Wednesday, April 18, 2012

Di mana Din?

"Di mana Din?" Rashid bertanya.
"Masih di Tawau," kataku."Esok petang (19 Apr) baru balik KK".
Kemudian Rashid berkata khabarnya seorang sahabat kami dimasukkan dalam ICU di HQE terkena stroke.
Padahal kelmarin kami sempat sarapan bersama, kata Rashid. Menurutnya, sahabat kami itu datang awal pagi lagi ke rumahnya ajak minum.
"Dia nampak sihat, tapi mengaduh sakit badan. Mata berpinar-pinar," katanya. Jadi saya suruh ke hospital, katanya.
Itulah cerita Rashid ketika menghubungiku tengahari kelmarin. Katanya, Kamarudin dimasukkan ke wad kecemasan HQE tetapi ketika diperiksa, doktor kata tak ada nama tu.
Mungkin dia orang pakai namanya yang satu lagi. Mohd Yunus. Cuba periksa nama tu?
"Mohd Yunus Liusin, kata Newmond ada, " jelas Rashid. Newmond ialah Ketua Biro Bernama Sabah.
Petangnya Rashid menelefon beritahu, sahabat kami itu masih tak sedar lagi.Koma.Dia diserang darah tinggi dan angin ahmar.
Ruzaini, wartawan Utusan Borneo yang melawat sebelah petangnya memberikan informasi.Kita doa-doakan saja bang, katanya. Semoga cepat sembuh.
Melalui catatan FB, Yatim Ahmad juga menyatakan beliau ada melawat ke hospital. Juga Arshad Hussin memberitahu sehingga jam 7.38 malam, kamarudin belum sedar lagi.

Saya segera teringat betapa baiknya sahabat kami ini. Kamarudin Liusin, kini wartawan kanan di New Sabah Times. Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) .Saya kenal beliau bermula penghujung 80-an lagi, ketika beliau mula menulis untuk akhbar Watan. Beliau pada ketika itu sudah punya ramai kenalan orang-orang yang boleh dikatakan pemimpin muda ketika itu. Sebagai wartawan, beliau kemudian pernah menjadi wartawan di akhbar Sabah Times, Utusan Borneo, Mercu kemudian kembali ke New Sabah Times.

Beliau menjadi wartawan beberapa tahun lebih dulu daripada saya. Kamarudin pernah menjadi pelakon Awan Kelabu di Kundasang, selalu berlakon untuk drama radio di RTM Sabah.

Dalam usianya, 46 tahun, Kamarudin, kelahiran Beaufort itu masih membujang. Beliau seorang yang dedikasi terhadap tugasnya. Seorang yang memegang teguh prinsip dan etika kewartawanan dalam menjalankan tugas. Dia seorang sahabat yang baik hati, sentiasa suka menolong orang lain, walaupun kadang-kadang beliau suka pula bergurau dan mengusik rakan-rakannya. Kadang-kadang cara mengusiknya itu membuat rakan kami tak tahan diusik.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beliau sering pulang kampung untuk berubat.Katanya sering demam.Ada kolesterol. Beliau tidak boleh mendengar ada orang meninggal, kerana automatik beliau rasa sakit, katanya kepada saya.

Setiap ada waktu, kami selalu minum di Jalan Gaya, atau di Fortune di Jalan Pantai. Paling akhir kami bertemu, kalau tak silap saya ialah sebelum saya ke Jakarta. Selepas solat Jumaat lepas, kami cuba menghubunginya, tapi telefonnya tak disambut.

Dimana kau Din?

1 comment:

Yatim said...

Salam. Sebenarnya, sejak berat badannya naik terutama, bertugas di New Sabah Times (NST), Kamaruddin pernah saya temankan berurut di Luyang (tertengahan tahun 2000-an). Saya bertanya dia kalau darah tinggi dan kalau boleh makan juga ubat tradisional. Setahun dan bulan terakhir saya di NST, saya perhatikan emosinya mudah terganggu dan mahu menawarkan rawatan menggunakan rawatan Islam kepafdanya (terapi menggunakan ayat2 Quran dan tumbuhan yg disahkan mengurang darah tinggi, kencing manis dan gangguan makhluk halus). Kamaruddin tahu saya juga terbabit bidang perawatan sunnah ini. Tetapi, kesibukan mungkin menghalang kami membual soal kesihatan. Semasa saya ke hospital, saya sebenarnya langsung ke katilnya, tetapi agak keliru krn wajahnya kemerahan betul dan bertanya juga nama keduanya itu- kamaruddin, tetapi saya teringat yang nama Mohd Yunus, dan Alhamdulillah, selepas seorang saudaranya membacakan surah Yassin, saya dibenarkan duduk disampingnya. Selepas memberi salam, saya berbisik di telinganya, meminta dia bersabar, kuatkan semangat dan beristighfar. Saya berkata, jika dia sedar dan nanti boleh balik rumah Insya-Allah saya merawatnya. Dalam keteharuan itu, saya nampak dia seperti mahu bercakap sesuatu, menerusi gerak halkumnya. Sebenarnya, kita boleh bercakap dengan pesakit ini untuk memberi perangsang kepadanya, terutama pada masa bukan waktu tidur. Pesakit begini (koma) biasanya ada kesedaran dalam diri mereka, termasuk deria yang lebih tajam untuk menangkap perbualkan di keliling dirinya, itu sebab kita tdk galakan bercakap sesuatu yang boleh membuatnya tersinggung. Selepas sedar, dia mungkin masih ingat atau tidak bisikan saudara atau rakan kpdnya. Umpama mimpi, selepas sedar kita masih ingat apa yg dimimpikan kdg2. Mudah2an sahabat kita ini kuat semangatnya dan sembuh nanti, Insya-Allah.