya, saya hanya seorang Melayu dari Negeri Langkat yang kini berdomisili di Jakarta.”.

Di LenteraTimur.Com, Tengku Dhani bertindak sebagai Pemimpin Redaksi sejak 2009. Beliau juga adalah pensyarah di Universitas Al Azhar, Jakarta. Beliau juga pernah bekerja Majalah Eksekutif News, Tempo, Editor,Metro Tv, Tabloid Metro Bogor dan banyak lagi.

Sebelum ini kami pernah berkomunikasi melalui facebook.Ketika mengetahui saya akan berkunjung ke Jakarta, Tengku Dhani menawari saya untuk menginap di kantor lentera. Malah terdapat juga penginapan di lokasi yang berdekatan yang harga yang murah. Bagaimanapun, hasrat untuk menginap dekat pejaten, atau kalau tidakpun dekat Jalan Cikini, yang berdekatan dengan Taman Ismail Marzuki sewaktu balik dari Bandung, tidak tertunai kerana kunjungan kami ke Jakarta cepat diketahui oleh kerabat keluarga, yang menyambut kami di Stasiun Gambir dan seterusnya membawa kami ke Tingkat 20, Apartment Kelapa Gading berdekatan dengan MOI-Mall of Indonesia.

Jadi pada malam itu, selepas singgah di Kalibata, dan bertanya kepada pemilik warung tempat kami makan ikan lele, gaya makanan Jawa Timur itu, arah jalan ke jalan Sawo Manila.

“Kalau mahu kemari,dari airport, ikut bas Damri, turun Pasar Minggu, kemudian naik ojek atau taksi, lebih mudah, “ katanya ketika saya mengatakan kalau ke Jakarta lagi pasti akan menginap di Pejaten.

Sebenarnya maksud kedatangan kami itu sekadar silaturrahmi. Tetapi tanpa sedar kami, diskusi kami agak rancak juga setelah Tengku Dhani menceritakan pengalamannya. Di sini, dia menunjukkan ke arah peta, terdapat panggilan datu. Di Sulawesi, di Sumatera, orang menyebut nama Datu untuk orang yang dituakan. Orang yang berkedudukan. Saya beritahu bahawa di Mindanao juga, masyarakat Iranun-Maranao-Magindanao- menyebut Datu untuk pemimpin dan keturunan bangsawan.Juga dalam masyarakat Suluk, juga ada panggilan yang serupa.

Di mana sebenarnya Melayu itu? tanyanya. Tengku Dhani menyatakan bahawa manuskrip melayu yang pertama ditemui di Ternate pada 1521. Bahkan terdapat rumah panggung di Sulawesi sama dengan yang terdapat di Sumatera.

Dalam kesempatan itu juga, saya sempat bercerita mengenai hubungan yang akrab antara manusia di gugusan kepulauan Melayu pada masa yang lampau.

Dalam Tuhfat Al-Nafis, ada menyatakan bagaimana Sultan Mahmud III meminta bantuan dari Raja Tempasuk di Borneo Utara (Sabah sekarang ini), pada 1787 untuk mengusir Belanda dari Tanjung Pinang. Raja Tempasuk itu mengirim tiga anak kandungnya sendiri untuk berperang melawan Belanda. Bayangkan bagaimana orang-orang dahulu, mungkin dengan hanya menggunakan satelit batin, boleh saling bantu membantu apabila saudaranya menghadapi masalah.

Sebaliknya Tengku Dhani menyatakan, sambil menunjukkan peta, bagaimana dulu kolonialisme, Belanda dan Inggeris membahagi-bahagikan nusantara dalam traktat 1824. Garis yang digunakan penjajah, katanya membahagikan wilayah mengikut kehendak hati mereka. Oleh sebab itu, kita lihat, dia menunjukkan peta Papua, di sini ada garis bengkok, kerana apabila mereka menyiasatinya, rupanya ada danau.

Kenapa kita saling emosi, ikut ikutan berbantah-bantahan sedangkan penjajah yang memisahkan kita, walhal pada asalnya kita rumpun yang sama?

Saya memberitahu bahawa dalam bahasa-bahasa etnik (atau bahasa daerah kalau di Indonesia) terdapat persamaan kata-kata.Tengku Dhani juga menyebut beberapa kata, yang sama dalam dunia gugusan Nusantara.

Misalnya kata saya, kata bilik, dalam bahasa tempatan di sabah, dalam bahasa Iranun klasik, bahasa Rungus misalnya, disebut lamin. Lamin mungkin kata dasar bagi pelamin, pelaminan, kelamin dan sebagainya. Ini boleh saja kerana bilik memang digunakan oleh orang yang sudah berkelamin atau sudah kahwin dalam masyarakat Melayu. Bilik dalam bahasa Melayu, kamar asalnya Belanda.

Kami juga membincangkan bagaimana kerana dominasi Jawa, maka budaya daerah di Indonesia terlupakan atau menjadi marjinal.

Tengku pula menyebutkan kerajaan-kerajaan Melayu yang dahulu. Saya mengatakan ada hubungan bahasa atau dialek yang rapat antara bahasa brunei dan bahasa banjar. Tengku pula memberitahu mengenai kerajaan Depok, makna persatuan dan kesatuan dan sebagainya.

Tersebutlah mengenai Anshari Dimyati, seorang pemuda 24 tahun, yang berani berdebat dengan para professor sejarah mengenai peranan Sultan Hamid 2, dari kesultanan Pontianak dalam hubungan dengan pembentukan Negara Indonesia. Sultan Hamid mengajukan bentuk federalism, dan pada ketika itu kerana dinilai berseberangan, maka peranan sultan Hamid hampir tersembunyi dalam lipatan sejarah Indonesia.

Perbincangan singkat kami pada malam itu amat menarik. “Ini pertemuan antara wartawan Sabah dan wartawan Indonesia,” kata Saudara Akiah. Beliau agak tertarik dengan pokok perbincangan mengenai konsep serumpun tetapi kemudian ternyata akibat ulah penjajah, orang orang yang bersaudara itu akhirnya terpisah, atau dipisahkan oleh batas sempadan yang ditentukan Inggeris-Belanda menjadikan kita terpecah-pecah.

Tengku Dhani memanggil saya dengan nama Cik. Katanya ini panggilan untuk orang Melayu. Bahkan di Amerika Latin sana, menurut informasi yang diterimanya gelaran Che dalam nama Che Guevara itu juga mempunyai makna yang sama. Sama seperti yang digunakan oleh manusia Melayu.

Malam sudah jam 11 ketika saya minta untuk melihat-lihat buku yang terdapat dalam kedai lentera itu. Katanya, buku itu boleh dikirimkan melalui pos. Malah Cik Muhamat pernah membeli dari Lentera, katanya. Cik Muhamat yang dimaksudkan itu ialah Cikgu Muhamat Abdul Rahman, pesara guru yang berminat dalam soal-soal mengenai Melayu.

Banyak buku yang membuat hati saya tidak karuan. Saya ingin membelinya untuk dibawa pulang tetapi had bagasi saya telah melebihi 15 kg. Kebanyakannya buku-buku yang saya beli di Gramedia Matraman dan Toko Buku Gunung Agung.Sedangkan sewaktu di Bandung, saya tidak berani lagi ke Togamas atau Palasari kerana jatah muatan yang sudah melebihi yang sepatutnya.

Akhirnya saya hanya membeli tiga buku, dan mengambil foto yang selebihnya. Sebelum pulang ke tempat penginapan, kami mengambil gambar kenangan. Mana Ken? Saya bertanya, kerana nama Ken selalu saya baca kerana wanita kelahiran Tanjung Pinang ini rajin posting di perkumpulan lentera timur di facebook.

Ken Miryam muncul dari dapur. Pada malam itu kami mengambil foto di dalam kantor lentera dan di luar halaman, yang tertera nama Lentera Timur.

Christopel memakai baju merah.Saya memakai baju hijau.Tengku memakai baju warna putih.Ken Miryam memakai baju kuning.

Dalam kereta yang dipandu oleh Novriansa Rizky Widyodiningrat, saya memerhati foto-foto kami itu. Wah, kebetulan sekali kami mengenakan baju yang berbeza warna.

Cermin dari keberagaman.Cermin dari kepelbagaian.


2 comments

Salam Din,
Saya bayangkan saya pun ada bersama kamu. InsyAllah satu masa akan sampai ke sana. Saya pernah bertekad kalau berkesempatan saya akan ke Indonesia pastinya ke Tanah Jawa dan akan mencari saudara-saudaraku di Kg Air Tiris, Bangkinang, Pekan Baru , Riau. Cerita tentang kenalan kita di LanteraTimur.Com amat berkesan di hati saya. Terima kasih Din.

Kalau cikgu ke Pekan Baru, cikgu boleh memilih laluan Batam-Pekan Baru atau KL-Pekan Baru.Saya pernah ke Pekan Baru bertemu dengan Pak UU Hamidy dan Prof Dr.Yusmar di pejabatnya. Saya ingat dia marah saya gunakan istilah napak tilas itu.